Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
192,685
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 19
MENUNGGU bas bagaikan menunggu bintang jatuh ke bumi. Ayu melihat jam tangannya. Nasib baik dia keluar awal. Kelas bermula jam 9.00 pagi. Dan kini baru menjelang 8.15. Tapi kalau sampai kelas ngam-ngam pukul 9.00, tak sempatlah dia nak sarapan.

Pagi tadi selepas subuh dia kelam-kabut menolong Maziah menyediakan nasi goreng dan air kopi. Selepas menyediakan sarapan, dia bersiap-siap pula nak ke kelas.

Keluar dari bilik, dilihat nasi goreng sudah habis. Yang tinggal hanya bekasnya. Rupa-rupanya nasi goreng itu Maziah buat bekalsekolah Mastura, Adila dan Raffi. Selebihnya sudah dimakan Maziah dan Darus. Langsung tak tinggalkan sedikit untuknya. Kala dia menuang air kopi dari teko, hanya beberapa titis yang ada dalam cawannya. Terlepas nafas panjangnya.

Itulah alas perutnya pagi tadi. Harap-harap dia sampai awal di fakulti dan sempat bersarapan di kafeteria sebelum masuk kelas.

Bas yang ditunggu tiba akhirnya. Cepat-cepat dia bangun dan mendaki tangga bas setelah kenderaan itu berhenti. Tak begitu ramai. Masih ada tempat duduk kosong. Dia duduk di kerusi yang masih kosong. Bas meneruskan perjalanan ke perhentian Seksyen 2 dan kemudian dia akan menaiki bas UiTM untuk masuk ke dalam kampus.

Tidak semena-mena ada seseorang duduk di sebelahnya. Dia yang ralit memerhati ke luar tingkap, menoleh.

“Maaf... tak apa ke saya duduk sini?”

Ayu terlopong. Betul ke ni? Aku tak bermimpi ke?

“Rasanya... saya macam mengganggu. Tak apalah, saya duduk kat belakang semula.”

“Eh, tak! Tak!” Cepat-cepat Ayu menahan. “Err... tak apa. Err... ambillah. Eh!” Dia menepuk dahi. Apa yang aku cakap ni?

Shahrul ketawa. “Maksud awak, ambil kerusi ni bawa balik rumah? Letak depan TV?”

Ayu ketawa. Shahrul ni pandai berlawak rupa-rupanya. “Awak buat apa kat sini?”

“Buat apa?” soal Shahrul kembali, kurang mengerti. “Berbual dengan awaklah. Awak ni tanya soalan senang sangatlah. Tanyalah soalan lain, yang mencabar minda.”

Senyuman Ayu meleret. Shahrul ni pandai buat orang berasa selesa berbual dengannya. Walaupun dia berasa relaks berada di sisi lelaki itu, hatinya tetap ada getaran yang sukar untuk dimengertikan.

“Kelas awak pukul berapa?”

“Pukul 9.00.” Ayu mengerling wajah Shahrul sekilas. Tak boleh tengok lama-lama. Hatinya boleh cair. Debaran di dada jangan cakaplah... rasa macam nak pecah dadanya ketika ini.

“Samalah. Kelas saya pun pukul 9.00. Tapi awak tahu sajalah kan, student foto ni macam mana. Kalau kelas satu jam, 30 minit aje dah boleh balik. Lepas tu lecturer suruh keluar buat assignment, shooting. Kamera ni tak pernah lekang.” Shahrul menepuk beg kamera warna hitam yang sedang dipegang.

“Mesti mahal, kan?”

Shahrul mempamerkan senyuman. “Kalau ada makwe, makwe jatuh nombor dua. Kamera ni nombor satu. Nasib baik saya tak ada makwe. Kalau tak, mesti kesian makwe saya tu. Tapi... kalaulah saya ada makwe...” Dia merenung wajah Ayu sekilas.

Ayu perasan Shahrul sedang memandangnya. Serta-merta dia gugup. Terasa tangannya sejuk. Kenapa aku jadi begini bila berdepan dengan Shahrul? Kenapa? Ya ALLAH... Relaks, Ayu. Bertenang. Bertenanglah. Dia cuba mengawal emosi diri.

Shahrul ketawa. “Siapalah nak dengan saya ni? Tak apalah. Saya bercinta aje dengan kamera ni.” Suaranya mendatar.

Shahrul cakap macam ni sebab nak beritahu yang dia single ke? Atau sekadar nak bercerita? Ayu tertanya-tanya. Hati di dalam mulai kembang berbunga-bunga. Shahrul belum berpunya! Syukurlah. Ya ALLAH... aku berpeluang ke jadi milik dia, ya ALLAH?

Suasana tiba-tiba sepi antara mereka. Malu masih terasa menebal dalam diri.

“Susah jugak tak ada motor. Terpaksa naik bas. Kena datang awal. Kalau tak nanti tak dapatlah masuk kelas.” Shahrul bercerita.

Itulah soalan yang aku nak tanya dari awal-awal tadi. Ayu berkerut dahi. “Mana motor awak?”

“Rosak. Masuk workshop.”

“Kenapa awak tak tumpang kawan-kawan awak? Dia orang semua kan ada motor. Boleh boncengkan awak.”

Shahrul melepaskan nafas panjang. “Saya ni...” Nadanya agak berat.

Ayu merenung dalam-dalam wajah Shahrul, menanti cerita selanjutnya. Seperti ada sesuatu.

“Saya bukan nak memburukkan sesiapa... sebab dia orang pun kawan saya jugak. Tapi... entahlah. Awak pun tahu kan macam mana perangai dia orang tu. Saya rasa cukup-cukuplah saya rapat dengan dia orang. Sekarang ni saya cuba nak jarakkan diri saya. Biarlah saya bawa haluan saya sendiri,” sambung Shahrul bagaikan mengadu.

