Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 14

Atasi Ketakutan

Di satu sudut belakang bangunan sekolah, Yusri dan rakan-rakannya sedang melepak sambil meminum air kotak, yang dibeli oleh mereka di kantin. Semenjak Yusri mula berkawan rapat dengan Rafie, timbul rasa kemusykilan dalam diri Hairi. 

Dia tidak faham apakah tujuan rakannya ini yang mahu berkawan dengan budak pendiam itu. Orangnya biasa-biasa sahaja, tak ada apa yang menarik sangat pun. Tambah lagi dia pendiam, apabila ditegur mesti dia akan membalas dingin, malah sinis.

Hairi memandang Yusri dengan agak lama. Tidak lama kemudian dia mula bersuara. "Yus, kau memang rapat ke dengan Rafie?"

"Ha'ah. Kenapa?"

"Kenapa tiba-tiba kau rapat dengan dia eh? Dia tu kan tak ada kawan. Kita nak cuba berkawan dengan dia pun, dia buat macam nak tak nak. Ni tak ada angin tak ada khabar kau boleh pula berkawan dengan dia."

"Kenapa kau tanya macam tu? Okey apa? Asalkan sekarang dia dah ada kawan. Tak ke lagi bagus," nyata Yusri yang pelik dengan pertanyaan Hairi itu.

"Iyalah, tapi Rafie tu kan pelik. Kau tak rasa ke dia tu ada something fishy. Mana tahu dia nak pergunakan kau. Kau kan kaya, mesti dia nakkan sesuatu."

Mata Yusri disepetkan. Tangannya mula mengusap-usap dagu, seperti sedang berfikir. "Hmm... perasaan kau je kot. Tengok aku, okey je. Tak ada apa-apa berlaku pun."

"Memanglah tapi-"

"Kau cemburu ke Hairi?" sampuk Irwan lalu menepuk belakang tubuh remaja berbadan sasa ini.

"Adui! Sakitlah!" raung Hairi.

Irwan memberikan senyuman sinis. "Jangan risau, aku tahu kau sunyi sebab Yusri dah jarang lepak dengan kita. Aku kan ada untuk kau."

"Tak! Bukan tu masalahnya. Aku-"

"Hairi, Hairi. Ikut kaulah nak cakap apa. Tapi kau kena tahu, Rafie pun kawan aku juga," omel Yusri lalu menggelengkan kepala. Air kotak yang dipegangnya dihabiskan sebelum dibuang ke dalam tong sampah. 

"Aku pergi tandas. Kita jumpa dekat kelas nanti." Yusri pun berlalu pergi. 

Sebaik Yusri meninggalkan mereka berdua, Irwan mula menepuk perlahan bahu Hairi.

"Wei, relaxlah sikit. Aku tahu kau tak berapa nak ngam dengan Rafie tu, tapi aku rasa kau tak patut cakap macam tu dekat Yus."

Nasihat Irwan yang tidak mahu hubungannya Hairi dan Yusri menjadi dingin hanya disebabkan oleh Rafie.

"Yalah. Aku tahu. Aku terlepas cakap tadi." Balas Hairi yang akur dengan kesilapannya.

"Ni satu lagi, aku rasa kita jangan salah anggap tentang Rafie. Aku tengok dia macam okey je. Rina dan yang lain-lain pun tak ada pula nak bergaduh dengan dia," kata Irwan lagi. Pun begitu Hairi masih memberi raut tidak puas hati.

"Dengan perempuan bolehlah. Dengan kita apa jadi? layan macam nak tak nak."

"Alah, adalah tu sebabnya. Apa-apahal kita cuba berbaik dengan Rafie. Tengok Yus tu. Masih tak berputus asa. Sekaran tengoklah, diorang pun macam dah rapat je." Pujukan Irwan itu masih tidak membuatkan hati Hairi untuk terbuka. 

Dia masih menganggap yang Rafie tidak sesuai dibuat kawan. Baginya berkawan dengan orang pendiam sangatlah membosankan. 

*****************************

Pada waktu petang yang sangat terik, saya dan rakan-rakan berjalan-jalan di sekitar kawasan kejiranan yang terletak berdekatan dengan sekolah.

"Inas, keep strong ya. Abaikan je mulut-mulut jahat yang cerita tentang awak tu. Apa yang penting I dan Rina sentiasa sokong you," kata Mei yang cuba memberikan semangat kepada saya. Setelah khabar angin bertebaran kencang, dia begitu risau dengan penerimaan saya.

