Home Novel Cinta Kan Aku Dah Kata!!!
Kan Aku Dah Kata!!!
Aini Marisha Marisha
29/12/2013 16:20:01
137,467
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10
Bab 10

233- لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ.

Aku memenuhi panggilanMu, ya Allah aku memenuhi panggilanMu. Aku memenuhi panggilanMu, tiada sekutu bagiMu, aku memenuhi panggilanMu. Sesungguhnya pujaan dan nikmat adalah milikMu, begitu juga kerajaan, tiada sekutu bagiMu.

“Mana jalan keluar ni?” Dua tiga kali Datin Aini berpusing-pusing di dalam Masjidil Haram tetapi pandangannya masih gagal berjumpa dengan pintu keluar. Di sekelilingnya hanyalah tembok-tembok batu yang tinggi dan tebal. Orang ramai yang lalu di sekelilingnya juga seolah-olah tidak sedar kehadirannya kerana tidak seorang pun yang memandang ke arahnya yang nyata kelihatan agak kalut.

“Mana suami aku ni? Tadi ada di sini? Takkan dia balik tak tunggu aku?” Dati Aini mula berasa takut. Wajahnya berpeluh dan kakinya mula sakit kerana berdiri dan berjalan terlalu lama. Tetapi pelik, dia rasa dia sudah jalan begitu lama tetapi jalan keluar masih lagi gagal dijumpai. Malah tempat dia berdiri sekarang terasa begitu asing di pandangannya.

“Semalam lain…kenapa hari ni tempat ni lain? Aku dah sesat ke mana ni?” keluh Datin Aini lagi. Dia terus menyeluk poket jubah yang dipakai. Telefon bimbit yang memang diletakkan di dalam poket tersebut telah tiada. Puas jari-jarinya meraba di keseluruhan kawasan poket yang berukuran 5 inci x 5 inci itu. Tiada. Datin Aini semakin pelik. Memang dia yakin telefon bimbit itu telah dimasukkan ke dalam poket sebelum dia keluar dari bilik hotel pagi tadi dan dia langsung tidak mengeluarkannya.

“Aduh!!!” Datin Aini mengeluh kesakitan apabila tiba-tiba sahaja dia dirempuh dari belakang dengan kasar oleh seseorang. Marah sungguh Datin Aini kerana lelaki berpakaian jubah putih itu langsung tidak berhenti untuk meminta maaf malah terus sahaja berlalu pergi dari situ. Datin Aini ingin menjerit marah tetapi suaranya seperti tidak keluar. Walau puas dia menjerit namun dia sendiri gagal menangkap bunyi yang keluar dari peti suaranya.

“Adakah aku sedang bermimpi sekarang?” Tiba-tiba terdetik persoalan itu di benak Datin Aini. Ya! Aku yakin aku sedang bermimpi sebab kalau di alam realiti tidak mungkin semua ini akan berlaku. Datin Aini semakin penat. Lututnya mula berdenyut lalu dia mengambil keputusan untuk duduk bersandar di tepi dinding. Orang ramai yang lalu lalang tidak dihiraukannya sama seperti mereka yang tidak menghiraukannya.

Ting!!! Sekeping duit syiling tiba-tiba sahaja dilemparkan ke arahnya oleh seseorang. Datin Aini mendongak. Kelihatan seorang wanita tua berjubah putih sedang memandang kepadanya dengan senyuman dan wajah penuh simpati. Datin Aini cuba menjelaskan bahawa dia bukanlah pengemis tetapi suaranya masih tidak keluar. Perempuan itu bergerak pergi. Kemudian seorang demi seorang membaling duit syiling kepadanya kerana menyangkakan dia peminta sedekah. Datin Aini merasa malu diperlakukan begitu.

“Aku bukan peminta sedekah. Aku orang kaya. Aku tak perlukan semua duit syiling ni. Harta aku banyak dan wang aku juga banyak. Aku bukan pengemis!!!” Menjerit-jerit Datin Aini untuk cuba memaklumkan kedudukan sebenar namun seperti tadi, dia masih gagal mengeluarkan suaranya.

Mata Datin Aini kini tertumpu ke hadapannya. Dinding putih di hadapannya tiba-tiba bertukar menjadi seperti skrin yang menayangkan filem. Terdapat satu cerita yang sedang ditayangkan sekarang.

“Zainab...,” terkeluar nama itu di bibir Datin Aini. Memang dia kenal pelakon-pelakon di dalam cerita tersebut. Malah dia juga adalah pelakon yang sedang memainkan watak di dalam cerita tersebut. Satu persatu tindakan dan kelakuannya seolah-olah diulang tayang semula di hadapannya. Kehidupannya semasa muda yang sentiasa bergelumang dengan kehidupan sosial di kelab-kelab malam telah ditunjukkan semula satu persatu di hadapannya.

“Ya ALLAH….” Air mata Datin Aini mula mengalir apabila dia semakin faham apa yang sedang dialaminya sekarang.

“Ya ALLAH…” Hanya itu sahaja ayat yang mampu keluar dari bibirnya dengan linangan air mata yang semakin lebat.

“Aku telah diuji…aku telah diuji…,” ratap Datin Aini penuh hiba. Peristiwa sebentar tadi yang mana dia dianggap pengemis adalah perkara yang pernah dilakukannya dalam kehidupannya. Dia memang memandang hina pengemis-pengemis jalanan. Jika dia ingin memberikan wang kepada mereka, dia akan melemparkannya dari jauh kerana dia geli berada dekat dengan mereka. Jika dia terpaksa memaniskan muka pun hanya kerana dia terlibat dalam program-program kebajikan yang dianjurkan oleh kelab-kelab isteri menteri. Dan sekarang, di sini ALLAH membalikkan pula kisah tersebut supaya dia faham dan merasai perasaan pengemis dan orang susah tersebut apabila dilakukan sedemikian.

Terus Datin Aini sujud di situ memohon ampun dan maaf atas segala dosanya. Dia beristighafar dan berkali-kali berdoa supaya ALLAH mengampunkan dosa-dosanya.

“Ya ALLAH Ya Tuhanku…, aku telah sedar di atas segala dosa dan kesalahan yang telah aku lakukan dulu YA ALLAH. Aku bersyukur kerana ENGKAU telah memberikanku petunjuk dan hidayahMu sebelum aku berangkat pulang semula ke Malaysia untuk membolehkan aku menjadi insan yang lebih baik. YA ALLAH…aku sedar segala yang kau paparkan ini adalah bayangan dosa-dosaku yang dulu. Aku bertaubat kepadaMu Ya ALLAH. Kau ampunkanlah segala dosa-dosaku kerana hanya ENGKAU sahaja yang boleh mengampunkan,” rayu Datin Aini bersungguh-sungguh penuh rasa keinsafan.

Apabila Datin Aini bangkit dari sujudnya, dia terkejut kerana dia mendapati dia masih lagi berada di dalam Masjidil Haram di tempat yang sama dia bersolat tadi. Datin Aini menangis lagi. Hatinya sugguh hiba. Dia rasa berat hendak meninggalkan Mekah kerana dia mahu menebus segala dosa-dosanya dengan beramal ibadah di sini. Tetapi dia tahu segala yang ALLAH telah aturkan untuknya adalah lebih baik. Apa yang penting, dia mesti istiqamah untuk berubah dan mendalami ilmu agama apabila sekembalinya dari Mekah nanti.

“Aini…, kita perlu bergerak sekarang.” Tiba-tiba Datuk Aziz datang menghampirinya. Datuk Aziz meletakkan tapak tangannya di bahu isterinya yang masih lagi tersedu-sedu menangis. Seperti Aini, dia juga sebak hendak meninggalkan tanah haram ini. Sebentar tadi dia juga telah mengalami peristiwa yang sama seperti isterinya. Mereka berdua telah diberikan petunjuk dan hidayah oleh ALLAH (s.w.t.) di sini…

Datin Aini terbangun dari tidurnya. Dia beristighfar beberapa kali. Dia bersyukur apabila sedar bahawa dia memang berada di dalam bilik tidurnya sendiri. Diraupnya wajah yang berpeluh halus kerana tubuhnya menggeletar. Dia menoleh ke arah Datuk Aziz yang masih lena. Jam di dinding menunjukkan pukul 4.00 pagi. Dia tertidur rupanya tadi.

“Ya ALLAH Ya Tuhanku, janganlah ENGKAU tarik semula petunjuk dan hidayah dan yang ENGKAU telah berikan padaku. Malah KAU dekatkan lah aku denganMU supaya aku akan sentiasa mengingatiMU YA ALLAH.…”

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.