Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Bab 20

PUAS dia cuba mendail nombor telefon Cika sepanjang hari, namun panggilannya langsung tidak diangkat anak gadisnya. Dia mengenggam bucu telefon bimbitnya sekuat hati. Berang dengan sikap Cika yang sengaja tidak makan nasihat. Bersusah payah dia mengaturkan pertemuan Cika dengan Idham Hariz, tapi Cika tiba-tiba menghilangkan diri pula. Ini yang membuatkan dia panas baran. Si Cika harus diajar hari ini! Nekad Puan Bahyah.

Tidak puas hati kerana tidak ada yang mendengar rungutannya di rumah, maka dia menghubungi Ubek di pejabat pula. Hendak menghubungi suaminya, lelaki itu sudah awal-awal memberi amaran jangan menganggunya kerana sedang berlatih untuk persembahan konsert diraja.

“Ubek! Umi ni. Umi nak awak datang ambil umi kat rumah sekarang juga. Umi nak pergi cari Cika sampai dapat. Lepas tu umi nak balun budak bertuah tu cukup-cukup. Umi rasa dia mesti ada kat office dia sekarang. Kat mana lagi tempat dia nak bersembunyi kalau tak di situ?” Suaranya umpama mortar meluncur keluar tanpa memberi peluang Ubek berkata-kata.

“Umi kalau nak serang dia pun, tunggulah dia balik rumah dulu. Baru serang dia puas-puas. Nanti Cika tak malu, umi yang terkedu kalau sampai sana nanti.” Bantah Ubek selamba.

“Awak ni nak menangkan siapa Ubek? Umi ke Cika?” Rungut Puan Bahyah.

Ubek ketawa kecil di hujung talian. “Ubek sokong umilah, tapi apa-apa hal, umi tunggulah Cika balik. Kejap lagi Ubek ada meeting ni. Tak pun umi call babah, suruh babah ambil umi kat rumah.” Ubek mencadangkan.

“Babah awak ada latihan petang ni dengan kumpulan orkestra dia. Mana boleh umi kacau dia, mengamuk sakan dia tu nanti.” Bantahnya.

“Kalau macam tu, tunggu Cika balik karang umi ye. Okeylah, Ubek ada banyak kerja ni. Nanti kita jumpa kat rumah ya. Bye!”

“Ubek!” Panggil Puan Bahyah. Tapi dia sudah terlambat. Anak bujangnya sudah menamatkan perbualan. Bertuah punya anak! Keluh Puan Bahyah. Adik dengan abang sama aje spesiesnya!

Dia mengigit bawah bibir. Otaknya menerawang memikirkan sesuatu. Apa lagi yang patut dilakukannya untuk mengahwinkan Cika yang liat sangat hendak bertemu jodoh ni?

Sejak dua menjak ni Cika semakin tidak mendengar cakap. Dua hari lepas Cika dah mengkantoikan hajatnya hendak bermenantukan Zain, anak saudara Puan Sapiah yang merupakan jiran kakak sulungnya. Hari ini pulak sekali lagi Cika panjang akal dan meghilangkan diri begitu sahaja. Mujur dia juga panjang akal dan terpaksa merangka pelbagai alasan untuk Cika. Cirit-birit? Ah lantaklah apa sahaja, asalkan Puan Jamilah dan Idham tidak berfikir yang bukan-bukan.

Dia memang berhajat besar mahu menjodohkan Cika dengan Idham yang cukup sempurna di matanya. Idham seorang broker saham yang bergaji besar. Senang hidup Cika nanti kalau berkahwin dengan Idham. Cika…Cika, awak memang suka buat umi pening kepala! Keluh Puan Bahyah, sudah mati akal mahu melahar anak gadisnya yang tidak makan saman itu.

* * * *

UBEK meletakkan telefon sambil mengeluh panjang. Hai tak habis-habis uminya sibuk nak mencampuri hidup Cika. Kasihan pula dia melihat Cika yang seperti burung raja udang yang tersepit pada batang pisang. Hendak menolong pun dia tidak mampu. Silap-silap dirinya pula menjadi target uminya. Hiiii ampun!

Dia sendiri tidak tahu kenapa Cika susah sangat hendak mencari teman lelaki. Pernah dahulu dia cuba memperkenalkan adiknya itu dengan klien syarikatnya, tapi sekali sahaja gadis itu mahu keluar bersama Bert. Kata Cika, lelaki itu bukan jenis yang dia suka. Masalahnya semua lelaki di dunia ini adiknya itu tidak pernah suka. Selepas itu dia perkenalkan pula Cika dengan teman satu sekolahnya Fikri. Belum sempat keluar berdating, Cika sudah buat hal bermacam-macam ragam sehingga dia naik segan dengan Fikri. Akhirnya dia sudah malas mahu mencampuri urusan adiknya.

“Kenapa perangai adik macam ni? Pelik sungguh abang tengok.” Dia pernah slow talk dengan adiknya semasa keluar memancing di hujung minggu.

Cika menoleh dengan wajah berkerut. “Pelik yang macamana?”

“Yalah, abang tengok adik dengan lelaki macam planet Marikh dengan planet of the apes. Tak join langsung, apasal?” Pernah dia bertanyakan soalan itu dengan Cika. Namun gadis itu hanya ketawa mendengar kata-katanya.

“Cika okey apa. Mana ada yang pelik.” Rungut anak gadis itu.

“Adik tak nak kahwin?”

Gadis itu tergelak besar. “Belum ada jodoh macamana nak kahwin?”

“Habis kalau jodoh tu ada depan mata, tapi adik yang tak mahu macamana?”

“Mana abang tahu itu jodoh Cika? Bukankah patutnya Cika yang rasakan sendiri bukan orang lain?” Jawab anak gadis itu.

“Adik dah nak masuk 29 tahun.” Dia cuba mengingatkan adiknya.

Nope..wrong! Cika sebenarnya 27 tahun dan baru nak masuk 28 tahun. Apasal semua orang asyik lupa umur Cika? Kat Kuala Lumpur ni, umur 28 tahun tu kira muda lagi tau.” Pintas Cika enggan mengalah.

“Eleh dia ni mengaku muda.” Dia ketawa mengekek mendengar kata-kata Cika. Dasar minah perasan!

“Habis, abang ingat abang tu muda sangat lah?” Giliran Cika pula mencebik.

“Lelaki lain sayang, tak sama.” Dia tersengih.

Cika menjuihkan bibirnya.“Bagus sangatlah tu. Gaya abang bercakap sebiji macam gaya umi meleter tau tak. Kita datang sini nak memancing bukan nak bincang fasal Cika. Nanti Cika malas nak ikut abang lagi baru abang tau.” Ugut Cika.

Dia hanya mampu ketawa kecil mendengar kata-kata si adik yang sudah mahu merajuk. Perbicaraan mereka terus terhenti setakat itu sahaja. Bukan dia sengaja malas mahu masuk campur perihal Cika, tapi dalam masa yang sama dia juga tidak mahu hilang partnermemancingnya. Ingat bestke memancing sorang-sorang ni? Kalau dengan Cika, aktiviti memancing jadi lebih bestsebab adiknya itu akan membawa pelbagai jenis bekal seperti hendak berkelah pula gayanya.

Ubek ketawa kecil. Terasa lucu pula dia dengan sikap Cika. Tapi sayangnya pada Cika memang melebihi segala-galanya, lantaran mereka hanya dua beradik. Umurnya dengan Cika pula tidak jauh berbeza, hanya dua tahun saja jaraknya. Maka kerana itu dia amat memahami kerenah dan sikap Cika kecuali dalam soal mencari teman hidup. Yang itu dia surrender awal-awal. Tak berani nak masuk campur!

* * * *

CIKA mengeluh panjang. Dahinya berkerut memikirkan hal siang tadi. Kenapa pulak umi marah-marah dan mencarinya? Bukankah uminya yang menyuruh dia balik sahaja? Terkejut dia apabila Ubek menelefonnya sebentar tadi memberitahu tentang ibu mereka sedang marah-marah dan mencarinya.

“Umi suruh adik balik cepat. Apa yang adik dah buat sampai Umi naik marah?” Soal Ubek sebentar tadi.

“Cika buat apa? Tak ada apa-apa pun.” Dia tergaman.

“Adik kat mana sekarang?”

“Cika ada kat shopping complex ni, tengah beli barang.” Jawabnya.

“Kalau macam tu jangan balik lagi. Tunggu sampai umi sejuk dulu baru adik balik.” Usul Ubek.

“Dah dekat nak malam ni abang.”

“Adik nak kena bambu dengan umi ke? Sanggup nak dengar umi marah-marah adik macam selalu?” Soal Ubek.

“Habis? Cika nak buat apa?”

Ubek terdiam sebentar. Sejurus kemudian lelaki itu ketawa kecil.

“Abang ada idea cantik punya. Itu pun kalau adik nak dengar dan ikut cakap abang.” Gelak Ubek.

Seterusnya dia hanya mendengar. Tapi sejurus Ubek menerangkannya, dia sudah tergelak-gelak kecil. Gila siot idea abangnya itu.. Jangan uminya kena heart attack cukuplah. Tapi idea Ubek memang sentiasa gila-gila. Perangai Ubek memang hancur kalau bab-bab mengenakan ibu mereka!

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh