Home Novel Cinta Kasihnya DIA
Kasihnya DIA
5/2/2014 16:20:49
22,092
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

AWANyang berarak perlahan berwarna kelabu. Dedaun kering yang berguguran kerana goncangan angin melayang-layang membawa haluan sendiri mengikut ketentuan TUHAN di mana akhirnya mereka akan terhumban. Demikianlah kekuasaan TUHAN di atas segala apa yang berlaku meskipun menitisnya embun dihujung rumput ke atas permukaan bumi.

Dalam cuaca yang semakin buruk, Rina Melati terus memandu tanpa arah tujuan. Pandangan matanya semakin kabur kerana air matanya terus mengalir. Hatinya kecewa. Dunianya seolah diselubungi kegelapan yang tidaktertembus oleh sejalur cahaya pun.

Dia tidak tahu mengapakah Umar yang menarik perhatiannya. Sedangkan sehingga ke hari ini, pemuda itu masih dengan sikap tidak acuhnya. Apakah pemuda itu tidak sudi untuk bersahabat dengannya?

Sambil memandu, fikiran Eryna Natasha menerawang entah ke mana. Khalid Efandi. Semalam dia benar-benar sesal dengan sikap Khalid terhadap dirinya. Apakah dirinya terlalu hina dan kotor lantas, dia tidak layak menerima kasih sayang daripada sesiapa pun? Kelahirannya tidak pernah diingini oleh sesiapa lantas dia ditinggalkan di sebuah masjid dan dibesarkan di rumah anak yatim piatu.

Pertemuannya dengan Khalid tambah memudaratkan bebanan jiwanya selama ini. Harapkan pagar, pagar yang makan padi. Namun, tanpa Khalid siapa lagi yang dapat memberi perhatian kepadanya?

Pedal minyak terus ditekan. Fikirannya semakin memberat dengan berbagai episod peristiwa yang telah dilaluinya. Jiwanya terus mengimbau kepahitan yang harus ditelannya setiap kali Khalid datang bertandang ke rumahnya. Perasaannya berasa amat tertekan. Justeru itu, dia inginkan seseorang untuk meredakan keresahannya itu. Umar. Entah mengapa, hati kecilnya menginginkan Umar.

DERUangin malam semalam, tidak bisa menenangkan hatinya yang sedang gelisah rawan. Apatah lagi, jika diri dipaksa untuk melakukan perkara yang tidak direlakan oleh akal yang waras. Lalu terdengarlah suara jeritannya diiringi oleh angin yang berdesiran. “Tolonglah! Hentikan semua ini! Tak nak... jangan!” Rumah batu setingkat bersaiz sederhana itu tiba-tiba bergema dengan jeritan suaranya.

Mata lelaki Khalid menjegil garang ke arah Rina Melati yang sedang ketakutan sambil duduk di atas tilam dan memeluk kedua lututnya. “Nini, kau dengar sini baik-baik. Jika kau enggan ikut apa yang aku suruh...”Lelaki itu meluru ke arah almari pakaian dan membuka kunci pintu almari itu. “Kau tengok gamabar-gambar ini! Aku akan sebarkan gambar-gambar kau yang dah beribu keping aku ambil ni, di dalam negara ini dan di universiti tempat kau belajar!”Suaranya berbau ugutan yang amat ganas. Foto-foto yang di tangan dilemparkan ke atas katil.

“Tolonglah! Janganlah lakukan perkara ini kepada Nini lagi. Nini tak mahu!” Esakan Rina Melati mula kedengaran. Jiwanya tidak karuan setiap kali lelaki itu datang ke rumah lalu memaksanya melakukan perkara yang hati kecilnya tidak pernah merelakannya.

“Rina Melati! Rina Melati! Sebuah nama yang indah dan harum. Seharum bunga melati.” Lelaki yang berbaju kemeja petak-petak halus berwarna hijau dan hitam itu berhenti berkata seketika. Hujung jarinya mengusap-ngusap pipi dan menyentuh-nyentuh bibir Rina Melati atau Eryna Natasya itu. Bibir Khalid tersenyum sinis.

“Eh, perempuan! Jangan jadi bodoh! Kau boleh dapat banyak duit dengan cara ini! Tak payah lagi bertungkus lumus untuk belajar di tempat bodoh tu! Faham!!!” Tiba-tiba dia bersuara kuat lalu jari telunjuknya ditujah ke dahi Rina Melati yang masih teresak, tersandar di kepala katil.

