Home Novel Cinta Kan Aku Dah Kata!!!
Kan Aku Dah Kata!!!
Aini Marisha Marisha
29/12/2013 16:20:01
137,367
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4
Bab 4

“Beb, engkau ada idea tak macam mana kita nak expand bisnes kita ni? Aku nak butik kita ni terkenal dengan trend fesyen terkini. Dapat sambutan dari dalam dan luar negara gitu.....Kalau pasal promosi di media sosial, aku rasa kita dah buat semua tu. Facebook, website, twitter, instagram semua kita ada. Tapi aku rasa, kita kena buat lebih lagi,” tanya Ellyssa sambil bersandar di kerusi kulit di dalam pejabat mereka. Sebelah tangannya masih memegang pen kilometrico berwarna hitam yang digunakan untuk mencatit nota semasa berbual di telefon dengan tuanpunya kedai pembekal kain sebentar tadi.

“Apa kata kita buat macam artis Yanna Suri tu? Lebarkan jenama dia di peringkat antarabangsa dengan menyertai event-event antarabangsa. Yanna Suri buat fashion showkat New York hari tu. Aku rasa jenama kita pun tak kurang hebatnya,” cadang Sarina. Wajah Ellyssa dipandangnya tajam untuk mendapatkan tindak balas positif. Sarina membetulkan duduknya. Kain baju kurung yang hampir terangkat hingga menampakkan betisnya cepat-cepat dibetulkan.

Oleh kerana hari ini hari Jumaat, Sarina lebih selesa mengenakan baju kurung biasa dari material kain Japanese Cotton yang dibeli secara online. Shawl nipis dari kain chiffon berwarna biru dan pink sangat menyerlahkan keayuan wajahnya yang bujur sireh.

Sarina memang kagum dengan usaha Yanna Suri demi untuk mengembangkan perniagaan fesyennya sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa. Jika dibandingkan dengan produk mereka, tidak kurang juga hebatnya kerana mereka memasarkan trend-trend fesyen terkini yang menjadi kegilaan anak-anak muda tetapi lebih kepada high class fashion. Selain itu mereka juga mensasarkan golongan elit yang mana mereka menjual pakain-pakaian eksklusif yang sesuai digayakan di majlis-majlis keraian yang mewah. Setakat ini butik mereka mendapat sambutan yang menggalakkan dan banyak ulasan positif yang mereka terima dari pelanggan-pelanggan yang pernah membeli pakaian dari butik mereka.

“Selain dari fesyen untuk high class customer, apa kata kalau kita pelbagaikan fesyen kita yang mampu dibeli oleh semua golongan. Walaupun pakaian tu murah atau tak lah elegan sangat, tapi still cantik and fashionable kalau pandai digayakan. Yup, I think that’s our new idea.” Tiba-tiba sahaja Ellyssa mendapat satu cadangan yang dirasakannya sangat baik untuk perniagaan mereka di masa hadapan. Senyuman lebar terukir di bibirnya yang comel. Matanya bulat bersinar memandang Sarina. Memang begitulah reaksinya apabila dia mendapat sesuatu idea yang disukai.

“Aku setuju 200%. Memang brilliant lah idea kau Ell tak macam otak aku yang dah beku sejak lepas sekolah ni,” sokong Sarina dengan senyuman lebar.

“Hehehe.....kita kan business person. Kena lah selalu berfikir out of the box dan jauh ke hadapan. Macam Wawasan 2020 tu lah,” jawab Ellyssa. Terbit juga rasa bangga dalam dirinya apabila dipuji begitu.

“Okey, nanti aku akan buat sketch dan drawing untuk fesyen terbaru kita. Dah siap nanti kita bincang semua aspek especially materialdan production.” Sarina yang cukup faham tugasnya cekap sahaja mengaturkan perancangan mereka untuk produk terbaru tersebut. Memang itulah kekuatan butik mereka. Selalunya Ellyssa akan menyumbangkan idea dan pandangannya mengenai fesyen dan selepas itu Sarina pula akan mengambil alih tugasan dengan membuat lakaran fesyen. Seterusnya mereka berdua akan bekerja bersama untuk menentukan jenis fabrik yang akan digunakan.

“Tu sebab aku sayang pada engkau tau beb. Engkau tahu je apa nak buat. Tak payah aku cakap pun,” puji Ellyssa.

“See the leg lah….,” jawab Sarina dalam nada gurauan. Baginya apa yang dilakukan adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

“Aahh….leg yang penuh cop 20 sen kan…,” jawab Ellyssa kemudian dia ketawa kuat apabila Sarina bulat mata memandangnya.

“Tolong sikit ye. Kaki aku gebu jek,” jawab Sarina, tersengeh-sengeh dan sempat lagi menyelak kain baju kurungnya. Tetapi sekejap sahaja dia dapat melawan usikan Ellyssa kerana dia terus keluar dari bilik apabila dari cermin pejabat dia dapat melihat ada dua orang pelanggan baru masuk ke butik mereka. Sebagai sebuah perniagaan yang bukan sahaja mementingkan kualiti produk keluaran mereka, tetapi mereka berdua juga akan cuba dengan sebaiknya memberikan layanan dan perkhidmatan yang terbaik buat semua pelanggan mereka.

Ellyssa tiba-tiba pula teringat bahawa dia ada temujanji dengan seorang kawan yang telah lama menyepi diri. Apabila menerima panggilan telefon daripada Fakhrul malam tadi, dia rasa macam bermimpi sahaja lebih-lebih lagi dia memang sudah tidur lena pada waktu itu.

“Beb, aku keluar kejap. Nak jumpa kawan. Dalam masa satu jam macam tu aku balik.” Sempat Ellyssa berpesan pada Sarina yang berada di kaunter bayaran sebelum dia keluar.

“Okey...hati-hati,” jawab Sarina.

“Eh Ell…nak pergi naik apa tu? Nak aku hantarkan ke?” Setelah teringat sesuatu Sarina menjerit ke arah Ell yang sudah mula melangkah.

“Aku dah call cab tadi. Dah sampai pun kat bawah. See you…,” jawab Ellyssa kemudian melambai pendek ke arah Sarina. Skirt ketat berwarna hitam paras lutut jelas menampakkan tubuh badannya yang langsing.

Sarina terus menyambung kerjanya. Ira yang merupakan pembantu butik mereka sejak sebulan yang lepas sedang melayan pelanggan yang ingin bertanya lebih lanjut mengenai pakaian di butik mereka. Setakat ini mereka berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Ira. Sarina teringat perbualan mereka semasa menemuduga Ira sebulan yang lepas.

“Kenapa Cik Manira berminat nak bekerja di butik ni,” tanya Ellyssa. Sarina juga turut berada di sebelahnya.

Ira hadir pada hari ini disebabkan butik mereka yang telah beroperasi selama dua bulan memerlukan pembantu akibat bilangan pelanggan yang semakin bertambah. Selain itu dengan adanya pembantu di butik, Ellyssa boleh menumpukan perhatiannya kepada bidang pemasaran dan promosi. Apabila dia keluar, sekurang-kurangnya Sarina tidak rasa tertekan untuk menguruskan semua urusan butik seorang diri.

“Saya memang minat dalam bidang fesyen. Saya adalah pelajar lepasan diploma senireka fesyen dari UITM Shah Alam. Jadi saya ingin mencari pekerjaan yang sangat menepati kehendak jiwa saya,” jawab Manira dengan perasaan gemuruh kerana ini adalah temuduga pertamanya sejak tamat belajar.

“Manira tak kisah ke dengan gaji permulaan yang kami tawarkan? Tak lah banyak untuk permulaan. Kalau Manira dapat kerja ni, kami kena letakkan Manira dalam pengawasan dulu selama 3 bulan. Kalau ok, kami akan pertimbangkan semula gaji Manira,” jelas Ellyssa menegenai terma dan syarat yang ditetapkan.

“Saya tak kisah cik Ellyssa. Yang penting saya dapat belajar berkenaan fesyen dan mempraktikkan apa yang saya dah belajar selama ini,” jawab Manira lagi. Sesungguhnya dia sangat perlukan pekerjaan ini untuk menampung kehidupannya di Kuala Lumpur. Selepas belajar hampir tiga tahun, dia ingin menambahkan ilmunya dalam bidang fesyen supaya apa yang dipelajarinya dapat dipraktikkan. Sekiranya dia pulang ke kampung pasti pilihan yang ada untuknya adalah sangat terhad memandangkan kampungnya adalah jauh di pendalaman.

Ellyssa menoleh ke arah Sarina di sebelahnya. Sarina mengangguk memberikan lampu hijau. Memang sebelum mereka memanggil Manira untuk datang temuduga mereka telah membuat tapisan terlebih dahulu pada semua permohonan yang diterima. Ini adalah untuk mengelakkan mereka membuang masa menemuduga calon-calon yang memang tidak sesuai langsung dengan kehendak mereka. Selain daripada mempunyai latarbelakang pendidikan yang bersesuaian dalam bidang fesyen, paras rupa dan keterampilan juga amat penting bagi mereka. Walau tidak secantik peragawati, cukuplah jika calon tersebut seorang yang kemas, sedap mata memandang dan penyabar.

“Kalau kami terima Manira bekerja, bila agaknya Manira boleh mula? Sebab kami nak pakai pekerja dalam masa yang terdekat,” tanya Sarina pula.

“Bila-bila sahaja yang cik mahu saya boleh mula sebab saya memang tak ada kerja sekarang ni,” jawab Manira.

“Baiklah. Kalau macam tu Manira mula kerja hari Isnin depan,” maklum Ellyssa.

“Maknanya saya dapat la kerja ni ya Cik Ellyssa?” tanya Manira inginkan kepastian.

Ellyssa dan Sarina mengangguk dengan senyuman. “Tahniah” ujar mereka.

Senyuman semakin lebar di bibir Manira. Dia benar-benar tidak sangka rezeki berpihak kepadanya kali ini. Demi sebuah pengalaman, dia tidak kisah dengan gaji pertama yang bakal diterimanya. Apa yang penting, dia dapat merealisasikan impiannya untuk berkecimpung dalam perniagaan fesyen pakaian yang memang dipelajarinya di university dulu.

“Terima kasih banyak-banyak cik. Saya janji akan bekerja dengan baik dan tak akan hampakan cik,” janji Manira sebelum dia bangun bersalaman dengan Ellyssa dan Sarina.

Sweet je kan Manira tu. Anak kampung….sopan je. Pakaian pun baju kurung je,” puji Sarina.

“Anak kampung je ke yang bersopan? Habis tu anak orang bandar macam aku ni macam mana pulak?” Tanya Ellyssa sengaja mengusik.

“Eh! Terasa pulak?” jawab Sarina kemudian ketawa mengejek Ellyssa.

“Ye la…kau punya ayat tu bias tau,” balas Ellyssa.

“Habis tu macammana aku nak cakap kau bersopan kalau baju kurung pun kau tak pernah pakai? Asyik-asyik seluar ketat, asyik-asyik skirt pendek,” sindir Sarina lagi. Akibatnya…satu cubitan halus yang memeritkan singgah di lengannya.

“Adooiiii Ell. Bisa sungguh la. Nasib baik kau boss, kalau tak aku dah luku kepala kau,” jerit Sarina dan disambut dengan ketawa besar dari Ellyssa.

“Padan muka…suka hati je kau perli aku kan. Nasib baiklah aku dah declare kau ni kawan aku dunia akhirat. Kalau tak notis berhenti kerja right now tau,” balas Ellyssa lagi.

Sarina ketawa mengekeh lagi. Terus dia mengemas segala kertas-kertas yang berselerak di atas meja. Tugas mereka untuk mencari pembantu kedai Ell Collection sudah selesai. Buat masa ini bagi mereka, mencukupi sahaja dengan seorang pembantu kedai memandangkan butik mereka baru sahaja beroperasi. Sebagai peniaga yang baru bermula, mereka tidak boleh mengambil risiko yang besar dengan membelanjakan begitu banyak wang untuk perkara-perkara yang kurang perlu buat perniagaan mereka.

Wang tunai yang ada perlu digunakan dengan sebaiknya kerana adalah biasa di dalam sesebuah perniagaan baru, pasti mereka memerlukan sumber kewangan yang tersedia di dalam tempoh tiga bulan pertama untuk membayar gaji pekerja, sewa kedai dan pembelian stok-stok baru sebelum keuntungan mula masuk ke dalam akaun mereka. Bagi menjamin kewangan perniagaan mereka adalah terkawal, Ellyssa juga telah melantik juruaudit yang akan memantau wang keluar masuk syarikat.

Ellyssa juga beruntung kerana mempunyai ayah yang juga berpengalaman di dalam bidang perniagaan. Oleh itu banyak juga ilmu yang dikongsi oleh ayahnya berkenaan perniagaan apabila Ellyssa menyuarakan keinginannya untuk membuka butik ini. Malah modal membuka perniagaan ini juga diberi oleh Datuk Aziz.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.