Home Novel Cinta Halyn 2
Halyn 2
Ann Hann
21/9/2019 10:24:11
91,412
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

Perkataan ‘selamat’ bukanlah jaminan untuk aku kalau aku terus berdiam diri. Bila dalam realiti pun aku hidup diekori dalam mimpi lebih teruk lagi. Sudah dua malam aku bermimpi dikejar hantu yang menyerupai Jorge. Aku selalu terjaga dengan tubuh menggeletar dan peluh membasahi leherku sambil melihat ke arah jendela kalau-kalau ada penjenayah masuk. Memang aku tidak sepatutnya terlalu fikirkan sangat tentang Jorge tetapi sukar pula aku nak buang bayangan lelaki itu dari kepalaku. 

Lepas makan malam dengan hidangan sup ayam yang buat Hensen kagum aku masuk tidur lebih awal membiarkan Hensen di ruang tamu menghafal skrip drama. Aku ingat aku boleh tidur tetapi selepas setengah jam, mataku segar, lebih segar dari menonton tv di luar tadi. Lantas, aku mencapai telefon pintar dari bawah lampu tidur di atas meja sisi dan mula melayari internet. Entah kenapa semenjak melihat Errington tempohari aku kembali dan bagai terdesak ingin mengetahui khabar Kaizil di London. Laju tanganku membuka laman web English Premier League (EPL) musim baru yang masih berlangsung. 

Tidak lama mencari aku terus menemui namanya yang sudah berapa perlawanan tidak disenaraikan untuk bermain kerana kecederaan selain cerita dia berselisih faham dengan jurulatih.

Aku mula risau khabar tentangnya. Harapnya dia baik-baik saja di sana.  Semoga Kaizil dapat menyelesaikan segala masalah dengan Kelab United. Aku akan mendoakan semoga kebaikan berpihak kepadamu. Biarkan aku di sini, biarkan aku hidup dengan bayangmu dan tertanya-tanya Tahukah kau aku sedang risau? Tahukah kau, aku tak pernah melupakan? Kau tetap dihatiku, selalu di situ…  aku sangat, sangat, sangat rindukan dia. Aku gembira kau tidak di sini saat aku merintih… Aku tak mau kau turut bersedih melihat keadaanku desis hatiku sayu. 

Malam itu, aku bagai orang angau mencari kelibatnya dalam laman sosial. Dengan menggunakan telefon pintar baru yang dibelikan oleh Hensen, nombor baru dan akaun instagram baru aku masuk ke laman sosial instagram dan mengintai akaun milik Kaizil09. Aku melihat gambar-gambar lelaki itu menjalani latihan. Ada gambar baru yang terlalu mengusik perasaanku kali ini dan buat aku menangis lagi. Pada tarikh 20 februari, gambar ruang tamu rumahku di Sumner Place. No Caption! Itu saja ayat yang tertera di bawahnya. Ruang tamu yang banyak meninggalkan memori kami berdua pada saat permulaan kami bercinta. Di situlah kami berkenalan, di sofa itulah kami saling memahami hati masing-masing.

Tentu dia turut merinduiku hingga datang ke rumah kosong di mana cuma sepi yang mendiami rumah itu sekarang. Adakah dia mengharap kejutan kalau aku akan muncul tiba-tiba di rumah itu sepertimana dia membuat aku terkejut pada suatu malam. Pernafasanku mula sesak, hidungku merah dan mataku basah. Oh Tuhan, aku mohon… jangan biarkan Kaizil ke rumah itu lagi.

Ting Tong!

Tiba-tiba bunyi loceng pintu kedengaran kuat dalam kesunyian rumah Hensen. Aku melompat turun dari atas katil kerana takut Hensen terjaga. Siapa pula di luar tengah malam begini. Sekuriti agaknya. Minggu lalu ada sekuriti datang beritahu tentang  kes kecurian berlaku di sekitar apartmen dan meminta penghuni berhati-hati. Bunyi loceng terus bergema. Tekaanku betul, ruang tamu kosong, televisyen telah dimatikan. Hensen sudah masuk tidur. 

Mataku mengecil ketika melihat skrin kod pengawasan dan tiba-tiba berdebar. Betulkah apa yang aku nampak? Ada seorang lelaki di luar. Memakai kot kelabu dan baju sejuk berbelang kelabu hijau yang biasa kunampak. 

“Kaizil?” bisikku dengan nada pertanyaan yang pelik. 

Lututku terasa longgar, tanganku jadi lemah dan keberatan untuk membuka pintu itu. Tetapi bunyi loceng itu semakin kerap kerana takut Hensen terjaga aku membuka sistem kodnya lalu membuka pintu. Mungkin aku terlalu rindukan Kaizil sehingga dia datang sendiri mendengar seruku. Di hadapan pintu yang terbuka lebar mata kami saling bertentangan, tiada kata-kata yang keluar. Aku dapat melihat sinar kekecewaan dalam matanya.

“Kaizil…” aku menyebut namanya lembut.

Tiba-tiba Kaizil jatuh berlutut di hadapanku. Aku cuba menangkap bahunya tetapi tiba-tiba tanganku direntap, mulutku ditutup oleh satu tangan besar, aku tidak dapat bernafas dan cuba memekik, menendang sekuat hati. Rontaanku semakin kuat sebelum semuanya… terhenti, namaku dipanggil berkali-kali.

“Halyn… Halyn…” bahuku digerak-gerak kuat. “Halyn!”

Aku tercungap-cungap bangun, nafasku menderu laju. Peluh membasahi dahi dan leherku.

“Kenapa?” Hensen risau. “Kau mimpi buruk?”

Mimpi tidak pernah gagal menakutkan aku. Setiap kali, semenjak di New York semua mimpiku bagai petanda buruk. Mungkin sebab aku menangis nampak post dari insta Kaizil tadi dan terus tertidur. Jam baru menunjukkan pukul 3 pagi. 

Sehingga pagi dengan mentari berselubung awan aku masih bersedih dan kecewa bila terbayangkan bagaimana Kaizil datang ke rumah itu dan hanya mampu mengambil gambar. Airmataku menitik di tangan, aku tidak dapat menahan sebak setiap kali terbayang wajah kecewa Kaizil. Berkali-kali aku membasahkan wajah dengan air disinki kerana bimbang Hensen melihat keadaanku nanti.

Selepas menyiapkan sandwich dan oren jus aku duduk melamun di meja makan cuba melupakan mimpi semalam dan berharap semuanya cuma hayalanku saja, ia takkan berlaku kepadaku lagi. Itu mimpi yang paling menakutkan selepas tiga bulan yang lalu aku menderita kemurungan perasaan. Mimpi bukanlah perkara pelik bagiku. Aku sering bermimpi hampir setiap malam, sesetengah mimpiku bergantung kepada fikiran yang bagaimana sedang bermain di kepalaku. Cuma yang aku tidak suka sebab selepas mimpi begitu aku terasa letih pada paginya dan mulalah aku fikir yang bukan-bukan. 

“Ah….” aku mengeluh lantas meletakkan kepala di atas tanganku. Aku patut buat sesuatu hari ini. Sesuatu yang memenatkan, kalau aku penat aku boleh tidur lena dan menyihatkan fikiranku yang sedang kacau.

“Kau okay ke?” Hensen tiba-tiba muncul di dapur. 

Aku segera mengangkat kepalaku memalingkan tubuhku ke kanan melihat Hensen membuat kopinya sendiri.

“Kau tak ambil ubat lagi?” soal Hensen. Tentu dia merujuk pada pil penenang yang dibekalkan doktor kepadaku.

Perlahan aku menggeleng menyebabkan Hensen bertanya lagi. “Kenapa?” Dia mengangkat keningnya. “Bukankah kau sepatutnya makan ubat tu, aku risau dengar kau menjerit pagi tadi.”

“Aku minta maaf,” kataku sayu. “Aku tak ambil ubat lagi, aku tak mahu bergantung dengan ubat tu. Jangan risau, aku boleh atasinya.” Aku mengangguk yakin. Kemudian aku berdiri, mengangkat gelas yang kosong dan membawanya ke sinki. Selepas mencuci aku berpaling semula pada Hensen yang duduk di meja makan menikmati sandwich. “Kau pergi kerja jam berapa?”

Hensen menguap sebelum menjawab. “Jam 11.”

“Err, boleh tak aku tumpang, ke Vamos?”

“Ok, pergilah bersiap.”

“Lepas dari kelas, aku nak jalan-jalan…” aku beritahu awal-awal.

 “Iyalah, pergilah hiburkan hati kau, beli apa saja asalkan jangan pergi audition jadi pelakon.” 

Terus aku ketawa, terkekeh-kekeh aku ketawa dengar pesanan Hensen yang berlagak macam lagak ayah. “Kenapa? Kalau ada yang berminat apa salahnya, siapa tahu aku boleh jadi macam emmm… Dakota Fanning?”

“Tak, aku nak kau jadi Halyn je, jadi adik aku, jangan cuba jadi pelakon, aku tak suka.” Jawabnya dengan riak tegas lalu ikut ketawa bersamaku. “Ada gaya macam ayahkan?” 

Aku ketawa menutup mulut dan mengangguk laju.

“Aku nak bersiap dulu.” dan membiarkan Hensen menyambung sarapannya. 

Seperti biasa aku mengemas bilik tidurku, kemudian kemaskan bilik Hensen. Vakum ruang tamu. Masukkan baju kotor dalam mesin cuci dan biarkan dulu di situ. Petang nanti aku sidai di ruang belakang. Lepas itu mandi. Bila aku selesai bersiap, dia sudah pun menunggu di luar. Aku cepat-cepat memakai sneakers. 

Tak banyak sangat aku belajar hari ini, rasanya semua aku sudah tahu kalau pasal buat rekaan. Cuma aku tak mahu lepaskan peluang belajar dari pengasas-pengasas terkenal macam CEO DKNY yang banyak berikan motivasi dan tunjuk ajar macam mana hendak menyebarkan jenama ke peringkat antarabangsa. Aku turut mengambil kelas fotografi fesyen sebagai salah satu kemahiran dalam bidang ini. Aku mahu belajar tentang semuanya pasal pemasaran dan fotografi supaya aku lebih memahami semua kerja-kerja berkaitan fesyen kalau aku bertekad hendak menjadi pereka fesyen profesional.

Belajar di New York benar-benar satu pengalaman baru. Kali ini ceritanya berbeza dengan kisahku bekerja di London dulu. Aku bebas sepenuhnya di bawah bendera U.S mungkin sebab tidak ada paparazi gila di sini mengejarku lagi. Bangunan Vamos yang elegan itu memang cukup terkenal di kalangan anak-anak muda yang ingin mencapai cita-cita menjadi pereka fesyen. Bukan sahaja sebagai pereka, tetapi peluang untuk menjadi editor majalah fesyen juga terbentang dengan cerah. Sebab itu ramai pelajar jurusan fesyen belajar di Vamos The New School.  

Selepas dari kelas aku berjalan-jalan di sekitar Times Square. Menikmati kesibukan kawasan itu yang selalu digambarkan teksi kuning mengalami trafik teruk di jalan raya utama.

Hari demi hari aku mula menjiwai New York. Begitulah sebahagian pengalamanku sepanjang beberapa minggu belajar. Musim sejuk sudah berakhir. New York kembali cerah dan sesekali mendung pada awal musim bunga menjengah. Di belakang apartmen Stewart, pohon-pohon yang sebelumnya hampir botak dan kering pada musim luruh kemudian memakai baju salji pada musim sejuk kini telah ditumbuhi dedaunan dan bunga-bunga merah jambu yang lebih segar dan melebat dari hari ke hari. Aku sempat mengambil gambar pohon-pohon yang cantik semulajadi. Musim yang lebih hangat ini aku senang hati dapat memakai blaus nipis dari kain sifon, lebih mudah dan pergerakan yang tidak terbatas.

Aku hampir terlupa bagaimana tiga bulan awal keberadaanku di sini aku banyak menghabiskan masa di hospital merawat semua rasa derita sebelum aku nekad untuk bangun dan berdiri dengan berani. Aku tidak menjangkakan apa-apa lagi setelah melalui semua rasa yang hampir menewaskan. Hari-hariku berlalu dengan cepat, terlalu melukakan buat kali pertama, mengenang semuanya hanya akan menambah rasa kepedihan. Tapi aku percaya apa yang Stephanie Meyer tulis, ingatan manusia ni macam penapis, lama-kelamaan semuanya akan menjadi kenangan yang akhirnya dilupakan. Aku berharap musim bunga ini menimbulkan emosi yang lebih baik dan semoga begitulah seterusnya nanti.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.