Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 29

Panggilan yang baru diterima masih sukar untuk dipercayai. Panggilan daripada abang Razif buat pertama kalinya setelah lebih 12 tahun mereka terputus hubungan. Panggilan yang sentiasa dinanti walaupun sekadar harapan di dalam hati, tapi akhirnya benar-benar tiba kini.

Sejak awal dia sudah menanti di hadapan pintu pagar. Tak sabar rasanya mahu bertemu semula dengan Abang Razif. Pelbagai persoalan berlegar-legar di benaknya. Bagaimana agaknya keadaan abangnya itu? Wajahnya? Dan apa khabar abi? Dia tak sempat bertanyakan semuanya itu tadi kerana terlalu terkejut mendapat berita tersebut.

Sedang dia berfikir-fikir, sebuah kereta bewarna kelabu berhenti betul-betul di hadapan pagar rumah diikuti dengan sesusuk tubuh yang tinggi lampai muncul di sebaliknya. Buat seketika mata mereka bertentang sebelum diganti dengan riak ceria dan senyuman gembira. Razif bergegas untuk mendapatkan Dian yang turut sama bertindak merapatinya.

“Abang? Abang Razif?” soal Dian inginkan kepastian. Sudah bertahun-tahun dia menanti dan dia pasti ummi tentunya lebih gembira lagi. Walaupun tak pernah membangkitkan tapi dia tahu ummi rindukan Abang Razif dan kepulangannya sentiasa ditunggu sejak dulu. Razif mengeluarkan ikat rambut warna pink yang masih baik tersimpan sebelum dia menggangguk membenarkan telahan adiknya itu.

“Abang…” ucapnya. Serentak tangan abangnya itu disalami. Hatinya mula sebak. Kehadiran Abang Razif membuatkan hidup jadi lebih bermakna kerana sekarang dia sudah mendapat tempat untuk mengadu, lalu terasa sedikit berkurangan bebanan yang ditanggungnya itu.

Razif sendiri turut tak dapat menahan perasaan. Impiannya menjadi nyata, kini adik tunggalnya itu sudah ada di hadapan mata. Air mata yang bergenangan sudah tak mampu lagi untuk ditahan. Serentak Dian mendakap tubuh itu kemas dan Razif turut membalasnya ikhlas.

“Abang minta maaf sebab ambil masa lama untuk cari ummi dengan adik.” tutur Razif sambil menepuk-nepuk bahu Dian yang masih menangis dan tanpa sedar airmatanya juga turut sama menitis.

“Adik, ummi mana? Ummi? Abang rindu nak jumpa dengan ummi. Ummi ada dekat mana?” soalnya sambil mata meliar mencari kehadiran ummi yang dirindui. Dian segera tersedar kerana ada perkara yang lebih penting untuk dikhabarkan. Wajah Abang Razif di hadapannya ditatap sejenak sebelum dia mengumpul kekuatan untuk menerangkan segalanya. Air mata yang membasahi pipi segera diseka dengan belakang tangan.

“Ummi tak ada kat sini. Ummi tak ada dengan adik sebab ummi kena tinggal tempat lain…” balasnya. Empangan matanya yang baru mula hendak dikawal pecah lagi tapi kali ini lebih teruk daripada tadi. Bayangan wajah ummi yang membuatkan itu terjadi sebelum dia mula menangis tanpa henti. Razif terkejut melihat keadaan adiknya itu.

“Adik kenapa? Ummi tinggal dekat mana? Takpa takpa, adik bawa abang jumpa ummi ya.” tuturnya sambil memujuk adiknya itu. Kesedihan yang dipamer Dian turut mendera hatinya juga. Dian pantas menggangguk sebelum mereka sama-sama memboloskan diri ke dalam kereta.

Azeem yang sedang memerhati sejak tadi hilang kata-kata. Gelagat Dian dan lelaki yang terhidang di hadapan mata betul-betul memanaskan suhu di dada. Hatinya rasa terbakar dan tanpa berlengah dia mengekori kereta tersebut. Dia perlukan bukti kerana diri tak rela dipermainkan oleh Dian lagi.

 

Razif duduk di sebelah ummi yang masih terbaring sunyi sebelum tangan ummi disalami dan dikucup lembut bila sudah terlalu lama rasanya dia tak dapat berbuat begitu. Air matanya jatuh berjuraian menangisi pertemuan semula yang sentiasa dinanti-nanti. Dian juga turut serta berlinangan air mata kerana air matanya seperti tak pernah kering. Setiap kali terfikirkan ummi ia pasti akan datang lagi.

“Ummi…abang ni. Ummi…abang dah datang. Abang rindu ummi.” tuturnya dalam tangisan sebelum tubuh ummi didakap erat untuk melepas beban rindu yang tersimpan selama ini.

