SUASANA di sini mendamaikan sesiapa saja yang berkunjung kerana terpasangnya alunan muzik merdu yang dapat didengar setiap sudut. Malah, reka bentuk di dalam sungguh elegan membuatkan mata si pemandang sejuk rasanya. Pendek kata, perfect!
Semua itu masih tidak dapat menarik perhatian Azyah yang memilih kafe itu sebagai tempat pertemuan dia dengan seseorang. Tujuan kedatangannya ke sini bukan semata-mata untuk mendengar muzik mahupun memerhati setiap sudut kafe ini. Tidak sama sekali.
Setiap saat, jantungnya berdebar-debar kencang tidak berhenti. Walaupun Azyah cuba untuk menenangkan diri dengan pelbagai cara termasuklah melakukan mengawal pernafasan, dia masih tidak dapat bawa bertenang.
Logiklah bagi sesiapa yang berada di tempatnya kini. Siapa saja yang dapat pejamkan mata setelah apa yang terjadi? Perkara seperti ini, untuk lelapkan mata pun tidak boleh sebab masih terbayang-bayang lagi di fikiran. Seperti hantu, sering menganggu.
Kelihatan seorang wanita muda mencari-cari seseorang di dalam kafe itu. Matanya tertumpu kepada Azyah di hujung sana. Dia tersenyum. Yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Langkahnya diatur ke meja terletaknya Azyah.
“Kak Azyah, kan?” Sarafina berpura-pura bertanya seakan tidak kenal.
“Ya, saya. Sarafina?” Azyah menginginkan kepastian.
Sarafina mengangguk angkuh. Luluh hati Azyah ketika itu melihat wajah insan lain yang turut bertakhta di hati suaminya. Tak mampu rasanya dia untuk mengangkat muka ketika ini memandang wanita itu. Apa kurangnya dia dibandingkan dengan wanita itu sehingga Fakrul memilih untuk berpaling daripadanya?
“Jemputlah duduk,” pelawa Azyah lembut.
Sarafina duduk berhadapan Azyah. Kalau tak dipelawa, memang dia duduk aje. Peduli apa? Tak akan kafe ini sediakan kerusi dan meja untuk perhiasan?
“Saya dah tahu semuanya.” Azyah memulakan bicara. Ringkas, tapi cukup menerangkan macam-macam perkara.
“Baguslah.”
“Baguslah?” Bengang. Mata Azyah tajam melihat wajah Sarafina yang kelihatan tidak bersalah itu. Malah, lebih tenang dari dirinya sendiri ketika itu. Adakah wanita itu tidak rasa bersalah dengan apa yang telah dilakukannya?
“Kenapa? Salahkah saya cakap begitu? Baguslah kalau akak dah tahu. Selepas ini, Abang Fakrul tak perlu berahsia dengan akak tentang perkahwinan kami dan akak boleh beri ruang privasi kepada kami. Bukan begitu?” balas Sarafina.
“Bukan sepatutnya awak perlu minta maaf dengan apa yang dah berlaku?”
Sarafina ketawa besar. Seperti lucu pernyataan Azyah itu.
“Kenapa saya nak kena minta maaf? Perkahwinan kami bukannya salah di sisi undang-undang dan agama, jadi kenapa akak nak suruh saya minta maaf?”
Biadapnya. Azyah tak boleh diamkan sahaja. Api kalau dah mula marak, jangan dilawan dengan minyak tanah. Makin membara apinya nanti. Sebaliknya, dia perlu cool dan balas dengan air biar wanita itu terpadam maraknya.
“Memang betul. Perkahwinan itu tidak salah. Pada pendapat saya, sebagai seorang isteri saya berhak untuk tahu tentang perkahwinan ini. Kenapa harus disembunyikan walaupun tidak salah?”
“Kalau beritahu, akak nak izinkan?”
Kelu. Tidak mampu menjawab soalan itu. Sungguh, Azyah memang tak akan rela berbagi cinta dengan orang lain.
“Dahlah akak. Benda dah jadi, tak perlu dihebohkan lagi. Ini semua takdir. Kalau akak marahkan perkahwinan kami, samalah macam akak salahkan Tuhan. Ingat itu.” Kali ini, Sarafina gunakan senjata agama pula. Ingat boleh lawan mulut laser aku?
“Betul kata Sarafina. Dah takdir, benda pun dah jadi… Apa yang akak boleh buat? Cuma, walau apa yang dah jadi sekalipun, tolong ingat sesuatu. Fakrul adalah suami akak dan akak ada hak ke atas dia.”
“Hak?” Sarafina ketawa lagi. Kali ini, ketawa mengejek.
“Hak apa yang akak ada? Akak sendiri tak mampu nak lahirkan zuriat untuk Abang Fakrul, apa yang akak cuba nak ini? Lainlah macam saya. Dah lahirkan pun untuk suami tersayang saya.”
