Home Novel Cinta PILIHLAH AKU!
PILIHLAH AKU!
Dhieya Adlynna
5/9/2014 09:51:35
36,163
Kategori: Novel
Genre: Cinta
[Bab 6]

BAB 6

“Kau nampak tak lelaki yang pakai kemeja kotak-kotak tu? Yang seluarnya warna hitam. Tu hah! Yang baru melintas kedai kita tu,” tunjuk Farah lagi.

Anak mata Ainul Husna terus mencari lelaki yang dimaksudkan oleh Farah.

“Kau tahu tak, masuk kali ini dah tujuh kali dia lalu depan kedai kita tau.”

“Dah tu?” tanya Ainul Husna yang jelas tidak berpuas hati dengan kenyataan yang baru diberikan oleh rakannya itu. Hish, Farah ni! Apa kena mengena mamat tu dengan aku pulak?

“Yalah, tak pelik ke? Tujuh kali dia duk ulang-alik depan kita. Dah tu pulak, bila lalu depan kedai kita je anak mata dia melilau memandang kedai ni. Macam carik sesuatu,” terang Farah dengan penuh bersemangat.

“Alah, kek depan cermin tu cantik kot sebab tu dia asyik pandang kedai je,” balas Ainul Husna acuh tak acuh. Orang pandang pun, si Farah ni dah buat kecoh yang bukan-bukan.

“Bukanlah! Mata dia sikit pun tak pandang kek,” tukas Farah lagi. Masih mahu menegakkan hujahnya sebentar tadi.

“Biarlah dia! Tak berdosa pun kalau dia pandang kedai kita ni.”

Seperti tadi, Ainul Husna langsung tak ambil pusing akan kata-kata Farah itu. Sambil tangannya pula tidak henti-henti menggosok pada dulang yang berada di hadapannya itu. Gara-gara terlalu kuat menggosok, dulang itu sudah terlebih bersih sehinggakan boleh dijadikan cermin untuk membelek mukanya pula.

“Ee...menyampahnya cakap dengan kau ni!” luah Farah yang geram dengan Ainul Husna yang langsung tidak bersemangat itu. Cakapnya pula, acuh tak acuh saja.

“Yalah! Yang kau duk perhatikan dia tu kenapa? Dah tak ada kerja gamaknya.”

Seketika kemudian, Ainul Husna menghulurkan kain dan dulang yang berada di hadapannya kepada Farah.

“Ambik ni! Gosok sampai berkilat,” ujarnya pula.

Anak mata Farah terus membulat dengan gelagat selamba Ainul Husna menyerahkan tugas itu kepadanya.

“Eh, kerja menggosok dulang ni kan kau punya. Asal bagi aku pulak?” cepat-cepat Farah menolak tugas yang baru diberikan oleh Ainul Husna itu.

“Aku tengok kau macam tak ada kerja je, itu yang aku bagi kerja ni,” balas Ainul Husna sambil tersengih. Ingatkan tadi, boleh kenakan Farah. Mana tau, kot-kot si Farah tak sedar dan terus melakukan kerjanya. Dia jugak yang untung.

Nak tak nak, Ainul Husna terpaksa mengambil kembali dulang dan kain yang diberikan kepada Farah sebentar tadi. Sudahnya, aku jugak lah yang kena habis kan dulang ni. Gosok! Jangan tak gosok! Eh? Dah macam lagu Spider pulak dah.

“Tengok tu,” ujar Farah dengan tiba-tiba.

Ainul Husna tersentak buat kali kedua dengan kata-kata Farah itu. Mujur, dulangnya tidak melayang. Kalau tidak, sudah tentu duit dia pula yang melayang. Gara-gara terpaksa menggantikan dulang yang rosak.

“Hish, kau ni! Buat aku terperanjat saja,” gumam Ainul Husna.

“Tu hah, lelaki tadi lalu lagi,” tunjuk Farah yang langsung tidak ambil pusing akan Ainul Husna yang terkejut dengan tindakannya itu.

Tanpa banyak bicara, anak mata Ainul Husna turut terarah pada lelaki yang dimaksudkan oleh Farah. Ya! Benar kata Farah, lelaki yang sama yang dikatakan sudah tujuh kali melintasi kedai mereka itu muncul lagi. Agak-agaknya, apa yang dimahukan oleh lelaki itu? Gayanya, tak macam orang yang sedang mencari kek ataupun roti.

