Home Novel Keluarga XANDER
XANDER
kamika
25/7/2023 11:34:27
23,804
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 3

Bersendirian di ruang tamu yang sunyi sepi itu membuatkan dadanya diancam sedikit debaran. Matanya melihat jam dinding dengan ukiran khat hadiah daripada AJK masjid kepada Atuk ketika Atuk menjadi naib johan majlis tilawah Al-Quran peringkat kampung yang diadakan kira-kira dua tahun yang lalu. Tidak cukup nombor besar itu ditilik, jam di pergelangan tangan turut diimbas sekali lalu. Detik yang bergerak terasa lambat dan menghambat. Hanya bunyi cengkerik dan unggas sahaja yang kedengaran ketika ini. Riuh rendah mereka berpesta meraikan tibanya waktu malam gelita.

Mendekati jam lapan suku bunyi ngauman enjin motosikal sayup-sayup kedengaran dan semakin kuat menghampiri. Uzma bingkas bangun. Membuka pintu lalu menutupnya kembali. Kakinya bergegas keluar dari kediaman Atuk lalu membonceng motosikal tersebut. Haluan telah ditetapkan siang tadi. Lokasi dan masa juga dipersetujui. Hanya menunggu kemuncak adegan itu menjadi kenyataan dan akhirnya Uzma yakin, Atuk dan Mak Teh tak mampu lagi mengolah hidupnya selepas ini.

Tetapi, sanggupkah Uzma mencalarkan maruahnya sendiri? Tidak. Tak mungkin dia mahu menconteng arang ke muka orang tua itu. Perancangan mereka berdua petang tadi dirasakan tepat. Munalah yang bakal menjadi reporter tak bergaji. Memanggil Atuk di surau untuk menyaksikan keberadaan cucunya yang sedang ber'dating' di bengkel kayu itu. Ya. Begitulah perancangan mereka berdua. Tak hingin Uzma ditangkap khalwat bersama Isyraf. Tak memasal! Apa yang dia harapkan ialah apabila Atuk melihat dengan mata kepalanya adegan tersebut, orang tua itu sedar bahawa cucunya itu juga seperti anak remaja yang lain. Ada keinginan dan kemahuan sendiri. Sudah tentulah. Duduk di zaman serba moden dan baru masuk lapan belas tahun kot!

Kata Muna, malam ini Isyraf berkerja lebih masa. Ngamlah jadual teman sekelas mereka itu dengan situasi dirinya itu. Tetapi, sebenarnya, jauh di lubuk hati Uzma semahunya dia enggan Isyraf terlibat dengan kemelut yang sedang melanda ketika ini. Namun, apakan daya, dia sudah buntu. Mahu atau tidak, dia terpaksa menggunakan lelaki itu.

Ah, maafkan aku, Isyraf.

Motosikal dengan kelajuan sederhana akhirnya tiba di tempat yang di tuju. Muna memarkir kenderaan yang ditunggangi agak jauh dari bengkel kayu. Hanya lampu di kedai runcit Ah Seng yang terletak di hujung satu lagi kelihatan bercahaya. Sebahagian besar lot itu malap. Gelap dan senyap. Di antara dua buah lot itu selebihnya tidak berpenghuni. Begitulah keadaannya sejak dahulu. Lot kedai yang di bina itu tak ubah seperti hidup segan mati tak mahu. Warung dan gerai yang berada bertentangan dengan lot kedai itu pula hanya meriah pada sebelah siang sahaja. Hurm, menambahkan kesuraman yang sedia ada.

"Okay. Kau naik ke atas, tau." pesan Muna setelah gear moto ditukar kepada neutral. Mulut Uzma sedikit terbuka. Terperanjat mendengar arahan dari sahabat itu.

"Aik! Kenapa pulak?" soalnya sambil menyimpan helmet yang dipakai ke dalam raga motosikal.

"Atas tu ofis. Malam ni Isyraf buat key in stok. Ah, buat jelah. Kata nak ikut arahan." ujar Muna sambil kepalanya melilau ke kiri dan kanan.

Serasanya, port itu sudah jauh dari pandangan mata orang ramai. Berbalam-balam tingkat atas bengkel itu ditiliknya dari bawah rimbunan pohon jambu air bersebelahan Warung Ikhwan itu. Sunyi dan kelihatan agak menyeramkan. Muna menelan air liur.

"Ah, okaylah. Kau hati-hati, k. Masuk je sebab pintu tu tak kunci." arah Muna lagi.

Rasa takut dan bimbang mula menjalar di tubuh Uzma. Sesekali kepala ditoleh ke arah bengkel tersebut. Ragu.

"Una, takutlah." ucapnya sambil berpeluk tubuh.

"Eh, kau ni! Ke... Kau nak tarik diri?" soal Muna sedikit garang.

Uzma mengeluh. Kemudian menyepikan diri. Lirikannya diangkat mencari mata Muna. Kepalanya digelengkan perlahan.

"Kalau macam tu... Cepatlah! Lambat-lambat nanti takut Atuk dah balik rumah." Muna mengingatkan.

Seperti baru terjaga sebaik mendengar nama Atuk dipetik, dia menganggukkan kepala. Muna memberi isyarat untuk beredar. Motosikalnya tidak dihidupkan enjin terlebih dahulu. Sebaliknya, dia menolak motosikal itu jauh dari kawasan itu kemudian barulah bunyi ngauman enjin kedengaran.

Terkebil-kebil, Uzma memerhati sebelum dipusingkan tubuh menghadap ke arah bengkel. Nafas yang dalam dihela beberapa kali. Kedua belah tangan menggenggam penumbuk. Melawan atau menyerah? Sempat dia membuat timbang-tara sebelum mengambil langkah terakhir dalam pelan berani mati itu.

Lawan! Ungkap si hati kecil.

Berbekalkan keazaman dan kegugupan yang memberati fikiran, dia melangkah dalam kesamaran malam menyelinap ke sisi lot kedai tersebut. Tangga batu yang menuju ke tingkat atas dihalangi oleh sebuah pintu gril besi yang bertutup rapat. Dipulas tombol jenis lever tersebut. Tidak berkunci! Jadi benarlah seperti yang dikatakan oleh Muna sebentar tadi. Diraba pula pemegang tangga lalu dengan perlahan-lahan dipanjat tangga berbentuk spiral itu. Mata melilau ke kiri dan kanan, atas dan bawah. Bimbang sekiranya gelagatnya itu diketahui. Lagaknya ketika ini seperti seorang pencuri.

Apabila tiba di tingkat atas, dia berhenti seketika bagi mententeramkan gemuruh di dada yang kian berombak. Diperhati keadaan sekeliling. Gelap gelita. Begitu juga keadaan di dalam lot di tingkat atas itu. Sedikit musykil. Ada orang ke tak ni? Isy, betul ke ada Isyraf? Tak kan buat kerja dalam gelap? Terkial-kial dia memikir di pinggir tangga. Namun, niat yang telah ditetapkan harus diteruskan. Bila lagi nak dapat peluang macam ni? Alang-alang dah separuh jalan teruskan sajalah. Setelah dirasakan agak tenang sedikit perasaannya, dia mengambil satu langkah yang kecil. Gerakannya itu dirasakan mengenai sesuatu. Oh, sepasang sandal rupanya. Maksudnya, ada oranglah! Rasa ragu bertukar yakin. Sikit saja lagi nak selesai, bisik hati kecil Uzma.

Pintu kayu di hadapannya yang bertutup rapat itu turut dipulas tombolnya. Juga tidak berkunci! Wah, betul-betul berjalan dengan lancar. Nampaknya memang Isyraf dah dimaklumkan akan kedatangannya. Tanpa membuat sebarang bunyi ditolak sedikit pintu tersebut. Cukup untuk memasukkan kepalanya sahaja. Dijenguk ke dalam. Terlalu suram! Hanya biasan cahaya terang dari lampu jalan yang menjadi panduan untuknya ketika ini. Daun pintu ditolak lebih lebar. Selipar yang dipakai ditinggalkan diluar. Cepat-cepat dia memasuki ke dalam ruang tersebut lalu pintu kayu itu dikatup rapat.

Fuh!

Selesai satu langkah. Tapi, mana pulak si Isyraf ni? Tak tenteram jiwanya kerana kalau Isyraf tau sekalipun tentang kahwin paksa tu perlu ke pemuda tu nak prank dia dalam tempoh genting macam ni? Hisy! Nak bergurau tak kena tempat!

"Isyraf..." serunya perlahan sekali. Meliar mata mencari di dalam ruang yang asing itu.

Eeii.. Tak sukalah main macam ni. Kang tiba-tiba Atuk sampai dan dia pulak masih duduk bergelap macam ni, rosaklah rancangannya nanti.

"Isyraf... Keluarlah! Aku dah sampai ni..." serunya dengan suara sedikit meninggi.

Uzma menggigit bibir sambil bercekak pinggang. Jagalah kau, Isyraf. Dapat nanti tahulah aku kerjakan kau, bisiknya geram.

