Home Novel Seram/Misteri JAMPI
JAMPI
muRni aQiLa
16/3/2018 20:26:37
107,629
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 6

Di ruang dapur itu, kedengaran bunyi dentang-denting. Zairi sedang menyusun kelengkapan dapur di rak kabinet. Pinggan, mangkuk, cawan, gelas, sudu, garpu, kuali, periuk dan macam-macam lagi disusun elok mengikut jenis.

Bahan-bahan untuk masakan sudah selesai diatur. Lebih kurang sama dengan susunan di rumah Tanah Merah. Di dalam peti sejuk juga sudah dipenuhkan dengan barang-barang keperluan.

Dahlia yang baru lepas mandi dengan tuala melilit di kepala keluar dari bilik. Sepanjang petang tadi, dia tertidur kerana terlalu penat.

Dilihat Zairi berkemas di ruang dapur itu. Sedang menyusun pelbagai saiz periuk di rak kabinet bahagian bawah. Di lantai dapur penuh dengan beberapa kotak yang sudah dibuka dan dikeluarkan semua isinya.

“Abang...” panggilnya dengan dahi berkerut.

Zairi menoleh. “Eh, sayang dah bangun? Dah mandi?” Tersenyum dia melihat Dahlia yang kelihatan segar selepas mandi.

“Abang kemas dapur ni, kenapa tak kejutkan saya?”

“Tak apalah...” Zairi tergelak sedikit.

“Abang tengok sayang tidur lena betul. Penat sangatlah tu. Tak apa, abang faham. Sepanjang jalan dari Tanah Merah sayang tak tidur. Dahlah penat berkemas barang masa kat sana lagi.”

Dahlia menghampiri Zairi mahu membantu. Tapi tak ada apa yang boleh dibuat. Semua kotak sudah kosong. Dia bingung.

“Dah siap semua.” Lalu, Zairi menutup pintu kabinet setelah siap menyusun periuk di situ.

Dahlia memerhati ruang dapur itu. Semua dah tersusun rapi. “Kenapa abang buat semua sorang-sorang? Abang pun penat kan? Buat esok pun tak apa.”

“Esok abang dah kena kerja. Tak boleh nak tolong sayang. Hari ni aje abang boleh tolong.”

Terharu hati Dahlia dibuatnya. Dia senyum lantas memeluk pinggang suaminya itu. “Terima kasih, abang...”

“Dah, jom kita makan. Abang lapar ni. Sayang lapar tak?”

“Gila tak lapar? Dah pukul 8.00 malam dah ni.” Dahlia melepaskan pelukan Zairi. Dia beralih ke peti sejuk.

Bulat matanya melihat isi peti sejuk yang agak banyak. Macam-macam ada. Sos, kicap, jem, kaya, marjerin, coklat, air kotak, telur... semuanya baru.

“Abang beli ke semua ni?”

“Masa sayang tidur, abang keluar pergi beli kat pasar raya.” Zairi yang sedang mengemas kotak-kotak kosong membalas tanpa memandang Dahlia. Dia tahu apa yang bermain di minda isterinya itu. Mesti terkejut gila.

“Abang tinggalkan saya sorang-sorang?”

“Tapi tak jadi apa-apa kan?” balas Zairi dengan soalan juga. Dia boleh agak yang Dahlia masih lagi tak boleh lupa tentang mimpi yang mengarut itu.

Dahlia terdiam. Memang tak jadi apa-apa. Sebab dia tidur lena di dalam bilik. Menjelang maghrib baru dia terjaga.

“Jomlah kita makan.” Zairi tak mahu memanjangkan cerita.

Dahlia membuka peti sejuk bahagian atas pula. Terdapat beberapa bungkusan plastik. Dia amat pasti itu mungkin ayam, ikan, sotong dan udang. Macam biasa, Zairi tahu keperluan yang perlu ada supaya dia boleh memasak.

“Nak masak apa?”

Zairi yang sudah meletak kotak-kotak kosong di balkoni dapur kembali menghampiri Dahlia. “Abang dah beli makanan untuk kita. Ada atas meja tu.”

Tak jadi Dahlia nak keluarkan apa-apa dari peti sejuk. “Abang beli apa?”

“Nasi goreng daging.”

Tertelan liur Dahlia dibuatnya.

“Mestilah abang belikan makanan favourite sayang.” Zairi tersenyum bangga. “Sayang ambil air kotak aje. Yang lain semua abang dah hidang atas meja.”

Setelah Dahlia mengeluarkan sekotak besar jus epal, mereka beriringan ke meja makan. Zairi membuka tudung saji. Semangkuk besar nasi goreng daging menyapa pandangan. Tanpa berlengah, dia terus menyendokkan ke dalam pinggan.

Dahlia pula menuangkan air kotak ke dalam gelas yang sudah tersedia di atas dulang. Dia duduk menghadap Zairi. “Sedapnya bau nasi goreng ni. Abang beli kat mana?”

“Kalau sayang perasan, kat seberang kondo ni sebelah depan sikit ada food court. Abang beli kat situ. Nanti bila-bila kalau sayang penat nak masak, beli kat situ aje.”

Dahlia menyambut pinggan yang Zairi hulurkan. Nasi goreng di pinggan itu sekali lagi membuatkan dia tertelan liur. Namun ketika dia mencapai pinggan itu, dengan ekor mata dia terlihat satu bayangan kehitaman bergerak ke dapur.

Spontan kepalanya berpaling tertoleh ke arah itu dengan dada yang berderau dan mata terbeliak.

Buk!

Pinggan yang Zairi hulur jatuh di atas meja. Sebahagian nasi dari pinggan itu berterabur.

Dahlia tersentak dan kembali memandang pinggan yang tadi sudah di tangan tapi terlepas.

“Sayang...” keluh Zairi. Bertambah pelik dia dengan sikap Dahlia.

Tapi Dahlia tak peduli. Ditoleh semula ke arah dapur. Bayangan kehitaman yang dia nampak tadi sudah tiada. Sedangkan jantungnya berdegup kencang. Dia yakin, dia tak silap pandang. Dia nampak bayangan itu.

 

 

Selesai menggosok gigi dan mencuci muka, Dahlia mengelap muka yang basah dengan tuala kecil. Sambil mengelap, direnung biasan wajahnya di cermin. Termenung dia di situ.

“Uhuk uhuk!”

Tersentak dia apabila terdengar Zairi batuk di luar bilik air. Segera dia mengelap muka sehingga kering sebelum menggantungkan tuala kecil itu di penyangkut berdekatan dengan cermin.

Dia melangkah keluar sambil menutup pintu bilik air. Dilihat Zairi sudah berbaring di atas katil. Tangan membelek telefon bimbit. Pasti Zairi sudah terlalu penat seharian berkemas dan langsung tak berehat.

Dahlia memasang lampu tidur terlebih dahulu sebelum mematikan lampu bilik. Kemudian barulah dia memanjat katil dan berbaring di sebelah Zairi.

Saat itu Zairi meletakkan telefon bimbitnya ke tepi katil. Dia mengiring menghadap Dahlia yang juga  mengiring menghadapnya.

“Tak boleh ke abang minta postpone satu hari lagi sebelum masuk kerja kat ofis baru tu?” soal Dahlia bagaikan menyuruh Zairi ambil cuti.

Tangan Zairi menyentuh rambut Dahlia yang mengurai sedikit. Ditolak ke belakang agar wajah isterinya itu tak terlindung di pandangannya. “Kenapa nak kena postpone?”

“Kesian abang penat. Kalau esok abang cuti, bolehlah berehat.”

“Berehat sambil temankan isteri abang yang penakut ni?” Zairi mencubit hidung Dahlia.

Merona merah muka Dahlia. Tergelak dia kerana Zairi dapat menangkap maksud sebenarnya.

“Tak bolehlah, sayang. Esok kena masuk kerja, esok jugak nak mintak cuti? Tercalar reputasi abang nanti. Belum masuk kerja dah macam-macam hal. Lainlah kalau abang beritahu awal-awal lagi.”

Terlepas keluhan lemah Dahlia.

“Sayang tu... cuba jangan fikir sangat pasal mimpi hari tu. Abang tengok, sayang dah tak tentu hala sekarang ni. Kalau dulu berani, kenapa sekarang takut? Peliklah...”

Terbayang semula peristiwa semasa nak makan tadi. Habis nasi berterabur di atas meja. Entah apa saja yang Dahlia berangankan sampai nak sambut pinggan pun terlepas dari tangan.

“Sebab rumah kita tu tak ada apa-apa. Tapi rumah ni...”

“Kalau rumah ni berhantu, kenapa tak jadi apa-apa pun kat sayang siang tadi masa sayang tidur? Abang tinggalkan sayang sorang-sorang lama tau. Dekat tiga jam.”

Dahlia terdiam. Tak tahu apa yang patut dibalas.

Zairi berbaring di sebelah Dahlia lebih dekat lagi. Sangat rapat. “Abang harap sangat sayang tak fikir yang bukan-bukan lagi. Disebabkan sayang fikir yang bukan-bukanlah sayang jadi petakut sampai macam ni. Dengan bayang-bayang sendiri pun takut.”

“Bukan saya...”

Zairi meletak jari telunjuknya di bibir Dahlia. Sekali lagi kata-kata Dahlia terbantut. Dia menggeleng-geleng. Tak mahu mendengar alasan lagi. Renungannya berubah redup memandang Dahlia. Lama mereka bertatapan begitu.

Dahlia merangkul pinggang Zairi erat. Dan ketika itu barulah Zairi mengalihkan jari telunjuk dari bibir Dahlia. Diganti dengan bibirnya sendiri. Maka, malam itu adalah malam mereka.

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.