“Eh, dia berhenti depan kedai lah,” ujar Farah lagi yang teruja dengan apa yang sedang berlaku di hadapannya itu.

“Kalau dia masuk kedai kita, kau layan,” ujar Ainul Husna dengan pantas. Entah mengapa, dia merasa tidak senang dengan gaya pandangan lelaki itu. Jadi, biarlah dia serahkan kerja melayan lelaki itu kepada Farah. Pentingkan diri? Ah, lantaklah!

“Eh? Aku pulak?”

Dalam Farah dan Ainul Husna bertelagah sesama sendiri, lelaki yang berbaju kotak-kotak itu terus menolak pintu kedai mereka. Kedua-dua gadis itu tersentak apabila bunyi loceng kedengaran. Farah menoleh kepada lelaki itu sebelum pandangannya terhenti pada rakannya. Ainul Husna terus menggelengkan kepalanya. Tanda dia tidak mahu melayan pelanggan tersebut.

Nak tak nak, Farah juga yang terpaksa melayan lelaki itu. Dengan hati yang berat, langkahnya diatur menuju kepada lelaki itu. Seboleh yang mungkin, dia cuba memaniskan wajahnya.

“Selamat datang Encik, boleh saya bantu?”

Mazlan tersentak dengan sapaan gadis itu. Anak matanya terus terarah pada gadis yang berada di hadapannya itu.

“Cik..Husna?” teragak-agak Mazlan untuk bersuara.

“Siapa?” tanya Farah pula.

“Awak ni....Cik Husna?”

“Husna? Kejap ya.”

Senyuman mula terukir di wajah Farah dengan soalan yang baru dikemukakan oleh lelaki itu. Tanpa membuang masa, dia terus menoleh pada Ainul Husna yang berada di kaunter.

“Husna! Encik ni carik kau,” ujar Farah. Seraya dengan itu, dia cepat-cepat beredar dari situ dan menuju pada kaunter.

Ainul Husna yang mendengar kata-kata Farah itu, sudah menggigit bibir. Dia sengaja mengenakan Farah, tapi dia pula yang dicari lelaki tu. Tapi...siapa pulak ni? Tak pernah nampak pun.

“Er...encik cari saya ke?”

Mazlan tersenyum tipis sambil menganggukkan kepalanya. Akhirnya! Berjaya jugak dia jejak penyelamat Tuan Muda ni. Dan tak sia-sia dia hasil usaha kerja kerasnya selama ini.

“Saya Mazlan. Boleh Cik Husna ikut saya?”

Ainul Husna pula yang terpinga-pinga dengan kata-kata lelaki itu yang langsung tidak difahami hujung pangkalnya. Dan yang pentingnya, apa jadahnya dia kena ikut lelaki yang langsung tidak dikenalinya itu? Polis ke ni? Tapi...salah apa yang dia buat sampai kena bawak pergi balai?

“Ke...kenapa saya kena ikut awak pulak? Awak ni siapa?” soal Ainul Husna yang mula menggelabah dengan lelaki itu, yang tiba-tiba sahaja menyuruh dia mengikut lelaki itu.

“Saya Mazlan,” beritahu Mazlan lagi sedangkan tadi, dia sudah menjelaskan siapa dia.

“Yalah! Saya tak pedulilah awak ni Mazlan ke? Abu ke? Tapi, saya tak kenal awak! Dan kenapa saya perlu ikut awak pulak?” soal Ainul Husna lagi.

Farah yang merasakan seperti ada yang tidak kena, segera mencari penyapu. Sebagai langkah berjaga-jaga. Manalah tau kan, kot-kot lelaki itu yang sememangnya berniat tidak baik? Bolehlah dia kerjakan terus.

Mazlan mula tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Apa sebenarnya yang dia sudah buat, sampaikan penyelamat Tuan Muda seakan takut kepadanya?

“Maafkan saya. Macam ni, saya disuruh oleh Tuan Muda untuk menjejaki Cik Husna.”

Kening Ainul Husna sudah bertaut. Dia yang ada masalah pendengaran? Ataupun, lelaki itu bercakap menggunakan bahasa asing? Sehinggakan dia langsung tidak memahami kata-kata lelaki itu. Apa benda pulak dia ni merapu? Jejak dia untuk Tuan Muda? Tuan Muda mana pulak ni?

“Awak cakap apa tadi? Tuan Muda?” soal Ainul Husna yang seakan tidak percaya dengan kata-kata lelaki itu.

“Ya.”

“Ke...kenapa pulak Tuan Muda awak nak jejak saya sampai ke sini?”

Seketika kemudian, Ainul Husna melangkah beberapa langkah ke belakang. Biar ada sedikit jarak dengan lelaki yang cakapnya langsung tidak difahami itu.

“Maafkan saya kalau buat Cik Husna rasa tak selesa,” ujar Mazlan pula apabila melihat gadis itu mula menjauhi dirinya. Tapi...kenapa dia perlu merasa takut? Aku tersilap cakap ke?

“Cik Husna pernah selamatkan Tuan Muda saya, bukan?”

Ainul Husna yang mendengar soalan lelaki itu, terus kaku. Tidak pula dijawab, sebaliknya hanya memandang lelaki itu dengan kerutan tebal di wajahnya.

“Cik Husna kenal Tuan Muda saya?”

Apa jenis soalan ni? Tuan Muda kau tentulah aku tak kenal, gumam Ainul Husna pula. Seketika kemudian, dia menggelengkan kepalanya.

“Tuan Muda saya ialah Muhammad Fattah. Dan Cik Husna pernah selamatkan dia tempoh hari,” beritahu Mazlan lagi.

Anak matanya pula, masih lagi terarah pada seraut wajah yang berada di hadapannya. Dan wajah itu, langsung tidak berubah meskipun dia sudah memberitahu siapa Tuan Mudanya. Anehnya! Aku tersilap orang ke?

“Cik Husna selamatkan Tuan Muda saya dan bawanya ke HKL,” sambung Mazlan lagi. Berharap benar yang gadis itu ialah penyelamat Tuan Muda. Kalau tersilap, maknanya dia kena mula menjejaki penyelamat Tuan Muda lagi.

Tuan Muda? HKL?

Tiba-tiba sahaja dia teringatkan lelaki yang pernah dibawanya ke hospital tempoh hari. Jangan-jangan.....lelaki itu yang dimaksudkan?

“Er...memang saya pernah menghantar seorang lelaki ke HKL tempoh hari. Tapi, saya tak tau namanya,” ujar Ainul Husna setelah lama mendiamkan diri.

“Lelaki itu tak ada pengenalan diri kan? Dan cik terpaksa isi maklumat cik untuk daftarkan dia?”

Ainul Husna terus menganggukkan kepalanya. Memang itulah yang berlaku. Gara-gara lelaki itulah, dia terpaksa menjejakkan kakinya ke HKL. Sedangkan dia sudah nekad untuk tidak menjejakkan kakinya ke sana lagi.

“Ya! Itulah Tuan Muda saya. Dan sekarang saya diarahkan dia untuk menjejaki Cik Husna.”

“Untuk apa?” soal Ainul Husna pantas. Kata-kata lelaki itu membuatkan Ainul Husna mula merasa seram sejuk. Pelik! Dah selamatkan orang pun, kena jejak sebegini sekali ke?

Mazlan angkat bahu. Ya! Dia sendiri tidak pasti untuk apa dia diarahkan oleh Tuan Muda untuk menjejaki penyelamatnya.

“Saya tak nak ikut!” tekad Ainul Husna sambil kepalanya juga sudah digelengkan.

Apa nak jadi, jadilah! Yang penting, dia tak akan ikut lelaki yang tidak dikenalinya dengan sewenang-wenangnya. Titik! Nekad hati Ainul Husna. Tiba-tiba sahaja dia teringatkan pesanan ayahnya tempoh hari yang menyuruhnya berhati-hati. Penjenayah sekarang terlalu ramai, pesan ayahnya lagi. Tambahan pula, ayahnya sudah mengejar seorang lelaki yang kelihatan curiga di hadapan rumah mereka.

“Tapi cik, Tuan Muda saya dah arahkan bawak Cik Husna jumpa dengan dia.”

“Yalah, nak buat apa jumpa dengan dia?” Sekali lagi, Ainul Husna mengajukan soalan yang sama.

“Saya tak tahu. Saya cuma lakukan apa yang Tuan Muda arahkan saja.”

“Senangnya awak cakap! Habis tu, kalau dia suruh awak bunuh orang, awak buat jugak ke?” bentak Ainul Husna yang geram dengan lelaki itu yang jelas tidak mahu mengalah.

Kata-kata Ainul Husna itu, membuatkan Mazlan terdiam seketika.

