Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Komedi/Romantik Komedi DIA MENANTU RAHSIA
DIA MENANTU RAHSIA
Indah Hairani Latif
3/5/2015 22:57:11
116,260
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB1

BAB 1
PETANG yang damai. Melissa bernyanyi-nyanyi kecil sementara menunggu Zulaikha pulang dari pejabat. Sepanjang beberapa hari di rumah Zulaikha, Melissa mengemas rumah dan memasak makanan kegemaran sepupunya itu. Apa lagi kalau bukan tomyam cendawan butang. Bukan main berselera Zulaikha apabila masakan kegemarannya disediakan. Kemahiran memasak dipelajari Melissa daripada ibunya. Siapa tak kenal Puan Badariah?
Melissa tiba-tiba tersenyum sendiri. Ibu memang pandai memasak tomyam. Bila Melissa menyoal ibu, sudah pasti ibunya akan menjawab begini sambil disusuli jelingan tajam.
“Ha, lain kali bila ibu masak, duduk kat dapur. Tengok apa bahan yang ibu letak.”
Melissa tersenyum lagi. Hisy, ni yang buat aku rindu pada ibu, bisik Melissa dalam hati sambil menjeling ke pintu apabila dentingan lif kedengaran dari luar rumah.
Bunyi tapak kasut kedengaran mendekati pintu rumah mereka. Bunyi itu kemudian berhenti di depan pintu. Melissa bangkit dan melangkah ke pintu. Sebelum Zulaikha memulas kunci, Melissa terlebih dahulu memulas tombol lalu pintu dikuak.
2
Zulaikha tersengih sebaik sahaja melihat Melissa berdiri di muka pintu. Beg yang disandang dicampakkan ke arah Melissa. Melissa menyambutnya dengan dahi berkerut. Amboi, bukan main lagi, getus Melissa dalam hati.
Zulaikha melangkah masuk dan melompat ke sofa. Dia memandang ke arah Melissa sambil tersengih menampakkan barisan gigi yang sedikit jarang di bahagian atas.
“Kenapa gembira sangat ni?” tanya Melissa yang berdiri sambil memegang beg sandang milik sepupunya itu.
Zulaikha tiba-tiba ketawa.
“Bibik, tolong ambilkan minuman. Cik Ika hauslah!” perintah Zulaikha berseloroh.
Wajah berkerut Melissa bertukar mencuka. Melissa mencampakkan beg kembali ke ribaan Zulaikha.
“Ouch!” jerit Zulaikha dengan mata terbuntang.
Barangkali tidak menyangka Melissa bertindak begitu.
Melissa menjeling sambil mengetap bibir.
“Padan muka!” balas Melissa sambil mencebik.
“Teruk!” marah Zulaikha sambil mengalih beg dari ribaannya.
Giliran Melissa menghambur tawa.
“Cik Ika haus ni,” ulang Zulaikha dalam nada memerintah.
“Hek eleh! Berlagak cik puan! Kau haus betul ke ni?” soal Melissa sambil merenung tajam ke wajah sepupunya itu.
“Bukan haus betullah! Haus air. Hisy,” balas Zulaikha sambil menjeling dan tersenyum ke arah rakannya itu.
Melissa mencebik. Zulaikha tiba-tiba tertawa.
“Yalah. Tolonglah,” ujar Zulaikha, tetapi kali ini nada suara dikendurkan.
“Okey, aku ambilkan. Lain kali, kalau nak mintak tolong orang, kena pandai-pandailah sikit. Hati orang ni,
3
kena dijaga. Baru orang senang nak tolong. Faham?” sahut Melissa.
Zulaikha tersengih. Kemudian dia mengangguk beberapa kali.
Melissa melangkah ke ruang dapur. Beberapa minit kemudian Melissa muncul dengan gelas berisi jus oren di tangan. Gelas yang dihulur Melissa dicapai Zulaikha.
“Terima kasih. Tang nilah yang aku sayang kau ni. Kau memang baik,” ujar Zulaikha sambil menghirup minuman itu.
“Tau tak apa,” balas Melissa sambil tersengih.
“Sedapnya kau bancuh air, Lisa.”
“Dah, jangan nak mengada. Minum ajelah.”
Zulaikha menikmati minuman di tangannya dengan wajah puas. Kemudian wajah Melissa direnungnya dalam-dalam. Melissa masih duduk di sebelah Zulaikha dengan tenang. Entah berita apalah yang dibawa sepupunya itu. Sudah beberapa hari dia tinggal bersama sepupunya itu. Jarang benar Zulaikha pulang dengan wajah begitu cerita.
“Gembira lain macam aje aku tengok hari ni. Bos bagi hadiah ke? Kata bos balik dari London? Mesti kau dapat hadiah, kan?” soal Melissa sambil melirih pandangan pada rakannya.
“Alah, perkara biasa tu Lisa. Bos yang baik akan selalu ingat kita. Dengan syarat...”
“Kita pun baik,” sambung mereka berdua serentak.
Suasana sepi ketika.
“Cuba kau teka, kenapa aku suka sangat?” soal Zulaikha tiba-tiba.
“Manalah aku tahu. Aku bukan boleh masuk dalam hati kau tu. Kalau tak, boleh jugak aku tengok apa yang buat kau tersengih-sengih.”
Zulaikha hanya ketawa mendengar jawapan Melissa.
“Amboi! Habis kau tak nak tahulah ni?”
“Kita mana boleh paksa orang.”
4
“Dahlah. Aku ada berita baik,”
Namun, Melissa hanya memberi reaksi acuh tak acuh.
“Kau nak tahu?” soal Zulaikha.
Melissa tetap juga tidak mengangguk.
“Kalau nak beritahu, beritahu ajelah. Tak payah nak berteka-teki bagai,” balas Melissa.
Hakikatnya dia menyembunyikan rasa tidak sabar mahu mendengar berita daripada Zulaikha.
Zulaikha tersenyum.
“Aku dah dapat kerja untuk kau,” ujar Zulaikha.
“Apa? Aku tak salah dengar?” soal Melissa pantas.
“Erm, aku harap ni berita gembira untuk kau,” ujar Zulaikha sambil menghulurkan sekeping kad.
“Apa ni?” soal Melissa sambil menyambut kad yang dihulurkan rakannya itu.
“Esok kau pergi ke alamat ni. Jumpa Jannet,” suruh Zulaikha.
Melissa merenung kad di tangannya.
“Aku yakin kau akan suka. Tempatnya damai. Kau kan suka membaca. Jadi sesuailah dengan jiwa kau,” ujar Zulaikha.
Melissa seperti tidak puas hati mendengar kata-kata Zulaikha.
“Kerja apa?” soal Melissa sambil merenung kad di tangannya lagi.
“Tu kau kena pergi ke alamat pada kad tu. Tak jauh dari pejabat aku. Kita boleh pergi sama-sama nanti.”
Melissa masih merenung kad di tangannya.
“Kenapa? Macam tak gembira aje?” soal Zulaikha.
“Mana ada. Hisy kau ni,” balas Melissa.
Zulaikha ketawa terkekeh-kekeh. Melissa merenung rakannya itu selamba.
“Kau ni kan, dah mula buat muka poyo,” balas Zulaikha sambil tertawa kecil.
5
“Kalau kau ni orang kaya kan, aku jadi maid kau pun tak apa, dah cukup dah,” ujar Melissa tiba-tiba.
Zulaikha memandang wajah sepupunya itu dengan dahi berkerut.
“Betul ke ni? Hisy,” getus Zulaikha.
“Aku cakap ‘kalau’. Kau jangan nak perasan pulak,” ujar Melissa sambil menjeling tajam.
Zulaikha ketawa mengekek lagi.
“Kau ni kan, sejak putus cinta, tak betul jadi ya? Semua orang putus cinta macam kau ke?” soal Zulaikha sambil masih tertawa.
Melissa merenung Zulaikha dengan riak wajah serius.
“Lucu sangat ke aku cakap macam tu?” soal Melissa serius.
“Hai, aku cakap macam tu pun kau nak marah. Kiranya dah sembuhlah sepupu aku ni. Alhamdulillah,” usik Zulaikha.
“Sudahlah. Esok maknanya aku tumpang kau,” ujar Melissa sambil kembali merenung kad di tangannya.
“Maksud aku sampai bila-bila,” tokok Melissa sebelum sempat Zulaikha berkata-kata.
Zulaikha ketawa mengekek.
“Habis? Kau nak tumpang siapa lagi? Ada orang lain?” soal Zulaikha.
Satu penumbuk singgah di bahu Zulaikha.
“Jahat!” jerit Zulaikha.
Melissa tertawa.
“Dahlah! Aku nak tengok kat website syarikat. Mana tahu dapat info sikit,” ujar Melissa sambil mencapai laptop di depannya.
“Yalah, sekurang-kurangnya kau tahu latar belakang tempat tu,” sokong Zulaikha.
“Book Cafe. Hmm... aku bayangkan ia adalah kedai novel,” ujar Melissa perlahan.
