Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 27

Minta Maaf

Kami berlima tiba di hadapan rumah Rafie. Masing-masing masih berpakaian sekolah kecuali saya yang berpakaian biasa. Saya dan Rina memadang sesama kami. Kami berdua mengangguk sebelum memberi ucapan salam.

"Assalamualaikum!"

Tidak lama kemudian pintu rumah pun dibuka. Terlihatlah Rafie yang memakai jersi bola bersama seluar tracksuit. 

"Eh? Korang?" Terpaku dia tatkala melihat kami yang sudah berdiri di hadapan pintu rumahnya.

"Akhirnya dapat juga berjumpa kau, Rafie," nyata Irwan.

"Asal korang ramai-ramai datang ni?" soalnya lalu menggaru kepala.

"Rafie, sebenarnya..." Ayat Mei sengaja tidak dihabiskan. Dia mengerling pada Rina.

Serta-merta Rina berubah gelabah. Tersipu malu kerana sukar untuk merendahkan egonya. Namun, demi persahabatan sebagai rakan sekelas, ego itu perlu ditundukkan.

Dengan kepalanya menunduk kesal, dia pun meminta maaf. 

"Aku sebenarnya nak minta maaf dekat kau, Rafie." 

"Oh, ya ke. Kenapa?"

"Kenapa kau cakap? Sebab aku tuduh kau melulu semalam. Jadi... aku rasa bersalah."

"Oh... ya ke. Baguslah." Balasan mendatar Rafie itu bagai tiada perasaan. Hairan kami mendengarnya. Dia terima atau tidak permohonan maaf Rina itu? Dari suaranya seperti masih menyimpan dendam.

"Rafie, awak masih marahkan Rina ke?" tanya saya dengan lemah lembut. Rafie seperti tersentak. Matanya mula meliar ke sekeliling sebelum belakang lehernya diusap. 

"Hmm... sebenarnya bukan aku tak maafkan pun. Aku tak kisah pun. Cuma aku..."

Rafie seperti hendak memberi penerangan namun ayatnya terhenti. Dia mula melihat kami satu per satu. Tidak lama kemudian dia mengeluh kecil.

"Tak apalah korang masuklah dulu. Dah alang-alang sampai sini," pelawa jejaka ini. Dia kemudian membuka jerjak pintu untuk memberi kami masuk ke dalam.

*****************************

Setelah masing-masing mula memasuki ke dalam rumahnya, Rafie pun meminta kami untuk menunggu sebentar sementara dirinya naik ke biliknya.

"Korang tunggu sekejap eh. Aku naik atas jap."

Sebaik Rafie menaiki tangga, masing-masing mula memerhatikan persekitaran rumahnya yang sangatlah tersusun dengan baik.

"Wow! Kemasnya rumah dia ni. Tengoklah kat atas rak sana tu. Banyak betul trofi dia ni. Tengok rak sana pula, ada banyak koleksi kereta mainan. Eh, tengoklah sofa ni pula. Ni sofa mahal ni. Kalau mahal, maknanya Rafie bukanlah orang susah, kan?" Suara Irwan memecahkan kesunyian. 

Dalam kalangan kami, hanya seorang yang berasa jengkel dengan perangai Irwan itu. 

"Bisinglah kau ni Irwan! Tak boleh ke kalau kau senyap?" bebel Rina yang tidak senang dengan kebingitan Irwan itu.

"Maaflah, aku tengah teruja ni," katanya dengan muka tersengih. Ikutkan, ini kali pertama Irwan datang ke rumah Rafie. Sebelum ini hanya saya, Rina, Mei dan, Yusri sahaja yang pernah ke mari.

Sedang kami memerhatikan sekeliling, Irwan berjalan ke arah salah satu rak yang berada di penjuru ruang tamu. Dalam rak tersebut, ada beberapa bingkai gambar. Curiga, Irwan cuba melihatnya satu per satu. 

"Eh, ni gambar Rafie waktu sekolah rendah dulu ke?" Soalan Irwan itu mendapat perhatian kami terutamanya Yusri. Dia datang mendekati Irwan. Sebaik itu, Irwan tujukan gambar itu kepada Yusri. Jejaka popular itu menatap gambar itu dengan teliti.

"Wah, kurusnya dia! Sama macam sekarang. Tapi peliklah. Asal aku tak pernah nampak gambar ni waktu aku datang ke sini sebelum ni?"

"Mungkin baru letak kot," balas Irwan.

"Mungkinlah kot."

Ragam mereka berdua itu mendapat perhatian saya dan rakan lain. Sejurus itu kami pula mendekati mereka. Gambar itu diambil saya lalu ditatap bersama.

"Waaahh! Tengok gambar ni buat saya terasa teringat waktu zaman kita sekolah rendah dulu. Kan Rina?" Soalan saya itu diiyakan Rina.

"Kan. Tapi kalau tengok dalam gambar ni, muka Rafie ni tersenyum pula. Beza sangat dengan yang sekarang."

"RightLook at his smile. So ceria orangnya," kata Mei pula.

"Kan, Mei. Rafie nampak lain sangat," sokong Irwan.

"Apa yang korang buat tu, hah?" Secara tiba-tiba, Rafie pun muncul di belakang kami.

"Oh, mak!" saya melatah.

Saat kami memandangnya, tangannya membawa dulang yang berisi beberapa cawan dan jag berisi air. Malah, kudapan juga ada dibawa.

"Eh, awak dah buat air? Cepatnya," ujar saya kehairanan. Tadi dia sudah naik ke atas, ini tiba-tiba sudah turun, siap sempat buat air lagi.

"Air ni pun kebetulan aku baru buat sebelum korang sampai. Baru nak layan movie, korang dah datang. Alang-alang korang dah ada, aku hidangkan lah air ni. Ni ha, korang tengok apa tu?"

"Tak ada apa sangat, Rafie. Saja tengok gambar lama kau ni. Yalah kitaorang semua curious tentang kau." Sengaja Yusri memberi alasan.

"Haih... ni mesti korang mengutuk aku, kan?" katanya sambil meletakkan dulang berisi cawan di atas meja ruang tamu.

"Awak janganlah cakap macam tu. Kami cuma curious je. Lagipun, apa salahnya kalau kami tengok gambar awak masa kecil ni. Saya sendiri dah lupa macam mana muka awak yang dulu," pujuk saya. Langsung pujukan itu disokong oleh Yusri.

"Entah kau ni. Aku cuma nak tahu macam mana muka kau masa kecil. Lagi-lagi gambar dalam frame ni, muka kau lain sangat." Jari Yusri dituju pada bingkai gambar yang berada di tangan saya.

Rafie mengerut dahi. "Gambar waktu aku kecil? Gambar yang mana satu?"

"Alah, gambar yang ni." Saya memberikan bingkai gambar tersebut kepadanya.

Wajah Rafie berubah terkejut. Tidak lama itu, wajahnya itu dilonggarkan. Secara tak langsung dia menggetus ketawa. "Apalah korang ni. Ini bukan gambar aku lah."

"Eh!" Terkejutnya kami sampai menjerit serentak.

"Habis tu gambar siapa?" soal Rina.

"Ini gambar sepupu aku lah," balasnya sambil menahan bibir.

"Laaahh~" Suara kami bergema serentak.

"Muka kitaorang memang serupa sikit. Tapi... dulu je lah."

Irwan menepuk perlahan bahu Rafie. "Pelik, kenapa kau simpan gambar sepupu kau ni? Siap frame dan letak kat rak pula tu."

"Eh, suka hati aku lah! Ini rumah aku kan. Dah, dah apa kata korang duduk dulu."

Setelah diajak, kami pun mengambil tempat untuk duduk. Ada yang duduk di atas lantai dan ada juga yang duduk di atas sofa. Apabila semuanya kelihatan bersedia, Rina pun mula menjelaskan kehadiran kami ke rumah ini.

Dia datang dengan tujuan untuk meminta maaf. Pertama, kerana menuduhnya secara melulu. Kedua, dia tidak mengetahui bahawa Rafielah yang sebenarnya menyelamatkan saya daripada dipukul oleh pelajar lelaki hingga menyebabkan saya berasa trauma dengan lelaki.

Ketika mendengar penjelasan Rina itu, Rafie mengalihkan pandangannya ke arah saya.

"Kau beritahu cerita yang sebenar?" soal Rafie kepada saya.

"Bukan ke itu lebih baik." Begitu polos saya menjawab. 

Serta merta jejaka itu mendengus panjang nafasnya. Kepalanya digelengkan dengan tangannya menekup dahi.

"Nak buat macam mana benda dah berlaku. Apa pun aku maafkan kau, Rina."

Senyuman mula terukir pada bibir Rina. Hatinya mulai lega setelah permohonan maafnya diterima. 

"Terima kasih, Rafie." Ucapnya.

Bunyi tapak kaki yang sedang menuruni tangga jelas kedengaran. Lantas mata kami mula memandang ke arah tangga dan terlihat akan sosok tubuh seorang budak kecil.

"Wow!" Itulah ayat yang terpacul dari mulut si kecil itu. 

"Ramainya yang datang. Abang nampaknya kawan abang dah makin bertambahlah." Muka comel budak itu dihiasi dengan mulutnya yang terlopong. 

"Oh, Iky. Kenapa turun?"

"Iky laparlah."

"Ya ke. Kalau macam tu mari sini. Abang ada biskut dekat sini. Air pun ada sekali," ajak Rafie sambil melambai.

Perlahan-lahan, Iky menghampiri abangnya. Walaupun dirinya seperti malu untuk berhadapan dengan kami, dia tetap memberanikan diri. Wajahnya tenang, tidak terseringai mahuun menyengih. Ada masa curi-curi pandang ke arah kami.

"Helo, budak kecil. Ni mungkin kali pertama kita berjumpa. Nama abang, Irwan." Irwan perkenalkan dirinya

Melihatkan adiknya seperti malu-malu kucing, Rafie pun memperkenalkan Irwan kepada adiknya.

"Ni Irwan namanya. Tapi abang panggil dia Iwan. Kawan sekelas abang juga." Iky mengangguk.

"Comellah adik kau ni, Rafie. Aku ni memang suka budak-budak. Umur awak ni mesti 9 tahun, kan?"

Mata Iky berubah tajam. Dia lantas bangun lalu menyepak kaki Irwan. Kami terkesima. Akan tetapi, saya mengerti mengapa Iky bertindak sedemikian. Dia begitu pantang apabila orang tersalah teka umurnya.

"Adoi!" Irwan menjerit kesakitan. Sejurus itu Iky menjelirkan lidahnya.

"Blueekk! Kawan abang ni pelik. Iky geli," sindirnya lalu memeluk Rafie. Tertawa Rafie sebaik menyaksikan reaksi adiknya itu. 

"Kau boleh ketawa Rafie?" rungut Irwan yang mengusap kakinya yang disepak.

"Padan muka kau. Kau tahu tak dia ni sensitif kalau cakap pasal umur dia."

"Eh? Iya ke? Manalah aku tahu," rungut Irwan yang mana diiringi tawaan kami.

"Badan dia je nampak kecil, tapi sebenarnya umur dia 12 tahun dan dah habis UPSR pun."

"Eh, ya ke! Maksudnya tahun depan dia masuk tingkatan 1 lah ya. Baguslah. Iky kalau kau masuk sekolah kami nanti, jangan risau fasal pembuli. Nanti biar abang yang ajar diorang cukup-cukup." Mulalah Irwan yang mahu memujuk Iky.

"Eh! Tapi saya tak nak pergi sekolah sama dengan abang ni," balas Iky selamba. Jarinya pula ditujukan ke arah Irwan tanpa rasa bersalah.

"Eh, janganlah macam tu. Tahulah awak malu dengan abang ni." Irwan mula menyengih lebar. 

Rafie tertawa. "Dia takkan sekolah kat sini, Iwan. Korang mungkin tak tahu, sebenarnya Iky ni pelajar top dekat sekolah tau. So, dia target nak apply masuk MRSM, tak pun SBP," beritahunya kepada kami.

"Wow! Iky ni bijak rupanya," puji Yusri. Pujian itu membuatkan Iky menyengih.

"Hehehe... terima kasih."

"Oh, baguslah. Nanti kalau kamu kena buli dekat sana, kamu bagi tahu je dekat abang. Abang boleh bantai diaorang balik." Irwan masih tidak berputus asa untuk memujuknya.

"Tak payah nak mengajar benda bukan-bukan dekat dialah, Irwan. Kau tu aku pukul sikit pun dah sakit," sinis Rina mengusiknya.

"Hei! Itu lain eh. Tu sebab kau perempuan, aku tak berani nak pukul perempuan." Irwan membuat muka tidak puas hati. Semestinya wajah itu dituju kepada Rina. 

"Huh! Yalah tu," bola mata Rina diolengkan tanda jengkel. 

Apa yang berlaku selepas itu? Berperang mulutlah Irwan dan Rina sampaikan ia perlu ditenangkan oleh kami. 

Dalam keriuhan itu, sempat juga saya memandang Rafie sekejap. Reaksinya nampak gembira. Rasa syukur dalam diri saya semakin bertambah. Tiba-tiba sahaja dia memandang saya. Tidak mahu terasa janggal, saya pun memberikan senyuman. Dia membalas senyuman itu tetapi dengan satu pertanyaan.

"Awak dah okey?" Dia bertanya mengenai keadaan saya setelah pengsan semalam.

"Saya dah okey dah."

"Baguslah." Kami berdua melihat kembali kerenah Irwan dan Rina yang masih bergaduh. Nasib Yusri dan Mei ada untuk menenangkan mereka.

"Maaf korang." Suara Rafie mencelah perbalahan Rina dan Irwan.

Apabila semua memandangnya, dia bertanya, "Korang datang ramai-ramai ni memang nak minta maaf je ke?"

Persoalannya itu dijawab oleh Rina. "Ikutkan macam tu. Cumanya..." katanya terjeda lalu disambung oleh Irwan pula.

"Well Rafie, kalau kau nak tahu, kitaorang bawa buah tangan untuk kau."

Rina mengangguk. "Sebagai tanda minta maaf dan lagi satu, kitaorang akan tolong kau untuk masakkan makan malam kau hari ini."

Rahang Rafie terjatuh ke bawah, hinggakan mulutnya terbuka luas. Apa yang kelakar, Iky perlahan-lahan menutup mulut abangnya.

Rafie menggeleng-geleng. Seketika pula, dia menampar pipi.

"Betul ke apa yang aku dengar? Tolong memasak?"

Kami berlima mengangguk. 

"Kenapa tiba-tiba je ni? Takkanlah kau nak minta maaf sampai ajak diorang ni?" kata Rafie yang mempersoalkan permintaan Rina.

Rina mencebik. "Kau ni biadap la. Jangan cakap macam tu. Diorang ni yang nak tolong. Lagipun, ini bukan idea aku." 

Mata gadis lincah itu beralih pada Yusri.

"Yes, Ini Idea aku. Kau tak suka ke?" tanya Yusri dengan matanya berkedip.

"Bukan tak suka cuma aku..." Rafie teragak-agak untuk menerima. Kepalanya digaru. Saya tahu mengapa Rafie begitu. Dia tidak mahu menyusahkan rakan-rakannya demi kepetingan dirinya. Mungkin juga dalam fikirannya ada sedikit perasaan sinikal.

Tidak mahu dia terlalu berfikir, saya cuba memujuk.

"Rafie, janganlah awak terlalu banyak berfikir. Diorang ni ikhlas nak tolong awak. Lagipun... saya sendiri belum ucapkan terima kasih dekat awak tentang semalam. Saya tahu apa yang bawa saya ke bilik kesihatan semalam. Jadi... apa kata awak jadikan pertolongan kami ini sebagai penghargaan daripada saya. Boleh tak, Rafie?" 

Wajah comel saya dipamerkan. Begitu juga dengan suara lembut. Saya yakin tindakan ini pasti berjaya mencairkan hati jejaka ini.

Mata Rafie ditutup rapat. Mukanya yang merona merah ditutup dengan tapak tangan kirinya sekaligus memalingkan muka. Malu agaknya.

"Yalah, yalah. Ikut suka korang la," balasnya yang kemudian berdiri dari duduknya.

"Tapi kan, kenapa aku cium bau hanyir ni?" Rafie menggumam hairan.

Irwan dan Yusri tersenyum senget.

"Sebenarnya, buah tangan yang kitaorang beli ni lah makan malam untuk kau. Ikan jenahak," jelas Irwan lalu mengangkat beg plastik yang dibawanya. 

Terpaku Rafie saat mendengarnya. Ikan jenahak kata mereka. Bagi Rafie hadiah itu terlalu besar buat dirinya. Ikan jenahak, ia terlalu mahal untuk dibeli oleh kami yang bergelar pelajar sekolah. 

Akhirnya Rafie jatuh terduduk. Bibirnya menyengih senget.

"Hah?"

Bersambung...

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk