Home Novel Cinta Ulam Kasih Sambal Cinta
Ulam Kasih Sambal Cinta
Nor Zailina Md Nordin
6/6/2015 09:44:07
106,071
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

"YANG ni paling sedap,” puji Chef Mohd Noor dengan mata yang terbeliak sedikit. “Tak sangka campuran pisang boleh mengubah keseluruhan rasa manisan ni. Rasa macam bahulu, tapi ada juga rasa kuih akok.”

“Cuba rasa yang Rozhan buat ni pula,” usul Adelia kepada chef itu.

Chef Mohd Noor mengambil sepotong kecil manisan. Keningnya berkerut seketika. Rozhan dan Adelia saling berpandangan dengan penuh tanda tanya. Gadis itu yakin debaran di dadanya sama kencang dengan Rozhan. Beberapa ketika kemudian, Chef Mohd Noor menjamah sekeping lagi.

“Tak sangka cukup istimewa rasa nagasari dengan lapisan sagu ni,” ujar chef yang berpengalaman itu dengan suara ceria. “I rasa you berdua ada harapan.”

Rozhan tersenyum lebar. Adelia tidak begitu yakin sebab dia tahu mereka akan menghadapi pesaing dari Pastry Kitchen yang tentunya jauh lebih handal. Dan siapa lagi yang digeruninya kalau tidak Syed Idlan?

Tidak, ‘gerun’ tidak sesuai bagi menggambarkan apa yang dirasainya. Lebih tepat, ia semacam ‘dendam’ untuk membuktikan bahawa pasukannya lebih hebat daripada pasukan lelaki itu. Apatah lagi dia telah banyak membuat rujukan di laman blog-blog masakan seluruh dunia terutama ‘Joanna’s Bite’ milik Chef Joanna yang bermastautin di Sydney.

Memang dia suka cara Chef Joanna bermain dengan warna dan tekstur semasa menghias manisan. Proses yang dikenali sebagai ‘plating’ itu sangat penting kerana ia langkah terakhir sebelum sampai ke meja hidangan.

Jika masakan enak tetapi platingcaca marba, pasti tidak akan terbuka selera untuk menikmatinya. Kalau platingmenarik, sekurang-kurangnya amat menyenangkan pada pandangan.

“Kalau manisan saya ni, ditambah durian, macam mana?” soal Rozhan.

Adelia menggeleng. “Durian dah jadi macam over-exposed. Cuba guna cempedak atau nangka pula.”

“Baik buat coulisuntuk dititis di sekelilingnya,” usul Chef Mohd Noor.

“Guna pinggan warna gelap,” cadang Adelia pula. “Atau pinggan dwi-warna hitam dan putih. Ada contrastsikit. Tabur buah delima untuk memberi seri dan keseimbangan.”

“Idea bagus tu,” kata Rozhan sambil tersenyum.

Mereka bertiga membayangkan tiga jenis manisan untuk ditunjukkan kepada hakim pada hari pertandingan itu. Khabarnya semua orang teruja untuk mengetahui sama ada chef-chef dari Pastry Kitchen akan memenangi pertandingan itu atau sebaliknya.

Adelia mendapat tahu daripada Safiah, beberapa orang kakitangan di Housekeeping juga sudah mendaftar untuk turut sama menunjukkan bakat masing-masing. Barangkali mereka juga ingin berentap dengan Syed Idlan yang pada perkiraan Adelia, ‘ramai peminat’ tu!

“Elok kita buat final presentationbeberapa hari sebelum bertanding,” kata Rozhan.

Adelia mengangguk.

“You berdua datanglah ke rumah saya, boleh guna dapur dan sediakan masakan dalam masa yang diberi,” cadang Chef Mohd Noor. “Kena ada sesi begitu supaya tak panik semasa pertandingan tu nanti.”

Rozhan nampak teruja benar. Cuma Adelia yang agak sangsi. Kalau boleh dia ingin mengelak daripada timbul sebarang gosip di kemudian hari. Bukankah ia cuma akan memberi impak negatif kepada suasana kerja di hotel itu?

Manusia lebih gemar membuat spekulasi dan andaian kerana naluri kebanyakan daripada mereka yang sedemikian rupa. Mereka teruja bila ada berita ‘panas’ yang boleh dijaja ke sana ke sini. Bukankah memfitnah itu kerja syaitan? Mereka telah dikaburi dengan keseronokan mencari keaiban orang.

“Rozhan, kalau awak nak pergi, pergilah hujung minggu ni,” Adelia memberi cadangan. “Saya ada hal pula. Saya boleh buat kat rumah sambil pastikan ia ikut masa yang diberi dalam pertandingan. Kalau tak cukup masa, saya boleh minta tolong awak buat yang mana patut asalkan tak ganggu proses memasak manisan awak tu...”

“Betul kata Chef Adelia tu, Rozhan. Tapi, kita kena tengok hari off kita pulalah. Kalau saya tiada dan kamu nak gunakan dapur, saya tak kisah... saya boleh bagi kunci.”

Terlintas pada fikiran Adelia, kalau dia seorang yang pergi... hah! Apa? Adelia Naurah pergi ke rumah Chef Mohd Noor? Isy, gadis tak tahu adab. Bukankah Chef Mohd Noor itu duda?

Menggeletar seluruh tubuh gadis itu memikirkan kemungkinan tersebut. Walaupun pada hakikatnya, usia chef itu melayakkannya untuk berstatus ayahnya sendiri. Namun, orang tidak akan bercakap perihal Adelia ke rumah Chef Mohd Noor bersama Rozhan untuk latihan manisan mereka. Tidak, itu semua tidak penting lagi.

“Nanti ambil foto supaya saya boleh beri komen lagi,” gadis itu mengingatkan Rozhan. “Saya pun akan WhatsApp foto masakan saya pada awak.”

Commis chef itu mengemaskan pinggan seraya memandang Chef Mohd Noor. “Chef, kita bincang kemudian, ya. Saya rasa macam tak sempat pergi sebab adik saya guna motosikal saya sejak minggu lepas. Motor dia rosak dan ada dibengkel.”

Chef Mohd Noor mengangguk sebelum berlalu dari situ. Rozhan pula terus meninggalkan ruang memasak.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nor Zailina Md Nordin