Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
99,942
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 12

“MACAM mana kerja hari ni?” Dari corong telefon bimbit yang dikepitkan dengan bahu kiri ke telinga kiri kedengaran suara Fauziah bertanya lagi.

“Alhamdulillah... okey.” Nizam meneruskan melipat pakaiannya yang sudah kering dari jemuran di atas lantai bilik.

“Susah tak kerja jadi guard ni, Zam?”

“Mula-mula rasa susah. Tapi tak susah sangat pun, mak. Lama-lama dah boleh biasakan diri.” Nizam tahu emaknya ada keraguan andai dia tak boleh bekerja seperti orang lain.

“Maaflah kalau mak telefon ni mengganggu.” Fauziah kemudian mengeluh nafas berat.

Nizam hanya tersenyum nipis. Dia tak rasa terganggu pun apabila menerima panggilan daripada Fauziah. Dan telefon bimbitnya ini dirasakan baru berfungsi apabila emaknya menghubunginya. Atau pun daripada Irwan. Kalau tidak, telefonnya itu umpama sekadar hiasan saja.

“Setiap kali telefon, mak asyik tanya soalan yang sama. Mak bukan apa... saja nak berbual dengan anak emak ni. Tak tahu nak berbual dengan siapa, nak hilangkan bosan.”

Terhenti gerakan tangan Nizam melipat bajunya. Dipegang telefon bimbitnya betul-betul.

“Dapat berbual sekejap pun jadilah. Hilang rasa bosan. Hilang rasa rindu,” ujar Fauziah lagi. Nadanya kedengaran sangat tulus.

“Nizam tak kisah pun kalau mak nak telefon hari-hari, mak. Telefon ajelah.”

“Sejak Nizam dah duduk kat KL, awal mak masuk tidur. Lepas solat isyak mak mengaji sekejap. Dah mengaji, baru mak telefon Nizam. Ni lepas telefon, mak terus tidur. Tak ada apa nak buat. Nak tengok TV, tak ada yang menarik.” Secara tak langsung Fauziah nak beritahu betapa dia kesunyian tanpa Nizam.

Nizam melepaskan nafas panjang. Fauziah perlu biasakan diri sebagaimana dia cuba untuk hidup berdikari jauh dari kampung halaman sendiri.

“Hmm... Nizam dah jumpa Hajar ke? Ada berita pasal dia?”

Soalan Fauziah itu membuatkan Nizam mengeluh. Dia menggeleng.

“Belum lagi, mak.” Entah bila dia akan jumpa dengan Hajar. Nak mencari pun dia tak tahu bagaimana mahu bermula.

“Tak apalah... perlahan-lahan. Yang penting kerja betul-betul dulu. Pasal Hajar tu, kemudian pun tak apa. Tak perlu tergesa-gesa.” Fauziah memujuk.

“Tapi Nizam kena cari dia jugak, mak. Nizam datang sini nak cari dia. Nizam kena cari dia!”

“Ya, ya... mak tahu. Nizam buatlah apa yang Nizam nak. Cuma jangan tergopoh-gapah. Mak faham... nak cari orang kat tempat besar macam kat Sri Petaling tu ambil masa. Mak faham.” Tenang suara Fauziah. Risau pula dia andai Nizam beremosi.

Nizam diam sambil cuba menenangkan diri.

“Okeylah... mak nak tidur. Jaga diri baik-baik ya? Assalamualaikum...”

Perlahan Nizam membalas salam sebelum talian diputuskan. Terkaku dia duduk bersila di situ. Dirasakan tubuhnya lain macam. Sedangkan dia sudah menelan semua ubat yang harus dimakan.

Tak berlengah, cepat-cepat dia melipat kesemua pakaiannya dan kemudian menyimpan ke dalam almari. Lebih kurang saja lipatannya. Siap semuanya, dia membawa bantal dan selimut keluar dari bilik. Lampu sudah dimatikan.

Di sofa ruang tamu itu dia membaringkan diri. Dia mahu segera tidur tanpa perlu menonton televisyen terlebih dahulu seperti biasa.

Ketika matanya sudah mula layu dalam kemalapan suasana di situ, telinganya menangkap bunyi sesuatu. Sangat perlahan, tapi deria dengarnya masih boleh mengesan bunyi tersebut.

