Home Novel Cinta Hati Suamiku GK
Bab 4

Huzaiman menyikat rambutnya sebelum tidur. Entah mengapa dia berasa puas dapat mematahkan semua kata-kata Natasha di kedai mamak tadi. Ia satu kepuasan yang teramat sangat. Dapat melihat wajah monyok Natasha mampu membuat dia tersenyum sehingga tidur agaknya. Muncungnya sudah sepanjang muncung itik. Huzaiman ketawa.

“Aku ada otak nak fikir. Kalau tak, aku tak dapat kerja kat tempat kau.” Natasha masih mampu mengawal kemarahannya. Dia menjeling tajam ke arah Huzaiman. ‘Lelaki tu tak habis-habis tersenyum.’ Geram sungguh Natasha dibuatnya.

“Amman dan Ammar akan setia dengan aku. Aku suka kesetiaannya lebih dari seorang kekasih atau isteri.” kata Huzaiman dengan megahnya. ‘Memang dia akui yang Amman dan Ammmar sentiasa bersamanya bagaikan isi dan kuku. Eh, isi dan kuku maksudnya saling perlu memerlukan. Mereka berdua perlukan aku ke?’

“Ini dah melampau!” Natasha benar-benar tidak berpuas hati. Wajah gadis itu sedikit kemerahan. Mungkin marah.

‘Macam mana aku tak marah. Abang Amman dan abang Ammar pun ada kehidupannya sendiri. Dia mahu keluar dengan kawan, kekasih dan sebagainya. Takkan mahu menghadap muka orang gila kuasa ni. Kalau kacak tu tak apa la tapi ini muka macam tak cukup sifat aje.’ Geram Natasha sekadar dalam hati.

“Biarlah. Mereka dilahirkan untuk melindungi dan menjaga serta menurut segala perintah aku.” sombong sekali Huzaiman. Sebaris gigi terserlah apabila Huzaiman tersenyum. Natasha benci dengan apa yang dia lihat. Benci pada Huzaiman dengan sesungguh hati.

Amman dan Ammar hanya menundukkan kepala sahaja. ‘Over pula bos aku ni. Padahal selama aku jadi pembantunya taklah macam ni. Baik aje bos layan aku.’ Amman berkata dalam hatinya.

“Tuhan marah orang yang sombong macam kau.” Natasha cuba memangkah kata-kata Huzaiman. Natasha cuba menggunakan pendekatan Islam. ‘Biar mamat ni rasa terbakar sikit.’

Lelaki itu hanya mampu tersenyum. Sikit pun dia tak terasa dengan kata-kata Natasha malah dia ingin ketawa sekuat hati.

Natasha rasa pelik. Rancangannya tidak menjadi. Huzaiman tidak terasa langsung.

“Tuhan lebih tahu isi hati aku macam mana. Sombong atau tidak.” Huzaiman tidak kisah dikatakan begitu. Dia sudah biasa. Jawapan itu khas untuk Natasha. Hati Huzaiman benar-benar puas ketika melafazkannya.

“Ala, manusia ni rambut sahaja sama hitam tapi hati kita tak tahu kan?” Natasha memandang Amman dan Ammar tetapi si kembar itu tidak pula memandangnya. Geramnya! ‘Mamat kembar ni senyap pula. Kenapa? Dia orang ni ada perasaan untuk mempertahankan diri ke? Kesepianmu membuat aku makin geram la abang Amman dan Abang Ammar.’

“Betullah. Rambut saya warna hitam. Macam mana dengan rambut cik Natasha? Warna hitam juga ke?” soal Huzaiman. Memandangkan Natasha memakai tudung, dia tidak tahulah warna rambut gadis itu. Dulu rambut itu selalu dilihatnya. Kini, ia tersembunyi di sebalik kain itu.

Disebabkan terlalu geram, Natasha bangun ingin meninggalkan meja tersebut. Dia menolak kasar kerusi itu. Hilang semua keayuan wajah Natasha. Baik aku tinggalkan tempat ini dengan segera. Makin lama aku duduk sini, makin banyak aku kena dengan mamat tak ada perasaan ini.

Huzaiman melihat Natasha ingin meninggalkan meja ini. ‘Mesti minah ni sakit hati dengan aku. Tengok muka pun dah tahu tengah hot tu.’ Ada senyuman dalam hati Huzaiman. ‘Sejak bila aku jadi kaki buli ni?’ Kadang-kadang Huzaiman tidak faham kenapa dirinya begitu.

