Universiti Teknik Malaysia,
Kampus
Kejuruteraan, Pulau Pinang
5
Rafiza dan Ainnur duduk
sebelah-menyebelah sambil bersandar di birai katil. Di tangan masing-masing
memegang mug berisi air kopi panas yang masih berasap. Rafiza setia menunggu
Ainnur membuka cerita, menyambung marathon sembang-sembang mereka. Ketika itu
jam sudahpun menginjak ke angka 1.45 pagi. Suasana di luar masih belum sunyi.
Masih kedengaran suara-suara orang berbual mahupun bunyi derap kaki di koridor.
Musim-musim peperiksaan, waktu dinihari tidak terasa sunyi kerana masih ramai
pelajar yang masih bersengkang mata untuk mengulangkaji pelajaran.
Ainnur memejamkan matanya cuba
memanggil memori yang terlakar sekitar 5 tahun yang lepas. Ketika itu dia baru
di Tingkatan 5. Awal tahun persekolahannya pada tahun itu bermula dengan satu
perkara penting yang terjadi. Ya! Ia bukanlah tahun-tahun seperti sebelumnya.
Ia tahun yang sangat berbeza bagi seorang budak perempuan yang berbadan gempal
dan bercermin mata bingkai besar.
Pada tahun itu sesuatu telah
terjadi pada hatinya. Dia yang selama ini tidak pernah mengambil peduli tentang
penampilan diri walau sudah berkali-kali diberi amaran dan didenda ibunya
tiba-tiba suka melihat wajah sendiri di cermin. Dia yang selama ini langsung
tidak pernah ambil pusing bila kawan-kawan perempuannya asyik bergosip tentang
teman lelaki tiba-tiba mula memasang telinga. Dunianya yang selama ini hanya
ada ibu ayah, Mak Tiah dan Zely kini mula memberi perhatian kepada seseorang
yang lain, seseorang yang langsung tiada kena mengena dengan hidupnya sebelum
ini.
Pada tahun itu, hatinya mula
terusik dengan kehadiran seseorang. Dia lelaki yang berlesung pipit di kiri dan
kanannya. Yang kelihatan santai bila membawa diri. Yang langkahnya sentiasa
dijejaki dengan ekor mata si gadis dengan aura tersendiri. Kelihatannya dia
sangat sederhana tetapi penampilannya yang sederhana itu telah berjaya memikat
hati ramai teman-teman di sekolahnya.
Kehadiran si dia benar-benar
telah mengubah persepsinya tentang kehidupan.
Selama ini baginya hidup adalah di rumah; makan, ibu berleter, tengok
TV, bersembang dengan Zely makan lagi dan kena leter ibu lagi. Di sekolah;
belajar, makan, bersembang dengan Zely dan baca buku di perpustakaan. Hidupnya
hanya berkisar begitu. Kalau orang lain berasa bosan mendengarnya, dia turut
bosan dengan hidupnya.
Sebagai anak tunggal yang
ibubapanya selalu sibuk dengan hal pejabat, dia sering merasa sunyi. Masanya
diisikan dengan makan kerana dia merasakan makan dapat menenteramkan jiwanya.
Tambahan masakan Mak Tiah memang sedap. Kerana itu badannya semakin merendang
dari sehari ke sehari. Namun dia tidak
pernah peduli asalkan tekaknya diisi dengan makanan sedap dan perutnya kenyang,
yang lain-lain tidak lagi menjadi kepentingannya.
Kehadirannya di sekolah itu
tidak pernah dipedulikan sangat. Dia dengan dunianya dan teman-teman sekolah
dengan dunia mereka sendiri. Hanya Zely yang sentiasa ada di sisinya sebagai
teman. Mereka sekelas dari Tingkatan 1 lagi. Selain dari Zely, memang dia tiada
teman yang betul-betul rapat yang lain. Siapalah yang mahu berkawan dengan
budak gemuk bagai peti ais bergerak itu.
"Kau percaya tak, kalau
aku cakap sebenarnya Zely tu boyfriend
aku?" Ainnur bertanya sekadar untuk menilai sejauh mana penilaian Rafiza
tentang hubungannya dengan lelaki. Selama ini dia selalu mengatakan yang dia
tidak berminat untuk bercinta apabila Rafiza bersungut tentang perangai acuh
tak acuhnya pada Haidar tetapi tidak pernah memberitahu hal yang sebenar kepada
Rafiza.