Khalid terus menelanjangi tubuh gadis itu dengan matanya yang tajam. Rina Melati yang berjeans sendat biru lusuh hanya memakai baju T tidak berlengan berwarna merah terang. Menyerlahkan lengannya yang putih melepak. Baju T berleher bulat luas mendedahkan lekuk dan pangkal dadanya yang ranum.Dia tersenyum.

“Nini... bangun. Mari sini. Maafkan, abang.” Tangan dihulurkan ke arah Rina Melati. Nada suaranya tiba-tiba berubah.

Rina Melati bangun dan turun dari katil seperti diarah lalu mendekati lelaki itu.

“Hmm... wajah cantik, tubuh cantik, dalam keadaan macam mana pun tetap mempersonakan.” Suara Khalid seolah berbisik lalu tangannya membelai-belai rambut hitam dan ikal gadis itu yang terurai dibahu.Dia mengambil kamera yang sememangnya telah tersedia daripada tadi di atas almari solek.

Dia memeluk Rina Melati dengan kemas. Tiba-tiba sahaja dia bertukar watak menjadi seorang lelaki yang amat romantis. Ubun-ubun gadis itu dikucup dua tiga kali. “Lebih baik tangan ini menyentuh diri Nini begini, daripada dikasari seperti tadi!” Sebelah tangannya masih mebelai-belai rambut gadis itu.

“Berdiri di situ dan pandang abang!”Rina Melati dibebaskannya daripada rangkulan.

Rina Melati memandang Khalid dengan pandangan penuh harap. Mengharapkan Khalid akan membebaskan dirinya daripada situasi yang menekannya selama ini.

“Hari ini kita ambil gambar pakai pakaian ini sahaja.Ikut apa yang abang suruh.” Khalid bersuara kendur. Matanya merenung tajam gadis yang dihadapannya. “1, 2, 3… aksi!”

Hampir dua jam Khalid mengambil gambar Rina Melati dalam berbagai gaya. “Nini, cukup untuk hari ini. Minggu depan kita ambil gambar lagi!” Bola matanya sekali lagi meneliti imej-imej yang dirakamnya sebentar tadi. Gadis itu memang fotogenik. Semua gambar yang terakam begitu menarik dan sama cantik dengan realitinya. Bibirnya mengukir senyuman puas.

“Nini tak nak lagi. Biarlah hari ini yang terakhir.”Suara Rina Melati disulam air mata. Esakannya halus dan jarang-jarang. Dia duduk kembali di atas tilam dan menyandarkan tubuhnya di kepala katil.

“Tak nak?!” soal Khalid. Nada suaranya berubah garang. Wajah Khalid kembali bengis. Pantas sahaja tangannya menolak tubuh Rina Melati.

Esakan Rina Melati semakin hebat.Bergegar-gegar tubuhnya.

“Hei, perempuan! Kau tak nak lagi, ya? Kau tak ingat ya! Kau dah berjanji dengan aku, rela untuk bergambar dalam apa juga aksi asalkan...” Khalid bersuara keras. “Atau… kau nak aku panggil beberapa kawan aku yang sentiasa sudi untuk...” Dia tidak menghabiskan bicaranya.

“Perawan atau tidak perawan, bezanya hanya beberapa detik,” ujar Khalid lagi sambil jari telunjuknya menyentuh seluruh wajah Rina Melati.Renungan matanya tajam menikam. Kata-katanya yang penuh makna diluahkan dalam nada berbisik.

“Nah! Ini untuk minggu ini! Kalau kau ikut cakap aku... kau akan hidup mewah lebih daripada ini!” Khalid mencampak segumpal not RM50 di atas tilam. Kepingan not itu bertabur di hadapan Rina Melati yang masih lagi tersedu.

“Jangan menangis lagi! Aku benci dengan air mata!Semua itu palsu! Air mata perempuan ini penuh dengan kepalsuan! Sudah!” tengking Khalid.

