Home Novel Cinta Takdir Cinta Kita
Bab 31

Setelah selesai menunaikan solat Subuh Melysa bersalaman dengan Rafiq. Dia tersenyum memandang wajah suaminya. "Kenapa tengok Mel macam tu?" soal Melysa apabila Rafiq merenung wajahnya.

"Abang suka tengok Mel pakai telekung. Sayang nampak manis sangat," puji Rafiq sambil tersenyum. Sejuk hatinya memandang wajah isterinya memakai telekung.

Melysa melipat sejadah. Telekung disangkut pada almari. Dia melihat Rafiq sedang bersiap untuk ke pejabat. Tanpa melengahkan masa dia turut bersiap untuk ke tempat kerja. Setelah hampir sebulan dia bercuti.

"Sayang nak pergi mana?" soal Rafiq apabila melihat Melysa menukar pakaiannya.

Rafiq dihampiri. Melysa membetulkan tali leher yang dipakai oleh Rafiq. Dia mengukirkan senyuman. "Kerja."

Satu keluhan kecil dilepaskan. Tangan Melysa dipegang. "Sayangkan baru sihat. Takkan dah nak pergi kerja?"

Melysa duduk diatas kerusi. Tangan Rafiq diciumnya perlahan. "Dah lama sayang cuti. Bagilah sayang pergi kerja hari ni?" ujar Melysa dengan manja.

Rafiq duduk disebelah Melysa. "Sayang rehatlah dulu kat rumah. Abang risaulah."

Melysa menjuihkan bibirnya. "Dah lama sangat rasanya sayang duduk dirumah. Sekarang sayang rasa dah sihat. So, sayang nak pergi kerja."

Kepala Melysa diusap perlahan. Rafiq mencium dahi isterinya. Hatinya masih berat mahu membenarkan Melysa kembali bekerja. "Abang risaukan kesihatan sayang."

Sejuk dahi Melysa apabila dicium oleh Rafiq. Dia memeluk tubuh suaminya. Degupan jantung Rafiq dapat didengar dengan jelas. "Mel dah sihat. Abang janganlah risau," ujar Melysa dengan lembut bagi menghilangkan rasa risau di hati Rafiq.

Pelukan Melysa dibalas oleh Rafiq. "Okeylah sayang," ujar Rafiq dengan berat hati. "Tapi abang hantar."

Melysa meleraikan pelukan. Senyuman mula terukir diwajahnya. "Thank you abang," ujar Melysa lalu mencium pipi Rafiq.

"Abang tunggu sayang dekat bawah," ujar Rafiq lalu bangkit dari tempat duduknya. Dia melangkah ke tingkat bawah.

"Hai Rafiq. Mel mana?" soal Datin Naziah sambil menyapu jem pada roti.

"Ada kat atas tengah bersiap nak pergi kerja," jawab Rafiq lalu menarik kerusi.

"Kerja?" soal Dato' Yusri.

"Mel dah sihat ke nak pergi kerja?" soal Datin Naziah pula. Agak terkejut mendengarnya.

"Tiada siapa boleh halang apa yang dia nak buat mummy. So, Rafiq tengok Mel pun dah sihat. Biarlah dia kerja semula," ujar Rafiq sambil menikmati sarapan pada pagi ini.

"Morning semua," sapa Melysa dengan ceria. Dia mengambil tempat duduk disebelah Rafiq.

"Mel betul ke nak pergi kerja?"

"Yes daddy. Dah lama sangat cuti."

"Mel cuti sebab tak sihat. Tetiba nak pergi kerja ni dah sihat ke?" soal Datin Naziah lalu memberikan sekeping roti yang telah disapu jem kepada Melysa.

"Mel dah lama sangat berehat. Hari ni Mel rasa dah sihat. So tak salahkan Mel nak kerja balik macam biasa."

Datin Naziah mengeluh perlahan. "Jaga diri elok-elok kat tempat kerja nanti. Mummy tak nak Mel sakit lagi tau."

"Okey mummy," balas Melysa lalu menghabiskan minumannya.

"Rafiq hantar Mel dulu daddy. Nanti jumpa kat ofis," kata Rafiq lalu bangkit dari tempat duduknya. Dia melangkah meninggalkan meja makan.

"Bye mummy daddy," ujar Melysa lalu membontoti langkah Rafiq. 

