Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
127,214
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
20


Tahun 2000.

 

      Sudah hampir dua minggu penduduk warga Britain tertanya – tanya bilakah akan turunnya salji.  Di kaca televisyen berita tidak putus – putus memberi harapan bahawa salji akan tiba.  Keadaan cuaca dunia yang tidak menentu dipersalahkan.  Semua tertunggu menantikan kedatangan Hari Natal yang putih.  Bagi mereka yang tidak mampu bersabar pula menempah satu kontena penuh ais salji dari Scandinavia.  Tahun itu kepulauan Britain menjadi hampa menempuhi musim dingin.

      Aku remaja yang baru sahaja mencecah dua puluh tahun.  Naluriku sentiasa lapar dan tidak puas meneroka.  Menghabiskan cuti semester dengan mengembara di kepulauan Britain ini bersendirian.  Menumpang di rumah rakan ibu dan selebihnya adalah malam – malam yang kuhabiskan menginap di asrama belia.  Hairan juga ibu pada waktu itu kerana aku memilih untuk berpergian semasa bulan puasa.  Meninggalkannya dan adik – adikku semasa sambutan Hari Raya.  Aku tidak sampai hati untuk menyatakan padanya bahawa aku berhasrat benar untuk melihat salji di rantau ini. 

      Namun begitulah, nasibku serupa sahaja dengan penduduk warga Britain yang lain.  Hari Natal sudah tiba dan berlalu tetapi salji tidak juga kunjung tiba.  Hari Raya pula kian menjelang.  Waktu ini aku sedang menumpang di rumah Aunty Ros yang terletak tidak jauh dari kota London.  Ibu sudah berpesan padanya agar aku tidak keseorangan semasa Hari Raya.  Aku hanya menurut bagai orang mengantuk disorongkan bantal, ingin juga dikelilingi keluarga Melayu semasa menyambut hari istimewa tersebut.

      Selesai menunaikan solat Subuh aku duduk di birai katil memandang keluar jendela.  Pagi ini pagi raya, bisik hatiku.  Apalah agaknya keluargaku sedang lakukan di kampung? Bersiap untuk solat sunat raya barangkali.  Ataupun sudah selesai solat dan kini sedang sibuk kunjung – mengunjung rumah jiran tetangga.  Teringat rendang ayam cili api Busu Kamsiah di rumah hilir, sambal daging serta laksa juadah raya Nenek Pati di rumah baruh, lemang yang dimasak oleh Pak Lang di kampung sebelah.  Teringat benar pada ibu, ayah dan adik – adik pada subuh yang bening ini.  Teringat rendang daging yang ibu selalu hidangkan untuk dimakan bersama ketupat sebelum pergi ke masjid untuk solat sunat raya.

      Rasa rindu terhadap ibu dan adik – adik membuak – buak dalam kantung dada.  Barulah terasa betapa jauhnya jarak antara kami pada waktu itu.  Berpuluh ribu batu merentasi benua dan lautan.  Dan aku masih merenung di balik langit fajar yang gelap ini.

      Entah berapa kali aku mengelipkan mata, sangkaku helah bayangan fikiranku sendiri.  Tompok – tompok putih seolah berterbangan di langit yang gelap.  Aku bangkit menghampirkan muka ke jendela.  Kaca jendela menjadi berkabus hangat dek hela nafasku.  Bayangan tompok putih berterbangan halus masih jelas di balik jendela ini.  Aku terus berlari keluar dari bilik dan menuruni tangga.

      Aunty Ros rupanya sudah berada di dapur waktu itu.  Terkejut apabila melihat aku melompat turun dari tangga.  Seperti orang yang tidak cukup tanah untuk berlari.  Dia menjadi bertambah hairan apabila aku mencapai tombol pintu belakang lantas keluar ke taman belakang rumah.  Tidak sempat aku mendengar panggilannya ketika itu.

      Tompok – tompok putih halus berselerak di atas rumput hijau.  Ini pastinya bukan embun, bisik hatiku.  Aku mendongak mengadap langit yang masih gelap.  Kali ini tompok – tompok putih berterbangan bagaikan debu jatuh ke atas wajahku.  Rambutku.  Bajuku.  Di hujung lidahku sewaktu aku membuka mulut.  Melekat di hujung jari tatkala aku gigih meraih ke angkasa menyambut butiran salji ini.  Seperti debu bedak putih yang nenek pakai sebelum aku keluar menemaninya ke pekan.  Seperti sesuatu yang ringan dan menyejukkan.

      Aku terus berdiri membiarkan butiran – butiran salji tersebut singgah di tubuh ini seperti titis hujan gerimis di kampung.  Bagaikan jakun aku merenung ke langit sendirian.  Keheningan suasana yang amat mendamaikan.  Dan langit fajar terus berbicara.  Berbekas di hati.  Saat itu aku abadikan terapung dalam pasungan masa.

Previous: 19
Next: 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.