Home Novel Keluarga My Sweet Tom Girl
My Sweet Tom Girl
Zulfati Hanis
22/3/2015 21:31:35
66,130
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 3

BAB 3

“Selamat pagi, Cik Hana.”

“Selamat pagi Kak Siti.” Farhana menarik kerusi untuk dirinya duduk. Dicapai pinggan dan menyenduk nasi lemak untuk dirinya.

“Cik Hana makan dulu ya. Kak Siti nak ambik air susu untuk Tan Sri,” ujar Kak Siti seraya terus ke dapur.

Farhana menjamah nasik lemak yang sudah digaul bersama sambal sotong. Dahinya berkerut sedikit.

“Emm..sedap pulak sambal sotong ni. Resepi mana Kak Siti dapat ni?” Farhana tertanya-tanya sambil menyuap lagi nasi lemak ke mulutnya.

“Hai anak dara ami ni bukan main berselera lgi. Tak nampak orang lain lagi dah ni.” Puan Sri Yusni yang baru turun mengusik Farhana yang sedang bersarapan sendirian.

“Opss…sorry ami, Hana ada kelas pagi ni. Tu yang nak kena cepat sarapan. Ami…cuba ami dengan abi rasa nasik lemak sambal sotong Kak Siti ni. Sedap,” gesa Farhana.

“Pagi ni bukan akak yang masak, Cik Hana,” ujar Kak Siti yang baru muncul dari dapur. Diletakkan mug berisi air susu panas di atas meja makan untuk Tan Sri Jalal.

“Bukan Kak Siti yang masak? Kak Siti beli dekat mana?” soal Farhana.

“Akak tak beli. Tapi Tim yang masak.”

“Tim masak?” soal Puan Sri Yusni sambil berpandangan dengan suaminya.

“Haah, Puan Sri. Subuh-subuh lagi dia dah bertukang kat dapur. Tak sempat saya nak halang. Katanya dia segan kalau duduk saja aje kat sini,” jelas Kak Siti seperti yang dikatakan oleh Fatimah Dhaniyah kenapanya subuh tadi.

“Siti, Tim mana? Dia tak sarapan sekali ke?” tanya Tan Sri Jalal bila tidak nampak kelibat Fatimah Dhaniyah di meja makan bersama dengan mereka.

“Aaa…dia ada dekat luar, Tan Sri. Tengah siram pokok bunga.”

“Siram pokok bunga? Kamu suruh ke, Siti?” Puan Sri Yusni terkejut. Tan Sri Jalal dan Farhana sama-sama menoleh memandang Kak Siti.

“Eh…taklah, Puan Sri. Dia yang nak buat sendiri. Saya dah halang dah tadi. Tapi dia buat tak dengar aje.”

“Humm…kamu panggil dia ke sini kejap, Siti,” ujar Tan Sri Jalal.

“Baik, Tan Sri.”

Kak Siti berlalu ke dapur dan seterusnya ke pintu belakang untuk memanggil Fatimah Dhaniyah.

“Tim!...Tim!...Mari sini kejap!” laung Kak Siti dimuka pintu belakang.

“Ada apa, kak?” Fatimah Dhaniyah menyahut.

“Marilah sini kejap. Tinggalkan aje kerja tu kejap!”

Fatimah Dhaniyah menutup pili air dan berlalu mendapatkan Kak Siti yang masih menantinya di depan pintu belakang.

“Kenapa akak panggil saya tadi?” soal Fatimah Dhaniyah sebaik dia menghampiri Kak Siti.

“Tan Sri nak jumpa. Pergilah dekat meja makan utama tu. Dia orang tengah sarapan tu.”

“Sekarang ke, kak?”

“Iya, sekarang. Pergi cepat.”

Fatimah Dhaniyah mengangguk. Dia mengesat tangannya yang basah pada hujung baju t-shirtnya dan membetulkan kedudukkan tudung yang dipakainya sebelum berjalan menuju ke arah ruang meja makan utama.

“Assalamualaikum, Tan Sri, Puan Sri, Cik Hana.”

“Waalaikumussalam.” Mereka bertiga menjawab salam serentak.

“Duduk sarapan sama, Tim.”Puan Sri Yusni mempelawa.

“Aaa..tak apa, Puan Sri. Baju saya ni kotor. Nanti kotor pulak kerusi. Saya sarapan dekat belakang ajelah.” Fatimah Dhaniyah menolak dengan ramah.

“Siku Tim dah baik ke? Tak rasa sakit lagi?” Tan Sri Jalal bertanya sambil memandang siku gadis itu.

Fatimah Dhaniyah menoleh memandang Tan Sri Jalal. Hatinya berbunga bahagia bila ditanya begitu oleh Tan Sri Jalal.

“Luka sikit aje, Tan Sri. Boleh angkat tangan ni kira okeylah tu,” jawab Fatimah Dhaniyah berseloroh.

Puan Sri Yusni dan Tan Sri Jalal yang mendengar tersenyum.

“Kak Tim, nasik lemak Kak Tim ni sedaplah.” Farhana yang dari tadi senyap tiba-tiba mencelah, memuji.

“Alah…masak main campak-campak aje, Cik Hana.” Fatimah Dhaniyah merendah diri. Setakad masak nasi lemak ni dari kecik dia sudah diajar oleh tok ibu dan arwah ummi. Tak susah mana pun untuk menyediakannya.

“Selain masak, Tim pandai buat kerjarumah apa lagi?” soal Puan Sri Yusni.

“Tak adalah pandai macam-macam benda, Puan Sri. Bertukang sikit-sikit tu insya-ALLAH bolehlah. Tapi walaupun nampak saya ni ala-ala tomboi tapi bab memasak, mengemas rumah tu tak ada hal punyalah Puan Sri. Kacang aje,” jawab Fatimah Dhaniyah dengan nada selamba.

“Jadi sebelum datang sini kat kampung Tim tak kerja, lah? Buat kerja rumah aje, ya?” soal Puan Sri Yusni lagi. Ingin jugak dia tahu pengalaman kerja Fatimah Dhaniyah sebelum ini.

“Eh…taklah Puan Sri. Kat kampung dulu saya buat macam-macam kerja. Bendang buat, operator pengeluaran pun ada. Bawak teksi pun pernah, Puan Sri. Asalkan dapat buat duit yang halal, saya buat aje apa-apa kerja.”

Hati Puan Sri Yusni berbunga gembira. Dia memandang suaminya dan mengangguk.

“Mmm…apa kata kalau Tim bekerja dengan kami sebagai driver?” Tan Sri Jalal menawarkan pekerjaan kepada Fatimah Dhaniyah.

Fatimah Dhaniyah terbukam sekejap. Driver? Habis Abang Samad macam mana? Tak kan sebab hal semalam Abang Samad kena buang kerja. Aduh…kesianlah pulak kat Abang Samad. Hati Fatimah Dhaniyah dipagut rasa bersalah tiba-tiba.

“Habis Abang Samad?”

Tan Sri Jalal tersenyum mendengar pertanyaan Fatimah Dhaniyah.

“Samad masih driver saya. Tapi Tim akan jadi driver anak saya.”

“Driver Cik Hana?” soal Fatimah Dhaniyah untuk kepastian.

“Eh…nak jadi driver Hana buat apa Kak Tim. Hana ada lesen memandu kereta, lah.” Farhana mencelah.

“Bukan Hana. Tapi sebagai driver kepada abang Hana. Anak sulong saya, Ahmad Uwais. Tapi sekarang ni dia tak ada dekat sini. Dia ada kerja di Dubai. Sehari dua lagi dia akan balik dan nanti saya akan kenalkan Tim dengan dia,” jelas Tan Sri Jalal pulak.

“Ha?” Fatimah Dhaniyah hampir tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Ya ALLAH, terima kasih kerana memudahkan kerja ku ini. Dia mengucap syukur di dalam hati. Girang hatinya dengan tawaran yang tidak disangka-sangka ini.

“Tim setuju tak dengan tawaran saya ni?” tanya Tan Sri Jalal untuk kepastian. Kalau setuju dia akan suruh pekerjanya keluarkan surat tawaran secepat mungkin.

“Tapi saya tak tahu jalan-jalan dekat KL ni, Tan Sri,” ujar Fatimah Dhaniyah sekadar beralasan.

“Soal tu Tim jangan risau. Nanti Samad akan ajar cari guna GPS. Mudah aje nak guna GPS tu. Lama-lama nanti Tim mahirlah jalan sekitar Lembah Klang ni.”

“Kalau Tan Sri dah cakap macam tu, saya ikut ajelah. Terima kasih Tan Sri sebab bagi saya peluang kerja. Saya janji saya akan kerja dengan rajin. Cuma…”

“Laa…apa lagi?” soal Tan Sri Jalal.

“Tan Sri boleh tak bagi dulu gaji pertama saya. Saya nak cari rumah atau bilik sewa. Saya tak ada duit nak bayar deposit sewa,” ujar Fatimah Dhaniyah tersengih. Dia sekadar ingin menduga hati lelaki bernama Tan Sri Jalal ini.

Tan Sri Jalal tergelak. Puan Sri Yusni pun sama tergelak.

“Tim, tawaran kerja yang Tan Sri bagi ni termasuk pakej penginapan. Tim boleh tinggal dekat sini selagi Tim bekerja dengan kami,” jawab Puan Sri Yusni bagi pihaknya dan suami.

Fatimah Dhaniyah mengangguk setuju. Peluang dah ada depan mata, tak kan nak dilepaskan macam tu saja. Jauh di sudut hatinya dia memuji insan didepannya saat ini. Baik jugak dia orang ni. Walaupun baru kenal aje dengan aku, Tapi dah tawarkan kerja.

Ya ALLAH, terima kasih kerana memakbulkan doa hambaMu ini untuk berada lebih lama di dalam keluarga ini. Fatimah Dhaniyah memanjatkan rasa syukur.

“Dahlah tu. Mari sarapan dengan kami. Duduk dekat sebelah Hana tu,” gesa Puan Sri Yusni sambil menghulurkan pinggan kepada Farhana untuk dibagikan kepada Fatimah Dhaniyah.

“Eeerr…tak apalah Puan Sri. Saya ada kerja lagi yang belum siap kat luar tu. Nanti saya sarapan dengan Kak Siti aje. Saya mintak diri dulu.” Fatimah Dhaniyah berlalu untuk menyudahkan kerja-kerjanya dengan hati yang gembira.



Sebuah teksi berwarna biru berhenti di depan pintu pagar rumah Tan Sri Jalal. Sementara menunggu pemandu teksi mengeluarkan beg bagasinya, Ahmad Uwais berdiri di depan pintu pagar. Dia cuba mengintai kalau-kalau Kak Siti ada di depan rumah sambil menyiram pokok bunga.

“Encik, beg ininya.”

Ahmad Uwais memandang beg bagasinya. Kemudian dia memandang pemandu teksi tadi.

“Terima kasih.”

Sebaik pemandu teksi itu berlalu Ahmad Uwais berjalan menghampiri pintu pagar kecik.

“Aduh…kunci pulak pagar ni. Kunci aku dalam beg besar ni pulak. Malasnya aku nak pungah beg ni.” Ahmad Uwais merungut sebelum jarinya menekan loceng.

“Tim...tolong tengok siapa ada dekat luar tu kejap. Akak tengah cuci bilik air ni. Kalau ada orang jual-jual datang kau cakap aje tak nak. Tak payah layan. Kat sini selalu jugak jurujual datang nak kenalkan macam-macam jenis produk.”

“Okey…okey…tak ada hal tu, Kak Siti. Saya boleh bereskan.”

Fatimah Dhaniyah pantas berlalu dan berdiri di depan pintu utama. Dia memandang ke arah pintu pagar. Ada seorang lelaki yang berpakaian jubah paras lutut. Dan berseluar slack. Muka berjambang pulak.

“Tok Arab ni datang nak jual apalah pulak. Beg yang dia bawak sikit punyalah besar. Entah-entah dia nak jual minyak attar kot? Ataupun minyak angin? Ke minyak urat?” macam-macam jenis minyak keluar dari mulut Fatimah Dhaniyah. Matanya masih lagi memerhatikan gerak-geri lelaki Arab yang setia berdiri di depan pintu pagar utama rumah Tan Sri Jalal.

“Hai…Kak Siti ni dengar ke tidak ni? Dari tadi aku tekan loceng tak nampak pun batang hidung dia. Loceng tak function ke? Hisy…” Ahmad Uwais mengomel sambil bercekak pinggang.

Bosan menunggu. Ahmad Uwais menjerit memanggil Kak Siti.

“Kak Siti! Bukak pintu pagar ni!”

“Huh!...Tok Arab tu kenal Kak Siti ke? Boyfriend Kak Siti kot. Cayalah Kak Siti ni. Cari boyfriend Tok Arab,” omel Fatimah Dhaniyah sambil memerhatikan gerak-geri Tok Arab itu.

“Kak...boyfriend akak cari akak!” laung Fatimah Dhaniyah.

“Boyfriend? Masa bila aku ada botfriend?” Kak Siti tertanya sendiri bila terdengar jeritan Fatimah Dhaniyah.

Kak Siti menjengok keluar sedikit kepalanya dari bilik air.

“Weii…akak mana ada boyfriend. Kau mengarut apa ni, Tim?”

“Habis tu ada Tok Arab kat luar tu tahu nama akak!”

“Tok Arab? Apalah yang budak Tim ni mengarut ni.” Kak Siti mengaru kepalanya. Entah-entah bangla jual karpet tu tak? Dia memang tahu nama aku. Alah…time macam nilah nak datang jual karpet pulak.

“Tim, kau halau ajelah Tok Arab tu. Akak malas nak layan. Banyak lagi kerja akak nak buat ni,” laung Kak Siti yang kembali menyambung kerjanya.

“Okey!” jawab Fatimah Dhaniyah dan kembali memandang ke arah pintu pagar utama. Fatimah Dhaniyah menyarung selipar dan berjalan menghampiri pintu pagar.

Kening Ahmad Uwais berkerut bila melihat wajah asing menghampirinya. Aku ni salah rumah ke? Tapi rasanya betullah ni rumah aku. Siapa minah ni? Pakai tudung, tapi gaya jalan dah macam bonzer. Tak kan kawan Hana? Kebanyakkan kawan kolej Hana aku kenal. Tomboi ni first time aku tengok ni. Ahmad Uwais mengomel sendirian dalam hati.

“Kau siapa?” soal Ahmad Uwais sebaik tomboi itu berhenti didepannya. Mereka hanya dipisahkan dengan pintu pagar.

Huish!...Tok Arab ni boleh tahan kurang ajar dia. Tanya aku macam samseng aje. Dia ingat dia punya samseng aje. Dia tak tengok samseng aku lagi.

“Kau tanya aku? Kau tu siapa? Datang rumah orang terjerit-jerit macam beruk.”

“Kau kata aku, beruk?” bulat mata Ahmad Uwais. Mendidih hatinya bila minah tomboi yang tak dikenali mengutuknya.

“Aku kata macam beruk. Tapi kalau kau rasa diri kau tu beruk, baguslah.”

“Kurang ajar!” muka Ahmad Uwais sudah merah padam dibuatnya. Inilah pertama kali dia disindir seperti ini.

“Eeerr…cakap orang kurang ajar. Dia yang kurang ajar dulu. Helo Tok Arab! Kalau nak jual minyak attar ke, minyak urat ke, jual kat rumah orang lainlah. Satu lagi jangan kacau Kak Siti. Dia tak suka. Faham?”

“Apa yang kau merapu ni, ha? Bukak pintu pagar ni, cepat! Aku nak masuk!”

Hisy…Tok Arab ni. Tak faham bahasa melayu gamaknya. Eh…tapi dah dia ni Tok Arab, memanglah dia nak faham bahasa melayu sangat, kan? Aku nak translate dalam bahasa arab aku tak pandai pulak. Macam mana ni?

“Hoi, kau pekak ke! Bukak pintu pagar ni!” sekali lagi Ahmad Uwais menjerit. Hatinya benar-benar panas sekarang ini.

“Ewah…ewah…ewah…ikut sedap lidah kau aje cakap aku pekak ek? Lu memang nak cari gaduhlah, der!” Fatimah Dhaniyah sudah menyinsing lengan bajunya. Darahnya sudah menyirap sampai ke kepala.

“Aku yang cari gaduh ke kau! Bukak pintu pagar ni!” makin tinggi nada suara Ahmad Uwais.

Fatimah Dhaniyah senyum sinis. “Bukak pintu pagar ni? Tunggu kejap ek.”

Fatimah Dhaniyah berjalan menghala ke pili air. Dibukak pili air dan dihalakan hos paip menghala ke arah pintu pagar.

“Kau nak buat…”

Belum sempat Ahmad Uwais menyudahkan ayatnya, badannya tiba-tiba dihujani dengan limpahan air paip. Habis basah pakaiannya.

“Oii…basahlah!” laung Ahmad Uwais dengan suara lantang.

“Padan muka! Tak faham bahasa sangat.” Bidas Fatimah Dhaniyah yang terus menghalakan hos paip ke arah lelaki Tok Arab itu.

“Ya ALLAH…Tim! Kau buat apa ni?” terjerit Kak Siti bila melihat anak majikannya dimandikan oleh Fatimah Dhaniyah.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.