Home Novel Keluarga DI ATAS LANTAI TAKDIR
DI ATAS LANTAI TAKDIR
Fida Rohani
1/3/2013 09:30:25
74,911
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 16

MAK CIK PATONAH teresak. Awalnya perlahan, kemudian esakan itu menjadi kuat. Air matanya juga berjuntaian jatuh tanpa mampu ditahan-tahan lagi.

Maryati juga begitu. Entah kenapa, isi surat itu benar-benar menghiris jiwa raganya. Dia teringatkan anaknya, Tengku Munirah. Kenapa Tengku Munirah tidak sebaik Aziana?

“Jadi, memang benar seperti kata mereka yang anak-anak mak cik berjawatan tinggi dan berjaya semuanya?” tanya Maryati selepas esakan Mak Cik Patonah usai.

Mak Cik Patonah tidak terus menjawab. Dia mengesat air matanya yang masih tersisa. Maryati semakin teruja.

“Apalah gunanya berpangkat dan kaya-raya jika tidak ada kasih sayang. Mak cik tak harapkan duit anak-anak selagi mak cik masih boleh bergerak. Kalau dah tak boleh bergerak, mak cik akan ikut ke mana ALLAH nak campak mak cik.”

“Aziana memang anak yang baik. Hanya dia yang mak cik ada. Walaupun hidupnya susah di sana, tapi dia tak pernah lupakan mak cik. Dia akan tetap kirimkan khabar setiap minggu. Tapi yang lain-lainnya...” tangis Mak Cik Patonah bersambung lagi. Untaian manik yang luruh semakin bertaburan.

“Mak cik, sabarlah. Maafkan Mar, mak cik. Kalau mak cik rasa sakit ingat semua kisah tu, tak payahlah cerita. Mar dah faham sekarang,” pujuk Maryati sambil memeluk bahu Mak Cik Patonah.

“Semasa suami mak cik masih hidup dan anak-anak masih kecil, mak cik jarang menangis walaupun hidup kami susah. Dengan pendapatan sebagai seorang pemandu teksi, kami besarkan kelima-lima anak kami. Mak cik buat kuih untuk tambah rezeki. Mak cik ambil upah mengemas rumah orang hari minggu hingga akhirnya mereka membesar dan berjaya,” kata Mak CIk Patonah meneruskan cerita tanpa mempedulikan kata-kata Maryati.

“Kenapa mak cik tak tinggal dengan mereka?” Terlontar soalan itu daripada mulut Maryati dengan tiba-tiba.

Mak Cik Patonah melepaskan pandangan ke luar tingkap. Angin senja menemani burung-burung yang berterbangan pulang ke sarang. Awan-gemawan yang memutih juga ikut berarak. Cantik.

“Seperti kata Aziana, mereka dah lupa diri. Kekayaan dan kemewahan hidup yang buat mereka hilang rasa kasih. Anak-anak lelaki mak cik terlalu sibuk. Mereka lebih suka tinggal di luar negara. Ada yang bekerja di sana dan kahwin di sana. Ada yang menguruskan perniagaan di sana.”

“Mereka langsung tak balik dan jumpa mak cik?”

“Ada, tapi jarang. Sangat jarang,” jawab Mak Cik Patonah.

Maryati membiarkan Mak Cik Patonah melayan rasa.

“Hanya Aziana yang kerap bertanya khabar. Dia nak balik ke sini, tapi tak boleh.”

“Kenapa?” Maryati semakin teruja. Dilihatnya Mak Cik Patonah bermuram lagi. Dia membiarkan. Dia seperti mampu membaca kesedihan yang ada di hati wanita itu.

“Aziana tersalah pilih suami. Eh, tak... jodohnya dah ditakdirkan begitu. Dia berkahwin dengan seorang lelaki bangsawan, keturunan Syed dari Singapura. Awalnya mereka bahagia. Tapi entah di mana silapnya, Aziana dimusuhi oleh keluarga mertuanya. Suaminya pula hanya mengikut telunjuk keluarganya. Aziana seperti hamba tebusan di sana. Dia hilang kuasa di rumah sendiri. Dia tidak dibenarkan berjumpa sesiapa. Itu yang mak cik sedih.” Mak Cik Patonah tunduk, sebak.

