Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Bab 5

“Kenapa monyok sangat ni?” Bisik Gina sambil menendang kakinya di bawah meja. Dia mendengus keras. Sakit kerana kaki ditendang satu hal. Selain itu jiwa raganya juga sedang kacau.

“Projek Mencari Suami dah mula balik.” Jawabnya acuh tak acuh.

Mata Gina terjegil. Isu yang baharu disebut gadis itu menarik minatnya. Interesting! Topik paling hangat 2012.

“Kali ni mak kau cari siapa pulak?’ Gina tersengih gelihati. Cukup mengerti beban yang Cika sedang lalui angkara Puan Bahyah yang tak habis-habis mendesak Cika mencari calon suami. Mujurlah Puan Bahyah, guru bahasa melayu di salah sebuah sekolah menengah di ibukota itu bukan ibunya. Jika tidak, beban Cika pasti beralih ke bahunya. Itupun setiap kali dia singgah ke rumah Cika, kadangkala soalan cepu emas itu keluar juga dari mulut Puan Bahyah untuknya.

“Entah lelaki mana entah. Katanya anak saudara jiran kepada mak saudara aku.” Ujar Cika seraya menarik nafas panjang.

“Dia kerja apa? Handsome ke tidak?’ Gina teruja mahu tahu.

Cika menjeling ke arah temannya. Wajah bersinar-sinar Gina seakan sudah mahu rentung ditenungnya. Cekadak punya kawan! Itu pulak yang ditanyanya!

“Manalah aku tahu. Muka dia ke, perangai dia ke, semuanya aku tak tahu. Kalau handsome sekalipun, kau ingat aku nak ikut rancangan mak aku? Aduh! Ini dah abad ke berapa sampai nak cari calon suami pun kena main atur-atur? Sengal!” Rungut Cika tak puas hati.

“Ala relakslah kawan. Macam tak biasa pulak kau ni. Lagipun ini dah calon ke berapa yang mak kau carikan?” Tanya Gina.

“Yang ke tiga belas.” Jawab Cika perlahan.

Gina tergelak besar. Mak oi, sampai tiga belas. Hebat betul!

“Yang kau ketawa kenapa?” Cika menjeling tajam.

“Tak adalah. Aku cuma kelakar aje. Punyalah ramai sampai tiga belas, takkan satu pun kau tak sangkut? Memilih sungguh la kau ni.” Getus Gina seraya menggeleng-gelengkan kepala.

“Habis kau ingat, mereka semua tu ikan ke sampai aku nak pilih mana satu yang elok buat goreng dalam kuali? Please la Gina. Aku bukan tak suka lelaki. Aku bukan lesbian tau. Aku ni wanita sejati dan wanita sejati macam aku perlukan cinta dalam hidup. Aku nak cari seorang lelaki yang boleh aku cintai.”

Hujah Cika membuatkan Gina tersenyum-senyum. Ayat ‘aku bukan lesbian’ tu hampir membuatkan dia tergelak. Ke situ pulak minah ni!

“Yang, kau pernah dengar cinta selepas kahwin?”

“Aku ni generasi alaf baru. Mestilah aku pernah dengar.”

“Jadi kau mesti faham yang kadangkala cinta itu akan datang selepas ijabkabul. Cinta selepas kahwin.”

“Gina, kalau kau cuba justifikasikan apa yang mak aku cuba lakukan sekarag ini, baik kau lupakan sahaja. Aku malas la nak dengar ayat-ayat pujuk kau tu. Cinta lepas kahwin ke, cinta tak kahwin-kahwin ke, yang aku tahu aku nak jatuh cinta seperti orang normal lain. Perkara-perkara yang ‘skema’ tu tak kuasa aku nak fikir.” Getus Cika seraya menutup telinganya dengan kedua-dua tapak tangan. Pura-pura tidak mahu lagi mendengar soal blind datenya diperkatakan.

Then kalau nak sangat jatuh cinta macam normal girl, sousaha lebih sikit. Jangan asyik nak kerja, lepas tu balik rumah. Esok datang kerja lagi. Hujung minggu ikut abang kau atau babah kau memancing. Itu bukan normal Cik Cika. Padanlah mak kau risau sangat.” Gelak Gina.

“Habis kau nak aku buat apa?”

“Aku cuma suruh kau beri peluang pada diri sendiri. Ikut sahaja cakap mak kau, kenal-kenal dengan calon-calon blind date kau tu. Manalah tau hati kau sangkut nanti.” Usul Gina.

“Tak ada maknanya aku nak sangkut. Semuanya jenis pandang dahi licin, pandang aku berduit atau tidak. Kau rasa kalau rupa aku macam dulu, mereka semua sudi nak kenal-kenal dengan aku?” Suara Cika kedengaran sinis.

Kali ini Gina terdiam. Dia masih ingat bagaimana rupa Cika dahulu. Dengan cermin mata besar dan rambut tocang ekor kuda, gadis itu benar-benar kelihatan nerd. Tapi itu dahulu. Syafika Nordin yang sekarang langsung tak sama seperti Cika yang dahulu. Cika yang sekarang lebih comel dan elegan. Tak payah buat pembedahan plastik. Ada duit, kosmetik pula berlambak di pasaran, semuanya boleh jadi.

Kalau ada duit, yang muka macam tong gas pun boleh naik taraf jadi tong helium. Ini kan pula Cika yang sudah jadi minah extravaganza. Cuma satu sahaja masalah si Cika ini. Liat sangat nak mencari teman lelaki, padahal calon-calonnya sudah ada di hadapan mata. Aduh! Nak kata memilih, memang memilih pun gadis itu. Konon-kononnya mahukan teman lelaki berwajah seperti Josh Duhamel, si kacak dalam siri Las Vegas itu. Semuanya gara-gara Cika yang sangat meminati siri tersebut. Aduh!

Tiba-tiba Gina terfikirkan sesuatu. Dia merenung wajah Cika yang sedang asyik mengomel rungutkan ibunya. Ada sesuatu terdetik di hati, menjalar di fikiran. Namun hendak diutarakan pada gadis itu, Gina merasa seperti tidak keruan dibuatnya. Memang dia ada terfikir semua itu. Tapi kadangkala sikap Cika yang acuh tak acuh sering menyukarkan dia berterus-terang dengan gadis itu. Mungkinkah sikap dingin Cika terhadap lelaki ada kena mengena dengan Idham Hariz?

“La yang kau pulak moody ni apasal? Aku yang bermasalah, kau pula yang take over mood aku apahal?” Getus Cika sebaik dilihatnya Gina yang banyak mulut sudah tukar silent mode.

Gina sekadar menggeleng. Serius! Sudah dua belas tahun, tapi dia masih tidak punya keberanian untuk bertanyakan Cika hal mengenai Idham Hariz, pemuda kacak gilaan ramai di sekolah mereka dahulu. Padahal dia juga salah seorang dari gadis-gadis di sekolah yang memuja lelaki itu. Dahulu! Sebelum Idham Hariz menyakiti hati sahabat baiknya! Sejak itu dia berhenti menjadi peminat setia lelaki itu. Sebaliknya dia menjadi satu-satunya ahli dalam fan club Cika The Loser.

“Oh ya, kau ada dapat kad ni tak?’Tiba-tiba Cika menyeluk beg tangannya lalu mengambil sekeping kad dari dalam tas tangan.

Gina mengerling kad tersebut. Tak payah dibelek, dia sudah tahu apa isinya. Ini kerana dia juga menerima kad yang sama dari orang yang sama dan juga untuk tujuan yang sama.

“Kau nak pergi ke?” Itu yang pertama terpacul dari bibir Gina.

Cika tidak menjawab. Hanya jungkitan di kedua-dua bahunya menjadi pengganti.

Reunion ni Sarah yang aturkan.” Ujar Gina, merujuk kepada sahabat di kelas mereka dahulu yang berbadan agak gempal dan sering menjilat aiskrim sebelum memasuki kelas.

“Kau tengoklah sesi kelas untuk reunion tu.” Suruh Cika.

Gina segera mengambil kad tersebut lalu membacanya sepintas lalu. Dia kembali memandang ke arah Cika yang turut membalas pandangannya. Mata Cika seperti mahu memberitahu sesuatu. Itu tidak susah! Lantaran dia juga tahu apa maksud kerlingan anak gadis itu.

“Kau takut dia ada?’ Soal Gina ingin tahu.

Cika mengangguk.

“Pedulikan dia. Kita bukan macam dulu lagi.” Pujuk Gina.

Cika terdiam. Betul dia dan Gina bukan budak sekolah hingusan lagi. Kini mereka sama-sama wanita berkerja. Tapi setiap kali dia menyebut nama Idham Hariz atau mendengar nama yang sama dipanggil, maka kenangan lama terus menggasak fikirannya. Dan ia semakin teruk dari hari ke sehari

“Cika, apa kau masih marahkan dia?” Soal Gina begitu berhati-hati. Bimbang apa yang bakal ditanya mungkin menyinggung hati Cika.

Cika mengeluh. Jawapan itu sudah ada di hatinya sejak dulu. Lantas untuk apa ditanya lagi? Yang pasti, biar masa berlalu seribu tahun sekalipun, dia sudah nekad untuk membenci Idham Hariz selama itu jua.

* * * *

“Nama saya Idham Hariz. Saya baru bertukar ke mari dari International School. Di sekolah lama dahulu saya pemain ragbi, presiden kelab memanah, presiden kelab catur dan juga atlit renang sekolah.” Itu yang dicanang oleh Idham Hariz sewaktu hari pertama persekolahannya.

Dia kebetulan lalu di hadapan kelas 5A, kerana hanya laluan di kelas itu sahaja yang membolehkannya sampai ke tandas pelajar perempuan. Dan ketika itu seorang guru sedang memperkenalkan seorang pelajar baru yang kacak dan tampan. Itulah Idham Hariz, lelaki yang serba-serbi berkebolehan dalam pelbagai bidang, tapi begitu tega menghancurlumatkan seluruh hati dan perasaannya.

