Home Novel Seram/Misteri Putera Dua Wajah
Putera Dua Wajah
Eidawati
28/9/2018 19:34:56
8,033
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Prolog


2017

Tubuh kurusnya menggeletar cuba menahan dingin malam. Keadaan di tepi pelabuhan mulai sunyi sejak setengah jam yang lalu. Hanya kelihatan bot-bot kecil dan beberapa bot persendirian masih beroperasi di kawasan perairan.

Younes gosok kedua-dua belah telapak tangan. Hujan renyai-renyai yang mulai turun semakin mendinginkan keadaan.

Dia mendongak memandang langit sebelum pandangannya beralih pada jam di pergelangan tangan. Hampir pukul 10 malam. Sudah sejam tetapi bot yang ditunggu tidak juga muncul.

Dia sudah berkira-kira hendak melangkah ketika matanya dapat melihat cahaya lampu yang disuluh dari arah sebuah bot mewah. Senyumnya melebar lalu tergesa-gesa kakinya diatur.

Sebaik bot mewah berlabuh, kelihatan dua orang lelaki melangkah turun diikuti oleh seorang wanita berpakaian seksi. Senyum wanita itu melebar memandang Younes.Tanpa sepatah kata wanita itu melangkah laju lalu tubuh Younes dirangkul.

Sengihan Younes melebar namun matanya mencerun menyedari seorang lelaki menggeleng-geleng kepala memerhatikannya.

“Tuan.”Tubuh Maisara yang masih memeluknya ditolak.

Mendengus Maisara dibuatnya.

“Macammana? Settle?” Soal Younes lalu dia menghampiri Jio. Wajah lelaki yang lebih senang dipanggil tuan itu dipandang.

Jio sekadar mengangguk lalu melangkah. Tergesa-gesa Younes mengekori lelaki itu. Sebuah kereta sudah menunggu di tepi pelabuhan. Maisara hela nafas panjang sebelum turut melangkah. Tanpa sepatah kata Jio masuk ke dalam kereta diikuti oleh Maisara.

“Saya jumpa awak esok.” Maisara tersenyum memandang Younes.

Younes mengangguk sambil matanya memerhatikan kereta mulai bergerak. Maisara ukir senyuman sinis lalu pandangannya dikerling ke arah Jio yang sejak tadi tidak bersuara.

“Jealous?”

“Tak payah buang masa aku.” Jio renung wajah Maisara yang turut merenungnya.

“Ego…”Maisara cebik bibir.

Jioter senyum sinis. Pandangannya dialihkan ke luar cermin kereta.

“Kau tahu Younes akan lebih utamakan aku berbanding kau. Dan kau jangan nak buat cerita mengarut dengan aku. Selera aku masih pada orang perempuan.”

“Tapi tak pelik kalau kau…” Maisara kerling wajah Jio.

Jio berpaling. Wajah Maisara direnung tajam.

“Kau takut kalau Younes tinggalkan kau sebab aku?” Jio ketawa mengejek.

Berkerut dahi Maisara mendengar kata-kata Jio.

“Younes akan pilih aku sebab duit. Sebab kedudukan. Sebab harta. Dan yang paling utama,sebab kuasa.” Tegas Jio bersuara. “Apa yang kau boleh beri pada dia? Cinta?” Sinis Jio kerling wajah Maisara.

Terdiam Maisara mendengar kata-kata Jio.

“Kau patut ingat asal-usul kau Maisara. Aku pungut kau kat tempat busuk tu. Aku harap kau masih ingat.” Jio tersenyum lalu pintu dibuka sebaik kereta berhenti setelah tiba di destinasi.

Kakinya melangkah keluar namun suara Maisara yang kedengaran membuatkan langkah Jio terhenti.

“Aku tak kisah kalau kau pulangkan aku semula kat tempat busuk tu.Sekurang-kurangnya aku tak terseksa dengan perasaan cemburu aku ni.” Akui Maisara. Suaranya yang mendatar membuatkan Jio tersenyum nipis.

“Hantar dia balik, Pian. Jangan kau tinggalkan dia kat tepi jalan pulak.” Arah Jio sinisl alu kakinya diatur menghampiri ruang legar apartment.

Jio atur langkah kaki menghampiri lif. Nafasnya dihela sambil tengkuknya yangt erasa lenguh diurut.

Sebaik pintu terbuka, kelihatan seorang wanita berdiri di dalam lif. Senyum Jio melebar melihat wanita yang turut memandangnya dengan senyuman di bibir.

“Baru balik?”

Jio mengangguk. Dia melangkah masuk lalu spontan tubuh itu ditolak ke dinding.

“Jio. Cuba sabar sikit.” Wanita itu ketawa bila bibir lelaki itu hampir menyentuh lehernya.

Namun ketika itu Jio merasakan sesuatu mengenai bahagian perutnya. Berkerut dahinya melihat wanita itu mulai mengukir senyum sinis.

“Hadiah untuk awak.” Bisik wanita itu sambil merenung Jio.

Pantas kemudiannya wanita itu atur langkah keluar dari lif. Jio tunduk memandang jaket yang tersarung di badannya mulai berlumuran darah. Terduduk Jio di atas lantai sebelum tubuhnya rebah menahan sakit kesan tikaman yang langsung tak diduga!

Jio menyeringai mengingatkan wajah wanita yang cukup dikenalinya itu.

Adya!Nurul Adya!

******

Cahaya mentari yang menerjah menerusi tingkap membuatkan Karl mulai berasa tidak selesa. Nafasnya dihela lalu tubuhnya dikalihkan ke kiri. Masih tidak selesa dan Karl sedaya-upaya bangun lalu cuba duduk di atas tilam.