"Betul tu Inas. Aku akan sentiasa jaga kau. Tabah ya sayang Rina ni." 

Dorongan semangat itu menggembirakan hati ini. Syukur saya mempunyai kawan yang baik seperti mereka. Jikalau tiada mereka, entah bagaimanalah nasib saya ini. Mungkin akan terus murung sepanjang hari.

"Thank you, korang. Terharu Inas rasa." Suara saya kedengaran sebak. Rina dan Mei saling berbalas pandangan. Kemudian, kedua-dua mereka melemparkan senyuman pada saya.

"So, sekarang ni apa kata kita pergi ke 7 Eleven? Alang-alang tu bolehlah kita merasa aircond," cadang Rina.

Saya dan Mei bersetuju. 

"Bagus juga, lagipun Inas rasa macam nak beli air lah," nyata saya.

Lantas kami menuju ke 7 Eleven yang berdekatan. Saat kami masuk, terpancar wajah selesa pada muka masing-masing, dapat juga merasa kesejukan pendingin hawa, sekali gus menyegarkan badan daripada terus meresapi keterikan matahari.

"Selesanyaaaa... sedap betul aircond dekat sini." Rina mendepangkan tangannya untuk merasa angin.

"Itulah, rasa macam di kayangan lah," kata Mei pula

"Kan, sampai saya dah lupa apa yang saya nak beli," gumam saya.

Bilamana keselesaan itu dicapai, barulah Rina mengingati akan tujuan asal kami ke kedai ini.

"Wei, Inas, kau nak beli air kan tadi?"

"Aha! Iya, betul tu."

"Kalau macam tu awak belilah dulu. Biar saya dan Mei duduk dekat kerusi ni dulu," ujar Rina sambil menunjuk ke kerusi di dalam 7 Eleven itu.

"Okey," balas saya ringkas. Baru sahaja saya hendak pergi membeli suara Mei menghentikan tindakan saya.

"Sekejap Inas! Awak pasti ke?"

"Eh, kenapa Mei?"

"Cuba awak tengok dekat kaunter tu. Kan lelaki yang jaga." Saya dan Rina mula menoleh. Benar orang yang menjaga bahagian kaunter tersebut ialah seorang lelaki.

"Eh, Ha'ahlah! Nak saya teman ke Inas? Awak kan gugup sikit bila jumpa dengan lelaki." Rina cuba menawar diri.

"Eh! itu..." Saya berkira-kira. Hendak terima atau tidak tawaran Rina ini. Jika saya menerima, nanti sia-sialah latihan saya selama ini.

Kalau hendak tahu, sepanjang beberapa bulan ini, ada masa saya dan Rafie akan pergi ke mana-mana kedai untuk berlatih. Syaratnya penjaga kaunter itu berjantina lelaki. Dengan cara itu, kami mengharapkan saya tidak akan gugup tatkala hendak membayar.

Ikutkan latihan itu sudah ada kemajuan. Dua hari yang lalu, saya mampu membayar tanpa ada masalah. Caranya senang sahaja. Jangan sesekali memandang wajah penjaga kaunter itu. Ia kedengaran mudah bukan?

Malangnya...

sekarang ini berbeza dengan latihan. Semasa latihan, Rafie berada di sisi, sentiasa menemani saya jika ada perkara tidak baik berlaku. Lain pula dengan yang sekarang, saya seorang diri.

Bayangan latihan dua hari yang lalu bermain di fikiran. Saya kena yakin. Saya kena cuba. Jika tidak, latihan saya selama ini sia-sia.

Akhirnya saya membuat keputusan. "Tak apa, Rina. Saya boleh je pergi seorang diri."

Mei dan Rina membuat muka terkejut. "Biar betul awak ni? Seriuslah?"

"Kau tak main-main kan? Katakan padaku, kau tak main-main kan?" soal Rina lalu menggoyang-goyang tubuh ini. Dia masih seperti tidak mempercayai keputusan saya ini. 

Tangannya perlahan-lahan dilepaskan oleh saya. "Jangan risau. Saya dan Rafie kan dah practice. Saya yakin yang saya boleh punya."

"Okeylah kalau awak cakap macam tu. Baik-baik tau Inas," Mei memberi sokongan. Namun wajah Rina tampak risau, tapi dia membiarkan sahaja.

Setelah air yang mahu dibeli telah diambil dari peti, jantung saya berdegup dengan laju. Ujian yang perlu ditempuhi semakin menghampiri. Dengan lafaz bismillah, saya berjalan menuju ke kaunter pembayaran. Air yang diambil tadi, diletakkan di atas kaunter.

Seeta-merta kepala ini ditundukkan. Terkumat-kamit mulut ini meratib, meminta supaya tidak mendongak. Tahu-tahu sahaja air tadi sudah siap dikesan harganya.

"Semuanya RM 3.50 sahaja." Pantas saya menghulurkan duit kepada penjaga kaunter itu. Akan tetapi, tangan ini terketar-ketar. Namun, ia masih berjalan lancar.

Setelah baki dipulangkan dengan pantas saya menuju ke arah Rina dan juga Mei. Kedua-dua mereka menunjukkan reaksi terkejut, sepertinya mereka  tidak mampu mengungkap dengan kata-kata.

"Mei... Rina... maksudnya Inas dah berjaya, kan?" soal saya yang mahukan kepastian.

Rina dan Mei memandang sesama mereka.

"Inas," panggil Mei perlahan.

"Awak dah berjaya?" Sambung Rina pula.

"Saya dah berjaya?" Saya diam sejenak kerana tidak mempercayai apa yang sudah terjadi. Ia bagaikan mimpi. Saya berjaya membayar seorang diri, saya mampu berhadapan dengan lelaki. 

"Ya! Betul tu! Inas dah berjayalah korang!"

"Inasss!"

"Yaayyy!"

Bersorak kami hingga menggamit suasana di dalam 7 Eleven. Kami terlalu gembira. Namun, kegembiraan itu kembali senyap apabila merasakan suara kami terlampau kuat. 

Segera kami keluar sebelum kembali bersorak semula. Kegembiraan dan juga tangisan mengiringi, hinggakan kami berpelukan. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Latihan saya ternyata berbaloi.

*****************************

Dalam kegembiraan itu, ada seorang pelajar lelaki telah menyaksikan detik-detik tersebut. Dia hanya mampu tersenyum setelah menyaksikan kegembiraan mereka bertiga ini. Kemudian, lelaki itu pun menuju ke kaunter untuk membayar barangannya.

Rupa-rupanya lelaki itu ialah Rafie. Sebenarnya dia sudah berada di dalam 7 Eleven sejak dari awal lagi, yakni sebelum Inas dan rakan-rakannya muncul. Namun, dia menyembunyikan dirinya daripada mereka. 

"Semuanya RM 5.00," beritahu penjaga kaunter itu. Rafie mengangguk lalu membayar. Selepas itu, kakinya menuju keluar dari 7 Eleven. 

Kepala Rafie memandang ke kiri dan ke kanan. Nampaknya kelibat Inas dan juga rakan-rakannya sudah tidak kelihatan. Barangkali mereka sudah beredar dan ini melegakan hati Rafie.

Terdetik di hati Rafie, dia mencari sebab mengapa dirinya cuba mengelak untuk bertembung dengan mereka. Jika ia disebabkan khabar angin yang tersebar, ikutkan dia tidak kisah dengan semua itu. Malah dia juga sudah lali dengan pelbagai tohmahan yang pernah dilemparkan oleh orang ramai.

"Inas," gumamnya perlahan. Entah mengapa nama itu yang terpacul dari mulutnya.

Fikirannya teringat akan memori sewaktu dirinya berada di sekolah rendah. Memori di mana hatinya mencurigai akan seorang gadis yang selalu ditemuinya, selepas waktu persekolahan tamat. Gadis yang selalu menjaga adiknya di dalam bilik guru.

Ya, dia tidak lupa akan peristiwa itu. Dia masih ingat Inas pernah menjaga Iky. Cumanya dia buat-buat lupa, tidak mahu Inas mengesyaki bahawa dia memandangnya secara diam.

Tambahan pula, gadi itu bukanlah asing baginya. Dia sudah mengenali si cantik manis ini sejak dari darjah satu. Siapa jangka, gadis itu kini menjadi rakan baiknya. Dia hendak bergembira tetapi hatinya bergolak. Ia perasaan yang tidak pernah dirasakannya sebelum ini. 

Ia... perasaan baru.

Langsung jejaka mendengus berat. "Perasaan aku je kot," gumamnya. 

Tanpa berlengah, dia beredar lalu menuju ke sekolah adiknya. Bibirnya kini mengukir senyuman. Dia berasa gembira setelah mendapati Inas sudah berjaya untuk mengatasi ketakutannya sebentar tadi. 

Kata orang, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Dia berharap suatu hari nanti gadis itu pasti dapat mengatasi ketakutannya. Bukan sedikit, tetapi sepenuhnya.

Bersambung...

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk