004
Kampung Permai, Tanjong Malim
Jam 1105
Sudah sepuluh kali Jefry mengalih pasu bunga milik
emaknya. Ada saja yang tak kena di matanya. Alih sini, tak cantik. Alih sana,
tak kena tema. Alih kiri, pokok jadi meninggi. Alih kanan, dah jadi
macam-macam! Adoi! Inilah kalau memberikan kerja kepada yang bukan ahlinya.
Tapi nak membebelpun tak guna, sebab memang gerenti kalah punya.
Jefry melihat jam di tangan. Jam baru menginjak 3
minit tapi dia rasa macam 3 jam lagi baru emaknya akan pulang. Dia membasuh
tangan di pili kemudian masuk ke rumah mengambil kunci kereta. Dia baru
bercadang hendak menjenguk emaknya di baruh. Sudah bosan tahap petala langit ke
tujuh! Baik dia duduk bersembang di warung Mak Jah daripada sakit hati melihat
hasil kerja tak menjadi.
" Jefry Ahmad Deraman! Kamu nak ke mana pulak
tu? Baru minta tolong alih pasu, muka dah macam bunga pukul lapan masuk
tenghari?"
Jefry berpaling ke arah suara yang memetir. Hairan.
Bagaimana emaknya boleh pulang sebegitu awal? Bukankah sepatutnya emaknya akan
bekerja lebih masa sebab Mak Jah baru dapat tempahan katering kenduri kahwin?
Semalam emaknya yang beria-ia memberitahu ada overtime. Sekarang dah menjengul di muka
pintu? Emakpun dah belajar ilmu 'muncul tiba-tiba' tanpa diduga? Jefry memegang
dagu, menganalisis dengan curiga.
"Dah siap ke susun pasu bunga yang mak suruh
tu?" Belumpun analisisnya menjadi analitikal, emaknya seperti biasa dah
potong line.
"Jef tak pandailah mak, bab alih-alih pasu ni,
bukan kepakaran Jef." Jefry cuba memenangkan diri.
"Abis? Apa kepakaran kau Jef? Alih
perempuan?" Laju Faridah Hanum memotong cakap anak tunggalnya itu.
Dengar khabar anaknya ramai makwe keliling pinggang
tapi yang hairannya sampai sekarang sorang pun tak pernah sangkut untuk
dipinang. Umurnya dah makin menambah angka saban tahun. Agak-agakla kalau asyik
nak kena makan nasi kenduri kat rumah orang. Itulah yang Faridah bengangkan.
Hendak dikata tak ada rupa, anaknya itu mewarisi
kecantikan dia. Dia muda-muda dulu, bersepah orang lelaki nak berkenalan tapi
entah kenapa si Ahmad Deraman juga yang akhirnya menjadi pilihan. Disebabkan
banyak sangat pilihan, dah tersalah pilih, itulah hidupnya jadi macam ni. Mujur
cepat jadi janda, kalau tak, memang hidupnya terseksa sampai ke tua.
"Mak ni... tak sudah-sudah nak sakitkan hati
Jef. Kalau Jef tak balik, mak marah. Kalau balik, membebel tak sudah. Mak nak
apa sebenarnya daripada Jef? Cuba mak cakap." Jefry cuba menahan intonasi suaranya
daripada melepasi oktaf anak derhaka. Dia menyabarkan hatinya. Di depan ini,
ibunya; umi yang melahirkan, emak yang membesarkan, di telapak kakinya syurga
yang dijanjikan.
"Betul Jef nak bagi apa yang mak nak?" Berseri-seri
wajah Faridah. Tet! Anak jantannya dah nak masuk perangkap! Yes! 'Mentol' di atas kepalanya terang
menyala-nyala.
"Ya, Jef akan bagi apa saja yang mak nak, dengan
syarat mak tak kerja lagi. Jef kalau boleh, balik kampung 3-4 bulan sekali nak
tengok mak duduk rumah, masak untuk Jef, sembang-sembang dengan Jef. Apa lagi
mak nak? Duit rasanya dah berkepuk dalam bank. Rumah pun rumah batu..." Jefry
menyatakan ketidakpuasan hatinya. Lama dah dia pendam. Lagi lama, rasanya
hatinya semakin membahang.