Bunyi yang sangat perlahan itu beransur kuat sedikit demi sedikit. Matanya perlahan-lahan terbuka. Dan dia mula dapat menangkap bunyi itu. Bunyi siulan seseorang.

Yang menghairankan, siulan itu membuatkan bulu romanya meremang. Hingga ke tengkuk dia meremang. Siulan itu perlahan dan mendayu-dayu. Ada rasa yang menggerunkan pada irama siulan tersebut. Alunannya lambat-lambat dan tanpa henti.

Spontan dia bingkas bangun dan duduk berlunjur. Tak mungkin itu siulan Irwan. Irwan belum pulang ke rumah lagi. Lagi pula selama dia tinggal di situ, tak pernah sekali pun dia melihat Irwan bersiul.

Dan kini suara siulan itu seolah-olah begitu dekat. Dia meliarkan pandangan ke sekeliling. Tak tahu dari mana arah siulan itu. Tapi terasa bagaikan sangat dekat dengannya. Jantungnya berdegup kencang. Dada pula berderau. Terasa sejuk belakang tengkuknya. Dia mula rasa mahu lemas. Tubuhnya menggeletar.

Lantas dia berbaring semula dan menekap bantal ke muka. Bibirnya mula bergerak-gerak melafazkan zikir. Makin lama siulan itu bergema, makin laju bibir Nizam bergetar terkumat-kamit.

Berpeluh-peluh dia walau angin dari kipas yang berputar agak laju dan mendinginkan. Dia berterusan berzikir sambil menutup mata. Dan siulan itu seolah-olah berbisik ke telinganya. Terasa telinganya dihembus-hembus.

Tak tahan lagi menahan ketakutan mendengar siulan menyeramkan itu, dia menekup kedua-dua telinga dengan tangan pula. Dia mengerang kegerunan. Terlalu takut. Seakan-akan dia mahu menangis kerana sangat gementar.

Dia cuba membaca ayat Kursi pula. Dalam keadaan gerun begini, bacaannya kerap kali tersalah dan terputus-putus. Dia tetap membacanya sambil menenangkan diri agar bacaannya betul. Diulang baca berkali-kali ayat Kursi perlahan-lahan dengan bibir yang bergetar.

Namun, siulan mendayu-dayu itu masih lagi kedengaran. Dia mengerang mahu menangis kerana benar-benar ketakutan. Seakan siulan itu datang mahu membunuhnya.

“Zam! Zam!”

Nizam masih menekup telinganya. Tak mahu mendengar apa-apa. Lebih-lebih lagi siulan itu. Dia tak mahu!

“Zam! Zam! Kenapa ni?”

Nizam dengar suara itu dengan jelas. Terhenti dia mengerang. Tangan yang menekup telinga dilepaskan. Suara siulan yang menggerunkannya tadi sudah tak kedengaran lagi.

“Kau kenapa, Zam?”

Itu suara Irwan!

Nizam mengalihkan bantal yang menutup mukanya dan bingkas bangun. Tergamam dia melihat Irwan berdiri di hadapannya. Bila Irwan pulang? Dia tak dengar langsung bunyi enjin motosikal sepupunya itu di luar rumah. Tiba-tiba saja terpacak di dalam rumah.

“Kau okey ke tak ni?” Irwan bertanya lagi. Dipandang Nizam dengan muka berkerut.

“Err... err... okey, okey...” Tergagap-gagap Nizam membalas sambil mengangguk.

Dia masih tergamam lagi sebenarnya. Fikirnya, sesuatu telah menyamar menjadi Irwan. Pada pengamatan matanya walau dalam keadaan samar begini, yang berdiri di hadapannya memang Irwan.

Irwan memandang Nizam tanpa bersuara kemudian. Jelas riak sangsi mengeruh di wajahnya.

Nizam kembali membaringkan diri. Tatkala melihat jam di dinding, dadanya berdebar semula. Sudah pukul 12.30 tengah malam. Dan malam masih panjang untuk dia tempuhi. Dengan gementar yang masih bersisa dalam diri, dipaksa diri supaya tidur lena. 


Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.