Mendengar ucapan ringkas lelaki itu, sedar tak sedar dia berdiri di luar kelas 5A itu dalam keadaan terpegun. Mulutnya melopong panjang. Aneh! Baru sesaat melihat lelaki itu, dia seperti sudah mabuk kepayang. Wajah Idham Hariz memang menggetar sukma gadisnya.

Handsome la.” Komen Gina yang tiba-tiba muncul di samping.

Dia terkejut besar, lalu serentak mengurut dada. Wajah si teman dikerling tajam. Mak oi, kuss semangat. Gina selalu muncul mengejutkannya tanpa memberi salam. Mujurlah jantungnya masih dalam keadaan first class. Jika tidak, sudah lama dia padam.

“Kau ni kalau tak buat aku terkejut, tak boleh ke?” Dia memarahi Gina.

“Kau kata nak ke tandas, apa kau buat menghendap kat sini?” Gina tersengih.

“Err..memang aku nak ke tandas. Tapi duit siling aku jatuh.” Tergagap-gagap dia mereka alasan.

“Oh duit siling jatuh. Kau kan nak ke tandas, nak buat apa dengan duit siling? Belum pernah lagi aku dengar tandas sekolah kena bayar duit siling baru boleh masuk.” Sindir Gina nakal.

Dia mati kutu dibuatnya. Malah wajahnya merah padam menahan malu kerana disindir Gina.

“Aku tahu kau menghendap budak handsome tu kan?” Ujar Gina bagaikan dapat mencium niatnya.

Hendak tak hendak dia ketawa kecil. Malu tapi apakan daya, tarikan budak baru itu benar-benar utuh.

“Kamu buat apa kat sini?” Tak disangka-sangka seorang guru lelaki menegur mereka yang sedang berada di penjuru pintu. Dia dan Gina terkejut besar. Aduh kantoi! Ketika dia menoleh ke arah guru lelaki itu, dia terpandang kelibat Idham Hariz di sisi guru lelaki itu, sedang merenung tepat ke wajahnya.

Serta-merta jantungnya berdebar tidak keruan. Wajahnya merah padam menahan malu yang menggunung. Tapi apakan daya, dia sudah tidak sempat bersembunyi dan lelaki itu sudah mengesan kehadirannya.

Mungkin itulah permulaan di mana Idham Hariz benar-benar mengetahui kewujudannya. Mulai sejak itu mereka sering bertembung walau di mana-mana sahaja. Di kantin, di padang, di koperasi sekolah, pertemuan demi pertemuaan berlaku. Hatinya gembira bukan kepalang meskipun tidak tergambar perasaan yang sama di wajah Idham Hariz.

Tapi wajahnya? Wajahnya adalah wajah yang dipenuhi dengan bunga-bunga cinta.

Cika merenung wajahnya di permukaan cermin. Hajat hati hendak mencuci muka dan mengambil wuduk, tapi dia tersekat dengan memori daun pisangnya dengan lelaki itu. Dahulu dia menyangka Idham Hariz sudi bersahabat dengan gadis berterampilan nerdy sepertinya. Tapi ternyata dia tersalah membuat perhitungan. Lelaki itu bukan seperti apa yang disangkanya. Sebaliknya Idham Hariz adalah satu-satunya lelaki paling sombong dan angkuh yang pernah ditemuinya di planet Bumi ini.

Kini sudah tidak ada lagi wajah nerdy yang dibenci lelaki bernama Idham Hariz itu. Di hadapan permukaan cermin dia melihat wajahnya yang licin bak pauh dilayang serta alis mata lentik yang masih dicaliti sapuan maskara. Rambutnya yang dahulu keras seperti dawai sabut, kini melurus dan panjang sehingga ke bahu hasil teknik rebonding dan stim rambut yang diaplikasikannya hampir setiap bulan.

Tiap-tiap bulan dia berhabis duit membeli produk pencuci muka original bukan tiruan untuk ditenyeh ke mukanya biar cun melecun seperti Maya Karin. Tak kurang juga dia berhabis duit untuk pakaian dan kasut-kasutnya agar setanding dengan kerjaya yang diceburinya. So no more the loser before! Totally dia sudah transform menjadi seorang wanita yang bergaya. Bukan lagi Cika yang etnik!

Berbaloikah Cika? Kau melakukan semua ini kerana siapa, hanya kau yang tahu. Hanya kau yang mengerti kesakitan ini. Cika memejamkan matanya sejenak. Cuba sedaya upaya menyingkirkan wajah Idham Hariz dari pelusuk fikiran. Tapi kata-kata dan wajah Idham Hariz sentiasa menjadi igauan dan mimpi ngerinya. Tidak perlu lagi Freddy Kruger untuk menakutkan tidurnya setiap malam. Sebaliknya insan bernama Idham Hariz itu lebih menggerunkan!

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh