Home Novel Cinta PILIHLAH AKU!
PILIHLAH AKU!
Dhieya Adlynna
5/9/2014 09:51:35
36,159
Kategori: Novel
Genre: Cinta
[Bab 3]

BAB 3

Ainul Husna yang tergopoh-gapah, kononnya mahu mengejar Ziela terus terhenti. Tangannya terus meraba di dalam beg tangannya. Seketika kemudian, telefon tangan miliknya di bawa keluar.

“Helo, Assalamualaikum mak!”

Ainul Husna terus menjarakkan telefon itu daripada telinganya. Meskipun begitu, dia masih mendengar suara di hujung sana yang sedang menjerit kuat padanya.

“Mak! Apa ni? Sakitlah telinga orang!” jerit Ainul Husna sambil tangan kanannya mengorek-gorek lubang telinganya yang ditutupi oleh tudung yang dipakainya.

Mak ni, suaranya mengalahkan orang yang pakai mikrofon pulak. Kuat betul!

“Dah pukul berapa ni? Dah tak reti-reti nak balik ke?” jerit Kamariah lagi ataupun lebih dikenali dengan nama Makcik Yah di hujung sana.

“Alamak! Orang lupa nak cakap kat mak tadi.”

Terus dia menyekeh kepalanya beberapa kali. Jadi, memang wajarlah jika emaknya menjerit sebegitu kerana salah dirinya juga.

“Maaf mak. Orang betul-betul terlupa tadi. Sebenarnya, orang ada kat hospital sekarang ni.”

“Along buat apa kat hospital waktu-waktu macam ni?” suara Makcik Yah sudah mengendur saat telinganya mendengar perkataan hospital dari mulut anak gadisnya itu. Seingatnya sejak kejadian itu, anak gadisnya sudah tidak mahu menjejakkan kaki ke hospital, walaupun dia sedang demam teruk. Tambah-tambah lagi, Hospital Kuala Lumpur tempat dia berkhidmat dahulu. Langsung tidak mahu dijejaki oleh Ainul Husna.

“Tadi, orang jumpa sorang laki tak sedarkan diri dekat bus stop. Jadi, orang tolong bawak dia datang hospital.”

“Along angkut dia nak motor buruk along ke?” tanya Makcik Yah seakan tidak percaya dengan kata-kata Ainul Husna itu. Biar betul Husna ni? Dah buang tabiat ke?

“Apa ni mak? Tak kan nak angkut dia naik motor orang pulak? Hantar pakai keretalah. Kebetulan tadi ada sorang pakcik yang tumpangkan kami.”

Isk mak ni! Kot ya pun nak menduga, jangan la sampai benda yang tak masuk akal tu sekali. Manalah dia larat nak pikul laki tu naik motor? Seketika kemudian, Ainul Husna teringat sesuatu.

“Eh, mak dah lupa ke yang motor tu sekarang ada kat bengkel? Kan Anip yang rosakkan motor orang tu?”

Anip pun satu hal, suka sangat curik guna motor aku. Kan dah rosak? Menyusahkan betul. Tak fasal-fasal kena naik bas. Dah la kena pakai duit untuk repair motor lagi.

“Yalah! Mak lupa. Dah tu, pukul berapa nak balik ni? Ayah along dah bising tu.”

“Mana? Tak dengar pun. Entah-entah saja je cakap gitu. Padahal rindukan orang eh?”

Bibir Ainul Husna sudah terukir senyuman nakal. Seronok jugak dapat mengusik emaknya itu. Mesti muka emaknya sudah merah padam. Emaknya juga sama seperti dirinya yang terlalu sukar untuk meluahkan perasaannya sendiri. Emak borek anak rintiklah katakan. Hehehe....

“Rin...rindu apa benda pulak kau ni?” Makcik Yah mula menggelabah. Sempat dia memandang sekilas pada suaminya yang begitu ralit dengan kaca tv.

Hish! Budak bertuah ni! Suka sangat mengusik aku. Di hujung sana, dia dapat mendengar suara anak gadisnya sudah mengekek ketawa. Seronok benar agaknya dapat mengusik dirinya.

“Dah! Jangan nak mengarut. Cepat balik!”

Cepat-cepat Makcik Yah menukar tajuk perbualan. Sudah tidak sanggup mendengar suara ketawa anak gadisnya itu. Sebelum memutuskan talian, sempat lagi dia berpesan pada Ainul Husna agar menjaga keselamatan.

Ainul Husna sudah menggeleng-gelengkan kepala sambil membuang pandang pada telefonnya. Mak...oh mak! Patutlah perangai Husna macam tu. Rupanya amik dari mak, bisik hati Ainul Husna perlahan. Tanpa dia sedar yang dirinya sedang diperhatikan oleh seseorang.

“Rindu? Cakap dengan siapa?” tanya satu suara.

Ainul Husna mengangkat wajahnya. Anak matanya terus membulat apabila melihat insan yang menegurnya itu. Mulutnya juga sudah melopong.

“U...Uzair?” tanyanya yang seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya itu.

Aduh! Macam mana aku boleh tak perasan yang lelaki itu berdiri di hadapannya? Anak matanya dialihkan pula pada wajah Ziela yang berada di sebelah lelaki itu. Gadis itu kelihatan sudah tersengih-sengih. Ainul Husna ketap bibir. Geram pula dia melihat senyuman nakal di wajah Ziela itu.

“Awak cakap dengan siapa? Siapa yang rindukan awak?” soal Uzair lagi setelah soalannya tadi tidak dibalas oleh Ainul Husna. Sebaliknya, gadis itu hanya mendiamkan diri dan memandang wajahnya.

“Mak!”

“Mak?” soal Uzair sambil wajahnya juga sudah berkerut tebal.

“Ah, ya! Saya cakap dengan mak tadi,” jawab Ainul Husna dalam gugupnya.

“Hai, tak jumpa kejap mak awak dah rindukan awak ke?” soal Uzair sambil merenung tepat pada wajah yang tampak polos dengan solekan nipis itu. Tiba-tiba sahaja, hatinya bernyanyi lagu rindu kerana sudah lama tidak dapat menatap seraut wajah itu.

Ainul Husna bertambah gugup apabila menyedari anak mata Uzair terarah tepat pada wajahnya. Tambahan pula, mereka tidak berdua ketika itu.

“Tak adalah, saja usik mak,” balas Ainul Husna. Wajah Uzair langsung tidak dipandangnya. Dia lebih rela menatap kakinya sendiri daripada membalas pandangan dengan lelaki itu.

“Dengan saya?” soal Uzair lagi. Senyuman nakal juga sudah mula terukir di wajahnya.

Ainul Husna telan liur. Aduh, soalan jenis apa ni? Kot ya pun, tunggulah si Ziela tu pergi dulu. Ziela pun satu hal, yang duk tegak kat sini tu apa hal? Cepat-cepatlah blah!

“A...awak? Er...kenapa dengan awak?” soal Ainul Husna pula. Sengaja dia buat-buat tidak faham akan soalan lelaki itu. Aduh, rasa macam nak pengsan sekarang ni jugak!

“Dengan saya, awak tak rindu ke?”

Mak! Tolong! Uzair buli orang! Jerit hatinya pula.

Ainul Husna semakin gelisah dengan soalan maut daripada Uzair itu. Sempat dia melirik pada Ziela yang sudah tersengih-sengih seperti kerang busuk.

Aku hempuk jugak budak ni karang!

“Kata Ziela, tadi awak kirim salam sayang rindu eh?”

Buat seketika, Ainul Husna tergamam. Seketika kemudian, anak matanya sudah terarah tepat pada wajah Ziela. Sungguh! Dia langsung tidak akan menduga yang perkara itu sudah sampai di telinga Uzair.

Aduh! Mana dia nak sorok muka ni?

“Ziela....awak cakap apa pada Doktor Uzair?” tanyanya pula pada Ziela.

“Eh, saya terlupa yang saya ada hal. Err, saya minta diri dululah ya. Doktor Uzair, Doktor Husna,” cepat-cepat Ziela meminta diri untuk beredar dari situ. Kalau dia terus berlama di situ, bimbang pula jika Doktor Husna turut membabitkan namanya sekali. Dapat menguatkan diri untuk berjumpa dengan Doktor Uzair pun sudah cukup bagus.

Sudahnya, tinggallah Ainul Husna seorang diri untuk berhadapan dengan tunangnya itu. Dalam hati, berbakul-bakul marahnya dihadiahkan pada Ziela yang sudah mencicit melarikan diri.

“Saya tunggu ni.” Tiba-tiba sahaja Uzair bersuara untuk memecahkan kebisuan di antara dirinya dan Ainul Husna.

Ainul Husna tersentak. Matanya juga sudah melekap pada sepasang mata milik Uzair.

Eh? Dia ada janji ke dengan Uzair?

“Saya nak dengar dari mulut awak sendiri. Betul ke awak kirim salam sayang rindu pada saya?” terang Uzair pula setelah melihat Ainul Husna terpinga-pinga itu.

Lah, rupanya tak habis lagi ke fasal kirim salam sayang rindu tu? Ingatkan dah habis, bila Ziela beredar tadi.

“Err...perlu ke saya cakap depan awak? Tadi kan, Ziela dah cakap.” Ainul Husna sengaja beralasan. Dengan harapan, Uzair tidak akan menagih kata-katanya lagi. Tapi, kata-katanya itu langsung tidak berkesan pada lelaki itu.

“Alah, tadi tu Ziela yang cakap. Sekarang ni, saya nak dengar awak pulak yang cakap. Betul ke, awak sayang rindu kat saya?” desak Uzair lagi.

Nah! Padam muka dengan aku sendiri. Tadi, suka sangat menyakat mak. Sekarang dah terkena batang hidung aku sendiri, bebel Ainul Husna sendirian.

Ainul Husna telan liur. Entah kenapa dia merasakan tugas yang diberikan oleh Uzair itu terlalu berat sekali. Kenapa mintak benda-benda sebegini? Kalau Uzair suruh dia masak, rasanya lagi senang untuk dilakukannya daripada mengatakan sayang dan rindu kepada lelaki itu. Walaupun, dia tidaklah terlalu pandai dalam hal memasak itu. Sukar mengatakan sayang dan rindu, tak bermakna dia tidak sayang dan rindukan lelaki itu. Cuma, dia....dia jenis yang tak pandai meluahkan rasa hati. Tapi, kenapa Uzair seakan tidak memahami dirinya itu?

Buat seketika, Ainul Husna terbatuk kecil. Cuba mengumpul segala jenis kekuatan. Perlahan-lahan dia mengangkat wajahnya. Boleh ke dia tunaikan permintaan Uzair itu? Dipandang lagi wajah mengharap lelaki itu. Aduh....tak sanggup pulak untuk menghampakan lelaki itu.

“Saya...saya...” tergagap-gagap Ainul Husna untuk meluahkan sebaris kata-kata keramat itu.

“Saya...?” ajuk Uzair pula yang sudah tidak sabar menantikan kata-kata lengkap daripada Ainul Husna itu.

“....saya...ng....”

Belum pun sempat Ainul Husna menghabiskan kata-katanya. Dia sudah dikejutkan oleh suara yang baru muncul itu.

Previous: [Bab 2]
Next: [Bab 4]

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.