Home Novel Cinta Sapu Tangan Biru
Sapu Tangan Biru
3/6/2014 14:42:53
56,298
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

Jasmin yang baru keluar dari bilik mandi menyanyi riang. Selesai mengeringkan badannya, dia mengeluarkan baju dari dalam almari. Gaun putih yang dihadiahkan oleh Iskandar pada hari jadinya yang lalu menjadi pilihan. Jasmin menayang-nayang gaun itu beberapa kali. Perasaannya tiba-tiba menjengkel. Matanya membesar melihat kesan kotoran yang masih melekat pada bajunya.

“Alamak!” keluhnya kuat. Serta-merta gaun itu dicampakkannya ke atas katil dengan perasaan geram.

“Bibik!” pekiknya.“Bibik!” panggilnya lagi dengan darah yang mula menggelegak. Apabila bibik tidak kunjung tiba, dia pula menuruni tangga sambil menghentak-hentakkan kakinya.

“Kenapa ni, Jess?” tegur papanya yang secara kebetulan baru balik dari pejabat. Matanya merenung wajah Jasmin yang tercebir-cebir menahan tangis dengan wajah masam.

“Bibik basuh gaun Jess tak bersih,” adunya terus menangis.

“Jess nak pakai baju tu, nak sambut Is balik dari US,” rengek Jasmin pula. Mimik wajahnya juga dipelbagaikan. Sekejap memuncung. Sekejap mencebir.

“Apa masalahnya? Jess basuhlah sekali lagi,” kata Datuk Wahab. Perangai Jasmin yang semakin hari semakin manja dan mengada-ngada merimaskannya.

“Jess nak pakai baju tu petang ni, papa. Takkan nak basuh sekali lagi?” tanyanya meradang. Wajah papanya direnung dengan perasaan tak puas hati.“Mana sempat nak kering,” rungutnya mengharapkan perhatian.

“Kalau nak cepat kering, bakar aje...” perli Datuk Wahab.

“Papa ni, mengajar entah apa-apa!” marah Jasmin dengan perasaan sakit hati.

“Jess yang nak pakai sangat baju tu, kan? Apa kisah kering atau basahnya,” balas Datuk Wahab.“Kalau tak nak basuh sendiri, pakai baju lain,” suruhnya pula apabila melihat Jasmin memasamkan mukanya. Wajah yang cantik pun jadi hodoh jika mencuka begitu.

“Dalam bilik tidur Jess tu, kain baju ada dua, tiga almari,” sindir Datuk Wahab lagi. Langkah kakinya terhenti di pertengahan tangga.

“Tak gunalah ada orang gaji kalau kain baju Jess kena basuh sendiri!” tingkah Jasmin kasar.

Datuk Wahab mengelengkan kepalanya sekali lagi. Jika diikutkan hatinya mahu sahaja dia merotan anak gadis itu kerana sikap kurang ajarnya.

“Orang gaji tu bukan untuk cuci kain baju, Jess! Papa suruh bibik bekerja di rumah ini untuk bantu mama,” beritahu Datuk Wahab bersahaja. “Papa tak mahu isteri papa bersusah payah melakukan kerja rumah,” katanya lagi. Dia terus mendaki anak tangga untuk ke biliknya. Entah mengapa kebelakangan ini telatah anak gadis itu kerap menaikkan darahnya.

“Habis tu, anak papa ni boleh pula bersusah-susah?” sanggah Jasmin.

Datuk Wahab tidak menjawab. Bimbang jawapan yang diberikan menyebabkan gadis itu pitam lalu pengsan.

“Papa!” laung Jasmin. Dia mengekori papanya pula. “Papa,” rengek Jasmin. Walau kata-kata papanya tadi mencalarkan hatinya, dia cepat melupakan. Tilam empuk di bilik papanya menjadi mangsa hempasan pinggulnya.

“Papa...” panggilnya lagi.

Datuk Wahab buat tak dengar. Kehadiran Jasmin di dalam bilik tidurnya menyebabkan dia berasa tidak selesa. “Papa...” kata Jasmin sambil menggoyang-goyangkan lengan papanya.

“Nak apa lagi, Jess?” tanya Datuk Wahab cuba berlembut. Matanya merenungi Jasmin. Gadis itu yang hanya berseluar pendek dan bersinglet nipis.

“Cuba berpakaian senonoh sikit, Jess...” nasihatnya lalu memandang ke arah lain. Dia pula berasa malu melihat anak gadis berpakaian menjolok mata.

Jasmin tergelak. “Jess seksi ke? Takkan papa tergoda pulak?” tanyanya tanpa segan-silu.

Datuk Wahab mengecilkan mata sewaktu merenung anak gadis itu yang tersengih-sengih. Memang kurang sopan!

“Hmm! Apa cerita tentang Is tadi?” Malas dia hendak melayani kerenah anak gadis itu lama-lama.

Jasmin tersenyum-senyum. “Is nak balik hari ni,” beritahu Jasmin dengan mata bersinar. Tidak sabar rasa hatinya untuk bertemu dengan kekasih hati.

“Is nak balik? So...apa kena-mengenanya dengan papa?” tanya Datuk Wahab sambil menanggalkan baju kemejanya lalu diserahkannya kepada Jasmin.

“Papa, Jess nak pergi bercuti dengan Is boleh?” tanya Jasmin. Dia sudah bercadang hendak ke Pulau Redang bersama Iskandar. Janganlah hendaknya nenek pemuda itu membuat hal dan mengacau daun di dalam perancangan mereka untuk bercuti.

“Kalau papa kata tak boleh pun... Jess tetap nak pergi juga, kan?” soal Datuk Wahab.“Bukannya Jess nak dengar nasihat papa pun,” sambungnya lagi. Dia beredar ke bilik air dengan sehelai tuala di tangan. Jasmin itu tidak perlu dilayan. Tambahan pula, dia ada urusan lain petang itu. Zarina sudah berkali menghantar sms.

“Alah, papa ni! Suka nak sakitkan hati Jess! Bencilah!” rengus Jasmin. Dia meninggalkan bilik itu dan menuju ke biliknya kembali. Gaun tadi diambilnya semula lantas dihumban ke dalam bakul sampah. Wajah pemuda yang menumpahkan air kopi panas ke bajunya terbayang di mata. Dia mengetap bibir kegeraman.‘Kalau aku jumpa kau lagi, siaplah!’ bisik hatinya.

Iskandar terus memerhaticonveyer yang sentiasa bergerak di hadapannya itu.Conveyeryang membawa bagasi penumpang-penumpang kapal terbang yang dinaikinya tadi. Bibirnya mengukir senyuman apabila melihat bagasinya sudah semakin hampir di tempat dia berdiri.

“Okey! Sini... sini,” katanya lalu menyambar pemegang bagasi dan menurunkannya dari atasconveyeryang bergerak perlahan. Tiga buah begnya yang agak besar. Iskandar mengambil troli yang terletak tidak jauh dari situ lalu memindahkan bagasinya ke atas troli pula. Setelah itu, dia mula melangkah dengan perlahan meninggalkan balai ketibaan itu.

“Is! Hei!”

Iskandar segera menoleh. Langkah kakinya terhenti apabila melihat gadis yang sedang berlari ke arahnya.

“Jess!” panggilnya pula sambil melambaikan tangan dengan gembira. Troli cepat-cepat ditolak ke arah Jasmin yang sedang merapat kepadanya.

“Lama dah Jess tunggu, tau...” Rengek Jasmin hampir menangis. Mereka berjalan beriringan menuju ke pintu keluar dari situ.

“Maaf, sayang! Bukan Is yang jadipilot,” gurau Iskandar. Matanya meliar seolah-olah sedang mencari seseorang. Namun, wajah orang yang dicari tidak kelihatan pula.

“Is, lepas ni kita terus pergi makan. Jess dah laparlah,” ajak Jasmin manja. Sebelah tangannya memaut lengan Iskandar.“Okey, sayang! Is pun lapar jugak ni,” setuju Iskandar.

“Jess ada nampak nenek Is tadi?” tanya Iskandar.

Jasmin menggelengkan kepala.‘Nenek? Buat apa orang tua tu nak datang ke sini? Buat kacau daun saja!’ rungut hatinya. Dia memang tidak suka kepada nenek pemuda itu. Namun, disebabkan rasa sayangnya kepada Iskandar, dia terpaksa berpura-pura menyayangi orang tua itu.

“Nenek janji nak jemput Is ke?” soal Jasmin lembut. Kalau ada nenek Iskandar bersama mereka, dia kena menjaga tingkah lakunya. Tidak boleh mengada-ngada atau bermanja-manja. Apatah lagi hendak menyentuh-nyentuh anak muda itu. Jasmin merenung Iskandar yang kelihatan kacak bergaya.

“Mestilah! Is, kan cucu kesayangan dia,” jawab Iskandar bersahaja.

“Nenek sakit agaknya,” teka Jasmin. Dalam hatinya dia terus berharap supaya nenek kekasih hatinya itu tidak muncul di situ. Sempatlah dia hendak berlama-lama dengan buah hatinya itu.

“Tak apa! Biar Is telefon dia,” kata Iskandar lalu mengambil telefon bimbitnya. Bimbang pula kalau terjadi apa-apa kepada neneknya dalam perjalanan ke situ.

“Tak payahlah telefon! Kan Jess ada ni. Jess boleh hantar Is sampai ke dalam rumah,” pujuk Jasmin cuba menghalang hasrat hati Iskandar.

Iskandar tidak mengendahkan larangannya itu dan terus menekan nombor-nombor di telefon bimbitnya.

“Iskandar!” panggil satu suara. Belum sempat jarinya menekan punat-punat di telefon bimbit sehingga habis, neneknya muncul di hadapan mereka.

“Nenek!” pekik Iskandar terus menerpa dan memeluk neneknya. Bibirnya singgah di pipi tua yang sudah mula berkedut itu beberapa kali.

Mahu tak mahu, Jasmin terpaksa menghulurkan tangannya kepada nenek Iskandar. “Apa khabar, nek?” tanyanya sambil mencium tangan wanita itu.

“Baik,” jawab nenek sepatah. Matanya merenung tajam kepada Jasmin yang berseluar jean ketat dan berblaus putih kain jarang. Terbayang colinya yang bertali halus. Berbulu orang tua itu melihat pakaian Jasmin yang menjolok mata.

“Kenapa nenek pandang Jess begitu?” soal Iskandar manja sambil memeluk bahu gadis itu. “Cantik! Mestilah nenek tengok kekasih cucu nenek yang cantik lawa ni!,” sinis kata-kata nenek.

Iskandar perasan wajah Jasmin yang berubah warna.

“Alah, nek! Dah Jess memang gadis cantik, pakai baju yang macam mana pun kecantikannya tetap terserlah,” balas Iskandar cuba menyelamatkan keadaaan yang mulai keruh. Jaket kulit yang berada ditangannya sejak tadi, disarung ke tubuh Jasmin dengan selamba.

“Terima kasih, sayang,” kata Jasmin sambil tersenyum manja. Dia membetulkan jaket yang sudah tersalut ke tubuhnya. Nenek senyum menyembunyikan perasaan meluat.

“Mama tak datang ke, nenek?” tanya Iskandar sambil berjalan perlahan. Jasmin yang berjalan di sisi, sama-sama menolak troli yang mengisi bagasinya.

“Mama tunggu di rumah! Nenek datang dengan Pak Din saja,” jawab nenek sambil menarik tangan Iskandar supaya cucunya itu berjalan bersama dengannya.

“Jomlah cepat, Is! Kat rumah kita ada majlis kesyukuran,” beritahu nenek sambil menjeling ke arah Jasmin. Wajah gadis itu berubah kelat.

“Kenduri kesyukuran?” tanya Iskandar tidak percaya. Hatinya mula dibalut resah. Dia pasti saat itu, hati Jasmin sedang marah. Tambahan pula beberapa cubitan kecil daripada jejari gadis itu sudah singgah di lengannya. Tadi, mereka sudah berjanji untuk makan malam bersama-sama.

“Ya, Is... kenduri kesyukuran! Takkan mama tak beritahu pada Is lagi. Nenek dah pesan tau,” terang nenek lembut.

Iskandar menggaru-garu kepala dengan tangan kirinya. Tangan kanannya masih memegang troli.

“Buat kenduri kesyukuran untuk apa, nek?” soal Iskandar. Mustahillah nenek membuat kenduri kesyukuran semata-mata menyambut kepulangannya yang pergi bercuti.

“Sengaja nenek buatlah. Untuk menyambut kepulangan cucu kesayangan nenek ni,” jawab Nenek Kamariah.

