Home Novel Cinta Akulah Si Jelita
Akulah Si Jelita
Syaida Ilmuna Ismail
24/2/2014 15:59:36
63,776
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 10

BAB 10

DATUK AZIM hanya memerhatikan Sheriena dari sebalik jendela di ruang tamu. Gigih benar anak gadisnya ini membersihkan kereta kesayangannya, Honda Accord pada pagi yang terik sebegini.

Sheriena memang begitu sejak dari kecil lagi. Sikap ringan tulang yang dimilikinya itu membuatkan hati Datuk Azim tertawan. Lalu atas perasaan belas kasihan, dia mengambil Sheriena menjadi anak angkatnya. Dia tidak rela melihat anak gadis seusia 14 tahun sudah bekerja sebagai kuli membasuh pinggan di restoran. Lebih menyedihkan, ibu bapa Sheriena telah lama meninggal dunia disebabkan kemalangan.

Datuk Azim ke perkarangan rumah. Cahaya matahari yang terik mula membasahi seluruh tubuhnya. Terasa hangat dan tak semena-mena kepalanya seperti berpusing-pusing. Lalu Datuk Azim mengambil keputusan untuk berlindung di bawah porch kereta.

“Sherie!” panggil Datuk Azim.

Sheriena menoleh sambil berjalan ke pili air untuk menutup pancutan air yang semakin melimpah.

“Papa! Buat apa keluar ni? Terik matahari kat luar ni,” balas Sheriena.

Datuk Azim menggamit tangannya ke arah Sheriena. Dia kemudiannya mengajak Sheriena untuk berteduh di porch kereta bersamanya.

“Ada apa papa?” tanya Sheriena sambil mengelap tangan serta wajahnya menggunakan tuala kecil yang tersangkut di leher.

Diet ke malam semalam? Tak turun dinner pun dengan papa..”

Sheriena mencebik. Malas pula dia nak menjawab soalan papa yang ini. “Sherie… malaslah.”

“Kamu gaduh dengan Linda?” tebak Datuk Azim.

“Hmm… si Linda tu… eh Mama Linda tu memang tak suka dengan Sherie!” Ops! Terlepas cakap pulak! Habislah papa meleter nanti.

“Sherie, macam mana dia nak suka dengan kamu… tak pernah pun kamu cuba hormati dia. Cuba biasakan diri panggil mama kat dia.”

“Mama tu hanya untuk mama je. Mama Khalisa je yang faham Sherie,” jawab Sherie dengan nada penuh kebencian. Mama Khalisa adalah wanita yang paling baik pernah dia temui. Saat dia perlukan kasih seorang ibu, Mama Khalisa tak pernah membandingkannya dengan Abang Asfahan.

“Hmm, papa tahu kamu adik beradik memang tak pernah suka dia. Tapi dah lima tahun dia jadi isteri papa.” Datuk Azim menunduk sedih. Sungguh dia terkapai-kapai tanpa Khalisa. Oleh sebab itulah segala keputusan yang dilakukannya tidak pernah yang betul dan adil sejak akhir-akhir ini.

“Dahlah papa, apa yang penting sekarang ni… Sherie tetap sayangkan papa. Sherie cuma nak papa tahu yang Sherie akan selalu disisi papa tau..!” Sheriena memeluk sisi tubuh Datuk Azim dengan erat. Dia tidak bagaimana untuk menggambarkan perasaannya pada ketika ini, tapi apa yang dia tahu dia sungguh bersyukur dipertemukan dengan Datuk Azim. Papa yang telah memberikannya semangat untuk terus hidup dan berjaya dalam apa jua cita-cita yang dia azamkan.

“Hmm Sherie… papa tak tahulah kalau Sherie tak ada. Papa ni sunyi. Rindukan Asfahan dan Lara. Tapi mereka berdua tu… macam nak jauhkan diri dari kita. Macam dah tak nak balik lagi dah ke sini,” ujar Datuk Azim yang mula bergenang kolam mata.

Sheriena melepaskan rangkulan tangannya pada Datuk Azim. Dia terasa sedikit sebak di hati. Memang benar dia juga terasa kesunyiannya semenjak Abang Asfahan ke New York.

“Abang ada call papa?”

“Dua hari lepas papa call Lara. Kata dia Asfahan tak ada. Entah ke mana pulak dia.”

“Papa ada suruh dia orang balik?” Sheriena mula meragui jawapan yang diberikan Lara. Asyik tak ada memanjang. Dulu masa aku call pun tak ada juga!

“Ada. Siap papa suruh mereka berdua tu bawak balik cucu. Tapi Lara macam nak tak nak je jawab soalan papa,” jawab Datuk Azim.

“Haih… maybe mereka masih jauh hati dengan papa kut. Kak Lara tu… setahu Sherie lah, dia bukan jenis macam tu. Dia selalunya akan jawab pertanyaan papa, lemah lembut dan juga baik hati orangnya. Takkanlah dah berubah bila duduk negara orang. Culture shock kut!” telah Sheriena.

“Entahlah Sherie.”

Penyesalan mulai terbit di hati Datuk Azim. Benar kata Sheriena, Lara bukan begitu orangnya. Lara yang mereka kenal adalah seorang gadis ceria, suka membantu mereka yang dalam kesusahan, rajin dan juga selalu saja ada idea-idea bernas jikalau mereka dirundung permasalahan.

Lara, gadis yang Datuk Azim ambil sebagai pembantu isterinya apabila wanita itu telah dikesan mengalami kanser ovari dua tahun sebelum kematiannya. Gadis itu telah mereka berdua anggap sebagai anak mereka sendiri. Tambahan pula Lara anak yatim dan tidak mempunyai ahli keluarga yang lain. Oleh kerana itulah atas nasihat Khalisa, dia memilih Lara sebagai jodoh Asfahan walaupun keputusan itu mendapat tentangan dari Asfahan sendiri.

Jikalau benar telahan Sherie yang mengatakan Lara sudah berubah, maka Azim sanggup dipertanggungjawabkan di atas segala dosa yang telah berlaku. Cuma satu saja impiannya, dia mahu melihat Asfahan dan Lara bahagia seperti pasangan suami isteri yang lain. Lima tahun sudah berlalu, takkanlah sehingga kini Asfahan dan Lara masih seperti dulu?

***

KETIKAN di laptop Mac Book Pro milik Jason itu memecah kesunyian pagi. Jam yang berdetik pukul empat pagi itu tidak dihiraukannya. Malah dia memang tidak merancang pun untuk tidur awal pada malam ini.

Kepalanya digaru-garu. Nampaknya pencarian masih menemui jalan buntu. Lara yang dicari masih belum ditemui. Siapa sebenarnya gadis ini? Susah benar dia ingin mencari walau sekelumit informasi pun mengenai Lara. Isteri rakannya baiknya ini seperti tidak pernah wujud di mana-mana.

Jason cuba menggunakan enjin pencarian Google sebagai sumber utamanya. Berbekalkan secubit informasi yang diperoleh dari Nadya mengenai Lara, dia mula menaip nama Lara dan tempat tinggal beserta warganegara gadis itu di enjin carian tersebut. LARA, NEW YORK, MALAYSIAN – itulah antara perkataan yang dimasukkan di ruang carian.

Memang Jason tahu, informasi seperti setitis air di lautan ini tidak akan membuahkan sebarang hasil. Dia memerlukan nama penuh Lara dan alamat penuh tempat tinggal terakhir isteri Asfahan Redza ini. Tetapi bagaimana dia harus mendapatkannya?

Kopi panas yang meliuk-liuk wapnya diteguk perlahan. Ketap! Jejarinya dipetik.

“Asfahan mesti ada simpan sijil nikahnya kan? Mungkin aku boleh selongkar pejabat atau rumahnya untuk dapatkan nama penuh Lara!” monolog Jason.

***

IKHLAS mundar mandir di balai ketibaan ataupun disebut dalam bahasa Peranchis sebagai ‘halls des arrivées’ lapangan terbang Charles de Gaulles. Nampaknya kapal terbang yang dinanti sudah lewat sejam! Tunangnya pula tidak memberitahu apa-apa berkenaan kelewatan kapal terbang yang dinaikinya.

Sungguh tidak tenang hati Ikhlas dibuatnya. Dia yang memakai kemeja hitam yang dipadankan dengan jeans putih duduk di kerusi yang disediakan setelah penat berulang-alik ke kiri dan kanan. Rambutnya yang kemas tersisir ke sebelah kiri itu ditolak ke belakang. Tensi pula menunggu lama-lama begini.

Ikhlas mengeluarkan iPhone miliknya dan mula membuka aplikasi Instagram. Berpura-pura cuba untuk menenangkan dirinya dengan melayari laman sosial yang lagha itu. Namun setelah hampir sepuluh minit meneliti gambar-gambar moden ala vintaj di aplikasi sosial itu, Ikhlas mulai terasa resah kembali. Lalu dia bangun dari kerusi yang didudukinya dan memanjangkan langkah menuju ke La Maison de Chocolat, sebuah kedai coklat yang terkenal di Paris.

Figaro Noir menjadi pilihannya. Sejenis coklat hitam yang berintikan kacang hazelnut, almond dan karamel. Coklat ini merupakan seleksi kegemaran tunangnya. Selain dari itu, Ikhlas juga memilih sekuntum mawar merah sebagai penyeri untuk menyambut kepulangan tunang yang dikasihinya itu.

Sedang Ikhlas sibuk membuat pembayaran di kaunter, dia terasa seperti bahunya dicuit. Tanpa ragu-ragu Ikhlas berpaling.

“Ikhlas, ma cher? You beli apa untuk I ni?” tegur gadis yang tersenyum manis di hadapannya ini.

Mon amour, Jelita!” Hati Ikhlas yang di dalam kerisauan tadi telah terubat sepenuhnya. Tangan Jelita dikucup lembut. Kemudian, bunga ros dan Figaro Noir dihulurkan ke tangan tunangnya itu. Sungguh rindunya kini terlerai sudah. Jelita, je t’aime!

***

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.