Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
193,153
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 4
SELEPAS makan, masing-masing mendapatkan skuter sendiri sambil tergelak-gelak. Cerita tentang Zarina tak habis-habis menjadi bahan ketawa mereka sepanjang makan tadi.

“Memang lawak doh muka Zarina tadi. Dengan tudung selendang dia senget-benget, muka macam nak pecah sebab marah sangat, hidung kembang kempis, kembang kempis... tak boleh blah aku tengok. Rasa macam nak guling-guling masa tu jugak.” Fauzi masih tak puas-puas menjadikan topik Zarina sebagai bahan cerita untuk mereka ketawa.

Berdekah-dekah Jeffry, Atang dan Burn. Shahrul tak ketawa sangat. Dia jenis yang ‘control macho’ sikit.

“Kelas kita lepas ni pukul berapa?” soal Jeffry setelah menunggang skuternya. Dia sudah bersedia nak menyarungkan helmet.

“Pukul 2.00. Jomlah terus pergi fakulti balik.” Shahrul sudah menghidupkan enjin skuternya.

“Alah... relakslah. Lama lagi kot.” Atang melihat jam tangannya. “Baru 1.25. Jom, kita pergimengayat jom.” Dia mengangkat kening pada Burn.

Burn menggeleng. “Iskhh... tak naklah aku! Aku ni jejaka tampan yang baik. Tak reti mengayat. Perempuan yang mengayat aku biasanya.”

Berdekah-dekah mereka ketawa.

“Piraah!” ejek Jeffry. Padahal mereka semua tahu kenakalan masing-masing. “Jom, jom...” Jeffry mula menggerakkan skuternya. Yang lain-lain mengikut keranaJeffry kepala kumpulan mereka.

“Gadisku...” Fauzi sudah mula menyanyi. “Seri mewangi...”

“Bagai disiram selautan kasturi...” sambut Atang dan Burn. Lagu kumpulan Search tu!

“Dialah gadisku...” Jeffry pun turut serta menyanyi.

“Selalu...” Mereka menyanyi sama-sama sebelum berdekah-dekah kembali.

Pelajar-pelajar lain yang menyaksikan gelagat Geng Mat Ngek menggeleng. Semua dah faham dengan perangai mereka. Terlalak-lalak... langsung tak pedulikan orang lain.

Ketika mereka melewati sebuah perhentian bas, dilihat ada beberapa orang pelajar perempuan di perhentian bas itu. Jeffry yang terpandang seseorang, terus memberhentikan skuternya di hadapan perhentian itu. Geng Mat Ngek yang lain turut memberhentikan skuter mereka.

“Wah... awak yang semalam tu, kan?” Jeffry meneliti pakaian perempuan tersebut setelah membuka topi keledar. Berwarna-warni seperti semalam. Dia tersenyum nakal. Dipandang Mala dan Eja yang duduk di kiri dan kanan Ayu.

Ayu agak menggelabah. Dikerling seseorang yang wajahnya sering bermain di fikiran sejak semalam. Masih lagi menggetarkan perasaan. Ya ALLAH... perasaan apakah ini? Perasaan itu disembunyikan cepat-cepat. Bimbang dikesan orang lain.

“Eeii... tak ada orang lain ke? Kenapalah kau orang jugak yang kita orang jumpa? Tak aman dunia ni rasanya.” Mala seperti biasa lantang bersuara.

“Gadisku...” Atang menyanyi sambil memandang Mala dengan tangan mendepang. “Seri mewangi...” Tak habis-habisnyanyi lagu tu!

Mala menjeling.

“Bagai disiram selautan kasturi...” Berdekah-dekah mereka ketawa selepas mereka menyanyi bersama-sama.

“Nyanyi.Nyanyilah! Kejap lagi hujan lebat turun.” Eja cuba menyakitkan hati Geng Mat Ngek. “Petir sabung-menyabung. Banjir sebulan tak surut-surut.”

“Haa... minta! Minta! Nak sangat jadi macam tu.” Burn menyergah konon-konon garang. Seketika kemudian dia menyanyi semula. “Gadisku... termanis senyummu...”

“Biar kutelan selautan hempedu. Dialah gadisku... selalu...” Mereka menyanyi beramai-ramai dan ketawa lagi.

“Sikit-sikit ketawa. Sikit-sikit berdekah. Otak senget ngok ngek,” cebik Eja.Meluat!

Ayu hanya diam. Dia ralit melihat salah seorangdaripada Geng Mat Ngek itu menyanyi. Bukan main comel lagi. Sweet sangat. Kalaulah lelaki itu betul-betul menyanyikan lagu itu untuknya. Hatinya tersenyum-senyum.

