Home Novel Fantasi Hikayat Cinta Semesta
Hikayat Cinta Semesta
ainRAZAK
15/4/2021 21:42:39
10,560
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
BAB 1

Suatu ketika dulu, di daerah yang sama, di negeri yang serupa. Di mana bumi Dia kita pijak, di situ langit Dia kita junjung. Dalam kemelut persengketaan yang melanda, kau dan aku, kita dipertemukan. 



Cinta merantai jiwa. Menjalin rasa yang mulai bertunas. Dibajai butiran sayang, disirami embun kasih. Mekar bersama haruman kebahagiaan duniawi.



Namun, segalanya hanya sebentar cuma. Kau dibawa pergi bersama arus pawana. Hilangmu bak kabus yang ditiup pergi angin. Tanpa sekelumit jejak yang ditinggalkan. 



Dan aku sentiasa merindui jasad dan juga jiwamu yang sudah sebati dalam diri. Meskikah ada lagi pertemuan, walau aku tahu tidak mungkin berpeluang?



Hela nafas dilepaskan. Pandangan dialih pada yang tersayang. Cuba memberikan sepenuh perhatian.



"Kiambang mahunya apa ya nak?" Soal Mustaza ingin tahu.



Ditatap wajah puteri satu-satunya hasil perkongsian hidup antara dia dan Kencana Dewi. Wajah murung puteri tunggalnya ditolak mendongak memandangnya. 



Dibiar mata mereka saling bertatapan.



Sang puteri itu menggelengkan kepala. Bibir masih lagi dimuncungkan. Mustaza menarik nafas dalam. Kemudian dilepaskan perlahan-lahan.



Bahu Kiambang diraih ke dalam pelukan. Menjalarkan rasa kasihnya yang tidak pernah pudar.



"Kiambang rindukan bonda ya?" Duga Mustaza kemudiannya.



Kiambang masih lagi tidak berkutik. Bicara sang ayah tidak bersambut. Jiwanya galau dalam persoalan yang tidak bertemu jawapan.



Helaan nafasnya terasa berat. 



Mustaza tahu, anaknya itu sangat merindui Kencana. Dia juga sama. Sangat merindui arwah isterinya. Tiap saat dan ketika bahkan tidur malamnya juga bertemankan helaian persalinan kesayangan sang isteri.



Pemergian Kencana Dewi seolah menarik separuh jiwanya turut pergi bersama. Tetapi demi kelangsungan hidup seorang Kiambang Cinta, dia harus menyedarkan diri. 



Kiambang memerlukan dia!



Ya, bukan mudah untuk dia berada ditahap yang dia berada sekarang ini. Melawan perasaan yang saling bertingkah semenjak pemergian Kencana Dewi. 



Apa yang pastinya, masa hadapan perlu dia tempuhi tanpa seorang isteri yang dia cintai. Untuk mencari pengganti, mungkin hanya dalam mimpi. Tidak akan sesekali dia khianati cinta yang telah termeterai.



Itu janji Mustaza.



"Kiambang, Kiambang!" Laungan dari arah luar kediaman, buat mereka tersentak.



Seketika kemudian, muncul seorang jejaka tampan dengan lengkap berpakaian pahlawan melayu sejati. Bertengkolok indah di atas kepala.



Segak!



Mustaza menghulurkan senyuman manis.



"Maafkan saya Tuan Putera kerana ..."



Putera Malique Al-Muhammadi mengangkat kedua belah tangannya. Mengisyaratkan agar lelaki sebaya ayahandanya dihadapan itu mematikan butir bicara.



"Izinkan saya pujuk Kiambang?" pinta Putera Malique.



Perlahan-lahan Mustaza menganggukan kepala. Dia bingkas berdiri. Memberi ruang untuk sang dara dan sang teruna mengatur bicara.



Putera Malique menghampiri Kiambang yang sedang bersantai diatas kerusi kayu buatan tangan tukang kayu termasyur kerajaan mereka. Sungguh halus seni ukirannya. 



Duduknya dilabuhkan bersebelahan Kiambang. Namun jarak antara mereka dijauhkan sedikit. Putera Malique tahu batas pergaulannya.



Mustaza meninggalkan dua remaja itu bersendirian. Dia yakin dan pasti, hanya Putera Malique sahaja mampu memujuk Kiambang saat anak gadisnya bermuram durja. 



"Kiambang ... " Seru Putera Malique perlahan. 



Tangan kekar miliknya dinaikkan. Niat Putera Malique mahu menyentuh ubun-ubun Kiambang. Namun perbuatannya terhenti separuh jalan. Lupa seketika yang Kiambang masih bukan milik dia sepenuhnya.



Kiambang berpaling menatap wajah putera idaman hatinya. Tidak semena-mena air mata gugur membasahi pipi.



"Kenapa Kiambang? Cuba kau khabarkan pada aku. Agar aku bisa menolongmu meringankan beban di pundakmu" bicara Putera Malique penuh keikhlasan.



"Aku ... Aku ..." 



"Aku apa Kiambang? Kau perlu nyatakan rasa dibenakmu agar aku bisa memahami kesulitan jiwamu" pintas Putera Malique segera.