“Jadi dia tak pernah balik ke sini?”

“Sejakdia kahwin, hanya dua, tiga kali dia balik. Itu pun ketika keluarga mertuanya datang ke sini untuk makan angin. Aziana curi-curi masa untuk datang ke sini. Mak cik sungguh belas tengok dia. Anak sebaik dia diuji dengan kehidupan begitu. Kesian dia... kesian anak mak cik tu.” Air mata Mak Cik Patonah terhambur semula bersama rintihan itu.

Maryati ikut menangis. Entah kenapa dia seperti melihat bayangan bondanya di dalam diri Mak Cik Patonah.

“Kenapa dia tak minta cerai dan balik ke sini?”

“Dia sayangkan anak-anaknya. Mereka dah ugutdia. Kalau bercerai, dia tak akan dapat berjumpa dengan anak-anaknya lagi. Lalu kerana itu, mak cik tak izinkan dia minta cerai. Biarlah dia hidup dengan anak-anaknya.”

Maryati terdiam. Tiba-tiba dia rasa terpalit dengan soalannya sendiri. Nasib Aziana seakan-akan sama dengan nasibnya.

“Mar, nasib Mar lebih baik dari Aziana,” kata Mak Cik Patonah.

Maryati keliru dengan kenyataan itu.

“Benar, Mar. Nasib Mar jauh lebih baik...”

“Apa maksud mak cik?”

“Sekurang-kurangnya Mar mampu melepaskan diri. Mar mampu mulakan hidup baru. Mar berjaya keluar dari penderitaan itu.”

“Tapi, seluruh hidup saya dah musnah! Tengku Hisyam dah hancurkan semuanya. Saya tak berharga apa-apa di mata dan di hati anak-anak,” rintih Maryati.

“Tak, Mar. Tengku Hisyam hanya merobohkan sebahagian aje dan membina sebahagian yang lain,” ujar Mak Cik Patonah.

Maryati makin keliru. Wajah Mak Cik Patonah ditatap lama. Maksud yang tersirat di sebalik kata-kata wanita itu langsung tidak difahami.

Wanita itu mengerdipkan mata dengan senyum. Walaupun senyuman itu masih tersalut duka, Maryati senang melihatnya.

“Kerana perbuatan Tengku Hisyam, Mar bangkit dengan semangat baru. Mar menjadi wanita yang lebih matang. Tapi Aziana? Dia tidak berkesempatan untuk berbuat begitu. Dia hidup dalam air mata. Dia hidup hanya kerana ALLAH belum mahu dia mati,” kata Mak Cik Patonah.

Maryati menilai kata-kata itu. Dia mengakui kebenarannya.

Azan maghrib berkumandang dari surau berdekatan. Mereka tunduk, menjawab seruan suci itu di dalam hati. Ada segaris kesyahduan yang menyapa hati, lembut dan kudus.

“Mar, jom kita solat. Kita mohon petunjuk-Nya,” ajak Mak Cik Patonah sambil bangun.

Maryati ikut bangun. “Lepas solat, Mar nak minta diri.”

“Tak nak tunggu mak cik habiskan cerita?” tanya Mak Cik Patonah dengan senyum.

“Mak cik kata nak kena tunggu seribu satu malam. Lama tu!” balas Maryati, dengan senyum juga.

“Nasib manusia ditentukan oleh ALLAH. Kadang-kadang apa yang kita rancang tidak sama dengan apa yang terjadi. Tidak ada manusia yang ingin hidupnya susah dan menderita. Tapi, kenapa ALLAH berikan begitu?” Mak Cik Patonah menyapu wajah polos Maryati dengan renungan mata kasihnya.

“Kenapa, mak cik?” Maryati sengaja bertanya.

“Sebab ALLAH ingin menguji iman kita. Kalau tidak diuji, tak akan ada peningkatan iman. Sebab sikap semula jadi manusia... ketika senang mereka lupa. Lalu ALLAH duga dengan kesusahan dan penderitaan, barulah manusia itu sentiasa dekat dengan Al-Khalik,” jawab Mak Cik Patonah, tenang.