Uzma menapak lagi ke hadapan. Kemudian berhenti seketika. Dihela panjang nafas yang bergelombang sederhana. Bauan kayu yang kuat dapat dihidu di mana-mana. Tetapi, ruang di tingkat atas itu tidaklah kelihatan seperti sebuah bengkel. Terdapat sebuah meja kayu yang panjang di tepi tingkap gelongsor. Di sebelah kirinya pula terdapat ruang berkabinet. Namun tidak jelas apakah fungsi ruang tersebut. Manakala bersebelahan ruang itu terdapat sebuah pintu yang tertutup rapat seperti mana pintu yang berkedudukan setentang dengannya ketika ini. Dia mula mencurigai pelannya itu.

Tetapi, anggota tubuh seakan mengingkari bisikan hati. Kakinya melangkah lagi. Mendekati bilik di hadapannya itu pula. Tangan kanan diangkat untuk memulas tombol. Namun, sebelum sampai ia mencecah ke tombol tersebut, niatnya itu ditarik. Kepalanya pula yang didekatkan ke muka pintu. Sebelah telinga ditekap pada daun pintu. Mencuri dengar akan sebarang bunyi yang boleh dikatakan sebagai kerja-kerja perkeranian sedang berlangsung. Sepi. Satu bunyi pun tidak kedengaran kecuali sayup-sayup bunyi kenderaan yang bertali arus dijalan utama.

Sah! Pelan dibatalkan.

Uzma mengambil keputusan untuk keluar sahaja dari tempat itu. Mungkin Isyraf sudah pulang dari berkerja. Ketika tubuhnya dipusingkan untuk beredar, dia terdengar bunyi daun pintu dibuka dan belum sempat dia berpaling pinggangnya disauk dari belakang dan mulutnya ditekup dengan kuat. Dia dihurung perasaan cemas. Kedua belah tangan tidak dapat meronta untuk berbuat apa-apa. Sebenarnya kedua belah tangannya telah dikunci! Tangan kirinya memeluk pinggangnya sendiri dan sebelah lagi menekup mulut! Kedua-duanya di bawah tangan individu di belakangnya ketika ini.

"Siapa kau?" seru suara yang agak garau di belakangnya.

Uzma terpegun buat seketika. Lelaki! Tetapi suara itu bukan kepunyaan Isyraf. Dia kenal sangat dengan suara sedang-sedang milik Isyraf. Tanpa berfikir panjang, dipijak kaki lelaki itu sekuat hatinya. Cubaan pertamanya gagal kerana dia sedar bahawasanya dia sedang bergelut di dalam kegelapan. Begitu juga cubaan kedua dan ketiga. Namun, pada cubaan seterusnya barulah dia berjaya kerana dia tidak lagi menumpukan ke arah kaki lelaki itu. Sebaliknya tendangan yang tidak kenal lelah itu dihentam terus kepada tulang keting. Tautan kunci itu terasa longlai. Serta-merta dimanfaatkan peluang itu dengan melarikan diri.

Cuma, belum sempat tiga langkah diambil dari tempatnya bermula, dia sekali lagi dipaut. Kedua belah tangannya dipegang sebelum disilangkan dengan kuat ke belakang. Bahunya tersayat pedih apabila diperlakukan sebegitu. Uzma terjerit kecil sambil terus meronta keras. Tiba-tiba dirasakan dia sedang bergelut sendirian. Tiada lagi sentuhan kasar yang mencengkam seperti tadi. Peluang kedua yang hadir itu membuatkan dia buru-buru menyerbu ke muka pintu. Haru-biru, kelam-kabut dibuka langkah seribu. Ketika daun pintu ditarik, wajah pucat lesinya berubah lega.

Atuk!

Tepat pada masanya Atuk muncul untuk menyelamatkan dirinya dari lelaki yang tak waras di belakangnya itu.

"Atuk!.." serunya dalam keadaan termengah-mengah.

"Malik, memang ada pun cucu kau dekat sini! Mana lelaki tu??" tanya satu suara yang besar dan garang.

Uzma memejamkan mata yang pedih tatkala suluhan lampu suluh mengenai tepat pada wajahnya. Dalam keadaan masih lelah dan takut, dia menyedari Atuk tidak datang sendirian. Ada sekumpulan lelaki ikut serta di belakang orang tua itu. Atuk maju ke depan. Begitu juga yang lain. Dia pula terpaksa menapak kembali ke belakang beberapa langkah. Kalah kepada barisan rapat yang mara mendekati.

Klik. Kedengaran suis lampu dinyalakan. Sekali lagi Uzma memejamkan matanya. Menapis silauan yang menerjah sebelum ia beransur kabur. Kali ini dapat dia lihat dengan jelas Atuk, Imam Kamal, Lebai Sidek dan Pak Tam memandangnya dengan satu pandangan yang agak aneh. Pandangan empat orang ahli jemaah surau itu bersilih ganti antara dirinya dan seseorang di belakangnya ketika ini.

