Home Novel Keluarga Takkan Putus Air DIpenggal
Takkan Putus Air DIpenggal
Ahmad Pierrot
6/1/2018 22:35:00
2,965
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 1


1


2009, Sekolah Kebangsaan Paya Keladi.


“ Beratur elok-elok! Letak tangan atas bahu! Siapa bising akak tulis nama!”

“ Saya bagi tahu mak saya nanti!”


 Cempaka menahan dirinya dari menarik telinga murid Tahun 1 yang susah benar ingin mendengar katanya. Berlari ke sana sini, terlompat-lompat tanpa sebab, dan tidak kurang juga yang mukanya seperti ingin melarikan diri pulang ke rumah sahaja. Tambah lagi masih ada ibu bapa pelajar Tahun 1 yang masih berdiri menunggu di belakang tapak perhimpunan. Terlalu risau dengan anak-anak mereka yang pertama kali menghadiri sekolah mungkin. Lalu, Cempaka sebagai pengawas yang menjaga kanak-kanak riang ini terpaksalah menahan sabar. Dia menarik nafas yang dalam dan menarik seorang demi seorang setiap murid yang dijaganya ke dalam barisan yang lurus.


Ini apa yang Cempaka inginkan dalam hidupnya: supaya satu hari nanti semua orang akan membaca cerita yang ditulisnya. Ini pula apa yang paling Cempaka takuti: jika lansung tiada sesiapa pun yang menghiraukan cerita-cerita yang ditulisnya.


Namun, sekarang Cempaka lebih risau dengan murid Tahun 1 yang tidak menghiraukan lansung arahannya untuk diam. Perhimpunan akan bermula beberapa minit sahaja lagi, dan mereka lansung tidak menunjukkan tanda untuk memberhentikan celoteh.


“ Ya Allah, waktu aku Tahun 1, aku macam ni ke?”


Seorang cikgu muda melangkah ke atas pentas dan mengambil tempat di rostrum. ‘ FARID OTHMAN’ tertera di name tagnya. Ini tahun kedua dia mengajar secara rasmi dan dia masih belum menyesal memilih bidang pekerjaan ini. Ada kepuasan melihat anak muridnya teruja mempelajari perkara baru. Walaupun kadangkala mahu hilang kewarasan melayan soalan-soalan KBAT yang keluar dari mulut mereka. Cikgu Farid segak mengenakan blazer yang telah dipinjam dari abangnya pagi tadi. Itu pun setelah dipujuk berkali-kali, baru mahu dipinjamkan. 


Hanya satu perkara yang Cikgu Farid inginkan sekarang: supaya Cikgu Hanis yang mengajar Bahasa Melayu Tahun 3 mula menegurnya. Ini pula apa yang Cikgu Farid takuti: jika dia mati bersendirian, tanpa teman di saat-saat akhir hidupnya.


“ Assalamualaikum dan salam sejahtera murid-murid sekalian, kita dah nak mula perhimpunan dah. Beratur elok-elok, dengar cakap pengawas ya.”, arahan dari Cikgu Farid yang bertugas sebagai pengacara majlis pada hari ini sedikit sebanyak memberikan kesan kepada perhimpunan di hadapannya, dan murid-murid kian senyap dan beratur di dalam barisan masing-masing.


Keadaan semakin tenang, maka Cempaka bolehlah pergi ke belakang barisan bersama rakan-rakan pengawasnya yang lain. Semuanya berbaju biru. Sebagai seorang pengawas sejak Tahun 3 lagi, inilah apa yang dilakukan Cempaka setiap pagi. Jika tidak menjaga murid-murid di tapak perhimpunan, dia akan ditugaskan untuk menjaga sama ada pagar utama atau pagar belakang sekolah untuk mencatit nama murid-murid yang datang lewat.


Sekarang di Tahun 6, dia merupakan setiausaha organisasi pengawas di Sekolah Kebangsaan Paya Keladi. Tak banyak pun yang perlu dilakukan Cempaka sebagai setiausaha, hanya laporan satu muka surat setiap kali perjumpaan diadakan bersama Guru disiplin. Asalkan tugasnya adalah untuk menulis, dia tidak kisah. Apa yang lagi dia sukai adalah, menulis nama murid yang nakal. Heh, kuasa sebatang pensel di tangan seorang pengawas sewaktu sekolah rendah dahulu. Mahu terkencing jika nama sudah sampai ke guru disiplin.


Guru Besar sedang memberikan ucapan di atas pentas apabila Ayu yang berdiri di sebelah Cempaka mencuit bahunya. Dia memuncungkan mulutnya ke arah barisan kelas mereka, kelas 6 Arif. Sudahlah bibirnya kecil, apabila dimuncungkan bertambah kecil lagi bibir Ayu.


“ Apa dia?”, Cempaka menoleh untuk melihat.


“ Ada budak barulah.” Ayu menunjuk ke arah seorang budak lelaki yang beratur di hujung barisan kelas mereka. Cempaka cepat-cepat menarik tarik tangan rakannya turun.


Ini pula apa yang diinginkan Ayu dalam hidupnya: supaya satu hari nanti suaranya sendiri akan kedengaran di corong radio. Bukan sebagai penyanyi, tetapi sebagai seorang penyampai radio. Ini pula apa yang paling ditakuti di dalam hidupnya: jika tiada lagi orang yang ingin mendengar celotehnya. 


“ Tak eloklah tunjuk- tunjuk orang!”, Cempaka menampar bahu Ayuyang tersengih kerang busuk. Dia menoleh ke arah yang sama sekali lagi. Budak lelaki itu memakai baju kemeja sekolah yang baru, tetapi sepertinya tidak diseterika. Dia yang dari kejauhan pun dapat melihat kedut baju itu. Seluar slack hijau tuanya pula kelihatan pudar dan sudah lama digunakan. Lama juga dia dan Ayu memerhatikan budak itu. Mereka terus menoleh ke arah lain apabila budak lelaki itu berpusing ke belakang apabila menyedari ada yang memerhatikannya.


“ Weh, aku kenal lah dia!” Ayu menarik-narik hujung lengan baju sekolah biru Cempaka.

“ Siapa? Macam pernah nampak.”

“ Jebat. Budak kelas 5 Amal tahun lepas. Cikgu cakap dia pandai gila tapi masalahnya, dia malas gilaaa.”


“ Ehem!” Cempaka dan Ayu terus menoleh ke belakang dan disapa Cikgu Awang, cikgu disiplin sekolah mereka. Kebanyakan masanya dia merupakan seorang cikgu yang mesra dengan murid dan juga rakan sejawatnya. Namun, akan ada waktu ketegasannya akan mendiamkan sesiapa sahaja. Seperti sekarang. Dia sedang berdiri berpeluk tubuh dan menjongketkan sebelah keningnya ke atas.


“ Seronok sembang?” mereka berdua hanya mampu tersenyum kelat dan menelan air liur.


“ Kamu rasa kamu buat salah apa?” Soalan itu sengaja dilemparkan kepada mereka berdua oleh Cikgu Awang. Rakan- rakan pengawas mereka yang lain sudah terkerising dan menahan ketawa. Cikgu Awang sebenarnya sudah lama berdiri di belakang Cempaka dan Ayu tetapi kerana terlalu khusyuk bersembang, kehadirannya tidak disedari dua gadis itu.


“ Bersembang waktu perhimpunan...” Cempaka menjawab perlahan dan menyembunyikan kedua-dua belah tangan di belakang. Dia tidak berani bertembung mata dengan Cikgu Awang dihadapannya.


“ Bagus, tahu pun salah sendiri. Kamu bernasib baik cikgu tak bawa rotan ya. Kamu tu pengawas, kena tunjuk contoh yang baik.” Cikgu Awang menggeleng perlahan dan mula berjalan pergi. Cempaka dan Ayu mengulum senyuman mereka dan berasa lega.


Ini apa yang Cikgu Awang mahukan dalam hidupnya: supaya semua ilmu yang disampaikan dapat membantu murid-muridnya menjadi manusia berguna. Ini apa yang paling ditakutinya: andai kata ada anak muridnya yang menggunakan ilmunya untuk perkara yang buruk.


Tiba-tiba, Cikgu Awang berpusing ke belakang dan berjalan ke arah Cempaka dan Ayu kembali. Dia mengeluarkan sesuatu dari poketnya dan terus hilang senyuman mereka sebentar tadi. Dompet dikeluarkan dan dua keping duit RM 1 dihulurkan kepada Cempaka.


“ Duit makan hari ni, lupa pulak Abah nak bagi.”

“ Eh, tapi Mama buatkan bekal dah.”

“ Nak ke tak nak? Kalau tak nak, tak apa..”


Dengan senyuman menguntum di bibir, Cempaka menarik duit yang dihulurkan Cikgu Awang dan menyimpannya ke dalam poket. Kemudian dia menyambung rondaannya di sekeliling tapak perhimpunan.


“ Bapak kau kejap garang, kejap baik kan. Pening aku.”

“ Tak payah nak pening sangat lah. Bapak aku, bukannya bapak kau.” 


###


Jebat merasa janggal berdiri di hujung barisan kelas barunya. Bukannya dia tidak mengenali lansung sesiapa pun dari kelas 6 Arif, namun mata-mata yang meragui kehadiran dirinya di dalam kelas mereka menghilangkan niat dia untuk bersuara. Budak-budak kelasnya yang berbaris di sebelah kelas itu pula sedang memandangnya dan ketawa terkekeh-kekeh sesama mereka. Sangka mereka, Jebat hanya bergurau dan sengaja ingin mempermainkan budak kelas 6 Arif. Maka, rakan kelas lamanya berpura-pura tidak mengenalinya, ingin turut serta di dalam ‘gurauan’ itu. Dia pun berdirilah tercegat di hujung barisan itu, terteleng ke sana sini, hilang punca ingin bersembang dengan sesiapa pun.


Ini apa yang Jebat inginkan dalam hidupnya: supaya dia dapat melukis dengan tenang tanpa risau akan ibunya. Ini apa yang paling dia takuti: jika ayahnya mula naik angin.


Jebat menoleh ke kiri kerana dia merasakan ada beberapa lagi anak mata dari kejauhan yang memandangnya. Benarlah. Ada dua orang pengawas perempuan yang cepat-cepat melihat ke arah lain sebelum dia sempat bertentang mata dengan mereka. Aneh sangatkah dirinya pada hari ini? Dia melihat baju kemeja putih lengan panjang dan seluar hijau pudarnya. Mungkin sedikit tidak kemas tetapi dia kira tiada yang terlalu pelik.


“ Saya menjemput Muhamad Fatih dari kelas 6 Arif untuk bacaan doa. Dipersilakan.” Cikgu Farid memberikan tempatnya di rostrum kepada murid itu. Jebat kenal benar Fatih yang sedang berdiri di atas pentas itu. Seorang pengawas yang sentiasa bersongkok dan berkulit cerah. Ada satu tompok tanda lahir di pipi kanannya yang lansung tidak mencacatkan rupanya. Siapa yang tidak kenal Fatih? Antara murid terpandai di dalam Sekolah Kebangsaan Paya Keladi. Dia juga aktif di dalam pengakap, mewakili sekolah di dalam pertandingan takraw, dan merupakan salah seorang ketua rumah sukan.


Pendek kata, pelajar contoh lah.


“ Al-Fatihah.” Tapak perhimpunan menjadi hening dan hanya terdengar kumat-kamit murid-murid membaca surah al-Fatihah. Matahari sudah mula menyinar, dan bayu pagi masih tergantung di udara. Nasib baik sinar matahari yang semakin galak dihalang oleh bangunan sekolah di hadapan tapak perhimpunan.


Sekolah Kebangsaan Paya Keladi. Namanya diambil sempena kampung di mana ia berada. Kampung Paya Keladi. Walaupun sebenarnya agak aneh juga, kerana ya, mungkin ada pokok-pokok keladi di dalam parit dan tepian sawah, tetapi lansung tiada paya keladi yang dapat dilihat. Mungkin semua paya keladi itu sudah ditambun tanah atau dibersihkan sebagai ruang menanam padi.


Perhimpunan diteruskan dengan ucapan dari beberapa Guru Besar sekolah yang begitu bersemangat meraikan kedatangan murid-murid baru. Cikgu Abdul Barak memang begitu. Di dalam 30 tahun perkhidmatannya sebagai guru, dia sentiasa bersemangat untuk mengajar di sekolah. Kemudian, dia memberi kata-kata motivasi kepada murid yang berada di hadapannya.


Namun, semua ini tidak didengari oleh Jebat. Dia sedang berangan memikirkan tentang ibunya di rumah dan nasib diri yang semakin hari, semakin malang.


### 


Usai perhimpunan, semua murid mula bergerak ke kelas masing-masing di dalam barisan yang teratur. Pengawas mengawal murid-murid seperti pegawai trafik di jalan raya sambil dibantu guru-guru kelas mereka. Murid Tahun 1 dan 2 ditempatkan di blok dua tingkat berhadapan tapak perhimpunan sekolah. Murid Tahun 3 dan 4 pula ditempatkan di blok dua tingkat yang bersebelahan dengan kantin sekolah dan berada di tengah-tengah perkarangan sekolah. Manakala Murid Tahun 5 dan 6 pula perlu berjalan sedikit jauh ke blok yang paling tinggi yang terletak di bahagian belakang sekolah.


Bangunan empat tingkat ini menempatkan pejabat sekolah, pejabat guru, perpustakaan, dan kelas-kelas. 

 

“ Woih penatlah naik tangga.” Arif yang temengah-mengah berpaut pada bahu Fatih yang sedang mengawal keadaan di tangga.  Fizikalnya yang sedikit tembam tidak membantu pendakian mereka ke tingkat tiga bangunan itu. Bajunya sudah dibasahi peluh. Fatih ketawa kecil melihat keadaan rakan sekelasnya. 


“ Kau ni, kita baru dekat tingkat satu dah pancit?”

“ Baru tingkat satu!? Macam mana aku nak panjat tiap-tiap hari?! mahu kurus aku..”


Ini apa yang Arif inginkan dalam hidupnya: supaya dia dapat menyertai pasukan bola Malaysia suatu hari nanti. Ini pula apa yang paling dia takuti: jika dia tidak diterima orang sekeliling hanya kerana fizikalnya.


“ Eh, kata nak main bola untuk Malaysia. Mana boleh cepat semput Arif.” Fatih menepuk-nepuk bahu kawannya. Arif tiba-tiba seperti mendapat semangat baru. Dia mula berlari menaiki tangga untuk mengejar rakan-rakannya yang sudah jauh di hadapan


“ Tepi, tepi! Penyerang Malaysia nak lalu!”, Namun belum sempat dia sampai ke tingkat tiga, Arif sudah semput dan menaiki tangga sambil berpegang pada susur tangga.


“ Arif, Arif..” Fatih menggaru kepalanya yang tidak gatal melihat gelagat Arif. Memandangkan tugasnya hanya memastikan semua pelajar sudah naik kelas masing-masing, dia mula melangkah naik ke kelas 6 Arif. Sewaktu dia sampai ke kelas, guru kelas masih belum sampai dan kelas meriah setelah hampir sebulan cuti sekolah dan tidak berjumpa dengan kawan-kawan. Banyak yang nak disembangkan. Dari cerita Barbie sewaktu tengah hari, bercuti di pantai bersama keluarga, soal Ultraman yang tak pernah kalah dan bermacam lagi.


Fatih bersandar di pintu kelas dan tersenyum melihat rakan-rakannya yang begitu gembira. Sedang dia mengamati segenap kelas, baru dia tersedar yang kelas mereka mempunyai ahli baru. Dia berjalan ke arah Jebat yang mengambil tempat belakang sekali di sebelah tingkap. Ramai yang menyapa Fatih, tetapi dia hanya berborak sedikit dan terus menuju ke arah Jebat yang masih termenung.


Bahu Jebat dicuit. Jebat terbangun dari lamunannya dan menoleh ke arah yang menegurnya. Fatih berdiri di hadapannya dengan senyuman dan tangan kanan yang dihulurkan.


“ Kau budak 5 Amal kan tahun lepas? Selamat datang ke kelas 6 Arif. Aku Fatih.” Jebat teragak-agak menyambut salam yang dihulurkan. Apa yang pelajar contoh ini mahukan darinya?


“ Oh ha, ya. Aku Jebat.” Sesudah Fatih menegurnya, barulah rakan sekelasnya yang lain mula berborak dengan Jebat. Ada yang sudah dikenalinya sebelum ini dari rumah sukan atau kelab. Dia berasa sedikit lega. Dia tidaklah keseorangan lagi. Fatih mengangkat ibu jarinya dan tersenyum ke arah Jebat. Dia membalasnya kembali dan membuang jauh-jauh sangkaan buruknya tadi. Budak bersongkok itu hanya ingin membantu.


Tiba-tiba semua kalut kembali ke tempat masing-masing. Rupanya Cikgu Awang sedang berdiri di muka pintu. Selepas keadaan kembali tenang, dia berjalan ke meja guru dan meletakkan barang. Fatih berdiri dan bersedia untuk mengucapkan selamat pagi. Selain seorang pengawas, dia juga merupakan ketua kelas 6 Arif.


“ Selamat pagi semua.”

“ Bangun!!!! Selamat pagi cikgu!”

“SELAMAT PAGI CIKGUUU!”


Ini apa yang Fatih inginkan dalam hidupnya: menjadi yang pertama dalam apa pun yang dia lakukan. Ini pula apa yang paling ditakutinya: jika ada yang cuba merampas apa yang sudah menjadi miliknya.






Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ahmad Pierrot