Azyah tergumam mendengar pengakuan Sarafina. Air matanya bertakung, mahu jatuh. Jiwanya sebak, meronta mahu menangis. Namun fikirannya tidak mahu mengalah. Jika dia menangis di hadapan wanita itu, beerti dia tewas.
“Dahlah. Sekarang ini, saya nak kena ambil anak saya dari tadika. Maklumlah, sejak jadi seorang ibu ini, memang penat sikit. Tapi, berbaloilah sebab pengalaman jadi seorang ibu bukan semua orang rasa.” Sengaja Sarafina menginjak emosi Azyah. Dia tahu, perkataan ibu dan anak itu amat sensitif buat Azyah.
“Kalau ada apa-apa nak dibincangkan, akak beritahu. Cuma, saya taklah free macam akak. Okey, saya minta diri dulu.” Sarafina beredar pergi meninggalkan Azyah sendirian di meja itu, meninggalkan kesakitan di hati.
Tangisan yang ditahan, akhirnya menitis juga di pipi.
KETIKA Azyah pulang, terlihat kereta Ryan di hadapan pagar rumahnya. Abangnya datangkah? Dia keluar dari perut keretanya dan cuba melihat ke dalam kereta abangnya itu. Di sebalik tingkap kereta, abangnya kelihatan sedang tidur nyenyak. Kasihannya, pasti abangnya mengantuk menunggu dia pulang.
Tok! Tok! Cermin kereta diketuk. Lantas, Ryan tersedar dari lenanya lalu mengusap matanya berkali-kali. Wajah adiknya tersembul di tingkap sebelahnya.
“KENAPA datang tak beritahu? Tak pasal-pasal kena tunggu. Along ini sengaja cari penyakit.” Azyah menghidangkan secawan teh dan sepiring kuih di meja luar rumahnya. Tempat bersantai untuk minum petang.
“Ingatkan Azyah ada di rumah tadi. Abang ada hantar mesej di WhatsApp, tapi tak dibaca pun.”
“Dah itu, telefonlah.”
“Malaslah. Bazir kredit.”
Azyah tersengih. Sikap berjimat-cermat abangnya masih ada lagi. Tidak pernah hilang rupanya.
“Azyah pergi mana tadi?”
“Ermmm… Jumpa kawan.” bohong Azyah.
“Kawan mana? Lelaki atau perempuan?”
“Perempuan. Yang along nak tahu Azyah pergi mana ini, kenapa?”
“Saja. By the way, along datang sini bukan saja-saja tau.”
“Tahu sangat. Along itu berat punggung nak keluar ruman. Kalau boleh, nak terperap dalam rumah dua puluh empat jam! Perangai orang introvert!” perli Azyah. Ryan buat endah tidak endah. Sudah kenyataan, tak perlu nak marah.
“Macam ini, along ada jumpa seorang budak di kedai mainan tempoh hari.”
“Along masih pergi kedai mainan lagi, ke? Tak boleh get over dengan Lego?” Azyah terkejut jika itu adalah realitinya.
“Lego itu orang dewasa boleh main. Tapi, along pergi sana bukan beli mainan. Masa itu temankan Fiona beli hadiah untuk anak kawan dia.”
“Oh… Lepas itu?”
“Along ingat, along nak join jadi sukarelawanlah.”
“Suddenly? Why?”
“Taklah, lepas tengok budak kecil itu… Along rasa simpati sangat.”
Haih… Azyah geleng kepala. Abangnya memang mudah simpati dengan orang. Kadang-kadang itu, kucing tepi jalan pun dia rasa kesian nak bawa balik walaupun dah tahu diri sendiri alah dengan kucing. Punyalah baik sangat simpati itu.
“Cerita dia sebenarnya macam mana?”
“Budak itu nampak figura Transformers… Daripada mata along ini, along boleh nampak dia nak mainan itu cuma bila ibu dia datang, dia rasa kecewa sangat tak dapat beli mainan itu sebab fikirkan ibunya yang penat bekerja cari rezeki tapi tak mampu belikan mainan untuknya.”
“Mainan aje pun. Mungkin ibunya tak nak membazir beli mainan sebab nak belikan barang keperluan yang lebih penting. Fikir logik sikitlah, along.”
“Apa-apapun, kanak-kanak dengan mainan mana boleh dipisahkan.” Ryan menegaskan pendapatnya.
“Suka hatilah. Along nak jadi sukarelawan atau nak jadi suka berlawan, Azyah tak nak ambil peduli. Bukan dia aje ada masalah, semua orang ada masalah.”
“At least, support apa yang along nak buat ini. Kerja kebajikan kut. Allah suka orang buat kerja macam ini.”
“Nak kena nyanyi lagi Cheer Up, ke?” sindir Azyah.
“Nyanyi lagi Gee pun boleh!”
“Lagu Dumb Dumb, macam mana? Nampak sesuai dengan along.”
“Hesy, kutuk along eh?”
“Sedar juga.” Azyah gelak, diikuti Ryan kemudiannya.
Lupa seketika masalah yang dialami Azyah buat masa ini.