Rina Melati terus menangis tanpa menghiraukan Khalid yang merenungnya tajam.Hatinya benar-benar terguris dengan perbuatan Khalid. Namun, dia telah terperangkap. Tidak mungkin dia dapat melarikan diri. Kerana budi, tubuh badan menjadi taruhan. “Tolonglah hentikan semua ini, abang. Nini tak nak kemewahan! Tak nak! Apa guna kemewahan jika jiwa tidak tenteram... perasaan tidak tenang!” Di dalam esakan dia menyuarakan ketidakpuasan hatinya. Memang benar, hatinya tidak pernah tenang sejak dirinya dipaksa menjadi model foto lelaki itu. Dia malu pada dirinya dan tuhan. Benar-benar malu. Kehormatannya telah tercalar.

“Hidup diselaputi dosa.” Suara Rina Melati semakin serak dalam tangisannya. Lidahnya terasa lain apabila menyebut perkataan dosa. Sungguh dia tidak menduga nasib dan dirinya berubah sejauh itu apabila bertemu dan berkenalan dengan Khalid.Hatinya tidak pernah berasa tenang. Setiap saat dia diburu rasa takut dan terhina.

“Tak berkat!” Sempat lagi dia melontarkan perkataan itu dipendengaran Khalid. Namun, pedulikah lelaki itu atau mengertikah dia nilai keberkatan daripada tuhan dalam kehidupan?

“Hentikan! Jangan merayu dan jangan menangis lagi!” Khalid bersuara berang. Tangannya menarik rambut Rina Melati sekali lagi. Sehingga wajah gadis itu terdongak memandang siling. “Jangan bicara soal dosa dengan aku!” Sambungnya lagi lalu rambut Rina Melati dilepaskannya.

“Abang kata... abang sayang, Nini. Beginikah caranya abang menunjukkan kasih sayang abang pada Nini?” Rina Melati terus merintih.

Khalid terdiam. Sayang? Benarkah dia menyayangi gadis itu? Bukankah gadis itu sejenis dengan Haida yang telah mengoyak rabakkan hatinya? Haida yang dicintai sepenuh hati, mengenepikannya seperti kucing kurap disebabkan kesengkekannya pada waktu itu. Haida telah memilih orang lain yang lebih kaya dan dapat memberikannya kemewahan.

“Nini... jangan menangis dan jangan tanyakan tentang perasaan aku! Aku benci! Benci! Perempuan pandai berpura-pura!” Khalid menundukkan mukanya dan membetul-betulkan kedudukan lensa kameranya supaya kembali kepada keadaan asal. Setelah itu, dia mengemaskan peralatan penggambaran tadi dan memasukkannya ke dalam beg kanvas berwarna hitam. “Wang lebih berharga daripada kasih sayang. Lebih bernilai daripada cinta!”Khalid menudingkan telunjuknya ke dahi Rina Melati.

“Suatu saat nanti, kau akan mengerti maksud kata-kataku tadi. Pada waktu itu, kau juga dapat merasakan yang dunia ini tidak membawa apa-apa erti lagi, apabila hatimu sudah dicarik oleh kasih dan cinta.” Suara Khalid bergetar sewaktu mengungkapkan kata-kata itu. Dia kemudiannya melangkah keluar daripada bilik itu.

Rina Melati teresak sendirian. Alangkah sukar laluan hidupnya kini setelah terperangkap di dalam genggaman lelaki itu. Benarkah kata-kata Khalid itu yang wang lebih bererti daripada kasih sayang dan cinta?

Rina Melati, gadis yang ketandusan kasih sayang. Sejak usianya sehari, dia telah diletakkan di bawah jagaan rumah anak yatim. Di rumah itu, dia hanya memiliki kasih sayang daripada kawan-kawan yang senasib dengannya. Tawaran melanjutkan pelajaran di universiti tempatan memang ditunggu-tunggu. Keputusan peperiksaannya yang cemerlang menggembirakan teman-teman dan menjadi kebanggaan seluruh warga rumah anak yatim tempat penginapannya selama ini.

Hari pertama keluar dari rumah anak yatim itu untuk menuju ke Univiersiti Sains Malaysia melakar sejarah dalam hidupnya. Manisnya tidak sampai sehari, namun kepahitan yang harus ditelan mungkin sepanjang umur hidupnya.

Fikiran gadis itu, terus mengembara melalui lorong kenangan lewat hari-hari kelmarin, ditemani air mata yang menitis dipipinya.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.