Home Novel Keluarga Takkan Putus Air DIpenggal
Takkan Putus Air DIpenggal
Ahmad Pierrot
6/1/2018 22:35:00
2,966
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 2

2


Kelas 6 Arif menempatkan semua pelajar terpandai Sekolah Kebangsaan Paya Keladi. Jumlah mereka: 44 orang. Tahun ini mereka bakal menghadapi peperiksaan besar pertama di dalam hidup mereka: Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Memang menjadi kebiasaan Cikgu Awang akan mengambil tugas sebagai guru kelas ini, memandangkan dia antara guru terbaik di dalam sekolah itu.


Cikgu Awang mengambil sebatang kapur dan menulis namanya di atas papan hitam. Cempaka menyimpan rasa ngilu setiap kali kapur itu bergeser dengan papan hitam.


“ Rasanya kamu semua dah kenal cikgu kan? Tapi tak apa, hari ini tak payah belajar, kita kenal-kenal dulu.”, kata Cikgu Awang disambut sorakan murid 6 Arif.


“ Eh, jangan seronok sangat, tak belajar tapi ada kerja rumah.”, Cikgu Awang berasa lucu melihat beberapa wajah yang terus berubah menjadi sugul mendengar perkataan ‘kerja rumah’.


“ Hujung kelas nanti cikgu bagi arahannya ya. Okay, mari berkenalan dulu. Nama cikgu, Awang bin Nordin, akan mengajar kamu semua Bahasa Melayu dan tahun ini cikgu ialah guru kelas kamu. Kalau ada apa-apa masalah boleh cari cikgu.”


“ Kalau ada masalah cinta pun boleh ke cikgu?” Soalan Wafi dari belakang kelas mengundang ketawa rakan sekelas dan Cikgu Awang. Sifatnya memang begitu, suka menyakat dan mengusik orang.


“ Ha itu pun boleh tapi ubatnya..” Cikgu Awang mengambil rotan di atas meja dan melibas-libaskannya di udara.


“ Ha siapa yang kecik-kecik dah pandai bercinta, bagi tahu cikgu?”

“ Wafi, cikgu!” seluruh kelas menjawab serentak.


“ Apa fitnah aku ni!”, Wafi lantas gugup. Maka pada hari itu, terus Wafi mengerti peribahasa ‘meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri’.


Ini apa yang Wafi inginkan dalam hidupnya: supaya dia dapat menggembirakan semua orang di sekelilingnya. Ini pula apa yang paling ditakutinya: membuat lawak yang terlalu hambar sehingga tiada yang ketawa.


“ Tahu pun takut. Relaks Wafi, cikgu tahu kamu tak bercinta. Yang lain, faham-faham sendirilah ya. Ha, boleh mula perkenalkan diri dari hujung sana?”


Seorang murid lelaki yang memakai baju ungu pengawas perpustakaan berdiri dengan penuh bersemangat dan memperkenalkan diri. Rambutnya kerinting dan kulitnya sawo matang. Kerusinya ditolak sehingga berlanggar dengan meja di belakang. 


“ NAMA SAYA BAKRI--”, Bakri bercakap dengan kuat sekali sehingga memeranjatkan semua orang.


“ Tenang Bakri tenang, bagi salam dulu, tak perlu cakap kuat sangat. Cikgu boleh dengar lagi. Tarik nafas, lepas. Okay?”, begitulah keadaan murid-murid di sekolah yang Cikgu Awang sudah kenal sekali. Apabila disuruh bercakap di khalayak ramai, hilang terus segala keberanian mereka. Tidak mengapa. Mereka masih muda, masih banyak perkara yang boleh diajarkan. Bakri menarik nafas beberapa kali dan mengurut dadanya sendiri.


“ Assalamualaikum semua. Nama saya Bakri bin Kasim…”


Ini apa yang Bakri inginkan dalam hidupnya: membuka sebuah kedai roti: Bakery Bakri. Ini pula apa yang paling ditakutinya: andai kata ibunya tidak menyokong cita-citanya dan memaksanya meneruskan perniagaan ikan masin keluarga mereka.


###


“... dan saya suka menjahit!”