“Awak! Cuba jangan bergerak.” Tergesa-gesa Raihana yang muncul dari luar bilik menghampiri Karl lantas dibantunya lelaki itu untuk duduk.

Karl tersenyum memandang Raihana.

“Sayang juga awak dengan saya.” Karl bersuara mengusik.

“Awak tu yang tak sayang dengan saya.” Cebik Raihana lalu duduk di tepi katil.

“Ishh....gila tak sayang isteri sendiri.” Karl tersengih.

“Ehsan mana?” Soal Karl kemudiannya bila teringatkan anaknya yang berusia enam tahun itu.

“Mama tak beri saya bawa dia. Saya tinggalkan kat rumah dengan mama.” Raihana hela nafas. “Dah banyak kali saya ingatkan awak. Hati-hati dengan orang sekeliling.Tapi awak tu degil. Kalau jadi apa-apa...”

Kata-kata Raihana terhenti sebaik mendengar pintu bilik dibuka dari luar. Terjengul wajah seorang wanita memandang Raihana sebelum beralih pada Karl.

“Saya mengganggu ke?”

“Eh,tak...” Raihana menggeleng lalu segera dia bangun dari duduk.

Wajah staf wanita yang bekerja di Sapphire Holdings itu dipandang. Huluran bakul buah-buahan dari wanita itu Raihana ambil lantas diletakkan di atas meja di tepi katil.

“Encik Karl okey?”

Karlt ersenyum nipis dan mengangguk.

“Adya dari pejabat?” Soal Raihana.

“Saya cuti hari ni.” Jawab Adya namun matanya masih memandang ke arah Karl.

Raihana hela nafas kerana dia menyedari pandangan wanita itu pada suaminya begitu dalam.

“Saya selalu ingatkan Encik Karl. Ramai yang tak senang dengan kedudukan yang dia ada. Banyak sangat yang dengki.”

“Saya pun selalu ingatkan dia. Tapi dia ni degil.” Raihana senyum nipis.

“Nasib baik tak ada apa-apa.” Gumam Adya perlahan.

Karl hanya diam. Namun pandangan matanya tidak lekang dari merenung wajah Adya.

“Dah buat laporan polis?” Tanya Adya lalu dia menghampiri Raihana.

“Dah.”

Adya mengangguk-angguk kepala.

“Karl pun tak kenal orang yang cederakan dia. Risau saya memikirkan hal ni.” Keluh Raihana lau dia menghampiri katil semula.

Raihana duduk berhampiran dengan Karl yang masih tidak bersuara ketika kedengaran pintu bilik sekali lagi dibuka. Terjengul wajah seorang jururawat meminta Raihana berjumpa dengan Doktor Shukor.

“Saya minta diri sekejap.” Tergesa-gesa Raihana bangun.

Adya dan Karl sekadar memerhatikan langkah Raihana. Sebaik pintu ditutup, Adya hela nafas. Diatur langkahnya menghampiri Karl lalu erat jemari lelaki itu digenggam.

“Sakit?”

Karl menggeleng.

“Serius ke tak sakit?”

Karl renung wajah Adya. Dia sekadar tersenyum nipis. “Raihana dah tahu pasal kita?”Lelaki itu segera menukar topik perbualan mereka.

Adya mengangguk perlahan.

“Kenapa dia tak cakap apa-apa?”

“Apa yang dia dapat kalau dia sakitkan hati awak? Tak mendatangkan apa-apa hasil pada dia.” Adya tersenyum sinis. Mata Karl yang begitu tajam merenungnya dipandang. “Raihana nakkan kesenangan. Awak saja lubuk yang dia ada.”

“Dia ibu kepada anak saya.” Karl bersuara mengingatkan Adya.

“Dan saya ni apa? Kekasih awak? Atau perempuan simpanan awak?” Mendatar suara Adya.

“Awak dah hukum saya pun, Adya.”

“Mengungkit?”Sinis kali ini nada suara Adya. Kepalanya ditundukkan lalu didekatkan wajahnya dengan wajah lelaki yang masih bersandar di kepala katil itu.

“Karl Suffian. Saya ada banyak sebab nak bencikan awak. Tapi awak mesti ingat. Saya masih bertahan sebab Jio.”

“Awak asyik nak menangkan dia.” Karl hela nafas.

“Jio lebih penting untuk saya berbanding awak. Saya tetap akan sebut walaupun awak tak suka.” Tegas Adya tuturkan kata. “Saya tahu Jio akan maafkan saya walaupun saya cederakan dia. Awak tetap tak setanding dengan dia.”

Karl mendengus. Direnungnya wajah Adya yang nampak bersahaja.

“Jio tak akan wujud kalau saya tak ada.” Karl betulkan duduknya semula. Serentak itu kuat pergelangan tangannya digenggam Adya. Mencerun mata Karl merenung wajah Adya.

“Awak tak akan dapat apa yang awak ada hari ni kalau bukan sebab Jio.” Genggaman pada tangan Karl dilepaskan. Terdorong sedikit lelaki itu ke belakang.

“Dasar lupa diri. Awak ingat awak boleh bertahan kalau bukan Jio yang pertahankan apa yang awak ada hari ni?” Senget senyum Adya. Dia menggeleng lalu langkah kaki diatur keluar dari wad yang menempatkan lelaki itu.

Karl ramas jari-jemari mengingatkan kata-kata Adya. Lelaki itu pujuk hati sendiri.Semuanya akan kembali seperti sediakala. Tiada apa yang perlu dibimbangkan!

Next: Bab 1-1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Eidawati