Rafiq memandu kereta membelah jalan raya. Sesekali dia mengerling ke arah Melysa disebelahnya. Walaupun jauh di dalam hatinya terasa amat berat mengizinkan Melysa kembali bekerja. Namun, dia tidak mahu Melysa merasakan dirinya dikongkong olehnya. Demi kesihatan dan kegembiraan Melysa dia harus merelakan Melysa bekerja semula.


EMPAT BULAN KEMUDIAN.

Aril meletakkan beg bagasi dan barang-barang yang lain dihadapan pondok pengawal keselamatan. Jam sudah menunjukkan angka 6.00 petang. Dia perlu segera memandu pulang ke rumah sebelum senja. Arra kelihatan tersenyum memandangnya. Bahu Arra dipegang lalu mencium dahi isterinya.

"Abang," marah Arra dengan tindakan spontan Aril. 

Aril mencuit dagu Arra sambil tersengih. "Abang balik dulu."

Arra menyalami tangan Aril. "Hati-hati memandu."

"Okey sayang," balas Aril lalu melangkah masuk ke dalam kereta.

"Esok pagi abang bertolak ke Melaka pukul berapa?"

"Pukul lapan pagi," ujar Aril lalu menghidupkan enjin keretanya.

"Daha sampai nanti bagi tau Arra. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam," balas Aril lalu memandu kereta meninggalkan kawasan kampus. Walaupun berat hati untuk meninggalkan isteri yang sentiasa disayangi dan dicintainya.

Melihat bayangan Aril sudah tidak kelihatan lagi, Arra melangkah masuk ke dalam hostel. Dia menggalas beg sandangnya dan mengambil barang-barang yang dibeli semasa berada di Genting Highlands.

"Hai Arra, siapa lelaki tadi tu," sapa Suzy dari arah belakang. Dia juga baru sampai ke hostel.

Arra menoleh ke arah Suzy. "Kenapa?"

"Aku tengok kau bukan main mesra lagi dengan dia."

Arra sekadar tersenyum mendengarnya. Tidak semua orang tahu mengenai status dirinya yang kini telah bergelar isteri. Beg bagasi ditarik. Soalan Suzy dibiarkan berlalu tanpa jawapan. 

"Wah banyaknya barang," tegur Suzy apabila melihat banyak barang yang dibawa oleh Arra. Dia membontoti langkah Arra. Biliknya tidak jauh dari bilik Arra. "Kau dari mana?"

"Dari Genting Highlands."

"Wah bestnya. Baru balik bercuti dengan family ke?"

Arra geleng kepalanya. "Taklah. With my husband," ujar Arra sambil tersenyum lalu meniti anak tangga untuk ke biliknya di tingkat dua.

"Husband?" ujar Suzy agak terkejut mendengarnya. "Ermm... lelaki tadi tu husband kaulah."

Arra angguk.

Suzy menggelengkan kepalanya. Dia seakan tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya. "Oh jadi selama ni apa yang aku dengar tentang kau dah kahwin tu memang betullah!"

"Yup... kenapa?"

"Tapi kenapa kau masih tinggal kat hostel? Kau tak tinggal sekali dengan suami ke?"

Itulah persoalan yang sering diajukan oleh kawan-kawan sekuliahnya. Dia sudah terbiasa mendengar pertanyaan itu. "Buat sementara waktu aje. Nanti dah habis belajar kita orang staylah bersama balik," kata Arra lalu melangkah menuju ke biliknya. Dia berhenti sejenak menghilangkah rasa penat. "Lagipun aku tunggu habis semester ni aje. Mungkin lepas tamat praktikal aku akan tukar kampus kat bandar untuk semester keenam," jelas Arra dengan tenang. Dia sudah lama berfikir tentang pertukaran kampus sejak beberapa bulan yang lalu. 

"Owh... best ke hidup macam pasangan PJJ?"

"Alhamdulillah semua okey," balas Arra lalu meneruskan langkahnya.

 Perkahwinan Jarak Jauh tidaklah begitu menyiksakan. Malah dia berasa bahagia dengan situasi ini. Dirinya akan sentiasa dirindui dan dia juga sering merindui suaminya. Jika berada disisi Aril pasti ada saja pergaduhan yang berlaku. Dia merasakan lebih baik berjauhan daripada bersama buat sementara waktu. Dia akan belajar menghargai satu sama lain bila berjauhan.

"Dah lama ke kahwin?"

"Dah nak masuk enam bulan."

