Home Novel Komedi/Romantik Komedi MUSAFIR CINTA
MUSAFIR CINTA
Cik Semmie
23/9/2018 23:00:32
7,190
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
BAB 1

DENGAN telekung berwarna biru langit yang masih tersarung di badan, Amira menuju ke luar beranda biliknya. Di atas kerusi malas dia labuhkan duduk. Sudah macam orang tua pula dia macam tu. Nasib saja tidak pakai cermin mata.

Tidak banyak yang boleh dijamah sepasang mata itu di waktu malam yang pekat gelap ini. Permandangan apa saja yang dia boleh lihat kalau bukan rumah depannya. Bibirnya menguntum senyum. 

"Tak tidur lagi ke?" seorang wanita yang sedikit berusia lengkap bertelekung yang kebetulan lalu di depan rumah mereka tersenyum ke arah Amira.

Amira sekadar mengangguk dan melambai ke arah wanita tadi. Setelah jiran mereka itu hilang dari pandangan matanya, Amira duduk dengan selesa di atas kerusi malas yang diperbuat daripada buluh rotan. Dada langit dipandangnya sepi. Entah kenapa batang hidung bintang pun tak muncul. 

Eh, bintang ada hidung ke? Sejak bila pula bintang ada wajah.

Amira senyum lagi seraya menggeleng kepala.

Tiba-tiba telefon pintar berjenama Vivo Y51 milik Amira berbunyi menandakan ada pesanan ringkas masuk. Bibirnya mencebik selepas membaca pesanan yang masuk.

"Baki  kredit anda akan tamat pada 18/08/2014. Sila isi..."

Amira mengira baki hari yang tinggal dengan jari. "Ada lagi 2 hari."

Keluhan dilepaskan dan belakangnya disandarkan. Dada langit kembali menjadi tatapan mata. Badannya bagai bersatu dengan angin bayu. Kedengaran cengkerik mula bernyanyi-nyanyi kosong. Katak pula berlagu memanggil hujan.

Ranting pokok di hujung jalan sebelah timur rumah mereka mula bergoyang ke depan, ke kiri, ke kanan dan juga ke belakang. Daun-daun yang kering mula berguguran. Angin menjadi semakin kencang menandakan hujan bakal menjamah bumi milik Tuhan ini.

Tik Tok Tik Tok...

Bunyi titisan air hujan di bumbung rumah mula kedengaran. Sesekali badannya menggigil kesejukan dek angin yang bertiup melalui badannya.

Amira memeluk lututnya erat sambil memejamkan kelopak matanya. Angin bayu seakan diberi kebenaran untuk menyentuh pipi yang sedikit tembam dan tanpa dicemari jerawat itu. Saat ini juga wajah ayahnya menjenguk ke ruangan mata.

Setahun sudah berlalu selepas kejadian yang tidak diingini berlaku. Kematian itu misteri yang pasti. Datangnya tidak diundang dan perginya tidak kembali. Selepas pemergian ayahnya, hidup Amira sekeluarga banyak yang berubah. Bermula dengan sikap ibu mereka yang berubah pada awalnya seorang yang suka senyum berubah kepada dingin dan tegas.

Ayah merupakan ketua keluarga. Imam kepada isteri dan juga anak-anak-anak. Guru kepada isteri dan juga anak-anak. Kepada siapa anak-anak bergantung harap kalau bukan kepada ibu.

Dulunya semua benda dikongsi bersama. Suka dan duka, sihat dan sakit, berita gembira dan berita buruk... semuanya dikongsi berdua. Kadang kala, wujud secebis rindu di dalam hati yang paling dalam. Tangisan yang berlagu sedih sedaya upaya disembunyikan demi membawa bahagia buat keluarga. Beban dikongsi bersama setiap ahli keluarga yang ada walaupun tidak sesempurna mana. Namun, bahagia itu milik bersama. Ibunya menjadi seorang yang tegas tapi masih bersama kelembutannya. Yalah, kelembutan seorang hambaNya bernama Hawa tidak akan hilang dek zaman.