“Ummi maafkan abang. Abang yang lambat datang cari ummi. Abang minta maaf…” tambahnya lagi. Tangisannya mula menjadi-jadi. Bunyi esakannya rasa mendera hati. Perlahan-lahan Dian mengusap belakang Razif untuk mententeramkannya.

“Ummi…ummi…” rayunya lagi. Hatinya terasa mati bila terlihatkan keadaan ummi. Ummi dah tak dapat melihatnya lagi. Bertahun-tahun dia menanti dan dia tak pernah menyangka akan bertemu kembali dalam keadaan seperti ini. Tangisannya itu bukan hanya untuk ummi tapi juga untuk abi kerana dia jadi pasti, hasrat abi takkan dapat lagi untuk dipenuhi.

 

Mereka duduk bersebelahan sambil sama-sama memandang ke arah ummi yang masih tetap bisu. Biarpun keadaan ummi begitu, kasih dan sayang mereka pada ummi tak pernah berkurangan walau sedikit, malah semakin bertambah. Entah kenapa, walau selama manapun wajah ummi ditatap, mereka tetap berasa tak puas dan genggaman tangan itu tak betah untuk dilepas. Buat seketika, mereka sama-sama melayan perasaan. Perasaan suci, datangnya dari Illahi, rasa kecintaan yang tak akan dapat diganti, rasa cinta pada seorang insan yang bergelar ummi.

“Ummi, tengoklah adik ni. Dia dah kalahkan abang. Dia dah kalahkan abang untuk jadi orang pertama yang beri cucu pada ummi.” tutur Razif sambil mengucup tangan ummi lagi sebelum memandang ke arah Dian bila teringatkan keadaan Dian yang sedang berbadan dua itu.

“Siapa dia? Dian ceritalah tentang adik ipar abang tu. Abang rasa macam dah terlalu banyak yang abang dah ketinggalan.” tambahnya sambil memandang ke arah Dian yang berada di sisi. Dia masih belum bersedia untuk menceritakan tentang perihal abi kerana dia tak mahu adiknya itu terkejut nanti. Melihatkan keadaan Dian yang sedang berbadan dua mambuatkan dia turut berfikir dua kali.

Dian berusaha untuk senyum kerana dia tahu tiada apa yang boleh dibanggakan. Perkahwinannya bersyarat dan tempohnya juga terhad. Soal hati? Dia sendiri tak pasti.

“Abang kenal dia.” balas Dian ringkas.

“Abang kenal dia? Siapa?” soal Razif hairan.

“Kawan lama abang dulu, Abang Azeem, cucu opah.” jawap Dian. Razif ternganga kerana sekali lagi dia mendapat kejutan yang tak disangka-sangka.

“Ya-Allah, Azeem? Adik dah banyak sangat hutang cerita dengan abang ni. Adik ceritalah pada abang apa yang jadi selama abang tak ada. Abang nak tahu semua. Tentang ummi, tentang adik dan tentang segala-galanyalah.” tuturnya dengan senyuman ceria bersedia untuk mengetahui segala-gala.

“Boleh, memang Dian ada banyak benda yang nak cerita pada abang, tapi sebelum tu, adik nak tanya abang dulu.”

“Dari tadi, bila adik tanya tentang abi, abang langsung tak cerita apa-apa. Abi apa khabar? Kenapa abi tak datang sekali? Abi masih marahkan ummi?” soal Dian mematikan senyuman di wajah Razif. Razif tahu dia takkan dapat bertangguh lagi kerana Dian masih menanti jawapan. Bagi Dian perkhabaran tentang abi telah lama dinanti kerana dia turut rindukan abi.

“Abi…abi ok.” balas Razif kurang meyakinkan kerana dia masih menanti waktu yang sesuai untuk menceritakan. Dia tak mahu adiknya itu tertekan bila mengetahui kebenaran.

“Kenapa? Abi kenapa? Kenapa dengan abi?” soal Dian pula. Dia sudah mula bimbang. Wajah Abang Razif yang kurang selesa seperti memberikan gambaran yang tak baik namun Razif tetap juga membisu.

“Abang, kenapa? Kenapa dengan abi?” soalnya lagi sambil menggoyang-goyangkan tangan Razif. Dia jadi sangat yakin sesuatu telah menimpa abinya itu.

“Ok, abang cerita, tapi sebelum tu, adik tarik nafas dulu dan janji dengan abang, jangan terkejut.” tuturnya memberi peringatan.

“Ok, adik janji dengan abang. Cepatlah cakap.” tutur Dian yakin sambil berusaha untuk menerima.

“Adik, abi dah tak sihat, abi sakit. Abi dah tak ada daya nak buat apa-apa.” tuturnya sambil menggenggam erat tangan Dian. Berderau darah Dian mendengarnya.