"Betul ni? Jef nak mak duduk rumah? Tak kerja
kat kedai Mak Jah?" Faridah bertanya sekadar untuk mengesahkan padahal
telinganya bukanlah pekakpun lagi.
"Betul la mak. Jef suka kalau mak duduk rumah.
Orang mengata Jef bawak kereta besar, mak rumahpun rumah besar tapi ambik upah masak
kat kedai orang. Duit banyak-banyakpun bukan boleh bawa ke mana. Kita berdua
ajepun mak." Jefry memberi justifikasi cadangannya.
"Mak bukan apa Jef, mak kerja sebab mak bosan
duduk kat rumah sorang-sorang. Kat kedai Mak Jah tu mak bersembang ajepun.
Kerja sikit-sikit aje. Mak Jah kamu tu kan best
friend mak dari dulu?" Faridah tersengih-sengih. Alasan basi yang
selalu dia bagi bila Jefry membangkitkan hal itu.
"Ye, Jef faham mak sunyi..." Jefry sudah
memegang tangan emaknya erat. Dia membawanya ke bibir lalu mengucupnya lembut.
Tangan itulah yang selalu menyuapkannya nasi, yang selalu memandikannya, yang
selalu memenangkannya bila berdepan kemarahan arwah ayahnya. Besar jasa tangan
yang sedang diraihnya ke pipi itu.
"Jef janji dengan mak, kalau mak berhenti kerja,
Jef ikut apa saja yang mak nak." Jefry mengangkat tangan kanannya separas
bahu mengukir janji.
"Okey, kejap lagi mak bagitahu apa mak nak.
Sekarang Jef ambil pinggan dulu. Mak dah masakkan lauk kegemaran Jef kat kedai
Mak Jah kau tadi." Suara Faridah semakin mengendur. Dengan anak bertuah
yang seorang itu, hatinya cepat panas, tapi cepat juga jadi sejuk. Jefry memang
pandai kalau bab-bab menyejukkan hatinya yang cepat panas.
"Mak! Kita makan tepi pangkin kat tepi pokok
pelam macam selalu ye?" Jefry sudah menyarung selipar. Di sebelah
tangannya ada dua pinggan dan sudu sementara yang sebelah lagi sudah memegang
mangkuk tingkat berisi lauk-pauk.
"Yelah... Jef dah tebas semak kat tepi pangkin
tu ye?" tanya Faridah sambil turut menonong ke pangkin di bawah pokok
mempelam di depan rumahnya.
Port kegemaran mereka
dua beranak menghabiskan masa kalau Jefry pulang, 3-4 bulan sekali. Itupun sudah
dikira cepat. Kadang-kadang 6 bulan baru Jefry jenguk muka. Siapalah tak sunyi
dengan rumah banglo besar tapi hanya duduk sendiri?
"Bukan setakat tebas semak kat pangkin tu mak,
kat kebun durian tu pun Jef dah 'selamatkan'. Harap-harapnya dapatlah bertahan
sampai musim durian sebulan dua lagi. Kalau semak dah naik, mak upahlah orang
ye. Jef tak tahu kali ni Jef pergi berapa lama..." Sayu Jefry berkata. Kalau dia ada pilihan, dia memang tak akan
tinggalkan emak kesayangannya sendirian. Ada masa, dia jadi rindu sangat-sangat
mendengar bebelan emak. Kadang-kadang bebelan itu menjadi sangat indah dalam
mimpi malamnya... Namun atas tuntutan kerjaya... semua itu harus dia korbankan.
"Mak tak minta Jef cari kerja lain sebab mak
tahu, Jef sukakan kerja ni." Faridah menyudukan kuah tempoyak ikan rebus
ke dalam pinggan Jefry. Mukadimahnya disusun rapi agar apa yang cuba
disampaikan mencapai tujuan. Dia tahu, kali ini dia tak boleh berlengah lagi.
Lepas ni entah-entah 6 bulan baru dapat nak berjumpa Jefry.
"Sedapnya mak masak! Mabeles! Kalau hari-hari dapat makan masakan mak, mau bulat Jef
mak!" Komen Jefry tatkala nasi dan gulai yang bergaul mesra itu masuk ke
mulutnya. Memang inilah masakan kegemarannya sejak azali lagi. Walau jenuh
telan macam-macam masakan di serata dunia, air tangan mak juga yang terhebat
dirasakannya.
"Rasa ni pulak!" Faridah sudah menyuapkan
sambal tumis petai ikan bilis ke mulut Jefry. Jefry memang suka makan tapi ikan
bilis aje, petainya diletak ke tepi. Kalau makan juga, nanti perutnya meragam.
Pelik karenah Jefry tapi hanya ibunya yang paling arif tentangnya.
Setelah membiarkan Jefry menikmati makan
tengaharinya yang terlebih awal pagi itu, Faridah teringatkan misi yang belum
dilaksana tadi.
"Jef, kalau mak berhenti kerja, mak nak minta
satu perkara, boleh Jef?" Pertanyaan Faridah hanya dibalas dengan anggukan
yang cepat. Mulut Jefry memang sudah penuh. Dia memang sedang menikmati air
tangan ibunya bersungguh-sungguh.
"Mak sebenanrya teringin nak bermenantu!"
Sebaik habis Faridah meluahkan hasratnya, tersembur
makanan dari dalam mulut Jefry. Tersedak. Kelam kabut dia mencari air.
"Isy! Tak senonoh betul! Habis baju mak!"
Faridah mengibas-ngibas bajunya yang sudah penuh dengan nasi.
"Minta
menantu aje pun, bukannya minta berlian. Jef bagi mak menantu, mak duduk rumah
diam-diam!" Kali ini Faridah pula mengangkat tangan separa bahu,
konon-konon berjanji macam Jefry tadi.
"Mak! Agak-agakla nak minta pun! Kalau mak
minta berlian, Jef tak tersedak semacam." Jefry meneguk air lagi. Beberapa
kali dia berdehem membetulkan kerongkongnya yang pedih.
"Apasal? Tak de calon? Duit banyak nak buat
apa kalau tak bagi anak bini? Ke tak minat dengan perempuan?" Dia
memandang anaknya bagaikan mesin pengimbas membuat pemeriksaan. Anak lelakinya
yang bertubuh sasa dan berwajah segak takkanlah tak ada perempuan berkenan.
Melainkanlah anaknya sendiri tak berminat pada perempuan.
Mulut laser Faridah menembak Jefry sampai bulat
mata Jefry dek tak percaya emaknya sanggup bertanya sampai ke situ.
"Mak ni! Ada pulak ke situ. Jef ni lelaki
tulen la... Ada perasaan pada perempuan. Tapi..." Jefry memberhentikan
kata-katanya. Dia bimbang akan terlepas cakap yang bakal menyebabkan ibunya
berkecil hati.
"Tapi apa? Penakut dengan perempuan? Isy! Mak
dengar cerita Jef dari sekolah dulu ramai girlfriend.
Takkan bila dah kerja terus pencen? Mak tak percayala kamu dah tua bangka macam
ni tak ada kawan perempuan."
Faridah menyatakan pendapatnya. Keturunan ratu
kebaya macam dia tak ada orang yang suka? Sangatlah mustahil. Buta ke apa
perempuan sekarang?
"Mak! Ni bukan masalah tak ada kawan
perempuan. Setakat kawan, bersepahla mak. Masalahnya, Jef ni. Jef sebenarnya...
hmm..." Berat betul Jefry hendak meluahkan rasa hatinya.
"Kau buat mak suspen aje Jef. Kau jangan cakap yang bukan-bukan. Mak risau ni.
Takkanlah..." Faridah sudah semakin cuak. Wajahnya memang sarat dengan
bimbang.
"Takkanlah apa mak?" Kali ni Jefry pula
yang berdebar menantikan kata-kata daripada mulut maknya.
"Takkanlah Jef... Jef... "
"Takkanlah apa mak?"
"Takkanlah Jef... ada masalah lelaki?"
"Mak!"