Home Novel Keluarga APA DOSANYA?
APA DOSANYA?
Asmah Hashim
2/12/2018 15:04:43
47,948
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 6

Bunyi kicauan burung yang singgah hinggap di atas bumbung rumah jelas kedengaran.Bermain-main lunak di cuping telinganya. Cahaya matahari semakin pudar warnanya. Malam kian menjelang.  Adira yang berada di dalam rumah sengaja membiarkan daun pintu terbuka.  Sejak pagi tadi, bayang ibunya tidak kelihatan. Ke mana ibu sudah pergi? Bisik hati kecil Adira.  Dia semakin gelisah.  Resah hatinya, kacau jiwanya.  Ali pula, selepas balik sekolah, terus keluar dari rumah, masih juga belum balik lagi. Ain, seperti biasa leka dengan permainannya. Langsung tidak memperdulikan jiwa Adira yang sedang kacau bilau ini.

            Adira duduk di kaki tangga sambil menongkat dagu, sesekali matanya memandang ke arah Ain.  Allah! Hanya itu sahaja perkataan yang keluar dari mulutnya.  Tidak sabar ingin tahu apa yang sedang berlaku? Kalau ibu pergi menoreh, selalunya sebelum tengahari sudah pulang ke rumah. Ini tidak, sudah hampir senja. Masih tidak kelihatan.  Mana ibunya pergi?  

            Adira mendukung Ain, lalu turun ke bawah. Selipar berwarna kuning yang terletak di kaki tangga segera disarung.  Ain diletakkan di atas tanah.  Dia bergegas mendaki anak tangga dan menutup pintu rumah.  Dengan kudrat yang ada Adira mencepong Ain dan berjalan menuju ke kebun getah.

            Tercunggap-cunggap Adira berjalan sambil mendukung Ain yang agak berisi. Kegelisan hatinya semakin menebal. Kerisauan mencakar-cakar dalam hati. Peluh sudah membasahi tubuhnya. Rambutnya yang panjang diikat tocang dua berbuai kiri dan kanan mengikut langkah dan hentakan kakinya.  Jalan yang berturap tar dilalui selaju mungkin. Biarpun letih dan terasa lenguh tangannya, dia tetap meneruskan perjalanan.  Adira menuju ke kebun getah tempat ibunya selalu menoreh. 

            “Ibu!  Ibu!” laung Adira dari luar kebun.  Hari semakin gelap. Azan maghrib kedengaran di surau berhampiran.  Adira tidak berani melangkah masuk ke dalam kebun bersama Ain, takut ada binatang berbisa. 

            “Ibu!  Ibu!” sekali lagi Adira memanggil.Tiada sebarang jawapan. Hati Adira semakin kecewa. 

            “Ibu!”  Ain bersuara perlahan, seolah-olah dia turut ingin memanggil ibunya.

            “Ibu tak ada di sinilah Ain.  Kita ke rumah Mak Cik Liah, tentu mak cik tahu ke mana ibu pergi,”  cadang Adira.Dia berjalan lagi melalui jalan bertar itu. Kereta dan kenderaan lain yang lalu-lalang, langsung tidak sudi berhenti. Adira tidak pernah ambil peduli pandangan penduduk kampung terhadap keluarganya.  Biarlah, mereka bukan tahu masalah keluarganya. Mereka hanya tahu bercakap, mengata, dan mengumpat keluarganya sahaja.  Bukan dia tidak tahu. Tapi, dia malas nak ambil peduli. Langkahnya dilajukan. Sesekali dia membetulkan kedudukan Ain yang didukungnya itu. 

            Mereka masuk ke satu lorong yang bersih dan ditanam dengan pokok puding pelbagai jenis, ada yang berwarna merah, ada juga pelbagai warna dalam satu tangkai. Lampu jalan sudah terpasang, biarpun jaraknya agak jauh-jauh tetap ternampak jalan dan lorong yang harus dilalui. Adira meletak adiknya di kerusi yang ada di hadapan rumah batu setingkat itu.  Laman rumah terang benderang diterangi lampu kalimantang.

 Kerusi panjang menjadi tempat Adira melepaskan lelah kepenatan. Kereta Pak Cik Harun tidak ada, mungkin ke surau.  Lampu juga terpasang di dalam rumah, tentu Mak Cik Liah ada di rumah, bisik hati kecil Adira.  Dia bingkas bangun mendekati pintu.  Dia memberi salam beberapa kali. Tiada sebarang jawapan. 

Adira gelisah.  Mungkin Mak Cik Liah ikut Pa kHarun ke surau agaknya.  Adira mengeluh.   Terpaksalah dia menunggu pasangan itu balik dari surau. Kalau dia ke surau, jauh lagi perjalanannya,takut tidak larat nak berjalan pulang ke rumah nanti.  Ali tentu sudah balik ke rumah, pintu hanya diselak, tidak berkunci.

            Adira menyandarkan tubuhnya yang keletihan di kerusi sambil memeluk Ain. Dia memandang halaman rumah  itu yang dipenuhi dengan pokok-pokok bunga pelbagai jenis.  Mak Cik Liah adalah kawan baik ibu. Mereka berkawan sejak zaman sekolah.  Pak Cik Harun seorang kontraktor, tidak hairanlah rumah mereka besar dan  cantik.Jauh berbeza dari rumah keluarganya. Bunyi daun pintu dibuka, membuatkan Adira cepat menoleh.

            “Dira?  Buat apa di sini?”   Liah yang bertelekung mendekati anak gadis kawan baiknya itu.

            “Dira cari ibu. Sejak pagi tadi, ibu tak ada di rumah.  Dira tak tahu mana nak cari ibu,” luah Adira, dia mula menangis. Dia takut sebenarnya.  Takut ibu buat yang bukan-bukan.

            “Ibu ke rumah tok ketua agaknya? Kan ada kenduri hari ini,”  cerita Liah. 

            “Dira tak tahu pula,”  jawab Adira. Manalah dia tahu. Dia jarang bergaul dengan kawan-kawan sebaya atau kawan-kawan sekampung. Masa sehariannya banyak dihabiskan bersama Ain sahaja.

            “Kejap, mak cik buka telekung.  Nanti mak cik tumpangkan Dira ke rumah tok ketua,”  kata Liah dan berlalu masuk kedalam rumah.  Dia keluar lima minit kemudian.

            “Pak Cik Harun mana?” tanya Adira.

            “Ke surau, selepas itu ke rumah tok ketua, ada kenduri tahlil malam ini, Siang tadi ada kenduri kahwin,” ujar Liah.

            “Ain, apa khabar sayang?”  panggil Liah sambil mengusik pipi anak kecilitu.

            Ain hanya menyengih, menampakkan barisan giginya yang putih bersih. Pandai Adira menjaga kebersihan gigi adiknya, bisik hati kecil Liah.

            “Kenapa ibu tak balik langsung ke rumah?  Takkan sibuk sangat di rumah tok ketua?  Kamu berdua dah makan?”  tanya Liah sambil mengunci pintu rumahnya.Dia menapak ke keretanya. 

            “Sudah mak cik,” jawab Adira.  Dia makan tengahari tadi. Malam belum lagi.  Perutnya sudah berbunyi.  Tentu Ain juga, agaknya.

            “Masuk Dira, Ain,” pelawa Liah yang sudah pun berada di dalam perut keretanya. Pacuan empat roda berwarna hitam dipandu laju meninggalkan perkarangan rumahnya.

            “Mak cik, Dira minta maaf  bagi pihak ibu, sebab sepak mak cik,”  kata Adira teragak-agak.  Dia takut sebenarnya nak berjumpa sahabat ibunya itu. Dia tahu mereka berdua bergaduh, kalau tidak, takkanlah Pak CikHarun mengamuk hari itu.

            “Tak apalah Dira, gaduh adik-beradik,” kata Liah sambil tersenyum.  Kereta terus meluncur mengikut  had laju yangtelah ditetapkan.  Kawasan kampung, tidak boleh memandu laju. Kenderaan keluar masuk tidak kira masa.

            Adira memandang wajah Mak Cik Liah yang tenang memandu.  Nasib baik Mak Cik tidak berdendam dengan ibunya.  Kalau tidak, tentu wanita itu tidak mahu membantunya. 
Adira berharap ibunya ada di rumah tok ketua nanti.  Kalau tidak ada ke manalah dia nak mencari ibunya itu. Ke mana lagi ibunya nak pergi? Bukan ibunya pernah keluar dari kawasan kampung ini sejak berkahwin dengan arwah ayah.