Zulaikha menjeling skrin laptop.
6
“Kenapa dia orang guna Bahasa Inggeris?” soal Melissa dengan dahi berkerut.
“Suka hati dialah, tu kedai dia,” balas Zulaikha sambil tertawa kecil.
“Aku tak setuju. Gunalah bahasa kebangsaan kita. Bahasa jiwa bangsa.”
“Habis? Kau nak namakan kedai, ‘Kedai Cerita’?” soal Zulaikha pantas.
“Wah! Bijaknya kau,” balas Melissa separuh menjerit.
Sekali lagi Zulaikha ketawa terkekeh-kekeh.
“Bijak kepala otak kau. Tu aku terjemahlah,” balas Zulaikha.
“Aku suka ‘Rumah Seribu Cerita’. Buat apa kita nak pakai bahasa tu, kan?” ujar Melissa sambil tersengih.
“Dahlah. Kau nak kerja ke tak ni? Banyak sangat songehnya,” balas Zulaikha.
“Nak tu naklah,” jawab Melissa.
Zulaikha tersenyum. Kedua-duanya kembali memberi perhatian pada laptop di depan mereka.
“Tempat ni elok Lisa. Unik pulak tu. Kau tengok. Kat bahagian hadapan penuh dengan buku-buku yang disusun macam masuk ke sebuah showroom buku. Aku yakin kau suka kerja kat situ nanti,” ujar Zulaikha sambil memerhati Melissa menekan pada menu website Book Cafe.
“Kau dah pernah ke situ?” soal Melissa.
Zulaikha menggeleng-geleng.
“Aku cuma kenal salah seorang yang kerja kat situ. Nama dia Jannet. Tapi aku rasa Jannet owner kedai tu,” jelas Zulaikha.
Melissa mengangguk-angguk.
“Tak apa, esok kita sama-sama ke sana,” ujar Zulaikha.
Melissa tiba-tiba mengerutkan dahi.
“Atau kau tak nak kerja?” usik Zulaikha sambil tersenyum.
7
“Kau sanggup nak tanggung aku?” soal Melissa sambil menjeling rakannya itu.
Zulaikha menutup mulut menahan ketawa daripada terhambur keluar.
“Aku tak sanggup nak tanggung biawak hidup. Tak sanggup aku,” ujar Zulaikha pantas.
“Habis? Macam nak halau aku aje,” balas Melissa.
“Mana ada? Lainlah kalau ada orang nak jadikan isteri.”
“Hai, jauh betul kata-kata tu. Tak sayang mulut ke?” marah Melissa sambil menampar bahu sepupunya itu.
Zulaikha mengelak. Tangan Melissa tersasar ke sofa. Zulaikha tertawa melihat wajah geram sepupunya itu.
“Kan aku dah cakap, aku nak lupakan semua tu. Yang kau celopar sangat tu kenapa? Nak kena ni!” marah Melissa.
Satu cubitan singgah di paha Zulaikha. Kedengaran Zulaikha menjerit.
“Kalau mulut tak ada insurans, jangan pandai-pandai nak cakap,” ujar Melissa sambil tertawa.
Zulaikha tersengih menahan sakit. Tangannya menggosok-gosok paha yang dicubit Melisa. Suasana senyap seketika. Melissa asyik melayari website Book Cafe.” Tiba-tiba Melissa menoleh ke arah Zulaikha.
“Aku mintak maaf. Takkanlah aku nak kecilkan hati sepupu aku yang bawa lari aku daripada si Zamer tu,” ujar Melissa.
Zulaikha menjeling, menunggu kata-kata seterusnya daripada Melissa.
“Sekali lagi aku nak ucap terima kasih. Tak sia-sia kita jadi sepupu, kan?” tokok Melissa.
“Dah, dah, jangan nak kipas aku,” balas Zulaikha sambil tersenyum.
“Aku dah fikir masak-masak. Tak ada gunanya aku rindu kat lelaki yang tak setia macam si Zamer tu,” ujar Melissa sambil menarik nafas.
8
“Apa kau cakap tadi? Cuba kau ulang sikit, aku nak dengar.”
“Aku cakap, lelaki yang nama Zamer tu, dah tak ada dalam ingatan aku ni,” balas Melissa dengan lantang.
“Tu yang aku nak dengar. Berapa kali aku cakap, tak ada guna menangis kerana cinta dan lelaki,” sokong Zulaikha.
“Kau cakap macam kau tak ada teman lelaki,” ujar Melissa sambil tertawa kecil.
