Home Novel Cinta Hanya Untuk Dia
Hanya Untuk Dia
Nurul Izah
12/9/2013 13:29:22
62,013
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
bab 9

Selepas aku menunaikan sembahyang mahgrib, mereka menyuruh aku duduk diruang tamu. Mak long yang setia duduk disisiku menggenggam erat tanganku. Mungkin takut aku meninggalkan mereka lagi. Mereka kata sebentar lagi Zahid akan pulang dari surau, katanya Zahid baru saja menghabiskan pengajiannya di UKM. Sekarang dia bekerja di sebuah syarikat swasta di Johor Bahru. Abang Zam dan Kak Ina sudah berkahwin dan sudah ada anak masing-masing. Mungkin hujung minggu ni mereka datang untuk mengambil buah durian.

Tidak lama kemudian Zahid muncul dimuka pintu. Lelaki itu semakin tampan, persis wajah Pak long masa muda dulu. Dia terkejut, selepas berkali-kali Mak long mengatakan memang benar aku, barulah dia tersenyum gembira. Zahid benar-benar merindui aku sehinggakan dia terlupa kini kami telah dewasa. Tanpa segan silu dia menggenggam tanganku dan mengusap lembut wajahku. Selepas Mak Long memanggil namanya dia tersipu malu atas perlakuannya sebentar tadi.

“Tak sangka Mira akan pulang. Lama Zahid tunggu saat ini. Setiap hari Zahid berdoa. Akhirnya Allah mendengar doa kami semua” Zahid bersuara.

“Maafkan Mira sebab tinggalkan macam tu. Mira tak berniat buat semua orang risau”

“Patutlah beberapa hari ni hati Mak long tak pernah tenang. Mata Mak Long bergerak-gerak. Beberapa kali Mak Long menjenguk pintu rasa ada orang nak datang tapi tak tahu siapa. Tak sangka pula anak Mak Long nak pulang rupanya.” Mak long menyeka saki baki air mata dengan hujung lengan bajunya.

“Dah lah tu. Nampaknya Mira penat. Biar mak long siapkan makan malam. Sebentar lagi kita boleh makan sama.” Suara pak long memecah kesunyian.

Selepas makan malam, kami duduk di ruang tamu. Tenang rasanya. Sudah lama aku tidak duduk dirumah kampung begini. Ayah mula bercerita mengenai dirinya selepas aku pergi. Kini, ayah dan Pak long hanya sesekali turun membawa teksi. Kalau musim buah, mereka akan turun ke dusun durian yang dipajakkan bagi membayar hutang. Sedikit dari hasil jualan tersebut buah dapat meringankan beban ayah yang sentiasa memerlukan rawatan di hospital lantaran penyakit tuanya. Dengan perasaan sayu ayah bercerita mengenai rumah kami dulu. Katanya tanah itu sudah dicagarkan ke bank dan sehingga kini mereka tidak dapat menebus semula tanah tersebut. Mak cik Mona dan Ijan pula sudah hilang entah ke mana. Mereka meninggalkan ayah ketika ayah dalam kesusahan. Selepas mereka berdua pergi, barulah ayah sedar apa yang telah mereka lakukan. Ketika ayah mengemaskan bilikku, ayah menjumpai baju ijan dan baju yang koyak rabak. Ketika itu dia sedar apa yang telah berlaku, menangis sekalipun tidak akan mengembalikan segalanya. Mungkin itulah pengajaran. Allah yang berkuasa membalas segala perbuatan kita di dunia.

Banyak juga soalan yang diajukan oleh Mak Long dan Pak Long. Aku hanya bercerita secara ringkas mengenai kerja aku di sini. Jelas wajah mereka menunjukkan mereka bangga dengan usaha aku. Apatah lagi aku dapat bekerja dan hidup lama di negara orang.

“Mira di sini cuma enam bulan aje”

Semua diam. Memandang kearahku seolah mahu penjelasan lebih lanjut.

“Mira ditugaskan ke sini, habis kerja nanti Mira akan pulang ke sana semula”

“Mira,……ayah tahu Mira marahkan ayah. Tapi kalau boleh ayah nak tebus semula segalanya. Kalau boleh ayah nak mati di sisi Mira. Janganlah pergi lagi nak. Ayah dah tua”

Mengalir air mataku. Aku menunduk memandang lantai. Aku kehilangan kata-kata. Aku belum bersedia untuk tinggal di sini.

“Tak apalah, yang penting Mira dah pulang kepangkuan kita” Zahid yang tadinya hanya membisu mula bersuara, dia seolah faham segala apa yang tersirat di dalam hatiku. “Lagipun Zahid yakin Mira akan kembali”

Aku tersenyum memandang ke arahnya. Dari sinar matanya jelas menunjukkan harapan. Senyuman Zahid meyakinkan aku semula.

“Kalau macam tu lusa kita buat kenduri kesyukuran sekali dengan kenduri arwah. Mak Long nak jemput orang kampung datang tengok Mira” Mak Long bersuara semula. “Paknya, telefon Angah dengan Ateh. Jangan lupa telefon anak-anak sekali. Suruh mereka datang”

Aku diam. Esok aku harus melihat tapak yang Azmi cadangkan. Lagipun aku sudah berjanji dengan Akira Holding untuk memberikan jawapan secepat mungkin.

“Kamu ni, nak buat kenduri mengejut macam ni.... aku rasa Mira tu ada kerja nak buat. Kalau ya pun, bincang dulu. Tak lah serba salah budak tu” Pak Long bersuara melegakan sedikit hatiku yang berbelah bagi.

Mak Long tersengih kecil. Mengakui kesilapannya. Pandangan Mak Long tumpah ke arah aku.

“Mira cuma tiga hari di sini. Kalau Mak Long, Pak Long dan ayah tak kisah, Mira akan datang lagi minggu depan untuk kenduri. InsyaAllah minggu depan Mira boleh ambil cuti”

Masing-masing setuju. Pak Long sudah beria mahu menumbangkan seekor lembu miliknya untuk kenduri itu nanti. Katanya itu niat dari dulu lagi. Kalau Mira kembali, lembu akan ditumbangkan dan dibahagikan dengan orang kampung.

Aku tidak membantah. Menurut saja arahan Pak Long. Walaupun sebenarnya aku belum bersedia lagi untuk segalanya. Tapi apa kata mereka kalau aku tolak. Aku juga tidak memberitahu mereka rancangan aku disini sebenarnya hanya untuk urusan kerja. Aku singgah di sini hanya kebetulan menurut kata hati dan teringatkan Azmi.

Malam itu aku menghubungi Hotel yang ditempah oleh Johan. Melihat keadaan mereka, tidak sampai hati mengatakan aku akan tidur dihotel malam ini. Lagipun awal-awal lagi Mak long sudah mengemaskan bilik tamu untukku. Jam sudah menunjukkan pukul sebelas malam. Ayah dan Pak Long sudah masuk tidur, tinggal Mak Long saja yang masih berkemas di dapur. Aku duduk di beranda rumah sambil menikmati keindahan malam. Melihat bintang yang bersinar indah. Selama ini aku jarang merenung langit, rasanya aku pun sudah lupa keindahannya. Tapi hari ini, langit aku renung dengan penuh perasaan. Betapa besarnya kuasa Tuhan.

“Kenapa duduk sendiri di sini, tak ngantuk lagi ke?”

Aku tersenyum kecil lalu memandang Zahid yang sudah melabuhkan punggung di sisiku. Aku menggeleng perlahan.

“Tadi Zahid dengar Mira call hotel, tak nak tinggal di sini ke?”

Aku pandang semula wajahnya. Mungkin senang kalau dapat meluahkan segalanya kepada Zahid. Panggilan aku dan kau yang biasa digunakan sudah berubah menjadi Zahid dan Mira. Hmm mungkin dia sedar masing-masing sudah dewasa. Ada banyak perbezaan tutur bahasa.

“Sebenarnya Mira sepatutnya menguruskan projek di Danga Bay. Green Hotel nak buka satu lagi cawangan di sini, sekarang ini hanya ada di Putrajaya dengan Genting Highland. Segalanya sudah diaturkan”

“Dah tu sebenarnya bukan niat nak ke sini ke?”

Aku diam. Soalan itu sungguh berat, entah apa jawapan yang sesuai harus dikatakan sekarang. Niat hanya untuk lalu saja dan bukannya mengetuk pintu dan tinggal di sini.

“Mira hanya ingin lalu mengikut kata hati. Mira rindu sangat. Tapi Mira belum bersedia untuk berhadapan dengan kalian semua. Mira takut. Mira tak mampu hadapi kalian semua. Mira takut bila mengingatkan kisah dulu.”

Zahid diam, ada keluhan keluar dari mulutnya.

“Mira, sampai bila Mira baru nak bersedia. Tiada siapa lagi diantara kami semua yang mahu mengungkit kisah lalu. Pak su amat menderita semenjak Mira tiada. Dia suka termenung sendirian. Adakalanya menangis sendiri menyesali apa yang terjadi. Kami semua tak sangka semua itu berlaku. Tapi, itu semua kisah lama. Tak payah ingat lagi.”

Aku diam. Membiarkan saja Zahid meneruskan kata-katanya.

“Pak Su pun dah insaf, janganlah simpan marah tu lagi. Lagipun semua tu dah berlalu. Tak akan ada sesiapa yang ingat lagi. Kami semua sayangkan Mira. Kami semua selalu cerita pasal Mira..... kalau tengok keadaan Mira sekarang, bukan calang-calang Jawatan Mira di sana”

Aku tersenyum. Boleh tahan! Kalau dikira mengikut Ringgit Malaysia, sebulan aku boleh dapat sampai lima puluh ribu. Rumah sudah habis bayar tahun lepas, kereta pun aku beli potong duit gaji setiap bulan. Itu pun sudah habis bulan lepas. Sekarang ini bolehlah tahan, di sini pun aku hanya makan elaun luar negara. Tak usik pun gaji di bank dan aku pun tak pernah kira berapa banyak yang ada. Kalau Green Hotel Johor siap, aku akan mendapat lagi keuntungannya. Aku melabur hampir separuh wang simpanan yang ada untuk membangunkannya.

“Alah……Zahid, kerja biasa aje. Sama jugalah dengan Zahid, sama-sama jadi kuli”

“Zahid jadi kuli tak dapat pun nak rasa pakai kereta macam tu. Umur kita sama Mira, Zahid baru mulakan kerjaya. Tak nampak lagi hasilnya. Tapi Mira, tengoklah sendiri, dari cara Mira pun Zahid dah tahu.”

Jari Zahid menunjuk ke arah kereta BMW 1Siri di hadapan rumah. Aku tergelak, lalu dia memandang wajahku semula.

“Itu kereta sewalah!” Kereta itu bukanlah apa sangat kalau nak dibandingkan dengan kereta yang aku ada di Australia. Johan yang menyewakan kereta itu untuk aku. aku pun tidak tahu menahu pasal perkara itu.

“Orang biasa takkan sewa kereta mahal macam tu…. Pasti jawatan Mira besar. Syarikat mana yang boleh percayakan stafnya buat projek berjuta ringgit seorang diri?”

Aku ketawa kecil. Biarlah semua rahsia.

Kesejukan malam mula menusuk ke dalam tulang. Seluruh rumah pun sudah sunyi. Agaknya Mak Long pun sudah lena dibuai mimpi. Aku masih belum mengantuk lagi, entahlah rasa senang pula dapat berbual dengan Zahid.

“Lama Mira di sana kan! Tak sangka pula Mira boleh hidup di sana. Selama ini Zahid tak pernah terfikir Mira akan berhijrah ke sana. Selalu juga Zahid ke Kuala Lumpur. Ada kawan Zahid di sana, kalau Zahid ke sana Zahid akan pergi ke CM, KLCC, Sogo atau kadang-kadang lepak kat Dataran. Zahid harap sangat dapat cari Mira. Zahid pernah juga hantar gambar dengan kawan di Pulau Pinang. Minta dia tolong cari”

Aku pandang wajah Zahid. Wajah yang keputihan itu terlalu jauh berbeza jika dibandingkan masa sekolah dulu. Gaya rambutnya menambahkan lagi ketampanannya, cuma dia lebih selesa dengan gaya bersahaja. Memakai seluar lusuh dan bert-shirt pagoda. Kalau dia memakai sut yang selalu dikenakan oleh Azmi, pasti cair perempuan yang memandangnya.

“Kenapa senyum”

Aku menggelengkan kepala lalu tergelak kecil.

“Jauh rupa Zahid kalau nak dibandingkan dengan dulu”

Zahid tersenyum. Gigi putihnya tersusun rapi. Begitu sempurna!

“Mira pun semakin cantik. Rasa macam tak percaya pula. Zahid tak pernah bayangkan wajah Mira akan jadi secantik ini. Boleh cair dibuatnya, duduk berdua lama-lama dengan Mira”

Aku ketawa lagi. Tak sangka pula dia akan puji melambung tinggi. “Dah mula lah tu. Eh……bukan ke dari dulu lagi Mira cantik”

Zahid membuntangkan matanya. “Perasan!”

Malam semakin merangkak jauh. Jam sudah menunjukkan pukul dua pagi. Aku berdiri lalu melangkah menuju ke pintu. Zahid turut bangkit dari duduknya. Sebelum tidur sempat juga dia mengusik aku sekali lagi. Zahid, memang tidak pernah berubah!


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.