“Aku tak akan percaya kalau
kau kata Zely tu teman lelaki kau.” Rafiza berkata sambil menggeleng-gelengkan
kepalanya. Selama ini apabila digiat tentang Zely, beria-ia Ainnur
menafikannya. Takkan hari ini lain pula ceritanya. Rafiza tidak akan percaya
jika Ainnur mahu menipunya hidup-hidup.
Ainnur senyum. Dia sudah
mengagak reaksi Rafiza yang tidak akan percaya kalau dia katakan Zely itu teman
lelakinya. Tetapi Rafiza tidak tahu sebenarnya ia separuh tepat ataupun hampir-hampir
tepat. Selama ini memang dia tidak punya teman lelaki yang rapat, hanya Zely
seorang tetapi dia hanyalah teman berkongsi cerita dan rahsia hati. Tidak lebih
dari itu. Lebih-lebihpun Zely itu sudah dianggapnya bagai abang kandung
sendiri.
"Yang kau senyum
sorang-sorang ni kenapa pulak?" tanya Rafiza tidak puas hati. Dia tidak
sabar untuk mengetahui cerita sebenar mengapa Ainnur yang cantik manis itu
menolak cinta lelaki. Masa muda begitu, sepatutnya Ainnur membuka ruang di
hatinya untuk belajar apa itu cinta. Baginya kampus tempat terbaik untuk
mengenal dan menilai hati budi seseorang.
Ainnur masih tersenyum. Kali
ini dia terkenangkan Zely, lelaki yang begitu baik melayannya. Ada masa-masanya
dia merasakan Zely terlebih memanjakannya, terlebih memberikan perlindungan dan
terlebih memberi perhatian.
Mungkinkah kelebihan itu
kerana dirinya istimewa di mata Zely? Zely tidak pernah sekali-kali meluahkan
perasaannya lalu dia juga tidak berani hendak berangan-angan. Pengalaman lalu
yang pahit akan sentiasa menjadi peringatan agar berhati-hati dalam menyatakan
perasaan. Meminta hanya pada yang kasih. Merajuk hanya pada yang sudi. Biarlah
hubungan antara mereka kekal bagai abang dengan si adik.
"Aku teringatkan Zely.
Hubungan kami memang rapat bagaikan kembar tak seiras. Kau betul, Zely bukan boyfriendaku tapi tempatnya memang
istimewa di hati aku. Selepas dia, hanya kau yang tahu cerita ini. Nanti kau
akan tahu, mengapa aku menolak cinta lelaki.” Ainnur berjeda seketika. Dia
melepaskan nafas berat. Kalaulah dia boleh memutar masa, dia tidak sekali-kali
mahu dipertemukan dengan seorang budak lelaki yang telah menjadikan
kehidupannya terbalik 360Ñ.
“Suatu hari, Zely demam. Jadi
kebetulan hanya aku yang datang ke sekolah.Seperti biasa bila Zely tak ada,
sebagai Penolong Ketua Kelas terpaksalah aku menggantikan tugasnya mengambil
buku kedatangan di pejabat.” Ainnur memulakan ceritanya dinihari itu dengan Rafiza
terangguk-angguk mendengarkan.
Jarak antara kelasnya dengan
pejabat am sekolah memang agak jauh. Selalunya Zely yang mengambil buku
kedatangan harian itu, jadi dia tidak perlu bersusah-payah berjalan kira-kira
500 meter setiap hari pergi dan balik ke pejabat am sekolah. Zely kasihan
melihat dia dengan badan rendang terpaksa berjalan sejauh itu walaupun
hakikinya memang telah menjadi tugasnya
mengambil dan menghantar buku tersebut.
“Penat?” Tiba-tiba dia disapa
semasa baru saja melabuhkan punggungnya di kerusi untuk melepas lelah sebelum
masuk ke pejabat.
Dia menoleh. Sungguh dia tidak
sedar pada masa bila tiba-tiba ada seorang budak lelaki di sebelahnya. Tadi
semasa dia sampai, rasanya memang tiada sesiapa di situ.
“Terkejut ke? Maaflah ye. Awak
tak perasan agaknya tadi, tak sedar saya kat sini. Yelah, saya ni kan kurus
macam tiang sebatang je.” Budak lelaki itu cuba membuat lawak. Dia ketawa
menampakkan kedua lesung pipitnya yang menawan. Tetapi walaupun Ainnur
merasakan senyuman itu memang memikat, hatinya tiba-tiba jadi super sensitif
pagi itu. Hatinya telah tersentuh dengan kata-kata lelaki itu.
‘Itu nak kata aku gemuk macam
gajah lah tu!’ Ainnur membebel di dalam hatinya. Dia memberi jelingan maut
kepada budak lelaki itu lalu memasamkan wajahnya.
“Janganlah marah-marah. Saya
minta maaf kalau saya menyinggung perasaan awak. Saya tak berniat nak.... ”
Budak lelaki itu berkata lagi tetapi Ainnur merengus. Dia bangun terus masuk ke
pejabat am tanpa memperdulikan budak lelaki yang masih terpinga-pinga dengan
tindakannya tadi.
“Ainnur!” Laung kak Siti kerani
sekolah sebaik Ainnur mahu melangkah keluar dari pejabat itu bersama buku
kedatangan murid. Ainnur berpaling kembali ke arah kerani yang memanggilnya
itu. Tentulah kakak kerani itu kenal kepada dia kerana dialah satu-satunya
budak gemuk yang menjadi Penolong Ketua Tingkatan di SMK Seri Desa.
“Tu! Tolong bawa budak baru tu
masuk ke kelas awak.” Kak Siti memuncungkan bibirnya ke arah budak lelaki yang
masih duduk di kerusi luar pejabat itu.
Ainnur mengerutkan dahinya.
Alamak! Mamat sebelah ni nak masuk ke kelas aku! Ainnur menganggukkan kepala
kepada Kak Siti tetapi mulutnya muncung sahaja. Dia pasti tidak selesa dengan
kehadiran budak lelaki bermulut celupar itu di dalam kelasnya nanti. Awal-awal
lagi dia sudah melabel budak lelaki itu.
“Hai! Nama saya...” Budak
lelaki itu senyum lagi. Dia berdiri hendak memperkenalkan dirinya tetapi belum
pun sempat dia bermukadimah, kata-katanya terus dimatikan.
“Maaf! Tak minat.” Ainnur
terus berjalan menonong ke hadapan.
Wajahnya budak lelaki itu
merah tiba-tiba. Telinganya berdesing mendengar kata-kata yang begitu sombong
yang keluar dari mulut budak gemuk itu. Dia menjeling tajam ke arah budak
perempuan yang memakai tanda Penolong Ketua Kelas itu. Hatinya jadi panas
tiba-tiba. Dia yang sedari tadi menunjukkan muka manis dan cuba beramah mesra
telah dibalas dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Budak lelaki itu geram
dengan kesombongan yang ditunjukkan Ainnur. Dalam hatinya dia bertekad akan
‘mengajar’ Ainnur, apa makna perkataan berhemah.
Dia cuba menyabarkan hatinya.
Dia budak baru di sekolah itu. Kalau di sekolah lamanya, tahulah apa nasib
budak gemuk bernama Ainnur Azleen itu. Silap-silap nanti, dia akan masuk ke
Aspuri dan ‘mengajar’ Ainnur malam itu juga. Biar Ainnur ingat sampai bila-bila
supaya jangan sesekali cuba menunjuk lagak dengan Zairul Hasmat Zainuddin.
Dia sudah berjanji tidak mahu
membuat pasal dengan sesiapa di situ. Tetapi sebagai salah seorang bekas samseng
semasa di sekolah lamanya dia bimbang tidak dapat menahan diri lalu gadis itu
akan menjadi mangsanya pula. Bukannya dia mahu mendabik dada tetapi memecah
masuk ke Aspuri apatah lagi lompat pagar pada malam hari bukanlah sesuatu yang
janggal. Dia juga sudah pernah kena belasah oleh senior gara-gara tidak puas
hati dengan kumpulan mereka.
Tidakkah Ainnur tahu bahawa
lelaki yang sedang bersopan-santun dihadapannya ini telah dibuang sekolah lalu kerana
itu pagi ini dia berada di sekolah ini? Memang silap besar Ainnur menunjuk
lagak padanya pagi itu. Sudahlah gemuk macam gajah, ada hati nak menunjuk lagak
kepadanya. Semasa mengekori Ainnur dari belakang, tidak habis-habis Zairul marahkan
Ainnur. Tidak habis-habis juga dia menyabarkan hatinya.
