Home Novel Cinta Halyn 2
Halyn 2
Ann Hann
21/9/2019 10:24:11
91,430
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

Musim luruh kembali lagi, cinta empat musimku hampir lengkap. Mungkin tidak sempurna. Jelas kerana, aku manusia. Kitarannya penuh cerita luka dan indah yang akan tetap kukenang sepanjang hayat. Bersahaja seperti udara dingin yang mendakapku mesra 

London, masih begitu, pemandangannya masih sama, dinginnya juga sama, orang-orangnya sentiasa sibuk menjalani rutin harian, mencari rezeki di setiap pelusuk kota. Aduan tentang bil air yang mahal masih dibualkan. Satu kolum pandangan penghuni London dalam akhbar Britain Mail yang kubaca sedang memperjuangkan kenaikan gaji dan meminta perdana menteri mengambil perhatian tentang masalah itu.

Aku menutup surat khabar selepas selesai membaca berita-berita penting. Dua orang gadis di belakangku kedengaran rancak berbual. Suara mereka agak kuat sehingga aku boleh mendengarnya dengan jelas.

“Itulah kereta terbaik dan tak banyak di muka bumi ni, tengok nombornya K 712LN, itu maksudnya plat nombor yang ditempah khas.”

Aku menoleh sedikit. Adakah dua gadis berambut merah itu bercakap pasal kereta yang dihadiahkan Kaizil kepadaku yang sedang tersadai di luar kafe sekarang? Aku terus memasang telinga dari meja sebelah dengan perasaan aneh mendengar perbualan mereka yang buat aku ketawa dan hampir tersedak sewaktu meneguk kopi.

“Aku pernah baca dalam artikel kereta terbaik, kereta Range Rover tu guna sistem track yang sangat canggih. Walaupun kereta tu dicuri, pencurinya mungkin senang dijejak walau di manapun.”

Erk! Kaizil belikan aku kereta buatan Marvel ke?

“Dan kalis peluru.”

Kalis peluru? Aku boleh join pasukan Avengers! Aku menggeleng kecil. Sudah tentu sesetengah kereta dicipta dengan dilengkapi keselamatan macam kereta-kereta mewah yang lain. Adakah disebabkan kekasihnya selalu ditimpa masalah dan hampir diculik empat bulan yang lalu maka Kaizil agak melampau belikan aku sebuah kereta yang sekurang-kurangnya boleh diharapkan Kaizil jika aku terjumpa Patrick lagi? Mungkin aku patut baca nota panduan, siapa tahu ia dilengkapi enjin yang boleh terbang juga. Aku ketawa sendiri, tersengih tidak percaya.

Dua gadis itu masih leka bercerita. “Kau fikir apa yang aku fikir ke?” tanya salah seorang.

“Apa dia?” tanya kawannya semula.

“Aku rasa kereta tu kepunyaan Halyn, kekasih Kaizil Harlan, pemain bola kelab United, nombor platnya nampak macam nama gadis kafe tu…”

“Cepat habiskan minuman kau, aku nak ambil gambar dengan kereta tu,” seorang dari mereka sudah berdiri.

Cepat-cepat aku melindungi muka dengan surat khabar. Bimbang mereka mengenaliku. Menyeramkan sungguh bunyi kereta kalis peluru. Kaizil memang gila agaknya, dia ingat aku anak puteri kayangan ke sampai nak belikan kereta begitu! Jangan pula nanti, ada tabloid yang keluarkan artikel ‘Halyn Berlagak Dengan Kereta Kalis Peluru’ 

Dari dalam kafe, aku menunggu dengan sabar dua gadis tadi beredar supaya aku boleh cepat-cepat masuk dalam kereta. Semalam, Kaizil menjemputku di lapangan terbang dengan kereta ini. Hadiah sempena meraikan percintaan kami katanya. Aku baru memandunya hari ini untuk ke tempat kerja. Setelah bercuti panjang pulang bercuti ke tanah kelahiranku, berjumpa Hensen dan Darren. Selepas puas memujuk Hensen yang aku mahu tinggal di London aku pun dibenarkan pulang dengan syarat aku harus jaga diri. Pesanan dua abangku kelihatan macam fakta mandatori. ‘Pulang segera ke New York kalau ada tabloid susahkan kau lagi’ pesan Hensen. ‘Telefon abang kalau Kaizil cuba tipu kau, tahulah dia macam mana aku kerjakan nanti’ pesan Darren pula. Pesanan mereka berdua itu bukan saja tegas tetapi nampak sangat mereka mahu aku kembali semula ke Amerika dan sila buang kerakyatan British yang telah kupegang beberapa tahun lalu. Itu teoriku yang paling lucu.

Sebaik kembali ke London aku bekerja semula dengan Bettina Bennington pada pembukaan oktober dan berhasrat meneruskan kontrak sebelum aku putuskan rancangan seterusnya.

“Wah, gadis dari New York dah balik,” Rosiesme terus menerpa dan memelukku. Melly ikut serta. “Rindunya kat kau…” ujar Melly lantas mencium pipiku. Aku membalas pelukan erat mereka berdua.

“Mana autograf abang kau?” tanya Melly selepas pelukan dileraikan.

“Ada.” Aku terus mengeluarkan poskad New York dan dua cenderahati yang Hensen belikan untuk mereka berdua. 

“Ohh, baiknya abang kau,” Rosiesme tak henti-henti membelek poskad itu dan menyangkut gantung kunci pada zip beg tangannya.

“Macam mana kerja reka baju sepanjang aku cuti?” tanyaku sambil menyimpan barangku dalam loker berkunci di bawah meja kerjaku.

“Macam biasa, sekarang Mrs. B sedang buat jualan murah untuk stok lama, musim sejuk nanti kita kena buat rekaan baru,” jawab Melly yang memandangku lain macam dan tersenyum-senyum sejak tadi.

“Ada yang tak kena ke?” aku mengerlingnya.

“Kau dah nak edar kad jemputan kahwin?” 

Itu soalan perangkap namanya. Aku ketawa tanpa bunyi. “Taklah, Kaizil sibuk dengan liga. Kami sedang cuba cari masa uruskan semuanya.” Jawabku.

Rosiesme dan Melly serentak buat muka teruja menanti hari perkahwinanku dengan Kaizil.

“Aku tak sabar tunggu hari tu, aku dapat bayangkan betapa padannya kamu berdua, tentu kau cantik sangat pakai baju gaun putih panjang, Kaizil dengan sut putih dan kamu berjalan di taman meraikan tetamu, aduhai, aku gembira Halyn,” Melly memutarkan bola matanya dan mula berangan.

“Dah, dah pergi buat kerja, jangan nak berangan ok,” kataku sambil ketawa kecil. “Err mana Ferry?” pelik pula bila lelaki lembut itu tidak ada bersama kami.

“Ferry cuti hari ini, ada urusan keluarga katanya semalam.”


Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.