Selang beberapa meja selepas itu, tibalah giliran Cempaka. Dia sudah bersedia dengan skrip sama yang akan dikatakan ayahnya setiap kali mereka berada di dalam kelas yang sama. Selesai Alicia di cantik manis di sebelahnya memperkenalkan diri, Cempaka berdiri dan melakukan perkara yang sama.


“ Assalamualaikum dan salam sejahtera semua, nama saya Cempaka binti Awang. Subjek kegemaran saya Bahasa Melayu dan saya ingin menjadi seorang penulis.”, Pantas dan tuntas dia memperkenalkan diri, dan terus Cempaka duduk.


 Jika dibandingkan dengan rakan perempuannya yang lain, Cempaka lebih tinggi. Mukanya putih kemerah-merahan, diwarisi dari ibunya sendiri, Puan Auni. Cikgu Awang tersenyum melihat anak daranya yang sudah membesar. Lalu, dia mengulang kata-kata yang sudah didengari Cempaka dari Tahun Satu lagi.


“ Rasanya semua dah tahu, Cempaka ni anak cikgu. Tapi! Anak cikgu ke anak kerani ke anak guru besar sekali pun, kalau kamu buat salah, hukuman yang sama akan diberikan. Faham semua?”

“ Faham Cikgu!”


Dan Cikgu Awang tidak bermain dengan kata-katanya. Pernah sekali sewaktu Tahun 3, Cempaka bergaduh dengan seorang budak lelaki dari kelas 3 Amal. Dikutuk Cempaka, katanya perangai seperti lelaki, kasar. Terus satu das tumbukan hinggap di muka budak lelaki malang itu. Apabila dibawa ke cikgu disiplin, iaitu Cikgu Awang sendiri, sama saja sebatan rotan yang diterimanya.


Selesai sesi amaran Cikgu Awang, murid kelas 6 Arif menyambung sesi pengenalan mereka. Sebenarnya, Cikgu Awang telah membaca maklumat murid-murid kelas 6 Arif sebagai persediaan untuk mengajar. Cumanya, dia sengaja ingin memecahkan ais supaya mereka lebih senang bekerjasama. Dengan jumlah 44 orang, mustahil untuk mereka kenal seisi kelas.


Tambah lagi, dia punya kejutan kedua untuk mereka. Seorang demi seorang menyatakan nama, hobi dan cita-citanya mereka sehinggalah tiba giliran Jebat, murid yang terakhir sekali. Sewaktu dia berdiri, Cikgu Awang dapat melihat ada beberapa muka yang tidak senang dan mencebik.


“ Assalamualaikum dan salam sejahtera. Nama saya Jebat Latif bin Shazlie. Boleh panggil Jebat. Hobi saya melukis dan saya bercita-cita nak jadi seorang arkitek. Terima kasih..”, selesai dia berbicara, seluruh kelas sunyi sepi menanti arahan Cikgu Awang yang seterusnya.


“ Tepuk tangan untuk diri sendiri!”, seluruh kelas mengikut arahannya dengan terlebih galak.


“ Okay boleh berhenti, dah, okay cukup! Seronok terlebih pulak ya? Sekarang cikgu nak enam orang yang cikgu panggil datang ke depan.” Seluruh kelas terpempan dan keraian mereka terhenti. Apakah ini? Cikgu Awang mengambil satu senarai nama dari atas meja guru.


“ Fatih, Raju, Daud, Juliana, Siew, dan Dayang. Datang berdiri depan kelas sekarang.” Murid-murid yang dipanggil terus cuak, mereka berdiri perlahan dari tempat masing-masing dan bergerak ke hadapan dengan perasaan ketakutan. Salah apa yang mereka telah lakukan? Ini baru hari pertama sekolah! Seisi kelas mula berbisik sesama mereka.


“ Weh, hari pertama dah kena denda?”

“ Takkanlah kot.”

“ Ni mesti kantoi bercinta ni.”

“ Kesian gila.”


“ Apa ayah kau nak buat ni?”, Alicia berbisik kepada Cempaka di sebelahnya. Dia hanya mengangkut bahu dan menggeleng.


“ Cikgu bukannya nak denda kamu, tak payahlah cuak sangat. Daud sampai dah berpeluh dahi tu.”, senyuman ketat mereka berenam di hadapan terus mengendur mendengar saranan Cikgu Awang. Lalu untuk apa mereka berada di hadapan?