Lambat-lambat, dipalingkan wajah sebelum tersentak dengan apa yang dilihatnya ketika ini. Lelaki yang menyerangnya sebentar tadi cuma berseluar jeans tanpa baju! Di dadanya terdapat satu ukiran berwarna hitam. Rambutnya agak panjang melepasi bahu. Ketika semua mata sedang memandang ke arahnya, lelaki itu menunduk sahaja tanpa mengangkat pandangan.

"Ju! Ju buat apa dekat sini?"

Keras suara Atuk menyebabkan Uzma serta-merta berpaling. Wajah yang sama dia lihat kelmarin muncul. Bengis. Dua kening yang melengkung berkerutan. Mata tajam menikam. Uzma kecut. Tak kan nak ceritakan tujuan sebenar dia ke situ? Menempah bala namanya. Di hadapan orang yang ramai pulak tu. Mulutnya rapat bagai digam. Dapat dilihat dengan ekor mata pandangan tajam dari Imam Kamal dan Lebai Sidek ke arahnya ketika ini.

"Malik, macam mana? Depan mata kita ni." kecam Lebai Sidek yang sejak tadi cenderung mempamerkan riak tidak puas hatinya itu.

Satu kampung tahu, Lebai Sidek tak perlu membuat mimik muka sebegitu kerana memang begitulah sifat wajahnya. Seperti Sarjan Misai, begitulah irasnya Lebai Sidek dengan watak tersebut.

"Atuk? Kenapa ni?"

Uzma memberanikan diri untuk bersuara. Dia semakin bingung dan tertanya-tanya. Atuk yang menukar posisi bercekak pinggang dilihat tertunduk beberapa kali.

Kenapa ni Atuk?

"Pak Tam?.." serunya dalam keadaan terpinga-pinga.

Jikalau Atuk enggan melayan pertanyaannya biarlah Pak Tam pula menjadi tempatnya mengadu.

"Kurang ajar punya budak! Dah conteng arang ke muka orang tua buat-buat tak tahu pulak!!" herdik Lebai Sidek sekaligus membuatkan tubuh Uzma menggeletar.

Sumpah! Tubir mata sudah bergenangan dengan air mata. Bukan. Tidak kerana sedih dia menangis. Tetapi kerana takut dengan situasi yang sedang dialaminya ketika ini.

"Tapi, Ju tak buat apa-apa, Atuk. Betul! Ju tak buat apa-apa langsung..." rintih Uzma bersungguh-sungguh.

Tetapi, Atuk hanya mendiamkan diri. Dia tertunduk lesu. Lalu ditilik keadaan dirinya ketika ini. Tudung sarungnya senget-benget dan kusut-masai. Sekaligus menguatkan lagi tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Muna! Mana Muna? Uzma tidak melihat individu lain yang berada di situ lagi kecuali empat orang itu sahaja. Kalau ada Muna mungkin sahabatnya itu dapat menjelaskan kepada mereka semua perkara sebenar yang berlaku.

"Hah! Itulah dia! Bila dah jadi baru nak nafi!!" marah Lebai Sidek lagi.

Uzma tidak mampu berkata apa-apa. Hanya gelengan sahaja yang dapat diberikan bagi mempertahankan dirinya yang tidak bersalah itu.

"Malik, aku tak nak kau biarkan saja perkara ni. Kejadian ni pertama kali berlaku dalam kampung kita. Esok-esok kalau dah heboh, bukan saja kau yang dapat malu. Aku bimbang jadi ikutan pulak oleh budak-budak kampung ni. Kau kena tegas, Malik." gesa Lebai Sidek lagi.

Uzma sudah tidak keruan mendengar nasihat yang bercampur kemarahan itu.

"Ju..." panggil Atuk dengan suara yang perlahan.

Diangkat kepala. Mendengar suara Atuk yang kendur membuahkan sedikit harapan.

"Pergi balik dengan Pak Tam." arah Atuk.

Hancur berkecai harapan Uzma. Dia tidak membantah lagi. Akur sahaja. Kaki yang memberat dipaksa melangkah. Tanpa dia sedari hati kecil memujuk diri. Nanti apabila Atuk pulang dia pasti akan menjelaskan semuanya kepada Atuk sebelum Atuk membuat sebarang keputusan. Lebih baik berterus-terang dari menyembunyikan perkara sebenar. Mungkin setelah Atuk mendengar alasannya, Atuk tidak menyalahkan dirinya hatta tidak juga mencurigai perbuatannya yang berada di situ pada waktu malam begini.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.