Hati Maryati dihurung sangsi. Semakin banyak soalan muncul dalam mindanya. Siapakah Mak Cik Patonah sebenarnya? Pertuturannya tidak seperti seorang tukang cuci. Kewibawaannya juga terserlah, tulus dan tawaduk? Siapa dia?

Maryatipulang ke rumahnya selepas makan malam bersama Mak Cik Patonah. Dia sampai di rumah hampir pukul 10.00 malam. Di pertengahan jalan, dia sudah membeli sebungkus nasi goreng kampung untuk bekalan makan sahur. Dia berniat hendak berpuasa sunat keesokannya.

“Mar, ke mana kau pergi?” tanya Musalmah, teman serumah ketika dia masuk. Wajahnya nampak panik dan cemas.

“Kenapa?” Maryati segera duduk di hadapan Musalmah.

“Tadi ada seorang lelaki cari kau.”

“Dia datang ke sini?”

“Tak. Dia telefon ke sini, berpuluh kali,” lapor Musalmah.

“Dia cakap dia siapa?”

“Aku dah tanya. Dia kata Tengku Hisyam. Siapa Tengku Hisyam? Suaranya keras. Aku takut, Mar...” kata Musalmah.

Maryati tunduk. Dadanya menahan rasa. Rupa-rupanya belum berakhir kejahatan yang ada di hati Tengku Hisyam terhadapnya.

“Mar, kita dah lama tinggal serumah. Tapi kau tetap membisu untuk bercerita mengenai diri kau. Sampai sekarang aku jadi curiga dan keliru. Mar...”

“Maafkan aku, Sal. Tak sepatutnya aku biarkan lelaki itu menelefon sampai ke sini. Tak sepatutnya dia tahu di mana aku berada,” kata Maryati memotong cakap Musalmah.

“Tapi, siapa Tengku Hisyam tu?”

“Bekas suami aku,” jawab Maryati tenang.

Kali ini Musalmah terdiam. Banyak yang dia ingin tanya, namun tiba-tiba lidahnya kelu untuk berkata. Hatinya mula menghitung sesuatu. Pasti ada yang tidak kena dengan kisah hidup Maryati. Mesti ada satu rahsia besar yang disimpannya selama ini.

“Aku masuk dulu. Nak solat isyak. Kau janganbimbang, Sal. Aku janji, lelaki tu tak akan ganggu kau lagi di sini. Aku janji.” Tiba-tiba Maryati berkata dengan sungguh-sungguh.

“Apa maksud kau, Mar?” Musalmah bertanya curiga.

“Kalau perlu aku akan pindah dari sini...”

“Mar! Bukan itu maksud aku. Kalau selama ini aku tahu kisah hidup kau, aku boleh hadapi semuanya dengan baik. Tapi, aku tak pernah tahu apa-apa,” kata Musalmah dengan wajah kesal. Dia tidak pernah berniat untuk menghalau Maryati dari situ. Tidak pernah.

Maryati senyum. Dia tahu Musalmah sahabat yang baik. Selama mereka tinggal sebumbung, tidak pernah dia rasa sakit hati dengan Musalmah.

“Sal, aku minta maaf sekali lagi kalau hal yang berlaku hari ini menyusahkan fikiran kau. Aku bukan nak berahsia. Tapi, terlalu banyak kisah sedih dan duka yang berlaku dalam perjalanan hidupku. Aku bimbang kalau kau tak mampu nak dengar. Jadi biarlah ia terus menjadi rahsia. Kalau lelaki itu telefon lagi, kau cakap tak tahu, sudah. Aku amat berharap, kau tak layan dia. Dia tu berbadan manusia, berhati syaitan dan berjiwa binatang!” Suara Maryati kasar dan bergetar. Akhirnya, dia berlalu meninggalkan ruang tamu dan Musalmah yang masih terkebil-kebil. Dia masuk ke bilik, menghempaskan diri ke katil. Hatinya berbungkal kesal. Bayangan wajah Tengku Hisyam muncul dengan tiba-tiba. Wajah yang cuba dilupakan sejak hari-hari terakhir ini, kembali menyesakkan dadanya.

“Engkau jangan lari dari aku. Kalau kau lari, kau akan tahu nasib kau! Aku cari kau hingga ke lubang cacing!”