“Ayu...”

Ayu tersentak. Dia menoleh, memandang Jeffry yang memanggilnya.

“Apa panggil-panggil nama orang ni?” Mala pula yang sakit hati.

Jeffry memandang kawan-kawannya. Mereka ketawa sambil menunding ke arah Mala, Eja dan Ayu.

Ayu perasan lelaki yang seorang itu cuma tersenyum sambil sesekali memandangnya. Perasaan bergemuruh yang menggoncang dada tak usah dicakap. Dia rasa macam nak pitam di situ juga. Senyuman itu terlalu manis. Sangat manis. Dia tahu ke aku mula sukakan dia? Alamak! Dah kantoi. Tapi rasanya dia tak tahu. Dia cuma pandang aku saja.

“Dasar otak ngok ngek. Patutlah orang panggil kau orang ni Geng Mat Ngek.” Mala semakin celopar. Dia cukup pantang kalau ada lelaki datang mengacau.

Jeffry meleretkan senyuman. “Eh, eh, eh... tak baik anak dara cakap kasar macam ni. Mulut tu nanti bau bacin.”

Geng Mat Ngek ketawa besar mendengar kata-kata Jeffry.

“Dah, dah... jangan gelakkan orang. Jom blah. Kau orang ni... tak baik tau usik budak-budak perempuan yang comel ni. Mak bapak hantar kau orang masuk universiti suruh belajar. Apalah kau orang ni.” Jeffry membebel sambil menyarungkan topi keledar. Seketika dia memandang Burn sebelum mengenyitkan mata.

Burn tersenyum nakal. Nama sebenar dia Burhanuddin Hussin. Payah sangat nak panggil nama tu, dapatlah nama Burn walaupun kulitnya cerah.

“Tahu pun. Ingatkan kau orang ni tak ada kesedaran sivik, tak ada otak, tahu mengacau orang aje,” kata Eja sinis.

“Blah, blah, blah... sibuk aje kau orang ni. Sakit mata aku tengok benda-benda semak macam kau orang ni.” Mala sengaja mahu menyakitkan hati Geng Mat Ngek.

“Blah, blah, blah...” Mala dan Eja bergabung menghalau.

Ayu memandang Geng Mat Ngek yang sudah mahu berlalu itu. Berat pula rasa hatinya. Tak puas dia nak menatap wajah jejaka yang sekejap-sekejap dicuri pandang itu.

“Yalah... orang tak suka kita. Jomlah kita balik. Biar orang tak suka kita, asalkan kita baik kat semua orang. Kita bukannya buat jahat sangat pun. Cuma suka usik-usik manja. Tapi orang dah tak suka... nak buat macam mana.” Atang bersuara lirih.

Jatuh simpati pula Mala, Eja dan Ayu. Mereka saling berpandangan. Terpinga-pinga. Betul... Geng Mat Ngek bukanlah senakal yang diperkatakan orang. Suka mengusik dan menyakat saja. Apalah sangat.

“Jomlah...” Shahrul pula bersuara lirih.

Masing-masing sudah menghidupkan enjin skuter.

“Pergi dulu ya gadis-gadis yang manis? Abang pergi dan takkan kembali.” Burn melambai-lambai dengan riak sedih.

Ayu memandang Mala dan Eja yang semacam terkaku di tempat duduk. Mungkin kawan-kawannya terkilan sebab sudah berlaku kurang ajar.

Geng Mat Ngek mula bergerak sambil melambai-lambaikan tangan. Ketika Ayu, Mala dan Eja masih terkaku, Burn membaling sesuatu ke arah mereka. Bedebuk jatuh di atas paha Ayu. Ular!

Spontan Ayu berdiri dan menjerit. Mala dan Eja turut berdiri, melihat ulat yang kini sudah jatuh ke tanah. Mereka turut menjerit ketakutan sambil tergeliat-geliat tubuh kerana kegelian. Pelajar-pelajar perempuan yang lain terus meminggir ke tepi, bimbang ular tersebut mematuk.

Mala menarik Eja dan Ayu yang bagaikan kakuagar menjauhi pondok perhentian itu.Mereka masih terjerit-jerit sambil memegang erat sesama mereka. Namun, apabila melihat ular tersebut tak bergerak-gerak, mereka terdiam.

Mala menghampiri ular itu dan menunduk memerhati. “Ular getah!” Dipijak ular mainan itu dengan rasa geram.

“Tak guna punya Geng Mat Ngek!” laung Eja kuat-kuat.

Geng Mat Ngek yang sudah menjauh terkekeh-kekeh mentertawakan Ayu, Mala dan Eja.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.