“Ini kelas awak. Kejap lagi
saya minta sesiapa tunjukkan awak mana nak cari meja dan kerusi.” Ainnur
memberitahu bila mereka sudah sampai ke dalam kelas.
“Bila tu?” tanya budak lelaki
itu tidak sabar. Dia merenung jam di tangan. Ada 10 minit lagi sebelum loceng
berbunyi. Takkanlah selama itu dia hendak terpacak macam tiang lampu dengan beg
yang agak berat itu menunggu ‘sesiapa’ datang membantunya.
“Tunggu sajalah. Nanti
sampailah siapa-siapa yang boleh tolong awak.” Ainnur berkata lalu duduk di
kerusinya. Dia membuka beg sekolahnya lalu mengeluarkan sebuah buku rujukan
Sejarah pura-pura membaca dengan penuh minat bagaikan buku itu baru pertama
kali dilihatnya pagi itu.
“Kat sebelah awak tu kerusinya
masih di atas meja. Agaknya dia tak datang hari ini. Bolehlah saya duduk kat
situ sementara ini.” Budak lelaki itu berjalan ke arah meja di sebelah kiri Ainnur
tanpa menunggu reaksi balasnya.
Dia menurunkan kerusi lalu
meletakkan beg yang digalasnya di atas kerusi itu. Dia kemudian memicit bahunya
yang sedikit sengal akibat menggalas beg yang agak berat. Kalau dulu, dia hanya
membawa beberapa buah buku saja kerana dia tinggal di asrama yang membolehkan
dia mengambil sebahagian buku lagi selepas waktu rehat. Sekarang dia bersekolah
harian, semua buku-buku teks harus dibawanya setiap hari ke sekolah.
“Awak ni memang tak faham
bahasa ke apa? Saya kata tunggu, tunggulah.” Ainnur meninggikan suara. Dia
kemudian bangun lalu keluar dari kelasnya membiarkan budak lelaki itu
terpinga-pinga dengan tindakannya. Namun dia tidaklah berada terlalu jauh
hinggakan dia boleh menangkap kata-kata yang keluar dari mulut budak lelaki itu
tidak lama kemudian. Sampai sekarang dia tidak akan lupa.
‘‘Dahlah gemuk macam gajah,
garang pulak macam singa! Patut tak payah pergi sekolah, duduk saja dalam
hutan!”
Ainnur bersemangat bercerita
hingga tanpa sedar, dia telah menggepal penumbuk. Dia memang betul-betul geram
dengan mulut celupar budak lelaki itu. Dia telah mengisytiharkan perang dalam
diam.
“Memang aku geram betul, rasa
nak cilikan aje mulut dia tu!” katanya dengan nada geram yang teramat.
Rafiza ternganga mendengarkan
cerita Ainnur yang sukar hendak dipercaya. Ainnur dulu gemuk? Dia cuba
membayangkan rupa Ainnur yang gemuk dengan cermin mata tebal dan bingkai besar
sebagaimana yang digambarkan temannya itu. Sungguh! Sekalipun sedaya upaya dia
cuba membayangkannya, dia masih tidak boleh dapat menggambarkan rupa Ainnur.
Tambah-tambah kalau hendak dibandingkan dengan sekarang ini.
Adakah rupa Ainnur sepertiAna Maria Orozco dalam Yo soy Betty, la fea ataupun Era Fazira dalam Cinta Kolesterol. Dia
memandang Ainnur dari atas ke bawah. Satu tangannya sedang mengurut dagu.
Dahinya berkerut-kerut. Dia masih tidak dapat menerima cerita ‘dongeng’ Ainnur.
“Kau tak percaya cerita aku?” Ainnur
ketawa melihatkan gelagat Rafiza yang merenungnya semacam. Dia tahu siapapun
tidak akan percaya jika melihat dia hari ini dan membandingkannya dengan
beberapa tahun lepas. Dia juga sendiri tidak percaya pada mulanya dia dapat
menjadi Ainnur Azleen yang hari ini.
“Kau boleh tipu orang lain,
tapi aku rasa aku tak makan dengan lawak pagi hari kau ni. Sudah... kalau kau
dah tak ada cerita, baik kita tidur saja.” Rafiza menggeleng-geleng kepala. Dia
memandang jam di pergelangan tangannya yang menunjukkan hampir 2.30 pagi. Dia
sudah sedia hendak memanjat tangga katilnya. Kalau Ainnur hendak merapu-rapu
pagi itu, dia mahu tidur.
“Eh! Takkan dah nak tidur.
Tadi kata nak dengar cerita.” Ainnur menarik seluar tidur Rafiza. Hendak tak
hendak Rafiza terpaksa turun balik lalu mengadap Ainnur. Dia memeluk tubuh
sambil menunjukkan muka toya. Dia hanya memerhatikan Ainnur terbongkok-bongkok
mengeluarkan sesuatu dari dalam beg pakaiannya di bawah katil.
“Kau tak percaya ya?” Ainnur
mengomel sambil tangannya terus ligat bergerak. Sebuah album kecil dikeluarkan
dari dalam beg itu lalu dibukanya. Rafiza turut sama duduk di sebelah Ainnur,
menyandarkan tubuhnya ke katil. Dia menarik album yang sedang diselak di tangan
Ainnur.
“Ini gambar kau?” Rafiza
memandang gambar-gambar yang tersimpan di dalam album lama itu kemudian
membandingkannya dengan rupa Ainnur sekarang.
“Macam tak percaya aje.”
Rafiza masih belum puas menelek.
“Kau tengok gambar yang itu.”
Jari Ainnur menunjukkan ke arah sekeping gambar dia berbaju kurung sekolah.
Mata Rafiza terus lekat di situ.
“Tak nampak tanda nama tu
tulis nama aku. Yang tu kat sebelah aku tu kan Zely.” Rafiza mendekatkan album
gambar itu betul-betul di hadapan mukanya, kira-kira 3 inci dari mukanya.
Setelah yakin dengan kata-kata Ainnur, dia kembali memandang kepada Ainnur
sambil tersenyum-senyum. Dia masih tidak percaya tetapi dia harus
mempercayainya. Bukti yang telah jelas lagi nyata telah ditunjukkan Ainnur
kepadanya.
“Biar aku teka....” Mata
Rafiza bercahaya-cahaya kemudian.
“Apanya?” Ainnur tersenyum
memandang ke arah gambar-gambar yang sedang diselak Rafiza satu-persatu.
“Kau berubah kerana dia. Betul
tak?” Rafiza mengangkat keningnya. Memang itu yang selalu terjadi. Si gadis
berubah setelah jatuh hati. Begitulah yang terjadi kepada Betty dan Fazirah,
mengikut cerita-cerita yang telah ditonton Rafiza itu.
Ainnur tersenyum meleret
terkenangkan kembali kisahnya dengan cinta pertamanya yang telah banyak
mengubah hidupnya. Benar kata Rafiza, jika tidak kerana dia, Ainnur hari ini
pastinya Ainnur yang sama 5 tahun lepas.
“Aku benci dia. Mulutnya
celupar.” Ainnur terus memberi komen. Sakit hatinya kepada lelaki itu rasanya
masih tidak surut hingga kini.
“Kau tu yang mula-mula cari
pasal dengan dia.” Rafiza seolah-olah membela lelaki itu menyebabkan Ainnur
menjegilkan mata. Dalam hatinya, dia mengakui kebenaran kata-kata Rafiza. Dia
tidak tahu kenapa dia memang sengaja mencari pasal dengan budak baru itu.
Memang dia yang mula-mula cuba
menyakitkan hati budak baru itu sedangkan sebenarnya lelaki itu memang cuba
berhemah pada mulanya. Dia sebenarnya takut pada perasaannya sendiri. Saat
terpandangkan wajah budak lelaki itu, ada satu perasaan pelik yang membuatkan
dadanya jadi sesak tiba-tiba. Dia tidak pernah merasakannya sama sekali sebelum
ini. Kerana takut, dia cuba menafikannya dari terus bercambah.
Dia yakin itulah sebab utama
mengapa dia menjadi kurang ajar tiba-tiba pagi itu. Tetapi dia tidak menyangka
budak baru itu pendendam orangnya. Ternyata dia sudah tersalah memilih orang
untuk diajak ‘berlawan’ di gelanggang.
Rafiza menghulurkan
secawan kopi lagi kepada Ainnur. Dia kemudian duduk bersila mengadap temannya
itu dengan bersemangat mahu mendengarkan lagi cerita Ainnur.
“Kau benci dia sebab mulut dia celupar tapi kau yang salah dulu layan dia
macam itu.” Rafiza memberi komen. Ainnur terangguk-angguk perlahan. Kenyataan
itu memang tidak dapat disangkal lagi.
“Hendak dijadikan cerita, mamat ni kemudian menjadi pujaan ramai budak
perempuan kat sekolah. Dari adik junior Tingkatan 1 sampai yang Tingkatan 5
minat pada dia. Memang dalam masa yang singkat saja dia dikenali ramai.” Ainnur
berkata. Dia memang tidak menyangka populariti budak lelaki itu begitu cepat
meningkat.
“Mesti mamat tu hensem. Kalau orang dah hensem mesti ramai peminat.”
Rafiza memberi komen. Di matanya sudah dapat membayangkan wajah budak lelaki itu
sebagaimana yang telah digambarkan oleh Ainnur tadi.
“Budak perempuan, memang mudah cair kalau lihat lelaki yang cute, comel, baby face, sweet, smart, good
looking…” sekadar menamakan beberapa istilah lain yang selalu diberikan
oleh perempuan bila menyatakan rupa lelaki yang disukainya. Ainnur senyum saja
mendengarkan Rafiza mahu berlagak menjadi pakar bahasa.
“Oh! Semua orang fikir begitu. Tapi sebenarnya bagi aku, dia sederhana
saja. Pakaiannya kemas, tutur katanya teratur dan sopan. Dia lembut bila berkata-kata
terutama kepada perempuan. Dengan kawan-kawan lelaki, dia orang yang pertama
menghulurkan bantuan kalau diperlukan. Dia jaguh dalam karate dan pencapaiannya
dalam akademik tak payahlah dipersoalkan. Khabarnya sebelum masuk ke sekolah
kami, dia bersekolah asrama penuh. Jadi tak hairan, kalau dia boleh jawab
soalan Matematik atau Fizik yang rumit sambil makan kacang.”
Seboleh mungkin Ainnur cuba menafikan tanggapan Rafiza tentang ketampanan
lelaki itu tetapi di dalam hatinya Ainnur tetap mengakui kata-kata Rafiza.
Wajah Zairul Hasmat sememangnya sedap
dipandang mata. Bila sudah sekali pandang….rasa nak pandang saja. Auranya
ternyata hebat hinggakan ramai yang menyukainya dalam sekelip mata.
“Aku tak percayalah dia sederhana saja. Hanya kau yang cakap macam tu…”
Rafiza masih tidak berpuas hati dengan jawapan Ainnur. Baginya mana ada budak
lelaki di sekolah yang ‘sederhana’ tetapi disukai ramai. Ia langsung tidak
mungkin sama sekali.
“Alah… Mawi tu tak adalah hensem gila tapi ramai aje peminat dia.” Ainnur
memberitahu mempertahankan pendapatnya.
“Alah… Mawi tu peminatnya orang dewasa…
Bagi orang dewasa, hensem itu istilahnya universal. Ini aku cerita pasal
budak sekolah. Kalau dah popular tu maksudnya hensem. Hensem sama dengan
popular. Macam perumpamaan Matematik. Popular=Hensem=Popular.” Yakin Rafiza
mengemukakan teorinya. Ainnur senyum bila Rafiza sudah mahu jadi pakar
Matematik pula.
“Okey…kau menang!” Akhirnya Ainnur mengalah, bimbang Rafiza akan
memanjangkan isu itu dengan mengemukakan teori Fizik atau Sejarah pulak. Cerita
yang sejengkal nanti akan panjang berjela. Sudahnya malam itu mereka tidak
tidur semalaman pula. Rafiza tersengih-sengih meraikan kemenangannya.
“Okey…cepatlah sambung cerita, aku tak sabar nak dengar ni,” Rafiza berkata sambil menggosok-gosokkan kedua
belah tapak tangannya. Dia mendekatkan kedudukannya supaya lebih rapat kepada Ainnur,
tanda dia betul-betul berminat untuk mendengar cerita selanjutnya. Rafiza kalau
mendengar cerita lelaki hensem memang sentiasa bersemangat.
Baginya cerita Ainnur ini sangat menarik. Umpama cerita Cinderella versi
Filem Melayu dan Bawang Putih Bawang Merah. Cerita dongeng bagaimana seorang
budak biasa, yang tidak pernah diberi perhatian oleh sesiapa boleh bertukar
menjadi seorang gadis yang sangat anggun dan digilai ramai jejaka.