Dijadikan cerita, kedua orang tua Amira dalam perjalanan ingin menjemput anak lelaki mereka iaitu Fahriz di lapangan terbang. Tidak sampai sejam mereka keluar, Amira yang sedang memasak ketika itu mendapat panggilan bahawa mama dan ayah mereka kemalangan teruk. Dekat dua minggu mama ditahan di hospital. Namun, ujian masih menimpa keluarga mereka. Mama menjadi seorang yang pendiam, pemarah, dan trauma hendak menaiki kenderaan. Mama hampir saja hilang akal kerana tidak dapat menerima pemergian ayah.

Fauzi yang masih 12 tahun juga terpukul dengan kejadian itu. Pada tahun yang sama, dia akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada hujung tahun. Syukur Alhamdulillah, dia berjaya dengan cemerlang, mendapat straight 5As'. Katanya, masa ulang tahun ayah pada tahun itu, Fauzi membuat janji untuk mendapatkan 5A dalam genggaman. Dia yakin bahawa ayah pasti melihatnya dari sebalik kepulan awan itu. Dan pasti sedang tersenyum.

Pada tahun yang sama, Amira sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Melihat keazaman Fauzi membuatkan dirinya berasa kerdil sekali kerana dia berbeza langsung dengan adiknya itu. Mungkin disebabkan dirinya seorang perempuan jadi lebih sensitif berbanding adik lelakinya.

Ketika itu, Amira menyimpan impian dan bermatlamat untuk memberikan apa yang selama ini ayahnya mahukan. Melihat anak-anaknya berjaya adalah satu kemestian baginya dan itu pasti akan Amira berikan. Dia mencuri, dia meneladani ketabahan Fauzi dan akhirnya dia mendapat keputusan yang cemerlang juga.

Disebabkan keputusan yang cemerlang, dia mendapat pelbagai tawaran dari universiti yang menjadi idaman para pelajar di sekolahnya. UiTM, UMS, Matrikulasi, dan beberapa IPTA dan IPTS lain serta tawaran biasiswa PETRONAS. Tapi, dia terpaksa menolak.

Syarikat ayahnya sekarang diambil alih oleh Abang Fahriz. Syarikat semakin pulih dari hari ke hari. Jadi, Amira mengambil keputusan menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Tingkatan 6. Kini, Amira belajar di Kolej Pra-U Tingkatan 6 dan mengambil aliran yang ditawarkan, iaitu Sains. Matrikulasi, Diploma atau Tingkatan 6, tujuan untuk memasuki mana-mana pilihan ini adalah sama. Menuntut ilmu dan bezanya cuma tempat dan masa.

Ilmu itu luas. Seperti sebuah perpustakaan yang mempunyai lebih sejuta buku. Di dalamnya terdapat ilmu yang berguna. Nak baca semuanya dalam masa setahun pun belum habis, inikan pula buku yang ada di kedai buku? Ini tak termasuk lagi beberapa ilmu yang belum dikongsikan dari para ilmuan melalui risalah. Ada yang memerlukan kita bersemuka bagi memudahkan pemindahan ilmu itu.

Alhamdulillah... Ramadhan tahun lalu memberi sinar cahaya kepada mereka sekeluarga terutama sekali mama. Mama berubah ceria dan tidak seperti setahun yang lalu. Mama dah mula terima hakikat sejak raya tahun lepas. Rezeki semakin bertambah dan kegembiraan sering saja menerangi rumah kami. Memori tentang ayah sentiasa melekat di hati dan fikiran mereka sekeluarga. Tiada yang dapat gantikan ayah sama ada secara zahir mahupun di dalam hati.

Angin yang bertiup lebih kencang daripada tadi menyentaknya. Mata dicelikkan dan telefon di sebelahnya dicapai sebelum memeriksa jam pada lock screen. Jam di telefonnya menunjukkan jam 12 malam tepat.

Tanpa sedar masa sudah berlalu dan hujan pun makin lebat. Patutlah dari tadi sejuk semacam. Tidak menunggu lama lagi, Amira menghilangkan diri ke dalam bilik. Selepas menekan suis lampu bilik, Amira menarik selimut menutupi tubuhnya yang masih bertelekung. Sang mata yang masih segar menyebabkan mulutnya ringan saja bernyanyi-nyanyi kecil sehinggalah kelopak matanya terasa berat dan akhirnya dibuai mimpi.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cik Semmie