Home Novel Seram/Misteri JAMPI
JAMPI
muRni aQiLa
16/3/2018 20:26:37
108,136
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 8

KRING KRING KRING!

Zairi tersentak apabila tiba-tiba telefon di atas mejanya berdering kuat. Tak semena-mena, lengannya terlanggar secawan kopi O yang diletak di hujung meja.

Prang!

Cawan berisi kopi O itu tergolek lalu jatuh terhempas di atas lantai. Walaupun lantai beralaskan karpet, cawan itu pecah juga. Mungkin kerana kedudukan meja itu yang tinggi. Atau kerana cawan itu diperbuat daripada kaca yang mudah pecah.

“Encik Zairi?” Julie yang kebetulan lalu di hadapan bilik Zairi menegur sebaik terdengar bunyi benda berlaga danjatuh.

Zairi mendongak. Dari pintu biliknya yang sengaja dibiar terbuka, dia nampak Julie. Pegawai bahagian service ambassador yang cantik bertudung sifon tiga lapisan itu berkerut dahi memandangnya. Telefon yang tadi berdering berhenti berbunyi.

“Cawan Encik Zairi jatuh?”

Zairi mengarahkan pandangan pada cawan yang sudah terbelah itu. Air kopi O tumpah ke serata karpet.

“Err... err... itulah. Saya terlanggar tadi,” ujar Zairi, rasa bersalah kerana mengotorkan karpet.

Lantas dia bangun dari kerusi dan mencangkung mahu mencapai cawan yang pecah itu.

“Tak apa, tak apa. Bukan Encik Zairi sengaja pun. Saya panggilkan cleaner, suruh bersihkan.”

Belum sempat Zairi menahan, Julie sudah hilang dari pandangan. Dia mengeluh. Baru hari pertama kerja dah buat hal! Malukan diri sendiri aje.

Sekali lagi telefon di atas meja berdering. Zairi bingkas bangun dan mencapai gagang telefon itu.

“Zairi...”

Belum sempat Zairi bersuara, kedengaran namanya dipanggil di hujung talian.

“Saya ni.”

“Oh, Encik Razak.” Berdasarkan suara di hujung talian, Zairi sudah tahu gerangan yang menghubunginya.

“Hari ni balik lambat ya? System error tiba-tiba ni.”

“Boleh, boleh.” Laju saja Zairi bersetuju.

Dan talian diputuskan.

Kalau sistem ralat, memang terpaksa menunggu semua staf selesai kerja barulah dia boleh pulang. Lebih-lebih lagi staf di bahagian teller. Tak apalah... dah memang begini tugas dia sebagai penolong pengurus.

 

 

DI RUMAH, Dahlia masih lagi berdepan dengan pintu yang digendang kuat bertalu-talu dari luar. Dia masih tiada kekuatan mahu menghampiri pintu dan mengintai dari peeping hole.

Bam! Bam! Bam!

Bagaimana kuat pintu rumah itu digendang, begitu jugalah degupan jantungnya. Tangannya diangkat mahu menyentuh peeping hole. Menggeletar.

Wajahnya cuak. Bertambah pucat. Terawang-awang tangannya yang meremang. Walaupun sudah dekat dengan pintu, terasa berat tangannya mahu menyentuh pintu itu. Dipejamkan mata dan nafas ditarik dalam-dalam. Mahu mengumpul seluruh keberanian dan kekuatan dalam diri.

Apabila mata dibuka, tangannya terus memegang pintu yang berdekatan dengan peeping hole. Serentak itu, pintu berhenti digendang.

Senyap!

Seolah-olah yang berada di luar tahu dia menyentuh pintu itu.

Makin bertambah berdebar jantungnya. Dia menelan liur yang terasa mencucuk kerongkong. Dan sekarang, dia teragak-agak mahu mengintai dari peeping hole. Dia takut mahu melihat apa yang ada di luar pintu itu. Namun, keinginannya melonjak-lonjak ingin tahu.

Selagi tak tahu siapa yang mengetuk pintu tadi, selagi itu dia akan tertanya-tanya. Dan sekali lagi dengan seluruh keberanian yang dikerah dari dalam diri, dia merapat ke pintu. Bagai nak pecah dadanya kerana terlalu berdebar.

Perlahan-lahan dan teragak-agak dia merapat ke pintu. Mata dihala ke peeping hole dengan debaran di dada yang menggila. Semakin lama, matanya semakin rapat dengan peeping hole.

Bam!

Pintu itu digendang dengan sangat kuat. Dahlia tersentak hingga dia jatuh terduduk ke lantai. Dipegang dadanya yang berdebar bagai nak gila. Pintu di hadapannya dipandang dengan riak takut-takut.

Siapa yang hentak pintu tu? Budak-budak ke? Budak-budak yang bosan tak tahu nak buat apa petang-petang begini. Ah, tak mungkin!

Dia berdiri semula. Sekali lagi mahu mengintai dari peeping hole. Selagi tak nampak, selagi itu dia tak puas hati! Ditepis semua perasaan takut dan gementar. Lantas dia mengintai dari lubang itu.

Dia tak nampak apa-apa di luar pintu. Laluan koridor di situ senyap sunyi. Tiada sesiapa.

Pandangan dialihkan. Termenung dia di situ. Pelik. Siapa yang mengetuk dengan kuat tadi?

Bulu romanya kembali meremang. Oleh kerana sikap ingin tahunya melonjak-lonjak, dia memegang tombol pintu. Mahu melihat sendiri apa yang ada di luar rumah.

Namun, dia teragak-agak. Debaran yang menggila di dada bagaikan menyuruhnya jangan berbuat apa-apa. Tapi dia nak sangat tahu siapa yang mengetuk pintu bertalu-talu sejak tadi. Tangan yang sudah berada di tombol, lantas dipulas dan ditariknya.

Pintu terbuka.

Dia terdiam kaku. Di hadapan luar pintu itu memang tiada sesiapa. Sunyi. Langkah diatur agar lebih dekat dengan muka pintu. Dari jeriji pintu itu dia menjengah kepala ke kiri. Sayup-sayup dari laluan koridor itu tiada sesiapa yang kelihatan. Ditoleh ke kanan pula. Kelihatan susuk tubuh seorang perempuan di hadapan pintu rumah sebelah. Perempuan itu membelakanginya.

“Err... tumpang tanya,” tegur Dahlia agak kuat.

Perempuan itu langsung tak hiraukan tegurannya. Mungkin tak dengar.

“Kak!” jerit Dahlia.

Barulah perempuan itu menoleh.

Dahlia melambai-lambaikan tangan dari celah jeriji itu. “Sini kejap, kak. Saya nak tanya. Sini!” panggilnya memaksa.

Perlahan-lahan perempuan itu menghampiri pintu rumah Dahlia. Dia berjalan lambat-lambat.

“Sinilah! Sekejap aje.”

Akhirnya, perempuan itu berdiri di hadapan Dahlia.

Dahlia memandang perempuan itu dari atas hingga ke bawah. Rambut kerinting kasar paras bahu itu kelihatan menggerbang. Di wajahnya, kelihatan kedutan penuaan walaupun dia berkulit cerah. Bawah matanya jelas kehitaman dengan kantung mata yang agak besar.

Bibirnya pula tebal lain macam. Seolah-olah sudah melakukan suntikan, tapi tak menjadi. Muka pula seperti membengkak herot kerana tersalah menggunakan botox. Sekali pandang memang menakutkan.

Dahlia menelan liur. Rasa seriau.

“Err... akak ke yang ketuk pintu rumah saya tadi?” Tak dihiraukan penampilan perempuan berbaju T dan berkain batik itu, dia memberanikan diri bertanya.

Perempuan itu kelihatan mengerut dahi. Sama ada tak faham soalan itu atau sedang fikirkan sesuatu.

“Tadi ada orang ketuk pintu rumah saya. Akak ke yang ketuk?” Sekali lagi Dahlia bertanya.

Perempuan itu mengangkat jari telunjuknya, lalu dihala ke muka Dahlia. “Kau... kau... baru pindah sini?” Soalan Dahlia tak dihiraukan. Dia pula yang bertanya soalan.

Dahlia mengangguk walau teragak-agak.

“Baru semalam pindah.” Dahlia cuba melebarkan senyuman walaupun terasa takut-takut. Melihat perempuan itu tak membalas senyumannya, dia tak jadi senyum.

“Akak ke yang ketuk pintu rumah saya tadi?” Dahlia kembali bertanya soalan yang ingin ditanya.

Perempuan itu memandang Dahlia dari kepala hingga ke hujung kaki. Pandangannya mencurigakan.

Dahlia cuak apabila dipandang begitu. Tertelan liur dia dibuatnya. Agaknya, memang betul wanita ini yang menggendang pintu tadi.

“Ada apa ya, kak?” Dahlia dengan berhemah bertanya walau hatinya masih kecut melihat renungan wanita itu yang seakan mahu menerkamnya.

Wanita itu kembali ke rumahnya tanpa mempedulikan pertanyaan Dahlia.

“Kita berjiran rupanya,” ujar Dahlia.

Sekurang-kurangnya dia tahu jirannya berbangsa Melayu. Boleh buat teman berbual.

Tak sampai lima saat, susuk tubuh perempuan itu lenyap di sebalik dinding rumah.

Berkerut dahi Dahlia. Bukan saja penampilan perempuan itu menakutkan, perangainya pun sama! Dia menelan liur.

Ketika itu juga telefon bimbit Dahlia berlagu. Dia menoleh ke dalam rumah. Telefonnya itu diletakkan di atas meja. Segera dia menutup pintu dan berlari menyambut panggilan itu.

“Helo, abang...”

“Sayang buat apa tu?” soal Zairi sebaik saja mendengar suara Dahlia.

“Err...” Dahlia nak cerita dari awal yang tadi pintu rumah mereka digendang kuat. Tapi panjang sangat ceritanya.

“Oh... berbual dengan jiran kat depan pintu. Dia ketuk pintu tadi.”

“Dah kenal dengan jiran? Lelaki keperempuan?”

Dahlia ketawa apabila kedengaran nada Zairi bagaikan cemburu. “Perempuan. Lebih tua dari kita.”

“Nasib baik perempuan.”

Dahlia ketawa lagi.

“Ni abang nak beritahu. Hari ni abang balik lambat tau. Banyak kerja kat pejabat.”

Terangguk-angguk Dahlia faham. Balik lambat perkara biasa bagi seorang pegawai bank. Lebih-lebih lagi Zairi kini sudah menjadi penolong pengurus.

“Pukul berapa abang balik?”

“Tak tahu lagi. Siap kerja, abang balik. Sayang makan ya? Tak payah tunggu abang. Abang makan kat luar.”

“Okey...”

Dahlia melepaskan nafas panjang yang lemah setelah talian diputuskan. Jari telunjuk yang terluka tadi dipandang. Ada darah di celah-celah luka itu. Hampir dia terlupa pula. Lantas dia berlalu ke bilik mahu membalut luka itu dengan hansaplast.

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.