"Enam bulan dah. Bermakna bukanlah pengantin baru. Jadi kau ni pengantin lamalah kan?" perli Suzy.

Arra tersengih mendengarnya. "Ikutlah apa kau nak kata Suzy. Memang aku bukan lagi pengantin baru."

Suzy menjeling meluat mendengarnya. "Dah lama kahwin tak ada isi lagi ke?"

"Isi?" soal Arra tidak memahami apa yang dimaksudkan oleh Suzy.

"Pregnant?"

Arra tidak pernah terfikir tentang itu. Jika Allah memberi dia tidak akan menolaknya. Setiap pasangan yang berkahwin pasti akan menginginkan cahaya mata. "Rezeki itukan milik Allah. Aku tak pernah fikir lagi. Apa yang penting hanya tamatkan pengajian dahulu."

"Siapa suruh kahwin awal-awal. Bila dah ada anak nanti mesti tak boleh enjoy."

Arra memberhentikan langkahnya sebaik sahaja sampai dihadapan pintu biliknya. Dia meletakkan barang-barang dihadapan pintu. Wajah Suzy dipandang. "Enjoy dengan family pun boleh. Buat apa nak berseronok seorang diri sedangkan boleh enjoy dengan suami dan anak-anak," ujar Arra sambil tersenyum. Dia sengaja berkata begitu agar Suzy tidak terus bercakap sesuatu yang boleh menyakiti hatinya. Dah nama pun hidup berkeluarga. Berseronok dengan keluarga lebih bahagia," ujar Arra lalu membuka pintu rumah yang menempatkan tiga buah bilik di dalamnya. 

Suzy mencebikkan bibirnya. "Tapi bagi aku lebih seronok hidup bujang. Bebas nak buat apa saja. Takdelah terikat dengan suami nak pergi sana sini?" balas Suzy masih tidak berpuas hati dengan Arra.

"Dah nama pun isteri Suzy. Nak pergi mana mestilah kena minta izin suami. Tapi sampai bila kau nak membujang?"

"Agaknya Suzy mahu membujang sampai ke tua Arra. Bila orang panggil anak dara tua. Mungkin masa itulah baru dia sedar kan?" ujar Ain sambil tersenyum sinis ke arah Suzy.

"Bukanlah sampai tua. Tapi biarlah tamat pengajian dahulu. Dah graduasi ke. Ini tidak, belajar pun tak habis lagi dah sibuk nak kahwin. Nanti macam mana dengan tanggungjawab sebagai seorang isteri?"

Ain menyandarkan tubuhnya pada dinding lalu berpeluk tubuh. "Kau ingat Arra sorang saja ke yang dah kahwin sebelum tamatkan pengajian. Aku rasa ramai lagi orang lain yang dah pun berkahwin dan baru berpeluang melanjutkan pelajaran di universiti. Soal Tanggungjawab sebagai seorang isteri hanya suami dia yang berhak mempersoalkannya. Apa masalah kau sekarang!"

"Hurmm... aku tanya aje. Macam mana nak fokus dengan pelajaran kalau fikiran tu asyik teringatkan suami di rumah," perli Suzy lagi.

Arra sekadar tersenyum mendengarnya. Walaupun sudah bergelar isteri dia tidak pernah gagal dalam memberi tumpuan pada pelajarannya. Ada masa dia perlu luangkan untuk suami. Aril sendiri faham situasinya yang masih lagi bergelar mahasiswi. Mengapa perlu ada insan yang mempersoalkan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan juga sebagai seorang mahasiswi.

"Mungkin itu adalah diri kau agaknya. Suzy sayang kalau kau tak nak berlaki jangan sibuk jaga tepi kain orang. Suatu hati nanti kain sendiri terpalit lumpur pun tak sedar," kata Ain dengan nada sinis.

"Whatever," balas Suzy lalu meninggalkan mereka dengan perasaan tidak puas hati.

Ain menjeling marah. "Whatever," ujar Ain mengajuk kata-kata Suzy.

Arra ketawa. "Lalulah sikit."

"Kenapa kau layan dia?" soal Ain menyampah dengn sikap Suzy yang 'busy body'.

"Tak sengaja jumpa kat bawah tadi?"

"Sampai pukul berapa tadi? Kenapalah tak call bila dah sampai. Aku boleh tolong angkat barang-barang ni," ujar Ain lalu membantu Arra membawa barang-barangnya masuk ke dalam bilik. 

Arra duduk diatas kerusi. "Tak apalah. Aku tak nak susahkan kau?"

