Home Novel Cinta Suamiku Si Tuan Rumah!
Suamiku Si Tuan Rumah!
Nurul Izah
10/2/2014 15:53:16
555,717
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Hampir sebulan berlalu. Hari ini ada cuti bersambung sehingga hari isnin. Seperti kebiasaannya, bila tidak ada kelas mereka semua akan pulang ke kampung masing-masing. Lina sudah siap mengemaskan beg pakaian.

“Kamu balik kampung tak?”

Nur Alia memandang wajah Lina sebelum kembali menatap komputer ribanya. Esok dia ada perbincangan dengan rakannya. Tapi semalam Mak Jah pulang kerana kecemasan, katanya ada saudara meninggal. Aina dan Sasha sudah pulang petang tadi dijemput tunanganya. Mak Jah ada juga mengatakan Fahmi akan pulang ke Melaka selama tiga hari. Mak Jah kata, lelaki itu akan pulang terus petang ini selepas waktu pejabat. Bermakna hanya tinggal mereka berdua saja dalam rumah itu.

“Tengoklah dulu, lagipun aku ada tesis. Bulan depan exam. Ingat nak pulang lambat sikit. Mak aku pun dah bising, ada hal penting katanya” Nur Alia memandang kalendar yang tergantung di dinding. Minggu ini cuti panjang.

“Elok-elok duduk rumah sorang-sorang. Nanti kena tangkap basah pula, tak pasal-pasal kahwin free

“Cabul mulut!” Nur Alia menutup komputernya. “Fahmi baliklah minggu ni, Mak Jah kata tiga hari. Oklah tu, dia balik aku di sini. Nanti dia datang aku pula cuti. Aku pun dah ambil cuti. Aku ambil dua hari”

“Tak cakap pun nak cuti?”

Nur Alia hanya tersengih. Sengaja tidak memberi tahu rakannya. Lagipun emaknya yang memaksa dia pulang lama sikit. Katanya ada hal penting. Entah apa yang pentingnya!

Tempoh hari begitu juga, kelam kabut dia mengambil cuti panjang. Emaknya mendesak dia bercuti. Rupanya ada orang masuk minang, tahu saja berita itu Nur Alia terus pulang semula ke sini, dibatalkan saja niatnya mahu bercuti lama. Marah dengan emaknya yang beria-ia nak dia berkahwin. Baginya perkahwinan itu tidak boleh dibuat kelam kabut. Apatah lagi dengan orang yang dia langsung tak kenal. Dia mengimpikan perkahwinan yang sempurna dan bersama insan yang dia sayang. Tapi sampai hari ini dia tidak terpikat dengan mana-mana lelaki. Sedangkan berpuluh lelaki datang silih berganti mahu bergandingan dengannya. Apapun dia ingin menghabiskan pengajiannya. Kalau dah kahwin esok, belum tentu suaminya benarkan dia menyambung pengajian.

Esoknya Nur Alia sendiri menghantar Lina ke Stesen Keretapi. Semasa keluar rumah tadi, dia terserempak dengan Fahmi di ruang tamu. Lelaki itu hanya dipandang sekilas sebelum meluru masuk ke dalam kereta. Menyumpah juga dia kerana dia menyangka lelaki itu sudah pulang ke kampung. Nur Alia tidak terus pulang, takut terserempak lagi dengan Fahmi. Dia yakin lelaki itu pasti pulang sebentar lagi. Dia membuat keputusan untuk berjalan-jalan di sekitar ibu kota, hampir petang barulah dia singgah ke Putrajaya. Bosan berjalan sendiri, dia mengambil keputusan untuk pulang. Hari pun hampir malam.