            Sepuluh minit kemudian mereka sampai di rumah tok ketua. Laman rumah terpasang khemah berwarna putih.  Ada scallop berwarna krim. Meja dan kerusi juga sudah tersusun kemas. Terlihat beberapa orang kampung yang Adira kenal berada di bawah khemah.  Tetapi wajah ibunya masih tidak kelihatan.

            “Tak nampak pun ibu,”  ujar Adira. Matanya liar memerhati.

            Liah memberhentikan keretanya tidak berapa jauh dari kawasan khemah.  Mereka keluar serentak. 

            Adira mendukung Ain.  Biarpun lengannya berasa lenguh, dia tidak akan mengeluh.  Adiknya tidak berupaya berjalan sendiri. 

            “Adira, mak cik rasa, Dira tunggu dalam kereta. Biar mak cik cari di dalam,” cadang Liah. Simpati pula melihat Adira mendukung Ain yang hampir sama tinggi dengan gadis itu. 

            Adira mengangguk dan masuk semula ke dalam perut kereta. Dia menunggu dengan hati yang berdebar-debar.  Terasa seram sejuk tubuhnya.  Kepalanya ligat berfikir. Berserabut hatinya.Dia melihat  Mak Cik Liah bercakap-cakap dengan beberapa orang di situ. Masing-masing menggelengkan kepala. Semakin semak rasa di hatinya.  Sebak dadanya.  Ain yang dipangkuan dipeluk erat seperti melepaskan kelelahan di hati kepada adiknya itu.  Langkah Mak Cik Liah mendekati kereta dengan wajah suram membuatkan hatinya semakin dihimpit pilu.

            Pintu kereta sebelah pemandu dibuka.Liah melangkah masuk dan menutup pintu kereta semula.  Terdengar keluhan terlahir dari bibirnya.

            “Ibu tak ada ke mak cik?” tanya Adira dengan mata berkaca.

            Liah tidak tahu bagaimana hendak memberitahu anak gadis kawan baiknya itu. Ke mana pula perginya Maria? Sudah malam begini, takkan tidak balik lagi? 

            “Kita balik rumah, mungkin ibu dah balik,”  ajak Liah. 

            Adira mengangguk sahaja.  Dia tidak mampu bersuara.  Kalau dia bercakap, pasti air matanya akan mengalir. 

            “Ibu!” Ain bersuara.

            “Kita cari ibu ya, Ain,”  Liah mencubit pipi anak itu.  Simpati menerja dalam hati.

            “Adira dah makan?” tanya Liah,sesekali dia menoleh ke arah Adira yang banyak berdiam.

            “Dah mak cik,” jawab Adira. Dia sudah mula menangis.

            Liah semakin tidak keruan.   Pelbagai perkara sedang bermain di benaknya.

            Kereta berhenti di halaman rumah Adira yang gelap gelita.  Hanya pintu rumah terbuka.  Lampu dari dalam rumah menerangi laman rumah.  Ali pula sedang duduk di kaki tangga.

            Liah membuka pintu kereta dan melangkah keluar. Diikuti Adira yang mendukung Ain mendekati Ali.

            “Ibu dah balik?” tanya Adira lalu meletakkan Ain di kaki tangga sebelah Ali. Wajah Ali muram.  Masih berpakaian sekolah.

            “Mana ada ibu? Kak Dira pergi mana?”Soal Ali dengan wajah mencuka.

            “Ibu tak balik?” Liah pula bertanya.

            Ali menggeleng laju.

            Adira mengurut dada. Wajah Ain dipandang lama.  Hiba menikam-nikam hatinya. 

            Liah mengeluh berat. Dia memandang wajah ketiga-tiga anak itu dengan hati yang penuh simpati.  Takkan Maria tinggalkan anak-anaknya?  Dia ke mana?

            “Ali dah makan?” tanya Liah.

            “Dah,”  jawab Ali.

            “Kenapa tak salin baju? Tak solat ya?” tanya Liah lagi.

            Ali terdiam. Solat?  Sejak arwah ayah tiada, dia sudah lama tidak solat, Ibu juga begitu.

            “Pergi mandi, salin baju,” arah Liah.

            “Naik Dira, dah malam, gelap di luar ni,”  suruh Liah.

            Adira mengangkat Ain dan membawanya naik ke dalam rumah.

            Liah turut naik ke dalam rumah.  Akalnya masih berfikir, ke manalah Maria pergi?

 

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.