“Dah bertahun-tahun abi terlantar, nak cakap pun dah tak jelas. Niat abang datang sebenarnya nak bawa ummi dengan adik ke sana jumpa dengan abi sebab abi nak sangat jumpa dengan ummi, dengan adik. Tapi bila tengok keadaan ummi, abang tahu yang kita tak boleh nak lawan takdir.” terangnya sambil mengeratkan genggaman pada jari-jemari Dian yang rasa kesejukan. Wajah pucat adiknya itu turut membimbangkannya. Dia simpati pada Dian kerana dia dapat lihat adiknya itu sedang berusaha untuk menerima kenyataan.

“Itulah sebabnya abang dah ingatkan adik tadi. Abang tak nak adik terkejut sama macam abang terkejut bila tengok keadaan ummi.” tambahnya lagi.

“Tapi adik janganlah risau. Abang yakin dengan Allah. Kalau dah ditakdirkan, takkan ada apa-apa yang mampu menidakkan, sama macam keadaan kita sekarang. Allah dah takdirkan kita untuk berjumpa biarpun terpaksa ambil masa yang lama dan abang tetap yakin, insyaAllah, satu hari keluarga kita akan bersatu semula nanti.”

“Dian nak cakap dengan abi? Abang call abi ya?” cadangnya pula.

“Sejak akhir-akhir ni, abi selalu sebut tentang ummi dengan adik, mungkin abi dah rindu sangat agaknya tu. Adik cakap dengan abi ya. Sekejap, abang call Rudi.” Dian pantas mengangguk.

“Tapi Rudi tu siapa?” soalnya pula.

"Jiran tetangga kita dari seberang, orang Indonesia. Takpa, nanti abang cerita. Ok dah dapat.” tuturnya setelah panggilan akhirnya disambungkan.

“Assalammualaikum Rudi, macam mana dengan abi?” soalnya pada Rudi, pembantu peribadi yang diambil khas untuk menguruskan abi.

“Ok, tapi boleh Rudi sambungkan panggilan ni pada abi. Abi kena dengar ni.” tuturnya lagi.

“Dian cakap dengan abi.” tambahnya sebelum telifon bertukar tangan.

“Assalammualaikum abi…” tutur Dian, namun tiada sahutan. Dian pantas memandang ke arah Razif sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Adik cakap, teruskan bercakap sebab abi tengah dengar tu.” balas Razif, sedar apa yang bermain di benak adiknya itu.

“Abi…ni adik. Abi tak ingat adik?” tuturnya lagi. Dia sudah mula sebak kerana dia tak dapat membayangkan keadaan abi pada ketika itu. Ingin sekali dia berjumpa, tapi dia tahu masih belum tiba masanya.

“A…a...dik.” tutur satu suara yang sayup-sayup di hujung talian, sebelum diganti dengan esakan halus yang perlahan namun sudah cukup untuk menggambarkan kesukaran. Dian yang mendengar jadi tersentuh, serentak air matanya berderai menangisi nasib diri dan keluarga yang tak lekang dengan ujian.

“Abi…” balasnya sayu. Tiada apa lagi yang mahu dipinta. Penyatuan semula keluarga yang sudah lama terpisah akhirnya berlaku atas ihsan dari yang Maha Esa. Biarpun tak dapat bersua namun dia bersyukur kerana diberi kesempatan untuk merasa.

 

Azeem menghempaskan badannya ke atas sofa yang terdapat di ruang tamu. Hajat hatinya untuk mengejutkan Dian, tapi sebalikya yang berlaku. Urusan yang dijadualkan berlangsung di Langkawi terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Penganjur program tersebut, pihak berkuasa tempatan telah memohon maaf atas kesulitan yang berlaku. Dia lega kerana dapat pulang awal untuk menemani Dian yang sudah sarat dan hanya menanti masa. Kelahiran waris yang dinanti semua bakal tiba dan kegembirannya mengatasi segala. Semua keperluan untuk bayi telah disediakan awal dulu, kini mereka hanya menanti waktu untuk bertemu. Gembira, bangga semuanya ada, tapi itu dulu. Tiba-tiba dia teringatkan keadaan Dian yang berpelukan di hadapan rumah berkenaan.

Hatinya mula panas kembali. Satu tumbukan dilepaskan ke arah sofa berkenaan untuk mengubat hati sambil diri ditemani pelbagai persoalan yang mula menghantui perasaan. Dia cuba sedaya-upaya untuk mengikis segala sangkaan buruk pada Dian, tapi dia tak berupaya kerana amarah lebih menguasainya.

“Rupanya ini kerja kau. Kau tengoklah nanti apa aku akan buat. Kau tunggu.” tuturnya geram sebelum melangkah keluar dari situ.

Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.