Wajah Kiambang ditatap penuh kasih. Dia sendiri gundah gulana melihatkan si jantung hati redup wajahnya.



Kiambang mengesat air mata yang masih lagi bersisa. Dia tertunduk malu. Keperihatinan Putera Malique begitu menyentuh hati, buat dia tersipu sendiri.



"Kiambang Cinta ...." Seru Putera Malique. Penuh getaran cinta dijiwa menutur nama bakal permaisuri hati.



Kiambang meluruskan pandangan. 



Dia perlu meluahkan permasalahan yang tersirat dibenaknya. Harus apa dia menanggung sendirian andai ada separuh jiwanya boleh berkongsi bersama.



Putera Malique. 



Jejaka idaman seluruh Negeri Bima Utara Sakti. Negeri kelahiran dia dan juga ayahnya. Tetapi sayang sekali, negeri ini bukan negeri kelahiran bonda yang telah pergi meninggalkan dia dan ayah sedekat yang lalu. 



Masih segar diingatannya. Negeri yang dipanggil Kedah, yang terletak dibawah jajahan negara yang dipanggil Malaysia.

 


Negeri yang pernah sang ayah ceritakan pada dia. Namun, Kiambang belum pernah berpeluang menjejakkan kakinya ke negeri yang penuh dengan misteri itu.



Dia sangat-sangat berharap, agar Putera Malique bisa membawanya ke Negeri yang dimaksudkan sesegera mungkin. Seperti yang pernah di janjikan oleh jejaka itu. 



"Kau bisa menunaikan janjimu dulu?" Soal Kiambang ingin tahu.



Matanya bersinar-sinar. Penuh berharap agar permintaannya dapat ditunaikan oleh Putera Malique.



Putera Malique mengangguk penuh yakin.



"Kau berjanji pada aku? Kekasih jiwa dan ragamu? Benar kau takkan mungkiri janji kita? Jika kau mungkir, punahlah jiwaku. Hancur segala harapan yang aku kumpul" ujar Kiambang sedih. Dia cuba menagih simpati.



Putera Malique tersenyum nipis.



"Sebelum aku tunaikan janji aku, kau juga perlu tunaikan janjimu dulu. Apa kau masih ingat yang kita pernah ... " Putera Malique berjeda.



Kiambang mengangguk kepala perlahan.



"Tapi ... "



Kiambang melepaskan keluhan. Ada sesuatu yang menganggu fikirannya tika ini.



"Untuk apa makna keluhan itu wahai kekasih hatiku? Apa yang kau khuatirkan?" Putera Malique memintas.



Dia tidak bisa melihat Kiambang gundah gulana begitu. Hatinya sendiri bagai tersiat tatkala melihat kemuraman cinta hatinya.



"Apa maksud ayahandamu memerintahkan ayahku keluar dari Negeri Utara Bima Sakti? Adakah ayahku perlu menjalankan misi seperti yang dirancangnya 50 tahun dahulu?"



Putera Malique terkesima demi mendengar soalan yang diutarakan sang kekasih. Wajahnya serta merta berubah riak.



Namun, dia bijak mengawal. Kepalanya segera digeleng laju.



Mana mungkin dia mahu menceritakan perihal itu pada Kiambang. Itu adalah raja rahsia antara dia, Raja Mirza Al-Muhammadi dan juga Mustaza Al-Hikmatullah.



Kiambang melepaskan keluhan sekali lagi.



Sudah terang lagi bersuluh. Di depan matanya segalanya terbongkar. Masih lagi mahu disangkal oleh bakal ketua kerajaaan itu.



50 tahun dahulu, ayahnya Mustaza Al-Hikmatullah dan juga ayahanda Putera Malique, Raja Mirza Al-Muhammadi telah melakukan satu misi ke kerajaan yang dipanggil Malaysia.



Malaysia mengikut kajian Kerajaan Negeri Bima Utara Sakti, adalah sebuah pemerintahan yang diketuai oleh seorang Raja seperti negeri mereka.



Namun begitu, pemakaian dan juga adat penduduk dan rakyat negeri itu tidak seperti mereka. Jauh berbeza. Bagai langit dengan bumi jaraknya. 



Misi kedatangan mereka adalah untuk mencari batu berbentuk bebola kristal yang hanya terdapat di Negeri Kedah. Bebola itu dicari untuk dijadikan sumber tenaga kerajaan mereka. Bebola tenaga yang bisa menghidupkan kerajaan mereka setiap 50 tahun.



Andai mereka tidak menjumpai bola kristal yang dihasilkan oleh tanah Kerajaan Malaysia, pasti Negeri Bima Utara Sakti akan hidup dalam kegelapan selamanya.



Peluang untuk ke negeri itu juga hanya datang 50 tahun sekali bersesuaian dengan masa dan tempat yang telah ditetapkan oleh semesta. Dan kini, sudah 50 tahun berlalu.



Masanya hampir tiba. Kiambang Cinta punya tujuan yang lain untuk merentas ke Negeri Kedah. Misinya mahu mencari siapakah Kencana Dewi yang sebenarnya.








Bersambung ...

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.