“ Kelas, yang berdiri di hadapan kamu ialah ketua-ketua kumpulan kamu.” Cikgu Awang menyerahkan senarai ahli kumpulan kepada mereka berenam berserta sebuah buku nota kecil yang disambut mereka dengan penuh kemusykilan. Buku nota berwarna hijau gelap itu hanya sebesar tapak tangan dan berkulit keras.


“ Guru-guru yang mengajar subjek lain untuk kelas kamu dah sedia maklum dengan pembentukan kumpulan yang cikgu buat. Dari sekarang sehinggalah UPSR, kamu akan belajar bersama-sama, dan main pun bersama-sama. Okay itu agak melebih, tapi yang penting, cikgu bentuk kumpulan ni supaya kamu dapat bantu antara satu sama lain.” Cikgu Awang memberhentikan penerangannya apabila Karim, seorang budak bercermin mata mengangkat tangan untuk menanyakan soalan.


“ Ya Karim?”

“ Macam mana cikgu bahagikan kumpulan tu?”


“ Itu kamu jangan risau, cikgu bahagikan kamu berdasarkan keputusan peperiksaan kamu yang lepas. Jadi dalam setiap kumpulan, ada yang sangat pandai, sederhana pandai dan pandai.” Karim mengangguk faham walaupun ayat yang digunakan Cikgu Awang agak aneh. Wafi mengambil peluang untuk mencelah sekali lagi. 


“ Aik cikgu, kenapa semua pandai? Mana yang tak pandai?”


“ Bagus soalan kamu Wafi. Cikgu percaya, semua yang di dalam kelas ini pandai, bukan? Cuma untuk jadi lebih pandai lagi, kawan-kawan kenalah tolong. Boleh Wafi?” Wafi mengangguk dengan penuh bersemangat mendengar jawapan Cikgu Awang. Cempaka tersenyum kecil. Begitulah juga ayahnya di rumah, tidak pernah mengecilkan kebolehan anak-anaknya. Jebat pula seperti kagum dengan lelaki yang sedang berdiri di hadapan kelas. Bagaimana seseorang boleh menjadi tegas dan lembut pada masa yang sama? Dia kira semua ayah di dunia ini seperti ayahnya, garang dan jarang sekali tersenyum.


“ Oh lupa pulak cikgu, Fatih, kamu ketua kelas kan?”, Fatih yang sedang tersenyum sendiri seperti ditampar realiti mendengar soalannya.


“ Haah.. ya saya ketua kelas.”, Fatih sudah dapat mengagak arahan Cikgu Awang yang seterusnya. Yang pasti, dia tidak akan sukakannya.


“ Dah banyak pula jawatan yang kamu pegang, kasihan pula. Kita lantik ketua kelas yang baru.” Tangan Fatih yang tergenggam kuat disembunyikan di belakang. Dia tersenyum dan mengangguk setuju. Tak apa, dia masih punya jawatan pengawas dan beberapa ahli majlis tertinggi kelab-kelab di sekolah.


“ Cikgu buka cadangan untuk calon ketua kelas yang baru.”, Bakri dan beberapa orang murid terus mengangkat tangan.


“ Ya Bakri, kamu nak calonkan diri sendirikah?”

“ Eh tak, saya nak calonkan Fahmi.”

“ Cadangan lain? Asyraf kamu nak cadangkan siapa?”

“ Oh, saya pun nak cadangkan Fahmi.”

“ Yang lain?”


“ Fahmi, cikgu!”, sebahagian besar kelas memberikan jawapan yang sama. Cikgu Awang menggaru dagunya yang tidak gatal. Ini mereka sengaja ingin mempermainkan rakan mereka atau apa? 


“ Dah tak ada cadangan lain? Ha, Fahmi datang ke depan.” seluruh kelas menepuk tangan. Fahmi berdiri dengan senyuman dan muka yang tenang. Rambutnya disisir kemas ke arah kanan. Ah, ya Fahmi. Baru ingatan Cikgu Awang kembali. Budak inilah yang begitu ramai cikgu puji. Katanya si Fahmi ini baguslah, rajin, suka menolong, baik budi bahasa dan macam-macam lagi. Padanlah galak sekali murid kelas 6 Arif ingin Fahmi menjadi ketua kelas.


Ini apa yang Fahmi inginkan dalam hidupnya: membantu orang selagi mana dia mampu. Ini pula apa yang paling ditakutinya: andai kata sampai satu masa, dia sudah tidak mampu lagi.


###


“...carta organisasi kelas dah lengkap kan? Ketua kelas, penolong, setiausaha, bendahari, dan ahli jawatankuasa. Bagus! Kelas, sekarang ada lagi 15 minit, jadi kamu susun meja dalam kumpulan masing-masing.”, Cikgu Awang mengambil tempat duduk di meja guru. Bunyi keriukan dan geseran meja, kerusi di atas lantai mula memenuhi kelas dan ditambah lagi dengan riuh murid 6 Arif.


Mulanya Cikgu Awang ingin biarkan mereka menyusun kedudukan mereka sendiri, tetapi selang beberapa minit, konflik pertama sudah berlaku. Kumpulan Durian yang diketuai Siew berebut tempat di hadapan dengan Kumpulan Manggis yang diketuai Daud. Dia baru sahaja ingin berdiri dari tempat duduknya, tetapi Fahmi yang terlebih dahulu mara ke hadapan dan memberi arahan.


“ Semua, diam kejap!”, kekecohan beransur tenang dan semua mata tertumpu kepada Fahmi di hadapan.


Sekarang macam ni, bulan ni kumpulan Durian, Langsat, dan Jambu duduk di depan. Bulan depan kumpulan Manggis, Mangga dan Rambutan duduk depan pulak. Setiap bulan sampai UPSR kita tukar, boleh?”, Ramai yang mengangguk setuju dengan cadangannya. Lalu Daud pun mengalah dan memberikan tempat di hadapan kepada kumpulan Siew. Cikgu Awang mengangguk-angguk kagum dengan daya kepimpinan Fahmi. Ada masa depan yang cerah. Jangan jadi ahli politik korup, sudah. 


Lagi beberapa minit kelas berakhir, mereka sudah selesai menyusun meja dan berkenalan pula dengan ahli masing-masing. Cempaka di dalam kumpulan Rambutan bersama dengan Fatih, Bakri, Chew, Ali, Fatin, Kamaliah dan Ayu. Sengih sehingga ke telinga apabila dia mendapat satu kumpulan dengan Ayu.


Cikgu Awang mengemas alat mengajarnya dan berdiri di hadapan kelas. Fahmi bingkas bangun untuk mengucapkan terima kasih tetapi dihentikannya. Masih ada perkara berbaki yang dia belum katakan.


“ Kelas, perhatian semua. Ada satu lagi benda penting kamu kena tahu. Setiap ketua kumpulan dah dapat satu buku nota dari cikgu. Apa guna buku nota tu agaknya? Ini.” Cikgu Awang mengeluarkan satu batang cop dan ditunjukkan kepada mereka semua yang masih kebingungan.


“ Setiap kali kamu buat sesi ulangkaji dengan sekurang-kurangnya lima orang ahli kumpulan kamu, cikgu akan bagi satu cop. Tapi, jangan tipu, cikgu tak tahu tapi Tuhan tahu.”


“ Apa guna cop tu cikgu?” sekali lagi Karim menanyakan soalan yang bermain di minda semua orang. Ada senyuman teruja yang meniti di bibir Cikgu Awang.


“ Kumpulan yang dapat kumpul cop terbanyak seminggu sebelum ujian percubaan UPSR, akan dapat hadiah misteri dari cikgu. ”, seluruh kelas mula kecoh mendengar perkataan ‘hadiah’.


“ Ingat, cikgu nak persaingan yang sihat. Jangan buat macam-macam. Kamu datang sekolah nak belajar, itu yang pertama. Kalau tak ada apa-apa lagi, cikgu pergi dulu. Terima kasih semua.”


“ Bangunnn! Terima kasih cikgu!”

“ TERIMA KASIH CIKGU!”


Sesi ulangkaji? Jebat sudah mula merasa berat hati. Dia bukan sewenang-wenangnya boleh keluar rumah. Tambah lagi, ketua kumpulannya adalah Siew yang agak tegas. Susah, susah.


Hadiah misteri? Fatih sudah mula mengira-ngira masa kosong di dalam jadualnya. Dia akan pastikan kumpulannya mendapat hadiah misteri itu. Dengan apa cara sekali pun.



Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ahmad Pierrot