Home Novel Cinta Kan Aku Dah Kata!!!
Kan Aku Dah Kata!!!
Aini Marisha Marisha
29/12/2013 16:20:01
137,469
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13
Bab 13

Azrul sudah letih turun naik banyak pejabat untuk mencari kerja yang sesuai dengan ijazah yang dimiliki. Tetapi dia hampa kerana satupun tidak sangkut. Pelbagai alasan yang mereka beri untuk menolak dirinya. Yang paling menyakitkan hatinya adalah apabila alasan yang mereka berikan adalah mahu mencari calon yang berpengalaman dengan bidang kerja yang ditawarkan.

Kalau macam tu sampai bila dia nak dapat pengalaman sedangkan dia langsung tidak diberikan peluang untuk membuktikan kebolehannya? Apa diorang ingat pengalaman tu boleh dapat dalam dua tiga hari je ke? Cubalah dulu..., baru tahu dia boleh buat kerja atau tidak, bebel Azrul sendiri.

Lama Azrul termenung sambil menghabiskan teh ais yang dipesan di kedai mamak. Jam sudah menunjukkan pukul 12.30 tengahari. Perutnya semakin berkeroncong tetapi dia terpaksa abaikan kerana duit yang ada di dalam dompetnya hanya cukup-cukup tambang untuk dia balik ke kampung semula. Hasratnya untuk hadir temuduga terbuka pada pukul 2.00 petang terpaksa dibatalkan. Dia rasa terlalu penat pada hari ini.

Kertas suratkhabar yang dibentang di atas meja sudah habis lunyai dengan contengan bulatan di ruangan iklan mencari pekerjaan. Jika diikutkan perasaan dan masalah kewangan yang terdesak, mahu sahaja rasanya dia menerima apa sahaja kerja yang boleh termasuk tukang cuci pinggan di kedai-kedai makan. Rasa ringan sahaja kakinya hendak melangkah ke kaunter untuk bertanya samada mereka memerlukan pekerja di restoran itu.

Azrul temenung seketika kemudian cepat-cepat pula dia menghabiskan air yang masih tinggal suku di dalam gelas. Dia telah membuat keputusan. Untuk sementara waktu ini dia akan mengenepikan dulu ijazah yang dimiliki demi mendapatkan wang untuk menyara kehidupannya untuk hari-hari akan datang. Itu yang paling penting buat masa sekarang. Emak dan Melati lebih memerlukan wang dan dia bertanggungjawab untuk menyediakannya buat mereka kerana dia anak sulung yang telah berikrar untuk menggalas tanggungjawab ayah selepas ayah meninggal dunia tiga tahun yang lepas. Tahun ini Melati akan menduduki peperiksaan SPM. Oleh itu banyak wang yang perlu disediakan untuk bayaran yuran dan juga membeli buku-buku rujukan yang baik supaya adiknya itu juga akan berjaya menyambungkan pelajaran ke universiti sepertinya. Biarlah mereka miskin harta tetapi kaya dengan ilmu pengetahuan dan budi pekerti yang baik.

Disebabkan pendirian inilah, emak bertegas mahu Azrul menghabiskan pengajiannya selepas ayah Azrul meninggal dunia akibat sakit jantung. Pada masa itu Azrul baru di tahun pertama pengajiannya dan bernasib baik kerana dia mendapat tajaan biasiswa dari pihak MARA. Oleh itu dalam kepayahan emak menggalas tanggungjawab untuk membesarkan anak-anak, Azrul meneruskan juga pengajiannya dengan berjimat cermat menggunakan wang biasiswa yang diperolehi. Akhirnya segala pengorbanan mereka dibalas oleh ALLAH (s.w.t) dengan kejayaan Azrul mengenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Ekonomi Kelas Kedua Atas. Hanya ALLAH (s.w.t) yang mengerti perasaan Azrul tatkala melihat air mata kegembiraan yang mengalir membasahi pipi emak di hari konvokesyennya pada bulan lepas.

“Alhamdulillah....mak rasa sangat-sangat bersyukur dengan kejayaan Azrul. Ini adalah hadiah yang paling bermakna buat mak dan arwah ayah,” ujar Rahimah dengan deraian air mata yang sukar ditahan. Pelukan Azrul sangat erat sebagai menyalurkan rasa terima kasih tidak terhingga di atas semua pengorbanan emaknya selama ini.

“Lepas ni mak boleh rehat. Abang akan ambil alih tugas jaga mak dan adik. Abang akan cari kerja yang baik supaya kita semua dapat hidup lebih senang dari sekarang.”

Kata-kata Azrul membuatkan Rahimah tambah sebak. Sesungguhnya Azrul seorang anak yang baik dan bertanggungjawab. Sejuk perutnya melahirkan seorang anak yang sebegini. Dia adalah contoh yang sebaiknya bagi Melati yang akan menduduki SPM pada hujung tahun ini. Raut wajah Azrul yang saling tidak tumpah seperti arwah suaminya direnung penuh kasih sayang. Yang paling dibanggakan adalah, Azrul juga mewarisi setiap kebaikan dan peribadi suaminya. Mungkin kerana faktor jantina, Azrul banyak menghabiskan masa dan tumpuannya dengan melihat setiap tindak tanduk arwah ayahnya sehingga akhirnya Azrul meletakkan ayahnya sebagai idola. Sikap penyayang, penyabar, bertanggungjawab dan mementingkan keluarga membuatkan Azrul tidak mudah lupa diri sehingga mengabaikan pelajarannya.

Azrul sudah penat mengelamun. Dari pukul 11.00 tengahari sampai sekarang tidak ada satu sen untung pun diperolehinya dengan hanya bermenung. Dapat dosa adalah kerana sesungguhnya ALLAH (s.w.t) tidak suka orang-orang yang suka membuang masa dengan sia-sia. Bergegas Azrul bangun apabila dia teringat bahawa dia belum lagi solat Zuhur. Niat di hati hendak singgah di mana-mana masjid atau surau yang dijumpainya dalam perjalanan balik ke kampung nanti.

Azrul berdiri sebentar di hadapan restoran mamak itu. Cuaca pada waktu tengahari ini sangat panas lebih-lebih lagi sudah agak lama hujan tidak turun untuk membasahkan bumi. Azrul menguap beberapa kali. Badannya sudah penat dan perut masih lapar. Cermin mata berbingkai besar berwarna hitam yang meleret ke bawah di tolaknya ke atas semula di tulang hidungnya. Rambut pendek yang berminyak rapi diraupnya sekali lalu. Baju kemeja lengan panjang berwarna biru muda dan seluar slack hitam yang dipakai memang membuatkan dia kelihatan seperti orang yang akan masuk ke pejabat semula selepas waktu rehat tengahari.

Baru sahaja dia hendak melangkah tiba-tiba matanya terpandangkan seorang lelaki tua sedang teragak-agak hendak melintas jalan. Apabila melihatkan tongkat putih di tangan lelaki itu, barulah Azrul sedar bahawa lelaki itu cacat penglihatan. Pada waktu tengahari begini memang jalan sangat sesak dengan kenderaan berpusu-pusu di jalanraya. Kebanyakan orang sibuk dengan mengejar urusan masing-masing dalam masa rehat yang amat terhad ini. Kesian pula Azrul melihatkan pakcik tersebut yang hanya berdiri di tepi jalan, mungkin menunggu sekiranya ada sesiapa yang boleh membantunya untuk menyeberang jalan tersebut. Hampir lima minit memerhati, Azrul berjalan pantas menuju ke arah lelaki tua tersebut. Dipegangnya lengan lelaki kurus itu dan terus memimpinnya untuk melintas jalan.

“Terima kasih anak...... semoga ALLAH (s.w.t) membalas budi baik anak ini dengan sebesar-besar rahmatNya,” ucap lelaki itu berkali-kali.

Azrul hanya tersenyum sambil mengangguk. Tetapi dalam hati dia mengaminkan doa lelaki itu. Apa salahnya kan...memang kata-kata yang baik itu adalah satu doa. Oleh itu adalah baik jika dia mendoakan semoga doa lelaki tersebut dimakbulkan oleh ALLAH.

Previous: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aini Marisha Marisha