“Entah, setakat ni tak ada pulak Tuan Muda suruh bunuh orang.”

“Hah?”

Ainul Husna melopong dengan jawapan yang diberikan oleh lelaki itu. Sia...siapa sebenarnya Tuan Muda tu? Sehinggakan lelaki di hadapannya, sanggup melakukan apa saja.

“Cik Husna, boleh kita pergi sekarang?” tanya Mazlan apabila melihat tiada jawapan daripada gadis itu. Dilihatnya gadis itu seperti sedang mengelamun jauh. Entah apalah yang mengganggu fikiran dia.

Ainul Husna tergamam. Terus dipandang wajah lelaki yang berada di hadapannya itu.

“Awak ni tak faham bahasa ke? Kan saya dah cakap, saya tak nak jumpa Tuan Muda awak!” bentak Ainul Husna lagi. Geram pula dengan gelagat lelaki itu yang seakan tidak mendengar kata-katanya sebentar tadi.

“Tapi Cik Husna, saya mesti bawak cik jumpa dengan Tuan Muda jugak!” balas Mazlan yang jelas tidak mahu mengalah dengan keras kepala yang ditunjukkan oleh Ainul Husna.

Kalau dia gagal membawa Ainul Husna berjumpa dengan Tuan Mudanya, dia bimbang dia akan dimarahi oleh majikannya itu. Dan sebab itulah dia nekad untuk membawa gadis itu berjumpa dengan Tuan Muda. Bukankah Tuan Muda pernah mengatakan ‘apa saja cara, yang penting mesti carik penyelamat itu sampai dapat!’. Jadi, pilihan apa lagi yang dia ada?

“Kenapa Tuan Muda awak tu beria-ria nak jumpa dengan saya? Tak cukup ke saya dah selamatkan dia?”

“Itu saya tak tahu, yang saya tau saya mesti bawak Cik Husna jumpa dengan Tuan Muda. Nanti, Cik Husna tanyalah dia sendiri.”

Jawapan yang diberikan oleh lelaki itu, membuatkan Ainul Husna mengetap giginya dengan kuat. Kesabarannya sudah semakin menipis. Keras kepala betul mamat ni! Dah orang cakap tak nak, lagi mau paksa ke?

“Awak datang sini bukan nak beli kek ataupun roti kan?” soal Ainul Husna dengan tiba-tiba.

Mazlan pantas menggelengkan kepalanya. Nak buat apa, beli kek dengan roti? Yang penting sekarang, kau! Aku mesti bawak jumpa dengan Tuan Muda.

“Jadi, awak bukan pelanggan kedai kami. Saya mintak awak beredar dari kedai kami. Sekarang jugak!” arah Ainul Husna pula.

Seraya dengan itu, dia menunjukkan pintu kedai pada Mazlan. Manalah tau, kot-kot dia dah tak nampak pintu kedai pulak?

“Tapi cik....”

“Farah!” jerit Ainul Husna pantas.

Farah yang mendengar namanya di jerit oleh Ainul Husna segera menghampiri rakannya itu. Di tangannya pula, sudah tersedia penyapu untuk menghalau penyangak itu.

“Awak nak keluar sekarang ataupun kami halau awak dengan penyapu?” ugut Ainul Husna pula.

Mazlan terus mengalihkan pandangannya pada seorang gadis yang membawa penyapu di tangannya. Gulp! Dia telan liur dengan begitu payahnya. Dia ni....boleh tahan samsengnya....

“Jangan paksa kami gunakan penyapu ni untuk halau awak keluar daripada kedai kami,” ugut Ainul Husna lagi apabila dilihatnya tiada reaksi daripada lelaki itu.

Nak tak nak, Mazlan terpaksa mengalah dengan ugutan Ainul Husna dan rakannya. Dengan hatinya yang kecewa, dia melangkah keluar daripada kedai kek yang dipenuhi dengan perempuan samseng.

Ah, mati aku! Macam mana nak jelaskan pada Tuan Muda? Perempuan ni pun satu hal. Susah sangat ke permintaannya yang mahu dia berjumpa dengan Tuan Muda? Bukan Tuan Muda nak buat apa pun. Huh, nampak saja ayu dengan mengenakan tudung. Tapi samseng! Gumam hati Mazlan yang jelas tidak gembira dengan layanan yang diterimanya itu.

Previous: [Bab 5]
Next: [Bab 7]

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.