Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
100,062
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 7

AWAL dinihari itu sangat sunyi. Nizam di atas katil sedang dibuai lena. Dadanya yang dilitupi selimut itu berombak tenang dan perlahan. Bilik itu kelihatan suram. Tiada sebiji lampu pun yang dipasang. Kipas angin di siling berpusing dengan kadar sederhana laju.

Jarum jam di dinding berdetik satu per satu. Seakan-akan ada debaran dalam kesunyian itu. Dan bukan hanya ada Nizam di dalam bilik tersebut. Ada sesuatu yang tidak boleh ditembusi oleh penglihatan mata kasar. Sesuatu yang bersatu dengan kegelapan.

Hujung selimut di kaki Nizam kelihatan bagai dipegang sesuatu. Selimut itu kemudian ditarik perlahan-lahan. Dari dada Nizam, selimut itu melurut ke bawah dan ke bawah sedikit demi sedikit.

Sehingga berada di atas perut, selimut itu berhenti melurut. Nizam masih larut dalam lena. Tidak sedikit pun dia sedar keadaan itu.

Seketika beberapa detik berlalu, selimut itu melurut semula. Kali ini lebih perlahan. Ke bawah, ke bawah dan ke bawah. Sehinggalah ke paras lutut, Nizam tetap tak sedar. Barangkali hanyut bersama mimpi. Dan selimut itu akhirnya jatuh ke lantai.

Tubuh Nizam yang hanya memakai seluar pendek paras lutut dan baju singlet terdedah. Dia tetap kaku terlentang dengan tenang.

Suasana kembali seperti tiada apa-apa yang berlaku. Namun tidak lama. Almari pakaian yang terletak berhadapan dengan katil bergegar tak semena-mena. Bagai ada sesuatu di dalamnya. Dari perlahan kemudian menjadi kuat.

Almari dua pintu itu bergegar dan berhentak-hentak. Keadaan yang tenang berubah menjadi kecoh tak tentu arah. Tapi Nizam belum mahu sedar. Makin kuat almari itu bergegar dan pintunya dihentak-hentak dari dalam.

Berkerut muka Nizam tatkala mula sedar ada bunyi yang membingitkan telinga. Tetapi dia masih mamai. Seolah-olah dia berada di alam mimpi. Dia kabur apa yang terjadi sebenarnya. Bingitnya gegaran almari itu membuatkan dia mula tegakkan tubuh.

Dalam suasana suram itu dia mula nampak almari di hadapannya berhentakan tanpa henti. Terus berubah pucat mukanya. Dadanya berderau. Terbang melayang rasa mengantuk. Tak berkelip dia merenung almari itu dengan mata membulat.

Dia bergerak merapat ke kepala katil. Bersedia andai sesuatu di dalam almari itu keluar menerjahnya. Menggeletar tubuhnya ketakutan. Mahu menjerit, namun tekaknya bagaikan tersumbat ketat.

Semakin lama semakin bergegar almari itu. Nizam dapat rasa seolah-olah almari itu akan jatuh dan menghempapnya. Lebih menggerunkan apabila terbayang ada makhluk mengerikan menyerbu keluar dari almari itu dan menghabiskan riwayatnya.

Ketakutan diri terasa sudah ke kemuncak. Dadanya berdebar teruk seolah-olah mahu pecah urat darahnya. Dia kaku tak boleh nak bergerak kerana terlalu gementar. Dengan sisa-sisa kekuatan yang ada dia mahu lari dari bilik itu. Dia menghumbankan diri sehingga dia jatuh dari katil. Tergolek dia ke lantai mozek.

"Arghh!"

Punggung dan badannya terhentak kuat. Sakitnya tak terkata. Namun kerana sudah terlalu takut, dia gagahkan diri bangun dan membuka pintu. Dia harus segara keluar dari bilik itu!

Elok saja dia buka pintu, terjengul muka Irwan di hadapannya.

"Abang... abang... abang..." Bagai tak cukup nafas Nizam bersuara. Dia tercungap-cungap. Wajahnya pucat.

"Kenapa ni?" Irwan berkerut dahi memandang Nizam.

"Tu... tu..." Nizam tuding jari ke arah almari.

Irwan berpaling ke arah tudingan Nizam. Makin berkerut mukanya. Lalu dia memetik suis lampu di tepi pintu itu. Bilik yang suram itu menjadi terang benderang.

"Tu..." tunjuk Nizam lagi, tapi dilihat almari itu kaku di situ. Tiada lagi gegaran dan hentakan yang mengerikan yang dia saksikan tadi.

Irwan melangkah masuk ke dalam bilik.

"Tadi..." Nizam mahu bercerita, tapi risau Irwan tak percaya. Lebih risau lagi andai Irwan takut mendengar ceritanya.

"Kau mimpi sampai mengigau ke?"

Terdiam Nizam. Tak tahu apa yang perlu dia sebutkan.

"Teruk betul kau mengigau, Zam. Sampai jatuh selimut kat lantai ni." Irwan tergelak dengan lawaknya sendiri.

Nizam baru perasan kedudukan selimut itu. Berderau keras dadanya. Macam mana selimut itu boleh melurut jatuh ke lantai berhadapan almari? Dia tidur tak ganas. Biasanya apabila bangun daripada tidur, mesti dia dalam keadaan berselimut.

Diperhatikan saja Irwan mengambil selimut itu dan meletakkannya ke atas katil semula. Dikerling ke arah almari dua pintu itu. Dia menelan liur.

"Aku baru nak kejut kau bangun. Pergilah mandi, Zam. Lepas tu terus siap-siap pakai uniform," arah Irwan.

"Err..." Nizam teragak-agak. Tangannya tertunjuk-tunjuk ke arah almari. Tak tentu arah.

Muka Irwan keliru, menanti ayat Nizam seterusnya. Tapi sepupunya itu masih tak berganjak. Masih terbata-bata tak menentu.

"Kenapa dengan almari tu?" Irwan mula faham isyarat Nizam. Nizam menuding ke arah almari itu.

"Tadi... tadi... almari tu... err..." Nizam menelan liur lagi. Terasa gementarnya masih menguasai seluruh tubuh.

Terus Irwan menghampiri almari tersebut. Nizam hampir saja mahu menjerit tatkala melihat Irwan begitu tangkas membuka pintu almari itu. Matanya terpejam rapat sambil kedua-dua tangan menekup ke muka. Dia takut mahu melihat apa yang ada di dalam almari itu yang membuatkan ia bergegar dan berhentakan.

Seketika keadaan jadi senyap. Dia tak dengar suara Irwan. Ketakutannya makin beraja sehingga tak berani lagi membuka mata.

"Ni aje baju yang kau ada, Zam?"

Soalan Irwan itu membuatkan mata Nizam mencelik. Dipandang Irwan yang sedang berdiri bercekak pinggang di hadapan almari yang terbuka luas itu. Bulat matanya dalam keadaan sangat terkejut.

Tiada apa-apa dalam almari tu ke? Habis tu, yang bergegar dan berhentak-hentak tadi apa? Dia kebingungan.

"Patutlah kau pergi beli baju kat bundle semalam." Irwan meneliti sekali lagi pakaian Nizam.

Dua pasang uniform pengawal keselamatan tergantung kemas. Baju kemeja warna biru pekat sehelai. Baju-T tiga helai. Seluar slack warna hitam sehelai, sehelai kain pelekat dan beberapa helai seluar dalam.

Pakaian yang Nizam beli semalam masih lagi dalam plastik di tepi dinding almari itu.

"Kalau kau tak cukup baju, nak pinjam baju aku pun apa salahnya. Bagitahu aje." Irwan memberitahu tanpa teragak-agak.

"Eh, cukup. Cukup, bang. Saya bukan nak berjalan ke mana-mana pun." Segan Nizam nak pinjam baju orang. Dia akan pakai apa yang ada saja.

Irwan memandang jam tangannya.

"Dah pukul 5.30 ni. Kau siap-siaplah. Aku tunggu kau kat luar."

"Okey, okey..." Kalut Nizam mencapai tuala yang digantung di belakang pintu bilik. Dia mahu membuka baju, tapi dibiarkan Irwan keluar dari bilik terlebih dahulu.

Setelah melilit tuala ke pinggang dan membuka singlet dan seluar pendeknya, barulah dia ke bilik air. Namun sebelum keluar dari bilik, sempat dia menoleh ke arah almari itu. Sengaja dia biarkan pintu almari itu terbuka.

Dia hairan. Matanya nampak dengan jelas almari itu bergegaran dan berhentakan semasa dalam gelap tadi. Tapi apabila Irwan datang dan membuka lampu, lenyap semua itu. Almari itu kaku.

Atau betul ke Irwan kata yang dia bermimpi sampai mengigau? Kepala digaru-garu. Pening dia memikirkannya. 


Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.