Home Novel Cinta Ulam Kasih Sambal Cinta
Ulam Kasih Sambal Cinta
Nor Zailina Md Nordin
6/6/2015 09:44:07
106,269
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

JOANNA menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Rosli Tan Sri Roslan. Anak muda bernama Rosli itu menggelengkan kepala tanda enggan bersentuhan dengan gadis itu. Kening Joanna berkerut.

“Anna, anak aunty ni lulusan senibina dari University of Washington,” kata Puan Sri Zaini. “Dia akan ambil alih firma ayahnya satu hari nanti.”

Datin Mona tersenyum lebar. “Rosli, anak aunty pula graduatedari International Culinary Institute di Switzerland.”

“Joanna seorang chef yang sangat terkenal, Rosli.” Begitu kata Puan Sri Zaini seraya memandang ke arah anak lelakinya.

“Mana ada, aunty?” tingkah Joanna. “Saya biasa-biasa saja.”

“Blog masakan you diikhtiraf sebagai salah satu antara sepuluh blog masakan terbaik Australia, bukan?” puji Puan Sri Zaini.

“Ala, puan sri... Anna ni memang suka merendah diri,” tambah Datin Mona seraya menjeling manja pada anak tiri kesayangannya itu.

Joanna yang berdarah kacukan itu memanglah cantik. Tubuhnya langsing dan pandai pula bergaya dengan pakaian yang sesuai dengan ketinggiannya. Maklumlah dia mendapat pendidikan tinggi di Switzerland di kalangan mereka yang mempunyai cita rasa mewah serta exquisite.

Puan Sri Zaini dan Rosli baru tiba dari Singapura. Datin Mona dan Joanna pula menunggu mereka di Sydney Airport. Sebentar lagi mereka berempat akan menaiki Air New Zealand ke Auckland.

Puan Sri Zaini dengan Datin Mona sudah membuat beberapa rancangan untuk mengeratkan perkenalan anak-anak mereka. Bagi Datin Mona, Rosli adalah anak muda paling tepat buat Joanna kerana kedudukan Tan Sri Roslan yang begitu berpengaruh.

Manakala bagi Puan Sri Zaini, Joanna yang berdarah kacukan Australia itu mampu memberikan cucu-cucu yang amat comel dan bijak. Satu bonus pula kerana ayah Joanna iaitu Datuk Talhah orang penting dalam perniagaan perhotelan di Malaysia.

Kesungguhan Datin Mona juga memancing hati Puan Sri Zaini. Datin Mona sudah menunjukkan keazamannya yang tinggi bila berjaya memikat Datuk Talhah yang lama menduda. Khabarnya, ketika itu Datin Mona masih menjadi isteri kepada lelaki lain tetapi, ini cerita basi, ya.

Namun begitu, bukankah kesungguhan Datin Mona sesuatu yang boleh dikirakan sebagai ‘ajaib’? Dia sanggup memohon fasakh daripada suaminya hanya kerana ingin membina perkahwinan dan membahagiakan Datuk Talhah.

Apakah yang ingin dicarinya selain kebahagiaan? Gelaran ‘datin’? Bukankah kini dia berhadapan dengan masalah janda Datuk Talhah yang kian hari kian cun-melecun dan tidak mustahil Datuk Talhah akan kembali kepadanya?

“Teringatkan siapa tu?” soal Datin Mona tatkala dia melihat rakan baiknya itu leka memandang ke luar tingkap pesawat.

Mereka sudah hampir tiba ke Auckland. Isyarat memasang tali keledar baru saja dinyalakan. Laut biru di bawah sana menandakan mereka akan mendarat kurang 10 minit dari sekarang.

“Hidup ini...” keluh Puan Sri Zaini.

Tangan Datin Mona lekas-lekas menyentuh lengan Puan Sri Zaini. Dia berusaha untuk memenangi hati wanita itu. Sebetulnya dia sudah hampir berjaya kerana Puan Sri Zaini bersetuju dengan cadangannya untuk memberi peluang Rosli dan Joanna berkenal mesra. Bukan di Kuala Lumpur tetapi jauh nun di New Zealand.

“Anak-anak sudah besar dan kita makin tua,” kata Puan Sri Zaini. “Giliran mereka untuk hidup dan kita pula menanti masa dipanggil...”

Datin Mona mengangguk perlahan-lahan. “Sejak I kahwin dengan Datuk Talhah, barulah I sedar banyak perkara yang I tak tahu. I macam budak baru belajar.”

Puan Sri Zaini merenung wajah bermekap cantik di sebelahnya itu. “You pernah jumpa emak Joanna?”

Datin Mona menggeleng deras.

“Banyak kali you ke Sydney, tapi tak pernah jumpa?” soal Puan Sri Zaini lagi dengan rasa tidak puas hati.

Datin Mona memberikan senyuman hambar.

“You tak pernah terfikir nak jumpa dia, jalan-jalan dan pergi shopping sama-sama?”

Datin Mona tergelak pendek. “Buat apa? Kan I pernah cerita pada you, I tak percaya pada dia. I rasa Datuk Talhah dah berhubung balik dengan dia. Risau juga I. Mereka ada anak bersama-sama.”

“Kalau Datuk Talhah nak balik dengan dia, buat apa dia tunggu lepas dia kahwin dengan you?” tingkah Puan Sri Zaini dengan wajah selamba.

“Emak Joanna makin jelita sekarang, sedangkan I ni... makin berisi.”

Puan Sri Zaini tersengih.Akhirnya pesawat mendarat. Buah kiwi dan burung kiwi adalah keistimewaan di negara yang paling hampir dengan kutub selatan itu. Cuaca amat baik sekali. Mentari memancar tetapi hawa amat menyenangkan.

SELEPAS check-in di Hotel Pullman yang terletak di Princes Street, mereka berempat masuk ke bilik masing-masing.

“Jadi, Anna... macam mana anak Puan Sri tu?” soal Datin Mona dengan rasa tidak sabar.

Joanna tersenyum kecil. “Mana sempat kenal lagi, mama.”

“Ala, takkan tak tahu lagi sama ada boleh mesra atau..” Intonasi suaranya berbaur desakan. Namun, suara Datuk Talhah kembali menghantuinya. Joanna tu keras kepala macam ibunya. Huh, sengaja Datuk Talhah hendak menyebut bekas isterinya! Bikin meruap darah Datin Mona saja!

Nice guy...

“Dia tampan, kan?”

Well...

Datin Mona duduk di birai katil. Seluruh bilik dengan dua buah katil saiz Queen itu nampak mewah. Jambangan bunga segar menghiasi meja kopi di mana terdapat set sofa kulit warna kelabu tua.

“Sangat tak gentleman... macam kebanyakan lelaki Melayu yang belajar di luar negara,” seru Joanna sambil melangkah ke dalam bilik air.

Sebelum Datin Mona dapat memberi pendapat, gadis itu menutup pintu. Datin Mona menggigit bibir. Tak gentleman? Kenapa kategori itu yang dicari oleh Joanna? Lelaki begitu hanya hidup pada zaman Victorianlah, Joanna.

Lelaki yang bukakan pintu kereta dan bawakan beg. Lebih ramai lelaki sekarang yang ada beg sandang sendiri... macam mana nak bawakan beg orang lain? Lagi pun, ada porterdan bell-boyyang sedia membantu pada bila-bila masa saja. Sudah tugas mereka sedemikian rupa.

Datin Mona mendengus keras. Joanna mungkin tidak terdedah kepada lelaki Melayu sebenar. Apa yang dia tahu tentang lelaki begitu tentulah datang daripada ayahnya sendiri. Mungkin ibunya pernah memomoknya dengan keperibadian tidak elok lelaki Melayu.

Joanna dan ibu tirinya tidak lagi berbicara tentang Rosli. Lebih baik begitu, fikir Datin Mona. Kelak dia hanya akan mengkucar-kacirkan keadaan jika dilihat terlampau beria-ia hendak menjodohkan anak gadisnya itu. Sementelah, Joanna bukan anaknya sendiri.

MALAM itu, Puan Sri Zaini mengajak mereka ke North Shore. Di sanalah terletaknya Wardani, sebuah restoran Halal yang menyajikan masakan Indonesia.

Hanya ada sebuah meja berkerusi enam yang kosong. Rosli duduk di kepala meja. Di sebelah kanannya Joanna. Datin Mona pula di sebelah Joanna. Sementara Puan Sri Zaini di kiri Rosli.

Setelah pelayan pergi dengan pesanan mereka, Rosli menoleh ke arah Joanna. Gadis itu berjeans dan bersweatertebal. Rambut perangnya dibiarkan lepas. Rosli pula berkemeja lengan panjang dengan ves bulu biri-biri. Cuaca agak dingin malam itu.

“Mama kata you nak buka bakeri di KL. Bila tu?” soal anak muda itu.

Joanna mengerling Datin Mona. Dia pasti cerita tersebut adalah rekaan ibu tirinya itu. “Masih berfikir lagi...”

“Papa sedang buat projek baru dekat Publika, Mont Kiara. Kalau you berminat, dia boleh tolong dapatkan satu lot kedai,” usul Rosli.

Gadis itu tersenyum kecil.

Puan Sri Zaini mencelah. “Papa Rosli kenal ramai orang berpengaruh. Cakap aje nak buat bakeri kat area mana, dia akan tolong.”

“Ya, Anna. Inilah peluangnya.” Datin Mona turut menambah.

“I akan fikir bila I balik sana.” Jawapan Joanna mematikan topik tersebut.

Kemudian mereka berbual tentang hiasan dalaman restoran Indonesia itu. Banyak dekorasi kraftangan masyarakat negara itu yang dipamerkan di atas rak-rak khas di tepi dinding.

“Jadi, Rosli... sejak bila you berminat dengan seni bina?” soal Joanna.

“Dari kecil. You pula?”

“Sama. I suka tengok blog makanan dan dari situ timbul minat untuk jadi chef,” akui gadis itu.

Anak muda itu mengangguk sebelum meminta diri untuk ke tandas. Tatkala itu, muncul seorang lelaki tua bersama seorang gadis bertudung. Mereka memerhati sekeliling restoran itu dan kelihatan hampa bila tiada meja yang kosong.

Gadis itu berkata kepada pelayan. “Datuk saya ni dah tak larat nak jalan. Dia perlu makan ubat. Kalau dapat minum kopi pun, cukuplah.”

Rosli yang melintas di situ terdengar kata-kata gadis itu. “You boleh duduk dengan kami kalau you sudi.”

Air muka gadis itu kelihatan amat lega. “Terima kasih, saudara. Tak terbalas kami budi baik saudara.”

“Tak apa. Orang lain akan balas.”

“Mama, Datin, Joanna... saya ajak mereka ni duduk bersama kita sebab datuk dia ni agak lemah. Dia perlu makan ubat,” kata Rosli.

Puan Sri Zaini dan Datin Mona nampak terperanjat, namun mereka cuba menyembunyikan perasaan mereka.

Gadis bertudung itu menghulurkan tangannya ke arah Puan Sri Zaini. “Saya, Umaira. Ni datuk saya, Yusof.”

Mereka bersalaman. Ada sesuatu dalam lirikan mata Umaira yang membuatkan Rosli terpaku. Sebetulnya dia tidak pernah terasa seperti apa yang dirasakan pada waktu itu. Ia sukar didefinasikan dengan kata-kata.

Cara Umaira memandang datuknya cukup terkesan di hati sanubari lelaki itu. Ada kasih sayang yang tidak dapat dihuraikan dengan ungkapan.

Tiada sesiapa pun dapat menjangka bahawa pertemuan bersejarah di restoran itu akan mengubah kehidupan mereka semua...

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nor Zailina Md Nordin