Home Novel Cinta Halyn 2
Halyn 2
Ann Hann
21/9/2019 10:24:11
100,534
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Perasaan keliru kerana bimbangkan Julia buat aku jadi sedikit pelupa. Selepas parkir tidak menentu di perkarangan hospital, aku berlari masuk ke pintu utama sebelum bingung semula, tiba-tiba aku tidak tahu hendak buat apa? Nak pergi ke mana sebaik meredah pintu utama hospital, aku terpinga-pinga mencari di mana kaunter pertanyaan. Aku mula panik. Pantas aku berlari ke bahagian kiri dan ternampak papan tanda ke arah pintu kecemasan. 

“Saya Halyn, kawan saya, Ju, Julia Sss… Scott, dia kemalangan… dia…” percakapanku jadi tidak teratur sejurus menerjah kaunter pendaftaran.

“Sekejap ya,” sekejap saja jururawat itu mula memeriksa nama pesakit. “Julia Scott dah dimasukkan ke dalam wad, baru selesai menjalani pembedahan, kami perlukan sedikit bayaran untuk cas rawatan perkhidmatan kecemasan.”

Aku terus mengeluarkan kad kredit dan memberikannya kepada jurarawat tersebut.

Jururawat itu menghulurkan borang kepadaku. “Tolong isi borang ini,” katanya.

Aku mengambil pen dari poket beg. Pen kepunyaan Kaizil yang sudah lama benar aku simpan dalam beg kerana terlupa memulangkannya semula. Dengan tangan terketar, aku menulis nama, alamat dan menandatangan persetujuan membayar caj rawatan pembedahan Julia. Setelah meneliti semua maklumat yang aku berikan betul, aku mengembalikan semula borang itu.

“Di mana dia sekarang?” soalku tidak sabar mahu melihat keadaan Julia. “Pihak hospital sudah telefon keluarganya?” aku bertanya lagi.

“Tak, cuma cik saja yang berjaya kami hubungi, telefonnya rosak mungkin disebabkan kemalangan tu,” beritahu jururawat itu.

Kemudian aku didatangi doktor yang merawat Julia. Seorang doktor lelaki yang ramah dan berusia mungkin dalam lingkungan 50-an. “Awak kawan Julia?”

“Ya, macam mana keadaannya?” aku terus bertanya. 

“Keadaannya agak teruk, kaki kirinya patah. Dia mengalami pendarahan dalam otak tetapi mujur dapat dirawat segera.”

Pantas aku menutup mulut kerana kerisauanku yang buat aku hampir menjerit. Risau dan takut. Pandanganku mula berkaca. Semoga Julia selamat. Aku terus berdoa dalam hati. Selamatkan Julia, Ya Allah, aku minta belas kasihMu.

“Dia dalam wad khas untuk pantauan lanjut, kawan anda dalam keadaan tidak sedarkan diri sekarang. Cik boleh melihatnya, jururawat Kathy akan bawa cik ke wad, terima kasih, sama-samalah kita berdoa semoga kawan anda diberi kekuatan,” kata doktor itu sambil menepuk bahuku. “Ms. Kathy,” doktor itu mengarahkan jururawat bertugas menolongku.

Aku di bawa ke tingkat satu, dalam bilik yang cuma menempatkan seorang pesakit. Julia  bagai sedang lena, keadaannya amat menyedihkan. Kakinya berbalut, begitu juga lehernya. Mesin pernafasan dipasang. Aku dapat merasakan kesakitannya, seolah-olah kami satu, Aku tak sanggup tengok keadaannya. Kenapa dia boleh kemalangan? Dari rumah Julia ke kafe tadi bukanlah jauh sangat. Amat mustahil. Mustahil kemalangan itu teruk kalau cuma area bandar. Tetapi melihat dari keadaan Julia, bagaikan satu rempuhan laju di lebuhraya.

Dengan langkah perlahan aku menghampiri Julia, cuma bunyi mesin ritma jantung yang kedengaran dalam kesunyian bilik itu. Sesekali aku mengelap airmata yang mengalir di pipi. Sambil berdiri di tepi katil, aku mengenggam tangan Julia, semoga dia dapat merasakan kehadiranku di sisinya.

“Kau kuat Julia, tolonglah bertahan, semuanya akan selamat,” kataku dalam esakan sambil mengenggam kuat tangan Julia yang dingin.

Suasana senyap bagaimanapun merunsingkan. Bunyi mesin menandakan nyawa Julia masih berdetik begitu menusuk hatiku. Kenapa mesti Julia? Dadaku sebak. Tanganku bergetar takut dengan semua fikiran yang bermain dalam kepalaku. Aku sedang terfikir bagaimana hendak memberitahu khabar buruk pada keluarganya sebelum tersentak, pintu bilik terbuka, satu cahaya lurus menerobos masuk ke dalam bilik, pantas aku berpaling ke belakang. Dua lelaki tinggi masuk. Apa yang berlaku? Aku tertanya-tanya dengan kemunculan mereka di dalam bilik rawatan Julia.

“Kenapa encik ada di sini?” aku berdiri, terkejut dan mula curiga.

Encik Aart tidak lagi tersenyum, wajahnya serius. Dia melangkah masuk seperti seorang bapa yang marah. Mataku mengekor pengawal encik Aart yang berjalan ke katil tempat Julia tidak sedarkan diri.

Kedengaran Encik Aart menarik hingus sebelum menjawab. “Ah… Halyn, saya sudah jelaskan maksud saya beberapa hari yang lalu. Tapi saya tidak dapat jawapan dari Kaizil dan juga awak,” katanya dengan riak yang tenang namun berbaur ego.

Pandanganku tepat ke wajah Encik Aart. Dia berdiri di hujung katil. Ada sesuatu yang menakutkan tentang ayah Kaizil saat itu. Kalaulah Kaizil menelefonku sekarang… pen di dalam tangan kugenggam kuat-kuat untuk meyakinkan diriku waktu itu.

“Saya bencikan tentangan, Kaizil sudah mula menunjukkan yang dia takkan menurut semua permintaan saya. Semuanya tentulah disebabkan awak Halyn,” Encik Aart bercakap dengan teratur dan berhati-hati.

Aku mula menyedari semua fikiran tentang kenapa Julia boleh kemalangan. “Encik Aart yang menyebabkan Julia kemalangan, encik cuba ugut saya tinggalkan Kaizil!” dadaku turun naik menahan nafas bila diadili dengan sesuatu yang kejam.

“Awak bijak Halyn, saya suka, sebab awak mudah faham bagaimana cara saya menangani situasi kita berdua. Tetapi kerana awak bijak, kawan awak ni hampir mati dalam rempuhan yang memang disengajakan itu.” Dia menarik nafas panjang sebelum menyambung ayatnya. “Saya upah orang untuk merosakkan kereta Julia dan menyebabkannya kemalangan. Kemalangan melanggar pokok yang tak disengajakan malam tadi.”

“Apa yang encik mahu dari saya, beritahu sekarang! Tolong jangan apa-apakan kawan saya, dia tak bersalah langsung. Encik tak patut libatkan dia, undang-undang takkan berdiam diri, saya akan bertindak kalau encik terus mengancam saya…” aku semakin hilang sabar.

“Malangnya awak tidak berada dalam situasi mempertahankan diri Halyn, ini kali terakhir saya minta dari awak agar lupakan Kaizil jika Kaizil tak boleh lupakan awak.” Encik Aart semakin berani membuat ancaman yang tidak masuk akal terhadapku.

“Jorge…” dia memberi isyarat pada pengawalnya yang berdiri di sebelah katil Julia.

Jorge dengan kejamnya melepaskan alat sambungan pernafasan dari muka Julia yang menyebabkan mesin itu tidak stabil. Aku terkejut, panik! Cuba menghalang tetapi Jorge menahan tanganku dengan tangannya yang lebih kuat sementara aku tidak berdaya, pen yang kupegang tadi jatuh di sisi Julia. “Jangan, tidak…tolonglah!” rayuku.

“Jangan menjerit Halyn, nyawanya tinggal sedikit,” bisik Encik Aart.

Sambil menangis aku terus merayu. “Tolong, tolong jangan apa-apakan Julia, saya merayu demi Tuhan, tolonglah encik Aart,” aku merayu dengan bibir bergetar dan berlutut di hadapan Encik Aart yang tidak berperikemanusiaan. Detik yang cukup terdesak untuk berteriak meminta pertolongan tapi dalam masa yang sama aku bimbangkan Julia yang sudah tidak dapat bernafas dengan betul saat itu. Ritma jantungnya tidak stabil.

“Tinggalkan Kaizil dan kawan awak akan selamat. Tinggalkan London. Awak tak boleh hubungi Kaizil lagi, kalau saya dapat tahu, nasib kawan awak ni dalam bahaya. Awak akan pergi dari negara ini tanpa sebarang berita untuk Kaizil, jika ya, Julia akan selamat.”

Pantas aku mengangguk. Apa saja demi nyawa Julia aku akan berkorban. Aku tak boleh pentingkan diri sendiri sekalipun aku sudah berjanji untuk terus bersama Kaizil. “Tolong sambung alat tu!” desakku dalam keadaan merayu. Aku melutut di depan Encik Aart. Kemudian encik Aart menyuruh Jorge memasang semula alat bantuan pernafasan itu dan jantung Julia kembali stabil.

“Jorge akan hantar awak ke lapangan terbang sekarang. Awak akan berada di New York  esok pagi. Selepas ini, awak akan lenyap tanpa khabar.”

Aku terus mengangguk. Tidak ada apa-apa lagi yang perlu aku lakukan. Semuanya demi nyawa Julia. Aku terlalu lemah untuk melawan, malahan Encik Aart atau Kaizil sekalipun tahu kelemahanku itu. Apalah dayaku hendak melawan. Aku akan melakukan apa saja asalkan orang yang kusayang berada dalam keadaan selamat. Aku tak perlu bimbangkan Kaizil dia sentiasa menjadi keutamaan ayahnya yang obses dengan wang. Suatu hari nanti Tuhan akan membetulkan semua jalan dan Encik Aart akan menerima nasibnya. Aku tahu, Tuhan tidak pernah tidur dan membalas setiap perbuatan manusia.

“Jorge, ambil telefonnya,” perintah Encik Aart lagi.

Telefon pintar dan kunci kereta milikku turut dirampas!


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.