"Hurmmm.... ye lah," balas Ain memahami sikap Arra yang sememangnya tidak suka mengharapkan bantuan orang lain. 

Arra merebahkan badannya diatas tilam. "Wah sedapnya boleh baring. Rasa macam nak tidur aje."

"Dah nak maghrib sayang oi... nak tidur apa lagi?"

"Nak rehat kejap. Nanti aku nak mandilah."

"Seronok bercuti."

Arra sekadar tersenyum mendengarnya. Sejak bergelar isteri kepada lelaki yang bernama Aril. Hidupnya sentiasa dipenuhi kejutan. Dia tidak menyangka Aril akan membawanya bercuti di Genting Highlands memenuhi impiannya ingin menaiki cable car. Aril tidak pernah lupa memenuhi keinginannya. Aril seorang yang peka dengan apa yang disukai dan diimpikannya. Hatinya berbunga-bunga menjalani kehidupan sebagai isteri kepada Aril. Dia merasakan dirinya terlalu dihargai. Indahnya cinta selepas kahwin.


NAZRIL membuka pintu rumahnya. Suasana di dalam rumah sepi tanpa penghuninya. Dia menarik tangan Safia masuk ke dalam rumah. Dia duduk diatas kerusi. Tubuh Safia ditarik agar duduk diatas pahanya.

Safia memerhati sekeliling kawasan rumah itu. "You tinggal sorang aje ke?"

Rambut Safia dibelai perlahan. "I tinggal dengan mak."

"Mana mak you? Tak apa ke Fia datang ni?" soal Safia segan jika bertemu dengan ibu Nazril.

Tubuh Safia dipeluk erat. "Sayang janganlah risau. Mak I tak ada. Dia pergi kenduri kahwin sepupu I."

"Bila dia balik?"

"Hurmmm... mungkin malam nanti," ujar Nazril sambil mencium leher Safia.

Safia tergelak kecil kerana geli. "You nak ke?" soal Safia seakan mengerti apa yang diinginkan oleh Nazril.

"Semestinya. Takkanlah I ajak you datang sini nak sembang aje."

Safia tersenyum mendengarnya. Dia berdiri. Tangan Nazril ditarik. "Jomlah masuk bilik," ujar Safia dengan nada menggoda.

Nazril tersengih. Tubuh Safia digendongnya lalu dibawa masuk ke dalam bilik. Safia tersenyum memandang wajah Nazril. Sudah hampir setahun mereka menjalinkan hubungan. Namun keinginan Safia ingin berkahwin dengan Nazril tidak direstui oleh ayahnya. 

Nazril membaringkan tubuh Safia diatas katil. Tanpa membuang masa mereka mula bercumbuan. Mereka hanyut dalam rasa keghairahan. Safia merasa amat bahagia disamping Nazril. Walaupun hubungannya dihalang tetapi dia tetap menyayangi Nazril sepenuh hatinya. Dia sanggup melepaskan mahkotanya demi bersama Nazril. 

Tuk! Tuk! Tuk!

"Assalamualaiikum!"

Safia mengeyeh matanya. Telefon bimbit dicapai lalu melihat jam pada skrin telefon. Ketukan pada pintu mengganggunya lenanya. Dia memandang Nazril yang masih lena disebelahnya. Bahu Nazril ditepuk perlahan. 

"You, bangunlah."

"Ya, sayang." Nazril memeluk tubuh Safia lalu mencium leher gadis itu.

"You, janganlah," ujar Safia cuba menolak tubuh Nazril dari terus mencium dirinya.

"Kenapa sayang?" 

"Ada orang datanglah," jelas Safia. Dia bangkit daripada pembaringan. Tuala segera dicapai bagi menutup badannnya. "You, pergilah tengok. I nak mandi sekejap. Nanti you hantarkan I balik," ujar Safia lalu melangkah keluar dari bilik dan menuju ke bilik air.

Nazril mendengus marah. Dia bangkit daripada pembaringan. Jam pada dinding menunjukkan pukul 8.00 malam. Dia mengeliatkan tubuhnya. Dari jauh kedengaran suara memberi salam dari luar rumahnya. 

"Siapalah datang malam-malam ni?!" soal Nazril dengan nada marah. Kunci pintu dibuka. "Waalaikumussalam," jawab Nazril lalu membuka pintu.

"Mak kamu ada tak Naz?" soal Pak Iman.

"Mak tak ada. Ada hal apa Pak Iman datang malam-malam ni?" soal Nazril sambil menutup mulutnya apabila menguap.

"Kami dengar kamu bawa perempuan masuk dalam rumah?"

Nazril mula cemas. "Mana ada Pak Iman?"

"Kamu jangan nak berbohonglah Naz. Aku nampak tadi kau bawa budak perempuan masuk dalam rumah ni. Mana dia? Kamu buat maksiat ke?" kata Zafwan dengan tegas.

Panas telinga Nazril mendengarnya. "Kalau aku buat maksiat pun tiada kaitan dengan kau!" balas Nazril dengan nada marah.

"Astagfirullahalazim! Kami ni hanya datang memeriksa aje. Bukan sengaja nak menuduh Naz," ujar Pak Iman dengan ramah.

"Naz, mak you dah balik ke?" soal Safia sambil mengelap rambutnya yang basah.

Zafwan menggelengkan kepalanya apabila mendengar suara seorang perempuan di dalam rumah memanggil Nazril. "Itu siapa? Hantu?"

Nazril mengeluh berat. Kepala yang tidak gatal digarunya perlahan. "Errr..."

Pak Iman mengucap panjang sambil menggelengkan kepalanya. "Naz pergilah bersiap. Kita pergi pejabat agama."

Safia terkejut melihat beberapa orang kampung berkopiah dihadapan rumah Nazril. Tanpa membuang masa dia segera melangkah masuk ke dalam bilik lalu memakai pakaian. Satu keluhan berat dilepaskan. Dia mula memikirkan perasaan kedua ibu bapanya apabila mengetahui dirinya telah ditangkap berkhalwat dengan Nazril.

"Hai Iman? Buat apa malam-malam ni kat rumah saya?" soal Dibah sebaik sahaja tiba dihadapan rumahnya.

Zafwan sememangnya tidak menyukai Dibah sekadar menjeling. "Kami ditugaskan untuk tangkap anak kamu berkhalwat."

"Apa?" ujar Dibah terkejut mendengarnya. "Kamu jangan nak menuduh tanpa bukti Wan!"

"Bukti ada dalam rumah Dibah."

Dibah mendengus marah. Dia segera melangkah masuk ke dalam rumahnya. "Nazril!"

"Ya, mak!"

"Hai aunty," sapa Safia perlahan. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal apabila melihat ibu Nazril mencerlung ke arahnya.

Dibah menyentuh dada kirinya. "Allah," katanya perlahan sebelum rebah. Dibah pengsan kerana terkejut dengan perbuatan anaknya.


SETELAH selesai menunaikan solat fardhu Zuhur, Ain melipat sejadah. Arra yang masih lena dibuai mimpi dipandang. Dia mula hairan melihat Arra masih belum bangun daripada tidur sejak pukul 11.00 pagi tadi. Dia duduk diatas katil Arra. Bahu Arra ditepuk perlahan.

"Arra bangun. Dah zuhur ni?" ujar Ain sambil menyentuh bahu Arra.

"Sekejap lagi aku bangunlah," balas Arra perlahan.

Ain merasa pelik mendengar suara Arra agak lemah. Dahi Arra disentuh perlahan. "Panasnya. Kau demam ke?"

"Aku pening kepala aje."

"Badan kau panas sangat ni. Aku rasa kau demam ni. Aku call Aril ya," ujar Ain lalu mencapai telefon bimbitnya.

Arra memegang tangan Ain. "Tak payahlah Ain. Aril ada kat Melaka sekarang," ujar Arra menghalang Ain dari menghubungi Aril.

"Habis tu takkan kau tak nak bagi tau dia?"

"Aku dah makan ubat tadi. InsyaAllah sekejap lagi baiklah ni."

Ain mula susah hati melihat keadaan Arra. "Marilah aku temankan kau ke klinik?"

"Nak pergi dengan apa?" soal Arra lemah. 

Ain mengeluh perlahan. Dia berfikir sejenak. Telefon bimbit ditangan dilihat. Dia terfikirkan seseorang yang boleh membantunya. Dia melangkah keluar dari dalam bilik. Nombor telefon Amir didail. Dia tidak perlu menunggu lama. Hanya beberapa saat kedengaran suara Amir dihujung talian.

"Kau sibuk tak sekarang?"

"Baru habis kuliah. Kenapa Ain?"

"Aku nak mintak tolong sikit boleh?" soal Ain agak segan ingin meminta pertolongan dengan Amir. Namun, dia terpaksa menebalkan mukanya demi kesihatan Arra.

"Apa?"

"Arra demam. Husb dia oustation. Boleh tak tolong bawa kita orang pergi klinik sekejap."

"Boleh. Aku tunggu depan hostel."

"Thanks Amir. Lagi setengah jam aku turun. Tunggu Arra sekejap."

"Okey," balas Amir.

Talian telefon dimatikan. Ain segera melangkah masuk ke dalam bilik. Dia mendapatkan Arra yang masih lagi terbaring diatas katil. "Arra bangun."

"Apa?!!!" marah Arra. Dia hanya mahu tidur ketika ini bagi merehatkan badannya yang terasa begitu lemah.

"Bangunlah. Jom pergi klinik. Aku dah minta tolong Amir hantarkan."

"Malaslah aku."

"Aku temankan kau."

Arra menoleh ke arah Ain. "Betul ni? Bukan aku pergi dengan dia aje?"

Ain angguk. "Ya. Cepatlah siap!"

Arra segera bangkit daripada pembaringan. Telefon bimbit dicapai lalu dimasukkan ke dalam tas tangan. Usai memakai tudung dia segera melangkah keluar dari bilik lalu turun ke tingkat bawah. Dari jauh kelihatan Amir sedang menunggu mereka di dalam kereta. Arra mengambil tempat duduk di bahagian belakang. Ain duduk disebelah tempat duduk pemandu.

"Arra okey ke?" soal Amir apabila melihat wajah Arra kelihatan agak pucat.

"Pening sikit."

"Dah lama ke demam?" soal Amir sambil memandu kereta.

"Tadi rasa pening aje. Tak tau pulak boleh demam."

"Cuaca sekarang kan tak menentu. Sekejap panas, sekejap mendung, kadang tiba-tiba hujan," ujar Ain mencelah.

"Mungkin kot. Semalam kan hujan."

"Semalam kau kena hujan ke?" soal Ain.

"Hujan tiba-tiba petang semalam. Terkenalah juga sebab tengah main badminton kan."

"Kau kan alah dengan air hujan. Sebab itulah tetiba demam."

"Dah sampai," kata Amir sebaik sahaja tiba dihadapan klinik kesihatan Dungun. "Sekejap Arra," kata Amir lalu tergesa-gesa melangkah keluar dari dalam perut kereta. Dia membukakan pintu kereta untuk Arra.

"Terima kasih Amir. Aku boleh buka sendirilah."

"Tak apa? Pergilah masuk nanti dah siap call aje."

"Okey Amir," balas Ain.

Arra duduk diatas kerusi yang telah disediakan. Ain membantu Arra membuat pendaftaran. Sementara menunggu nama dipanggil Arra melihat telefon bimbitnya. Arra mula merindui suaminya. Aril tidak lagi menghubunginya pada hari ini. Disaat beginilah dia mengharapkan kehadiran Aril disisi. Satu pesanan ringkas dihantar kepada Aril.

"Arra Safiyya!"

"Saya," sahut Arra apabila namanya dipanggil.

Ain segera bangkit dari tempat duduknya. Dia mengambil kad pengenalan milik Arra. Dia membawa Arra masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah diperiksa Arra diminta membuat ujian air kencing. Ain setia menemaninya. 

"Kenapa dengan kawan saya doktor?" soal Ain risau dengan kesihatan Arra. Sejak awal semester Arra tidak pernah demam sebegini teruk.

"Kawan awak baik-baik saja," balas Doktor Nadiah. Matanya terarah pada Arra. "Bila last puan period?"

Arra binggung. Dia hampir terlupa tentang tarikh keuzurannya. Kini baru dia sedar sudah hampir tiga bulan periodnya tidak datang.

"Arra?" panggil Ain.

"Ermm... saya lupalah doktor. Kenapa doktor tanya?"

Doktor Nadiah tersenyum. "Dari test urine menunjukkan awak positif hamil."

Ain tersenyum mendengarnya. "Alhamdulillah," ujar Ain dengan perasaan gembira. Dia tidak menyangka Arra mengandung.

"Hamil?" soal Arra masih binggung.

Doktor Nadiah menganggukkan kepalanya. "Ya. Puan ada rasa mual, pening atau sakit dibahagian perut?"

Kepala Arra digelengkan. "Saya hanya rasa pening aje. Betul ke saya pregnant doktor?" soal Arra seakan tidam mempercayainya.

"Puan boleh baring atas katil. Mari saya buat pemeriksaan lanjut untuk ketahui berapa usia kandungan puan," ujar Doktor Nadiah sambil menunjukkan ke arah katil tidak jauh dari tempatnya duduk.

Arra hanya mengikut arahan. Dia baring diatas katil. Jantungnya berasa berdebar-debar ketika ini. Wajah Aril mula muncul bermain diruang matanya. Dia yakin Aril pasti gembira mendengar berita ini.

"Puan Arra boleh tengok dekat skrin."

Arra melihat skrin. Bayangan hitam putih itu dilihat tetapi dia tidak mengerti apa yang dilihatnya.

"Boleh saya rakam doktor?" soal Ain. Dia pula terlebih teruja apabila melihat ultrasound dijalankan keatas Arra. Inilah kali pertama dia melihat bayi di dalam kandungan.

Doktor menganggukkan kepalanya. "Ini rahim puan. Baby berada dalam kedudukan yang baik. Ini jantung baby," ujar Doktor Nadiah sambil menerangkan keadaan bayi di dalam kandungan Arra.

Arra bangkit daripada pembaringan. Dia kembali duduk diatas kerusi setelah pemeriksaan ultrasound dijalankan. Doktor menyarankan agar kembali semula untuk membuka buku bagi mendaftar kehamilannya. Dia juga disarankan agar megambil vitamin asid folid untuk tumbesaran janin.

"Tahniah Arra," ujar Ain dengan gembira.

"Terima kasih,"balas Arra lalu melanglah masuk ke dalam kereta.

"Arra dah sihat ke?" soal Amir apabila melihat wajah Ain yang kelihatan gembira.

"Arra terlebih sihat Amir."

"Ain," panggil Arra. Dia malu jika Amir mengetahuinya.

"Kenapa?" Amir hairan mendengarnya. Dia memandu kereta keluar daripada kawasan klinik.

"Cuba teka?"

"Apa?"

"Lambatlah kau ni Mir. Arra bakal jadi ibu tak lama lagi," ujar Ain dengan nada yang teruja.

Amir turut gembira mendengarnya. "Alhamdulillah. Tahniah Arra. Sebagai hadiah aku belanja kau orang makan," ujar Amir turut gembira dengan berita kehamilan Arra.

"Arra rasa tak perlu lah?" balas Arra segan apabila Amir mahu membelanjanya makan.

"Tak apalah. Bukan Amir pernah belanja pun sebelum ni. Lagipun lepas ni kita tak berpeluang dah nak jumpa lagi."

"Aaalah Arra. Nanti kita akan praktikal. Semester enam Amir pulak bakal praktikal. So memang kita takkan jumpa lagilah lepas ni."

"Betullah tu Ain. Kita belajar bidang lain-lain. Tak sangka hanya tinggal setahun saja lagi tempoh pengajian kita."

Ain menganggukkan kepalanya. Dia sudah tidak sabar ingin menamatkan pengajiannya. "Rasa macam sekejap aje masa berlalu."

"Nanti Ain dan Arra nak praktikal kat mana?"

"Ain balik praktikal kat KL. Rindu dekat mummy, daddy."

"Arra?"

"Plan asal memang nak praktikal kat KL dengan Ain. Tapi dengan keadaan sekarang rasanya Arra akan praktikal dekat bandar Terengganu ni aje," jelas Arra sambil menyentuh perutnya. Dia tersenyum sendirian. Tidak menyangka kini ada satu nyawa sedang membesar di dalam rahimnya.

"Baguslah tu. Taklah berjauhan dengan Aril."

Arra hanya diam. Fikirannya memikirkan Aril yang kini masih belum membalas pesanannya.

Amir membelanja mereka makan sotong celup tepung dan pelbagai makanan lain lagi. Banyak perkara yang dibualkan oleh mereka. Usai makan Amir menghantar mereka pulang kembali ke hostel. 

"Terima kasih Amir," ucap Arra sambil tersenyum.

"Tiada hal lah."

"Thanks Amir tolong kami," ujar Ain pula.

"Sama-sama. Sekadar pertolongan kecil aje. Amir akan bantu selagi yang termampu."

"Kami masuk dulu. Assalamualaikum."

"Waalaikumusalam," balas Amir lalu memandu kereta meninggalkan kawasan hostel perempuan. 

Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Andayu