Iskandar yang berasa serba salah mematikan langkahnya. Pandangannya tumpah ke wajah Jasmin yang nampak mendung dan beralih pula ke wajah neneknya. Dia mengeluh sejenak. Keluhannya tidak diendahkan oleh wanita-wanita yang berada di sisinya.

“Kenapa tiba-tiba tercegat pulak ni, Is? Cepatlah jalan! Di sana kereta kita,” desak nenek sambil menudingkan jarinya ke arah kereta.

“Nenek, boleh tak Is naik kereta Jess! Kasihan dia, nek. Penat-penat dia datang jemput Is... tiba-tiba Is naik kereta dengan nenek pulak,” minta Iskandar takut-takut.“Sia-sia aje Jess datang ke sini, kalau dia balik bersendirian,” sambung Iskandar lagi.

“Tak boleh,” jawab nenek tegas. “Penat Jess aje yang kamu fikirkan? Penat nenek ni macam mana pulak?” marah nenek dengan tiba-tiba. Air mukanya tiba-tiba berubah keruh.“Mentang-mentanglah nenek dah tua! Nak diketepikan saja, macam barang buruk...”

“Alah, nek,” rayu Iskandar pula. Dia memberi isyarat mata supaya Jasmin membantu dirinya yang sedang tersepit. Namun, Jasmin pula buat acuh tak acuh dan membuat muka. Memberi isyarat yang dia sedang marah dan kecewa. Terlebih hampa lagi jika pemuda itu menurut kata-kata neneknya.

“Cakaplah,” bisik Jasmin. Mendesak Iskandar supaya berterus terang dengan neneknya.

“Sabarlah,” bisik Iskandar pula.

“Cepatlah cakap,” desak Jasmin sambil mengancing gigi gerahamnya sewaktu berbisik. Mereka bertelagah sesama sendiri sambil cuit-mencuit. Nenek hanya memerhati dengan ekor matanya.

“Apa masalahnya kau orang ni?” tanya nenek. Tangannya sempat memberi isyarat kepada Pak Din supaya memasukkan bagasi yang dibawa oleh Iskandar ke dalamboot kereta.

“Jess bukannya tak boleh pandu kereta sendiri! Dia ikutlah kereta kita dan hantar Is sampai ke rumah! Itupun kalau dia mahu! Kalau dia rasa keberatan, dia baliklah terus ke rumah dia atau pergi ke mana-mana yang dia suka,” sambung nenek dengan panjang lebar.

‘Banyak cantik! Aku nak jadi kuli,escort kereta kau pulak!’ gerutu Jasmin dalam hati. Bibirnya digigit kecil. Ada kesempatan sahaja dia melemparkan jelingan maut buat nenek kekasihnya itu.

“Tak apalah, nek! Is... biar Jess balik ke rumah aja,” beritahu Jasmin tiba-tiba. Suaranya serak menyimpan sebak. Tubir matanya juga hampir merebak.

“Bye!” Mendadak ucapan itu terlontar daripada bibirnya. Kakinya terus diatur dan melangkah meninggalkan Iskandar. Nenek Iskandar senyum puas hati.

“Jess!” panggil Iskandar kuat. Dia cuba mengejar Jasmin yang pergi tidak menoleh.

“Iskandar!” panggil neneknya pula. Langkah kaki Iskandar terhenti serta-merta. Perasaannya terhimpit. Yang di sana, kekasih. Yang di sini, nenek. Aduh! Iskandar mengusap-usap kepalanya cuba meredakan ketegangan perasaan.

“Cepat masuk dalam kereta!” arah neneknya. Perlakuan cucu kesayangan dan kekasihnya nyaris membuat dia hilang sabar. “Lain kali jumpa dengan Jess! Macamlah tak ada hari esok lagi!” leter nenek.

“Tak baiklah buat Jasmin macam tu nenek! Yang nenek tak suka sangat pada dia tu, kenapa?” tanya Iskandar sambil menghenyakkan punggungnya di tempat duduk belakang.

“Nenek memang tak suka pada dia! Jangan harap nenek bersetuju kalau Is nak kahwin dengan dia!” tegas nenek lagi. Sebab-musabab dia tidak menyukai gadis itu tidak perlulah diperjelaskan kepada cucunya itu.“Isteri Is, nenek yang akan cari calonnya!”

“Nenek!” Iskandar cuba menyanggah. Renungan tajam neneknya membuatkan dia kehilangan kata-kata.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.