“Apa lagi yang awak nak dari saya? Semua harta dan maruah diri saya dah habis. Awak dah lepaskan saya. Mahkamah pun dah sahkan perceraian kita. Jadi, jangan ganggu hidup saya lagi. Tolonglah!” rayunya dengan air mata. Namun lelaki itu ketawa, sinis dan menyindir.

“Saya tak nak awak jumpa anak-anak!”

“Tapi mereka tu anak saya.”

“Cuba tanya dengan mereka, siapa yang suka dengan awak. Malah mereka malu nak mengaku awak ni ibu mereka!”

“Sebab awak yang menghasut mereka. Awak yang jadikan hidup saya tebusan awak, kemudian awak paksa anak-anak saya membenci saya dengan cara terkutuk awak tu!” jeritnya sepenuh hati. Ketika itu tidak ada sesiapa pun yang mendengar jeritannya. Tengku Hisyam memang tidak berhati perut. Dia telah memutuskan kasih sayang seorang ibu dengan anak-anaknya dengan muslihat yang amat kotor dan jijik!

“Munirah, mama sayangkan Munirah dan adik-adik. Tolong jangan tinggalkanmama.”

“Tak. Kami tak nak ikut mama. Kami akan ikut papa. Kami tak mahu hidup dengan seorang ibu yang tak bermaruah!”

“Bukan mama yang yang tak bermaruah, tapi papa kamu. Dia yang menggadaikan maruah seorang isteri untuk kepentingan sendiri. Dia buat fitnah yang meloyakan,” jelasnya bersungguh-sungguh. Ketika itu tidak ada yang lebih bermakna di dalam hidupnya selain pengertian seorang anak. Sepatutnya Tengku Munirah, membela nasib seorang ibu daripada fitnah, bukan sebaliknya.Tengku Munirah sudah berusia sembilan belas tahun. Dia sudah dewasa untuk menilai semuanya.

Diam. Tengku Munirah tunduk.

“Munirah tahu apa yang berlaku pada mama? Munirah dah tengok apa yang papa buat pada mama sejak dulu. Kenapa tak ada anak-anak yang bela nasib mama? Kenapa semua biarkan mama terkontang-kanting menempuhi dugaan seorang diri?”

Masih diam.

“Mama dah tak ada apa-apa lagi selain anak-anak. Semua harta dan saham milik ibu, papa kamu dah jual. Semua wang simpanan mama, papa dah habiskan. Semuanya...” Dia teresak, mohon simpati Tengku Munirah sebagai anak yang sulung.Tengku Mukhlis yang berusia lima belas tahun dan Tengku Maisara yang baru berusia sepuluh tahun, hanya akan mengikut keputusan kakaknya.

Namun, Tengku Munirah terus berpaling dan melangkah pergi.

“Tolong jangan tinggalkan mama. Tolonglah...” Dia memegang tangan Tengku Munirah. Kemudian Tengku Hisyam muncul, menarik tangan Tengku Munirah dan berlalu pergi. Anak gadisnya itu mengikut tanpa meronta. Juga tanpa menoleh lagi.

Ketika itu, dia menjerit dan meraung. Air mata seorang ibu berjuraian seperti hujan di musim banjir. Beberapa orang datang memujuknya. Pekarangan mahkamah menjadi sebuah medan tangis seorang ibu.

Sudah beberapa tahun kenangan pilu itu berlaku. Namun segalanya dirasakan masih baru. Ia akan lebih berdarah, setiap kali Tengku Hisyam muncul.

“Sampai hati kamu, Munirah.” Tiba-tiba bibir Maryati terketar, merintih.

‘Jangan menangis, Maryati. Buat apa kau nak kenang mereka sedangkan mereka tak pernah ingat pada kau. Kau harus kuat. Kau harus bina hidup baru dengan semangat baru. Kau tak boleh lemah,’ pujuk hatinya. Seperti ada suatu kekuatan menyelusuri urat nadinya. Dengan tangkas dia bangun.

“Ya! Aku kena kuat. Tengku Hisyam! Aku tak takut pada kau! Aku hanya takut pada ALLAH!!” Dia menjerit dengan kuat. Dia seperti hilang kawalan diri.


Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.