Keadaan rumah sunyi. Kereta Fahmi pun tak ada. Mungkin sudah pulang. Nur Alia beranggapan sendiri. Lapang dadanya melihat suasana rumah yang sunyi sepi itu. Seperti biasa Nur Alia akan mandi terlebih dahulu sebelum solat. Usai saja mandi Nur Alia terus menuju ke dapur. Melihat apa yang patut untuk dimakan malam itu. Tadi dia terlupa membeli makanan. Pandangan matanya tertumpu ke arah bungkusan Maggie kari. Dia tersenyum lebar. Bolehlah untuk malam ini. Baru saja dia meletakkan periuk kecil, kedengaran loceng berbunyi. Nur Alia meluru keluar tamu. Jantungnya berdegup kencang. Siapa pula yang datang malam-malam begini? Takut juga dia. Manalah tahu orang yang tak baik. Tapi dia bukan tidak pernah tinggal sendirian di dalam rumah. Ada juga sekali dua kalau dia harus menyiapkan report.

Nur Alia berdiri di tepi tingkap, tidak berani terus membuka pagar. Dari tingkap ruang tamu, jelas kelihatan beberapa orang lelaki berkopiah berdiri diluar pagar. Seperti orang dari masjid berdekatan. Melihat mereka agak ramai, dan ada juga beberapa orang wanita bersama hatinya lega. Tanpa membuang masa Nur Alia membuka pintu, terkejut dia melihat lelaki berkopiah tadi memandangnya dengan pandangan seolah dia melakukan kesalahan.

“Ya encik, nak apa?”

“Awak tinggal dengan siapa di rumah ini?”

Nur Alia terkesima, kenapa pula soalan itu yang keluar dari mulut mereka. Nur Alia cuba menjawab dengan berhati-hati. Dia juga menerangkan mereka semua sudah pulang ke kampung.

“boleh kami tengok kat dalam tak?”

Nur Alia sekadar mengangguk lalu memberi laluan kepada mereka untuk masuk ke dalam rumah. Satu persatu bilik diperiksa, nasib baik ada kunci pendua untuk membuka bilik Mak Jah dan Aina. Tiba di bilik Fahmi, mudah saja mereka menolak daun pintu.

Tiba-tiba hatinya rasa tidak menentu. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang bakal terjadi. Wajahnya berubah pucat. Fahmi lena tidur di atas tilam dengan hanya memakai seluar pendek. Ya Allah!

“Apa ni!” Fahmi meloncat turun dari katil. Pantas dia menarik selimut untuk menutup badannya yang hanya memakai seluar bermuda. Matanya memandang wajah Nur Alia yang sudah pucat lesi. Juga beberapa pasang mata yang memandang wajahnya seolah dia sedang melakukan kesalahan. Baru dia teringat, pagi tadi dia terlibat dengan kemalangan kecil dengan sebuah motorsikal. Dia terus menghantar kereta ke bengkel dan pulang semula ke rumah. Esok baru keretanya boleh diambil, dia bercadang untuk pulang esok pagi. Dia pun tidak menyangka Nur Alia juga masih di sini. Kalau dia tahu, pasti dia tidur di rumah temannya atau di mana-mana hotel berdekatan.

“Macam nilah, ikut kami ke Pejabat Agama. Kamu berdua di tuduh berkhalwat. Pakaian kamu jelas menunjukkan perbuatan kamu”

Fahmi memandang Nur Alia, bukankah gadis itu sudah pulang ke kampung. Air mata Nur Alia laju membasahi pipi, badannya lemah. Nasib baik Fahmi cepat menyambut badan Nur Alia yang hampir tersembam ke lantai. Nur Alia menolak kasar lalu menangis semahunya. Mahu saja dia memeluk gadis itu dan menenangkannya. Tapi bukan masa ini! Nur Alia sudah terjelepok dipintu bilik sambil menangis. Dia serbasalah, bagaikan mimpi apa yang sedang berlaku sekarang. Melihat dirinya yang tidak terurus, lalu dia mengambil seheli t-shirt dan memakainya. Sebelum keluar, dia sempat menghubungi Mak Jah. Hanya wanita itu yang mampu menyelamatkan keadaannya ketika ini.



Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.