Home Novel Cinta RINDU YANG TERTINGGAL
RINDU YANG TERTINGGAL
Dea Zoraya
4/10/2018 10:24:33
72,679
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Ketika tanganku sedang lincah memotong dadu bawang untuk menumis sambal udang, tiba-tiba telefon bimbitku berdering. Aku membuka zip beg sandang yang aku letakkan di atas kerusi lalu telefon bimbit itu segera aku capai. Berkerut seketika dahiku ketika aku menatap nombor asing di skrin telefon tersebut. Nombor yang terpamer bukanlah dari talian telefon mudah alih. Mungkin panggilan daripada kolej agaknya, aku sekadar membuat andaian.

“Hello. Siapa di sana?” Aku menyapa.

“Siapa nama kau?” Suara lelaki bertanya di hujung talian sana mengejutkanku.

Aku memandang ke arah skrin telefon itu sebelum melekapkannya semula ke telinga. “Saya yang sepatutnya tanya siapa anda di sana kerana anda yang menelefon saya,” balasku masih di dalam nada sopan.

“Banyak bunyi pulak kau ni. Kau yang masak kat rumah aku sekarang ni kan? Aku tau bukan Mak Caik Norli yang masak untuk aku sepanjang minggu ni.” 

Nada suara mendatar di hujung talian sana itu membuatkan darahku tiba-tiba rasa berderau kerana aku sudah dapat mengagak siapa gerangan lelaki yang sedang berbual denganku itu tidak lain tidak bukan pastinya Tuan Amar! Aku menelan liur sebelum mindaku mula menyusun ayat bagi menjawab soalan tuan rumah ini. Namun belum sempat aku membuka mulut lelaki itu terlebih dahulu bersuara yang terus membuatkan aku berasa berpeluh-peluh.

“Aku Amar Taufiq. Aku tahu kau yang masak untuk aku mengganti mak cik kau. Aku dapat nombor telefon kau ni pun daripada Mak Cik Norli. Nama kau siapa?” Kali ini suara lelaki itu sedikit meninggi.

“Errr...nama saya Hana, tuan. Macam mana tuan boleh tahu tentang tu? Tuan jangan salah faham, saya menggantikan Mak Lang saya sebab dia balik ke kampung selama dua minggu. Saya di rumah ni hanya memasak makanan tengah hari sahaja dan kawasan yang saya jejaki hanyalah di bahagian dapur sahaja,” jawabku dalam cemas. Aku mengharapkan yang Tuan Amar tidak memarahiku atau lebih teruk lagi akan membuatkan Mak Lang kehilangan pekerjaan.

“Tak kisahlah apa pun. Aku nak adakan parti di rumah pada malam ni. Aku nak kau masak untuk tiga puluh orang tetamu. Sebelum pukul sembilan aku nak semuanya tersedia. Aku nak masakan barat.” Lelaki itu mengeluarkan arahan yang tidak aku jangkakan.

Aku terdiam seketika sebelum membalas. “Tuan Amar...saya minta maaf. Saya hanya bantu Mak Lang saya untuk masak makanan tengah hari untuk tuan sahaja. Untuk lebih daripada itu saya tak berani nak buat.” 

“Kau kan orang gaji! Ikut aje lah arahan aku,” tengkingannya itu mengejutkanku.

Aku semakin berpeluh-peluh apabila disergah sebegitu. Apakah yang harus aku lakukan kini? Yang mana satu harus aku turutkan, antara pesanan Mak Lang atau arahan Tuan Amar.

“Err...Tuan Amar maaf sangat tapi saya tak boleh tunaikan permintaan tuan tu. Lagipun saya tak berani untuk terus ada di dalam rumah ini sehingga ke malam hari. Tambahan pula saya ke rumah tuan ni menaiki bas dan jika saya pulang lewat malam, susahlah saya. Saya mohon agar tuan memahami keadaan saya.” Aku merayu agar Tuan Amar dapat mempertimbangkan keadaanku.

“Kau nak aku berhentikan Mak Lang kau ke? Apasal kau ni susah sangat ni? Aku suruh kau masak aje bukan buat apa pun!” Sinis suara lelaki itu yang mula menjengkelkan hatiku.

Aku mahu menjawab tuduhan berbentuk penghinaan itu namun aku segera membatalkan niatku apabila aku terkenangkan Mak Lang. Aku tidak mahu mak cik aku  itu berkemungkinan akan kehilangan kerja gara-gara aku tidak menuruti permintaan lelaki yang aku rasakan sangat sinis ini.

“Baik saya akan buat seperti yang tuan minta,” balasku dalam keterpaksaan.

“Duit untuk beli barang-barang masakan kau ambik dalam laci kat bilik aku. Kau ambil ada lima ratus ringgit ada aku letakkan kat situ.” Tuan Amar mengeluarkan arahan yang aku tidak berapa berkenan.

“Tuan Amar...saya ni tak berani nak masuk ke bilik tuan. Saya tak nak melebihi batas dan kawasan saya hanya di dapur rumah tuan sahaja. Apa kata tuan balik ke rumah tengah hari ini tuan serahkan sendiri wang tu pada saya.” Aku beralasan namun memberikannya cadangan.

Aku telah diajar oleh emak sejak dari kecil lagi supaya jangan sesekali mencerobohi privasi seseorang terutamanya melibatkan wang ringgit. Oleh kerana itu aku tidak berani melakukan apa yang diminta oleh Tuan Amar untuk masuk ke biliknya dan mengambil wang di dalam laci.

“Aku tak balik tengah hari ni sebab ada mesyuarat. Kau masuk aje lah. Kalau kau nak mencuri pun ambik ajelah duit tu, aku tak kisah pun. Yang penting aku nak makanan untuk parti aku malam ni siap macam yang aku suruh. Kalau tak, siaplah kau dengan mak cik kau sekali aku cari.” Ugutan dan tuduhannya itu membuatkan aku mengetap bibir.

Dasar anak orang kaya berlagak. Patutlah Mak Lang melarang aku untuk bertembung dengan lelaki itu, rupa-rupanya inilah maksud ‘hodoh’ yang cuba Mak Lang sampaikan kepadaku. Perangai lelaki itu yang menjengkelkan, angkuh, sombong dan prejudis.

“Tuan Amar balik pukul berapa ya?” soalku kerana aku sebolehnya tidak mahu berada di rumah ini sewaktu parti malam ini berlangsung. 

Memanglah aku ini muka sahaja kelihatan moden namun peganganku masih lagi konservatif dan aku sentiasa mengingati akan pesanan emak agar sentiasa berhati-hati tinggal di kota raya ini. Menghabiskan masa dengan berparti atau berpeleseran bukanlah cara hidupku kerana bagiku lebih baik masa itu aku manfaatkan dengan menelaah buku-buku bidang perubatan.

“Kau tak payah sibuk nak tanya aku nak balik pukul berapa macam aku ni laki kau pulak. Ingat kau tu taraf orang gaji aje jadi tak payah nak sibuk pasal aku. Satu lagi malam ni aku nak kau tunggu sampai parti habis dan kemas semua pinggan mangkuk dan rumah aku sekali.” Ujar Tuan Amar kasar yang bagiku semakin melampaui batas itu.

Aku mengepal penumbukku ketat menahan rasa geram dengan kata-kata kesat lelaki itu. Benar dia adalah tuan di dalam rumah ini tetapi itu tidak bermakna dia boleh bercakap sesuka hatinya tanpa mengira perasaan orang lain pula.

“Tuan Amar tak perlulah nak ingatkan siapa saya ni dengan menekan perkataan ‘orang gaji’ sebab saya sedar siapa saya. Hanya anak buah kepada tukang masak yang datang dari kampung tetapi itu tak bermaksud saya ni bodoh.” Aku memberanikan diri membalas kata-kata lelaki itu.

Lelaki di hujung talian sana tergelak sinis yang membuatkan telingaku terasa pedih. “Yang aku tahu semuanya makanan yang aku nak siap sebelum pukul sembilan. Kalau kau tak sempat kejar bas malam ni bukan salah aku dan bukan masalah aku. Pandai-pandilah kau tidur kat bilik mak cik kau ke...tidur mana-mana ke tapi yang penting jangan muncul depan aku,” katanya sinis sebelum dia mematikan talian.

Turun naik nafasku menahan rasa amarah terhadap lelaki itu yang bagiku sangat keterlaluan. Tiba-tiba aku berasa sedih pula apabila mengenangkan kehidupan Mak Langku selama ini yang bekerja untuk lelaki itu. Pasti Mak Lang banyak menderita. Kasihan Mak Lang.  Amar Taufiq satu nama yang aku tak akan mudah lupa sampai bila-bila. 


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.