“Amman, halang dia dari pergi.” Arah Huzaiman dengan wajah yang serius.

“Baik bos.” Pantas Amman berdiri dan menghalang langkah Natasha. Dia terpaksa mengikut arahan ketuanya. Walaupun Amman dan Ammar di ambil sebagai anak angkat dalam keluarga tersebut tetapi tugas mereka berdua lebih kepada pengawal yang mengawal keselamatan Huzaiman.

Natasha mendongak memandang Amman. Dia rasa geram sebab lelaki itu berani menghalangnya.

“Abang Amman....” Geram Natasha.

Amman hanya mengangkat bahu sahaja. Dia hanya mengikut arahan. Tambahan pula Huzaiman memandang ke arah mereka.

“Duduk. Makan dulu. Amman dan Ammar. Kamu berdua pun duduk. Kita makan sama-sama. Saya belanja makan.” Ajak Huzaiman dengan tegasnya.

‘Makan kat kedai mamak? Biar betul bos aku ni. Tak pernah-pernah seumur hidup aku tengok dia makan kat sini.’ Amman dan Ammar pun melabuhkan punggungnya. Mata mereka terkebil-kebil memandang Huzaiman.

Ammar memandang dengan pandangan yang sangat pelik. Ini boleh pecah rekod.

“Ammar, saya tahu yang saya ni terlalu pelik berpakaian macam ni tapi jangan pandang saya macam tu.” Kata-kata Huzaiman membuat Ammar mengalihkan pandangannya kepada Amman yang tersenyum manakala Natasha yang sudah membuat muncung yang panjang.

‘Ada orang kena paksa makan. Nasiblah!’ Bisik hati Ammar apabila melihat muncung Natasha. Gadis itu duduk semula.

Akhirnya Huzaiman sekadar minum air 100Plus tin sahaja. Dari situ Amman dan Ammar tahu yang Huzaiman memang tidak sesuai makan di kedai mamak. Dan tidak akan sesekali makan di kedai tersebut.

‘Kalau dah memang tak biasa makan kat kedai macam ni, memang takkan biasa.’ Ammar mengeluh.

Huzaiman tersengih apabila melihat Amman dan Ammar. Dia dapat agak apa yang ada dalam fikiran mereka berdua.

Lenyap terus ingatannya pada Natasha. Dia berbaring atas katil. Melihat gambar pemandangan yang tergantung dalam biliknya. Dia sukakan gambar tersebut.

Natasha hadir dalam fikirannya. Huzaiman senyum lagi.

“Tengoklah esok. Si Sha tu datang lambat atau cepat.” Huzaiman tidak sabar menanti esok. Itu yang dia ingat apabila melihat Natasha. Pembulian yang menyeronokkan.

Huzaiman memejamkan mata. Dia juga perlukan rehat yang secukupnya. Memikirkan tentang Natasha membuat dia senyum tiba-tiba. ‘Ahh! Apa dah jadi dengan aku ni? Aku bagaikan tidak sabar menanti hari esok. Sabarlah wahai hati okey?’ Akhirnya Huzaiman terlelap. Dia mengharap dalam hati agar hari esok cepat tiba.

Natasha berasa bersyukur yang dia tidak lewat ke pejabat hari ini. Dia dapat pulang kerja dengan hati yang senang. Melihat wajah Huzaiman bagaikan tidak puas hati itu membuatnya ingin ketawa. ‘Si GK ni nak buli aku aje. Macam la aku ni senang dibuli. Dulu boleh la. Budak hingusan lagi tapi sekarang, jangan harap. Aku dah matang. Ada faham?’ Bisik hati Natasha.

Malam ini Natasha ada temujanji dengan seseorang yang penting. Dia memakai pakaian serba hitam. Tudung, cermin mata gelap, baju t-shirt hitam, baju jaket hitam, seluar jean hitam dan juga berkasut hitam. ‘Alamak! Semua hitam ni. Nasib baik aku putih dan lagi satu, kereta aku tak hitam.’ Natasha tersenyum. Dia mengambil sesuatu dalam kotak letak barang dalam keretanya itu. Dia tersenyum dalam duka.

Natasha memandang gambar Shahrin dan Iskandar. Wajahnya mendung. Dia menanggalkan cermin mata itu lalu di peluk gambar yang usang itu. Itulah satu-satunya gambar yang terselamat dari kebakaran itu.

“Mak ayah. Sha rindu sangat pada mak ayah.” Kata Natasha. ‘Kalau mak ayah masih hidup, mesti dia bangga dengan kejayaan ini dan hidup kami semua tak susah lagi. Mak ayah, Sha akan balas semua perbuatan mereka. Apa yang mereka dah lakukan pada keluarga kita. Sha tak kan lepaskan mereka selagi mereka tak rasa apa yang Sha rasa. Sha perlu kuat mak ayah. Sha akan jadi kuat.’ Kata hati Natasha dengan penuh semangat.

Natasha menyimpan kembali gambar tersebut dan keluar dari kereta. Dia tahu ada seseorang yang sedang menantinya. Hati Natasha berasa berdebar-debar saat ini kerana dia jalan bersendirian. Dia memandang ke kiri dan ke kanan sebelum masuk ke dalam sebuah kereta berwarna hitam. Dia duduk dengan tertibnya.

“Bos...” tegur Natasha. Seorang lelaki yang amat dia kenali sedang tersenyum manis padanya. ‘Manis? Tak la manis sangat. Muka orang tua gatal ada la.’ Itulah tanggapan Natasha terhadap orang didepannya ini.

“Macam mana? Naz dah dapatkan data yang kita perlukan tu?” soal lelaki misteri itu. Dia sememang tidak sabar untuk mengetahui perkembangan rancangannya.

“Sudah bos!” Penuh yakin Natasha menjawabnya tetapi ada sesuatu yang mengganggunya.

“Mana data tu?” dahi lelaki tersebut berkerut sedikit. ‘Cakap ada tapi macam tak ada aje. Biar betul si Naz ni.’

“Data tu dalam pendrive saya bos.....” kata Natasha sambil menundukkan wajahnya. Dia tidak berani nak melihat wajah lelaki itu. Seram sejuk. Pernah sekali dia melihat lelaki ini memarahi pekerjanya. Sudah macam singa kelaparan gayanya. Dimarahi tanpa sebarang alasan.

“So, mana pendrive tu?” lelaki itu cuba bersabar. ‘Naz ni macam nak main tarik tali dengan aku. Sabar-sabar. Naz adalah lubuk kejayaan aku. Aku tak boleh buat dia rasa takut.’

“Sebenarnya pendrive tu dah masuk virus, bos. Saya kena beli pendrive baru.” Jujur Natasha. Wajahnya serius.

Lelaki itu mengeluh. ‘Aku dah agak dah.’

“Kau ni, asyik panggil aku bos. Aku kan dah bagitau kau, panggil aku PK.” Kata lelaki itu. Dia tidak jadi marah melihat wajah gadis yang cantik itu. Tanpa Natasha sedari, PK ada perasaan untuk memiliki Natasha.

“PK? Tak boleh bos. Nanti saya tak dapat nak berfikir.” Gurau Natasha.

“Naz...” PK memanggil Natasha dengan nada yang geram. ‘Boleh gurau-gurau pula cik adik manis ni.’

“Baik PK. Ada apa-apa lagi yang saya perlu lakukan supaya dendam saya terbalas.” Soal Natasha. Semua yang berlaku ini rancangan PK. Dia sangat berterima kasih pada lelaki itu.

Natasha memandang lelaki yang digelarnya PK. Lelaki itu banyak membantunya.

Sejak Iskandar dan Shahrin meninggal dunia akibat kebakaran di rumah mereka, hidup Natasha sentiasa tidak tenang. Ayah dan emaknya adalah insan paling Natasha sayangi.

Natasha membuat kesimpulan sendiri. Kematian ayah dan emaknya adalah kesalahan mereka sekeluarga.

Shahrin, emak Natasha merupakan adik bongsu dalam keluarga yang kaya. Datin Ismah iaitu mama Huzaiman pula ialah kakak kepada Shahrin. Shahrin meninggalkan keluarganya demi kehidupan bersama Iskandar. Dia tidak kisah hidup susah asalkan dia bahagia disamping lelaki yang dia cintai.

Iskandar, ayah Natasha pula Natasha tidak begitu mengenali saudara mara yang ada di belah ayah. Yang dia tahu, dia ada saudara yang bernama Amir Azzri. Itu sahaja yang ayah pernah cakap. Amir Azzri adalah abang kepada ayahnya.

Semasa kematian ayah dan emak Natasha, keluarga Huzaiman sikit pun tidak simpati dengan apa yang berlaku. Ketika itu, seorang gadis sudi menghulurkan bantuan. Dia tidak akan lupa wajah gadis yang seksi itu. Walaupun seksi tetapi dia seorang yang baik. Entahlah.

Selepas beberapa hari, Natasha didatangi oleh seseorang yang mengelarkan dirinya PK. Jika tidak berjumpa dengan PK, dia tidak akan tahu yang dirinya mempunyai hubungan darah dengan keluarga Huzaiman. Ya! Dia tidak akan tahu jika PK tidak memberitahunya.

Sejak itu, Natasha menyimpan dendam terhadap keluarga kaya itu. Dendam yang tidak akan padam selagi mereka tidak merasai apa yang telah Natasha lalui.

“Naz! Naz!” panggil PK. “Berangan tak ajak saya.” Gurau PK.

Natasha tersenyum. Lelaki dihadapannya hampir sebaya dengan ayahnya tetapi wajah lelaki ini cukup kacak. Masih nampak muda. Dia senang berkawan rapat dengan PK. Lelaki ini tidak pernah mengambil kesempatan ke atasnya, malah banyak membantu dirinya.

“Tak ada apa-apa. Saya pergi dulu. Pasal pendrive tu, saya akan beli secepat mungkin. Okey bos?” Natasha meminta kepastian.

“Okey!” PK tersenyum.

Natasha pun membuka pintu kereta dan berlalu pergi.

“Tuan!” kata pemandu PK.

“Biarlah dulu. Perempuan tu tak dapat lagi data yang kita nak tu. Apa-apa pun aku nak kau selalu perhatikan perempuan tu. Aku tak nak dia lepas.” PK berkata dalam bentuk arahan.

“Baik tuan!” balas pemandunya.

PK tersenyum. Rancangannya berjalan seperti apa yang dirancang dari awal. Natasha adalah watak pertama dalam ceritanya bagi menjayakan impiannya selama ini. Terima kasih Natasha.

Natasha memerhatikan sekelilingnya. Ketika itu dia sedang membeli novel di kedai buku. Novel Kahwin Ganti dipegang oleh Natasha. Novel itu menjadi pilihannya disebabkan tajuknya, kahwin ganti. Itu yang akan jadi dalam hidupnya tak lama lagi.

Tiba-tiba pandangannya jatuh ke wajah seseorang wanita yang lingkungan 50-an. Macam kenal aje. Nak tegur ke? Natasha di lema. Akhirnya dia menyapa juga wanita tersebut.

“Auntie!” tegur Natasha. Dia cuba senyum dengan seikhlas hati juga. Susah juga kalau kita tak nak senyum tapi terpaksa senyum.

“Eh, Sha! Dari mana ni? Meh datang rumah Auntie.” Ajak Datin Ismah. Dia teruja tiap kali bertemu dengan Natasha. Senyumannya pasti akan lebar.

Natasha bersalaman dengan Datin Ismah. Ramahnya mak cik Datin ni.

“Tak apa Auntie, lain kali. Saya ada urusan lagi nak dibuat ni. Ni pun datang singgah sekejap aje. Nak cari Novel,” kata Natasha pula. Dia menunjukkan novel yang dipegangnya ke arah Datin Ismah.

“Oh, macam tu tak apa la. Auntie faham kamu.” Datin Ismah mengalah walaupun dia rasa terkilan sedikit.

“Maaf Auntie.” Natasha beramah.

“Auntie teringin nak memperkenalkan kamu dengan anak auntie. Mesti dia gembira kalau dia tapi yang dia ada sepupu perempuan yang cantik.” Kata Datin Ismah sambil menarik lembut pipi Natasha. Geram benar melihat pipi Natasha.

Natasha terasa bisa di pipinya. Dia tetap mempamerkan senyuman untuk Datin Ismah.

“Lain kali ye auntie. Saya pergi dulu.” Kata Natasha meminta diri. Dia bersalaman dengan Datin Ismah sebelum dia berlalu pergi.

Apa kenalah mak cik seorang ni? Kalau dia tahu yang aku dah kenal anak dia, lagi mudah kerja dia menyatukan aku dengan Huzaiman. Aku perlu merancangnya dengan baik agar aku tak kan kegagalan.

“Kahwin ganti?” lagi sekali Natasha melihat novel yang baru di belinya. Baik baca novel, lagi bagus!

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.