Home Novel Keluarga Papa Nak Menantu!
Papa Nak Menantu!
Hasrudi Jawawi
24/1/2014 17:27:32
109,512
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
BAB 17

| 17 |


SELEPAS diyakinkan beberapa kali, akhirnya wanita di hadapannya itu bersetuju juga untuk minum bersamanya di restoran itu.

“Kita tunggu Aidil kat sini ke?” tanya Delyna selepas pelayan beredar.

Dwan tidak terus menjawab.

“Minumlah dulu, awak mesti dahaga,” pelawa Dwan sambil menyedut minuman.

Delyna mengeluh halus. Minuman sejuknya disedut sedikit. Sekadar memenuhi pelawaan Dwan. Ingatkan sedut sedikit. Tanpa dia sedar, hampir separuh juga air di dalam gelasnya sudah disedut.

Tersengih Dwan melihat wanita di hadapannya itu. Dahaga sungguh dia ni, detik hatinya sambil menyembunyikan sengihan.

<div class="separator" style="clear: both; text-align: center;">
<a href="http://3.bp.blogspot.com/-WomV7nEk28g/Uz6lDErFeKI/AAAAAAAAErg/xJCI2lbuNgI/s1600/Azrin-Aidil.png" imageanchor="1" style="clear: right; float: right; margin-bottom: 1em; margin-left: 1em;"><img border="0" src="http://3.bp.blogspot.com/-WomV7nEk28g/Uz6lDErFeKI/AAAAAAAAErg/xJCI2lbuNgI/s1600/Azrin-Aidil.png" /></a></div>

“Sebenarnya, Aidil tak ada kat gim, dia kena jaga gim kat Taman Maju sejak petang tadi,” ujar Dwan.

Delyna memandang lelaki di hadapannya itu dengan pandangan bosan. Dia terasa tertipu.

“Kenapa awak tak cakap awal-awal?” rengus Delyna.

Dia bangkit berdiri.

“Nanti Lyna,” tahan Dwan.

Terhenti langkah Delyna.

“Saya tahu saya salah sebab tak beritahu awak yang Aidil tak ada kat gim. Tapi, please... duduklah dulu. Mungkin kita boleh berborak fasal dia,” ujar Dwan, cuba memancing minat Delyna.

Berkerut dahi Delyna lalu menoleh memandang Dwan.

“Macam mana awak boleh tahu nama saya?”

“Duduklah dulu. Minuman awak pun tak habis lagi.”

Mahu tak mahu Delyna terpaksa juga melabuhkan punggungnya semula. Moodnya sudah berubah.

“Aidil yang beritahu nama awak pada saya.”

Sekali lagi Delyna memandang curiga pada lelaki di hadapannya itu yang masih tidak diketahui namanya.

“Mesti awak dah tahu segala-galanya tentang saya melalui Aidil, kan?” duga Delyna.

Dwan tersenyum lalu mengangguk sekali. Minumannya disedut lagi.

“Tapi, saya cuma tahu cerita dari pihak dia aje. Dari pihak awak, saya tak tahu,” ujar Dwan sambil menyandarkan tubuh pada kerusi.

“Perlu ke saya ceritakan apa yang berlaku antara saya dan Aidil pada awak? Nama awak pun saya tak tahu,” ujar Delyna sambil menjeling ke atas.

Dia bengang. Pasti lelaki di hadapannya itu memikirkan hal yang negatif tentang dirinya.

“Terserah pada awak. Oh ya, sebelum terlupa, nama saya Dwan. Panggil aje Wan,” ujar Dwan, memperkenalkan diri.

Dia terlupa yang dia belum pernah memberitahu namanya pada wanita itu. Dia mengenali Delyna pun melalui Azrin Aidil. Ini pertemuan pertama mereka secara berdepan.

Delyna hanya mencebik.

“Ada aku tanya?” bisik Delyna sambil memandang ke arah lain.

“Apa? Awak cakap apa? Saya tak dengar.”

“Tak ada apa-apa Encik Dwan,” jawab Delyna dengan sengihan paksa.

Dwan mengeluh halus sambil mengambil nafas untuk memulakan bicara. Mindanya ligat memikirkan ayat yang sesuai untuk digunakan sebagai kata pembuka cerita. Niatnya mengajak Delyna minum bersamanya ketika ini hanya satu. Dia ingin tahu apa sebenarnya yang menyebabkan wanita itu beria-ia mahu kembali semula pada Azrin Aidil yang telah dia tinggalkan dua tahun lalu. Dia dapat rasa, ada sesuatu yang menyebabkan wanita itu beria-ia mahu mendapatkan hati Azrin Aidil semula.

“Kalau saya nak tanya sesuatu pada awak, boleh?”

Delyna memandang Dwan.

“Tanya ajelah. Muka saya ni kan, memang macam perempuan yang kerja kat kaunter pertanyaan tu,” perli Delyna sambil memandang ke arah lain.

Tergelak kecik Dwan mendengar jawapan Delyna itu. Loyar buruk pulak dia ni, detik hatinya.

“Aidil beritahu saya, awak nak kembali bersama dia semula. Betul ke?” soal Dwan.