“Kes aku ni lainlah. Kami berkawan dan berjanji, selepas bertunang baru kami nak belajar bercinta. Kami tak hanyut. Kami tahu jugak tertib, tau?” ujar Zulaikha.
“Wah!” ujar Melissa sambil menepuk tangan.
Zulaikha tersenyum. Suasana sepi seketika.
“Erm, kalau kau masih bercinta dengan lelaki tu, memang kau tak nak datang ke sini, kan?” soal Zulaikha sambil mencebik.
Kedengaran hanya keluhan Melissa.
“Dahlah. Aku tak nak cakap pasal lelaki tu lagi,” balas Melissa dengan wajah kelat.
Zulaikha tersenyum mendengar kata-kata Melissa.
“Aku cuma risau satu ajelah,” ujar Melissa.
“Apa lagi?” soal Zulaikha pantas.
“Kalau kena cakap Inggeris, habislah aku,” ujar Melissa tiba-tiba.
Zulaikha ketawa berdekah-dekah.
“Tu yang kau takutkan?” soal Zulaikha tidak percaya sambil tertawa mengekek.
“Yalah! Kau kan tahu, aku ni mana pandai cakap orang putih. Lainlah kau,” balas Melisa dengan wajah kelat.
“Tulah, masa dulu bila aku cakap, bahasa Inggeris kena guna, praktis, kau cakap aku mengada-ngada. Sekarang baru kau tahu penting bahasa tu,” balas Zulaikha.
“Aku bukan tak nak gunalah.”
“Habis?”
9
“Kalau aku guna, nanti kau tak faham.”
Ketawa Zulaikha kembali meletus memecah kesunyian ruang rehat apartmen mereka. Terkenang semua peristiwa lucu sewaktu di sekolah. Melissa sering ditertawakan rakan-rakan, malah guru bahasa Inggeris mereka akan menekan-nekan perut setiap kali Melissa disuruh membaca petikan Inggeris. Melissa akan menyebut perkataan Inggeris dengan sebutan baku.
“Aku faham. Kau memang advance,” ujar Zulaikha sambil mengesat matanya yang mula berair.
Melissa ikut ketawa terbahak-bahak. Zulaikha merenung wajah sepupunya. Dia senang hati melihat Melissa sudah mampu tertawa. Tiba-tiba bunyi ketukan pintu mengejutkan Zulaikha. Melissa memandang ke wajah Zulaikha dengan wajah penuh pertanyaan. Zulaikha mengangkat bahu.
Melissa bangkit lalu melangkah ke pintu. Dia kemudian mengintai melalui lubang kecil yang ada. Kemudian Melissa menoleh ke arah Zulaikha menunjuk isyarat menandakan dia tidak nampak apa-apa. Zulaikha bangun dan mendekati Melissa sambil memberi isyarat menyuruh Melissa diam. Melissa membuntangkan matanya memandang ke arah Zulaikha. Zulaikha mendekatkan matanya pada lubang mengintai, tiba-tiba matanya bertemu dengan mata hitam yang bulat. Zulaikha tersentak dan mengundur ke belakang.
“Siapa?” soal Melissa pantas.
Zulaikha tidak terus menjawab, sebaliknya mengelus-elus dadanya. Melissa memandang Zulaikha dengan dahi berkerut. Ketukan bergema lagi. Dengan pantas Zulaikha memulas tombol dan menguak daun pintu. Seorang remaja lelaki berdiri sambil di tangannya memegang sesesuatu.
“Ni akak punya, kan?” tanya remaja itu sambil menghulurkannya kepada Zulaikha.
“Akak tercicir dalam lif tadi. Saya nampak akak pegang masa masuk tadi,” sambung remaja itu.
10
Membuntang mata Zulaikha merenung beg kertas di tangannya. Kemudian dia memandang ke arah remaja lelaki yang telah pun melangkah meninggalkan mereka. Melissa memandang wajah Zulaikha, kemudian merenung beg kertas di tangan rakannya itu.
“Macam mana boleh tercicir,” rungut Zulaikha.
Zulaikha menghulurkannya pada Melissa.
“Apa?” soal Melissa dengan dahi berkerut.
“Untuk kaulah,” jawab Zulaikha lalu melangkah ke sofa.
Melissa memandang wajah rakannya itu dengan penuh tanda tanya. Tiba-tiba Melissa menghambur tawa. Zulaikha hanya memandang wajah Melissa dengan dahi berkerut. Melissa kini telah mampu ketawa dan gembira.
Hidup ni indah jika tak ada luka, bisik Zulaikha dalam hati.
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Indah Hairani Latif