Ayu terangguk-angguk faham. Patutlah hari tu ketika jumpa Geng Mat Ngek di dalam perpustakaan Shahrul tak ada bersama. Yalah, perangai Geng Mat Ngek tu memang entah apa-apa. Macam monyet! Macam anak setan! Mengusik dan mengacau orang macam tak ada kerja lain. Memang patut pun Shahrul tak kawan dengan Geng Mat Ngek tu lagi.

“Baguslah. Semua orang cakap yang dia orang meluat tengok Geng Mat Ngek.” Ayu perasan mata Shahrul membulat memandangnya. “Eh, tak... maksud saya Jeff dengan kawan-kawan dia tu. Bukan awak.”

Shahrul nak tertawa, tapi hanya tersenyum sinis. “Kita orang tahu yang kau orang semua panggil kita orang Geng Mat Ngek. Kita orang tak kisah pun. Tapi, sekarang saya bukan Geng Mat Ngek lagi tau. Saya akan keluar dari kumpulan dia orang tu.”

“Tapi awak dah lama kawan dengan dia orang, kan? Tak rasa lain macam ke kalau awak tak kawan dengan dia orang lagi?”

“Saya tetap kawan dengan dia orang. Cuma tak serapat dulu. Lagipun, Ayu... orang kata, kita adalah siapa kawan-kawan kita. Bila saya fikir masa depan, saya rasa saya mesti jauhkan diri daripada dia orang. Awak faham kan maksud saya?”

Ayu terangguk-angguk.

“Hai... sekarang saya dah tak ada kawanlah nampaknya. Tak ada siapa sudi nak kawan dengan saya. Yalah... bekas ahli Geng Mat Ngeklah katakan.” Suara Shahrul berubah layu.

“Laa... saya kan ada.” Spontan Ayu bersuara. Apabila sedar sudah terlepas cakap, dia menekup mulut. Ya ALLAH... tak malu punya perempuan! Dikutuk diri sendiri.

“Betul ni?” Shahrul senyum gembira. Berubah wajahnya lebih ceria. “Alhamdulillah... ada jugak orang nak kawan dengan saya.”

Ayu tertawa. Luculah Shahrul ni.

“Tapi kan, awak... saya minta sangat-sangat kat awak satu perkara. Boleh?”

“Apa dia?” Berlapis dahi Ayu memandang Shahrul. Nak minta apa?

“Saya harap, kita rahsiakan tentang kita. Maksud saya, pasal yang kita ni berkawan. Saya tak nak Jeff atau Geng Mat Ngek yang lain tahu saya kawan dengan awak. Awak tahu kan dia tu macam mana? Suka mengacau perempuan. Bila dia tahu saya kawan dengan awak, nanti dia kacau hidup awak. Saya tak suka.” Wajah Shahrul benar-benar mengharap.

“Oh...”

“Kalau boleh, kawan-kawan awak yang lain pun tak tahu jugak. Saya risaulah, awak. Saya risau, takut-takut kalau nanti benda ni Jeff tahu jugak akhirnya. Saya risaukan awak.”

Ayu terangguk-angguk. Dia faham maksud kata-kata Shahrul. “Insya-ALLAH... awak jangan risaulah. Saya faham.” Dia tersenyum. Betul jugak apa yang Shahrul cakap tu. Sebelum ni aku tak kawan dengan Shahrul pun si Jeff tu sibuk nak mengacau aku. Kalau dah kawan entah macam mana pulak perangai si anak setan tu.

“Dahlah, tak payahlah fikir pasal Geng Mat Ngek lagi. Hmm... macam mana awak boleh ambilcourse bisnes? Saya yang ambil subjekBusiness Ethics aje ni pun dah rasa nak potong kepala. Susahnya!” Shahrul mengalih topik perbualan.

Ayu tertawa. “Sebab dah minat kot. Saya suka sangat subjek perdagangan atau apa saja yang berkaitan dengan dunia perniagaan. So bila dah minat, semuanya rasa tak susah.”

Shahrul terangguk-angguk. “Tapi saya rasa saya bukan dilahirkan untuk belajar pasal benda-benda tu semua. Susahlah, awak. Pedih menggelegak otak saya bila masuk kelas subjekBusiness Ethics tu.”

Terhambur ketawa Ayu. Kelakar mendengar perkataan ‘pedih menggelegak otak saya’. Ada-ada saja Shahrul ni. Lucu betul.

“Nasib baiklah belajar untuk satu semester aje. Hai...” Bagaikan mengeluh pula Shahrul.

“Saya kan ada. Tak apa, nanti saya bagi awak nota-nota saya. Siap sekali dengan soalan-soalan kuiz. Dulu, saya belajar subjek tu pun dengan Prof. Mazlan.”

Really?” Buntang mata Shahrul bagaikan tak percaya. Dia berasa sangat bertuah mengenali Ayu.

Ayu mengangguk bersama senyuman.

“Alhamdulillah... syukurlah otak saya masih boleh panjang umur.”

Sekali lagi Ayu ketawa. Shahrul memang kelakar. Selesa dia berada di sisi lelaki itu. Ya ALLAH... tak sangkanya hari ini aku boleh duduk sebelah Shahrul dan berbual-bual sambil ketawa. Dengan Shahrul, dia langsung tak berasa janggal. Jodoh aku kot? Dia ketawa dalam hati.

Yang penting, mungkin selepas ini mereka akan kerap bertemu. Mereka sudah saling bertukar nombor telefon! Yeahh... rasa macam nak berlari-lari lompat bintang dalam bas masa ni jugak!

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.