Dia tetap mahu bertanya. Tidak kisahlah perempuan di hadapannya itu mahu fikir dia cuba menyibuk atau apa sekalipun. Yang penting dia mahu tahu apa yang dia perlu tahu.

“Awak kata, Aidil dah cerita semuanya pada awak. Dan saya yakin, dia akan cerita jugak pada awak apa yang kami bualkan setiap kali saya jumpa dia. Kenapa awak tanya soalan yang awak dah tahu jawapannya? Awak ni cuba duga saya ya?” soal Delyna selepas membebel panjang berjela.

Dwan tidak terkejut atau kaget. Dia sudah menduga Delyna akan memberi respons sedemikian.

“Ya, sebagai kawan baik dia. Dia menaruh sepenuh kepercayaan dia pada saya dan telah menceritakan segala-galanya tentang awak dan dia pada saya. Saya tanya awak, sebab saya nak tahu cerita dari pihak awak. Manalah tahu awak ada alasan yang lebih kukuh kenapa awak perlu kembali pada dia. Tapi, awak tak mampu nak beritahu dia alasan tu.”

“Seperti yang saya katakan tadi, perlu ke saya cerita pada awak?”

“Mungkin perlu, dan mungkin tidak. Tapi, jika awak ceritakan pada saya, mungkin saya boleh bantu awak untuk kembali semula pada dia. Siapa tahu, kan?”

Dwan cuba memujuk Delyna dengan helah kata-katanya. Minumannya disedut lagi.

Delyna memandang lama lelaki di hadapannya itu. Hatinya berbelah bahagi sama ada perlu atau tidak dia mempercayai lelaki di hadapannya itu.

*********

“BETULLAH, ni tempatnya,” ujar Nabila pada Shakir sambil terhendap-hendap di sebalik kereta yang terparkir di hadapan hotel bertaraf tiga bintang itu.

Disebabkan kerisauan Shakir pada Syahirah, dia pula terpaksa menjadi spy tidak bertauliah ketika ini.

“Betul ke? Kalau salah, macam mana?” soal Shakir, masih sangsi.

“Kau tak nampak huruf-huruf bercahaya kat atas tu?” soal Nabila sambil menunjuk ke arah atas bangunan 25 tingkat di hadapan mereka itu.

Terpampang di puncak bangunan hotel itu perkataan Hotel Garden dengan huruf bercahaya warna hijau.

Shakir mendongak. Dia tersengih selepas melihat perkataan bercahaya itu.

Nabila sudah buat muka sakit hati sambil menyilang tangan di dada.

“Sorry Ila, tak perasan pulak,” ujar Shakir sambil mengaru-garu belakang kepala yang tidak gatal.

Nabila menjeling langit yang gelap. Menyampah!

“So, nak masuk ke tak?” tanya Nabila.

Shakir memanjangkan leher memandang ke dalam bangunan di hadapan mereka itu.

“Kat mana kafeteria hotel ni?” tanya Shakir lagi.

Nabila sudah buat muka bosan. Ada jugak yang aku hempuk dengan kasut saiz enam aku ni, getus hati Nabila sambil menahan geram.

Shakir tergamam apabila melihat Nabila buat muka tidak puas hati di sebelahnya.

“Aku salah tanya ke?”

“Aku rasa kau kena pakai cermin matalah, Shak,” cadang Nabila.

Dia rasa Shakir wajib bercermin mata selepas ini.

“Kau nampak tak, manusia kat dalam tu tengah buat apa?” sambung Nabila.

Shakir melihat ke arah yang dimaksudkan.

“Dia orang tengah makan. Kenapa?”

“Aduh!” ujar Nabila sambil menepuk dahi.

Dia hanya mampu bersabar.

“Kau rasa dia orang ni semua makan kat dalam tandas ke?” tanya Nabila lagi.

Dia cuba menyedarkan Shakir apa yang dicarinya sejak tadi ada di hadapannya matanya.

Shakir memandang lagi ke arah yang dimaksudkan. Tertera di pintu sebelah kanan perkataan ‘Cafeteria’. Dia tertunduk malu.

“Sorry Ila.”

Nabila mengeluh bosan.

“Dahlah, jom kita cari Syah kat dalam,” ajak Nabila.

Dia mula menyusun langkah mendekati kafeteria itu.

Shakir mengekori Nabila dari belakang. Sampai di tepi kafeteria hotel itu, mereka menyembunyikan tubuh masing-masing di sebalik dinding. Perlahan-lahan dia menghendap ke dalam kafeteria itu mencari kelibat Syahirah dari balik cermin lut sinar di sebelah mereka. Dari cermin lut sinar itu mereka dapat melihat apa yang ada di dalam kafeteria itu.

“Ada tak Syah kat dalam?” tanya Shakir.

“Aku tak nampak dia lagi,” jawab Nabila.

“Hotel ni cuma ada satu kafeteria aje ke? Entah-entah dia kat kafeteria lain,” ujar Syakir, menimbulkan persoalan.

“Hisy, mana ada. Biasanya hotel tak berapa nak gah macam ni cuma ada satu kafe aje,” sangkal Nabila.

Shakir turut menghendap ke dalam kafeteria.

“Eh, tu Syah, kan?” soal Shakir, ingin kepastian.

Dia sudah terlihat kelibat Syahirah.

“Mana?” tanya Nabila sambil mencari kelibat Syahirah.

“Tu, kat tepi dinding tu,” ujar Shakir sambil menjuihkan bibir ke arah satu sudut restoran..

Nabila memandang ke arah yang dimaksudkan Shakir. Kelihatan Syahirah bersama seorang lelaki yang agak bergaya di hadapannya. Disebabkan lelaki itu duduk membelakangi mereka, maka mereka tidak dapat melihat wajah lelaki yang digelar Dato’ Z itu selain wajah Syahirah sahaja.

“Syah tu memang cakap tak serupa bikin,” keluh Shakir.

Dia lalu berdiri di sebalik dinding.

Nabila yang terhendap-hendap mula menjauhkan diri dari dinding lut sinar kafeteria itu lalu menghampiri Shakir.

“Kenapa kau cakap macam tu?” soal Nabila.

“Tadi, masa kat studio, beria-ia dia cakap tak nak makan dan minum apa-apa makanan. Kau tak nampak ke apa dia buat tadi? Bukan main pelahap dia melantak makanan dia,” rungut Shakir.

Nabila kembali mengintai ke dalam kafeteria dari sebalik dinding itu. Ya, betul kata Shakir. Kelihatan Syahirah begitu gelojoh menjamah makanannya. Seketika kemudian, dia kembali berdiri di sebelah Shakir.

“Haahlah, bukan main sedap dia melantak udang galah tu.”

“Tulah, dia tak risau ke kalau orang tua tu letak dadah ke? Pil khayal ke?”

“Tapi kan, kalau aku jadi dia, takkan aku nak tolak rezeki depan mata. Besar gila udang galah tu. Ingat senang ke nak dapat makan udang galah sebesar alam tu,” ujar Nabila dengan memek muka teruja.

Shakir buat muka bosan sambil memandang Nabila.

“Kau ni dengan Syah, sama ajelah.”

Shakir terasa seperti buang masa bercakap dengan Nabila. Sangkanya gadis itu mahu menyebelahinya. Ternyata tidak. Boleh pula Nabila menyokong tindakan Syahirah.

“Eh, kau nak ke mana pulak tu?” tanya Nabila apabila Shakir tiba-tiba melangkah meninggalkan kafeteria itu.

“Baliklah, takkan nak tunggu kafe ni tutup kut.”

Shakir sudah berjauh hati. Dia merasakan dia sedang diperbodohkan. Walaupun perkara yang dilakukan oleh Syahirah itu bukanlah hal besar. Tetapi baginya, Syahirah sudah mengkhianatinya. Hakikat yang sebenar, dia risau jika Syahirah diperdaya oleh lelaki tua itu. Sebab itu jiwanya tiba-tiba menjadi sensitif tidak tentu fasal.

“Balik?” soal Nabila dengan terkejut.

Dia menahan langkah Shakir.

“Takkan kau nak biarkan Syah macam tu aje. Kalau orang tua bangka tu buat apa yang kau cakapkan kat studio tadi, macam mana? Campak mayat Syah dari tingkat 20?” sambung Nabila.

Dia memandang ke atas. Melihat aras 20 bangunan hotel itu. Agak tinggi dan menggerunkan.

“Lantak dialah. Dah dia mengada-ngada makan makanan yang orang tua tu pesan, kenapa? Nasib dialah,” balas Shakir dengan nada yang agak kasar.

Nabila tersengih.

“Marah nampak? Kau ni sebenarnya

“Eh, mana ada. Aku cuma rasa diperbodohkan. Kita ni punyalah risau fasal dia. Dia pun dah kata tak nak makan atau minum apa-apa aje makanan atau minuman yang orang tua tu pesan. Alih-alih, dia bedal semua makanan yang ada. Cakap tak serupa bikin!” tegas Shakir.

“Ala Shak, kau mengaku ajelah yang kau sebenarnya cemburu sebab Syah tetap nak jumpa Dato’ Z dia tu, kan? Kau risau Syah betul-betul terima Dato’ Z tu sebagai suami dia, betul tak?” ujar Nabila dengan yakin.

Shakir berpaling membelakangi Nabila sambil menyilang tangan di dada.

“Apa-apa ajelah. Kalau aku cakap risau pun, kau akan tetap fikir aku jealous. Aku nak kata apa lagi?”

“Tapi, tu hakikat yang sebenarnya, kan?”

“Shak?”

Suara itu membuatkan Nabila dan Shakir seperti tertelan ubat gegat. Suara yang cukup mereka kenali. Perlahan-lahan Shakir dan Nabila memandang ke arah suara itu yang betul-betul datang dari belakang mereka.

Seperti diduga, Syahirah berada di belakang mereka ketika ini. Belum sempat Shakir mahupun Nabila bersuara, tiba-tiba Syahirah melangkah laju mendapatkan Shakir lalu dia memeluk tubuh Shakir seeratnya sambil menangis tersedu-sedan. Mereka berdua tergamam.


Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.