Home Novel Cinta DIA HANYA UNTUKKU
DIA HANYA UNTUKKU
Rozita Abd. Wahab
1/3/2013 09:06:45
55,083
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

ALISSA, masuk sekejap.”

Suara Syed Hadif begitu jelas di telinganya. Baru sebentar tadi Puan Noriah mengajarnya bagaimana menggunakan telefon itu.

Alissa mengatur langkah, pintu bilik Syed Hadif diketuk terlebih dahulu sebelum ditolak dan melangkah masuk.

“Ya Tuan Syed.” Alissa tercegat di hadapan Syed Hadif, seperti khadam yang menanti arahan dari tuannya.

Syed Hadif mengeluarkan sebuah buku dari laci mejanya, buku tersebut digunakan oleh setiausahanya yang sebelum ini untuk mencatatkan setiap temujanji dan pesanan untuknya.

“Setiap kali saya ada mesyuarat, awak mesti catatkan di sini. Kalau ada panggilan untuk membuat temujanji awak perlu pastikan waktunya mengikut diari ini atau maklumkan pada saya terlebih dahulu. Setiap aktiviti saya mesti ada di hujung jari awak, kalau ada call untuk saya pastikan siapa pemanggilnya sebelum awak sambung pada saya atau bertanya dengan saya terlebih dahulu samaada saya hendak bercakap atau tidak.” Panjang lebar pesanan Syed Hadif.

Diari itu dihulurkan pada Alissa.

“Mulai pagi esok, sebaik saja saya sampai awak mesti masuk ke bilik saya dan maklumkan aktiviti saya pada hari itu, boleh.”

Alissa mengangguk, terasa panas wajahnya bila Syed Hadif merenung tepat ke arahnya.

“Insya-ALLAH Tuan Syed, cuma saya harap jika ada kesalahan saya Tuan Syed akan menegur dan saya akan berusaha untuk buat yang terbaik.” Alissa bersuara perlahan, tidak berani menentang pandangan Syed Hadif.

“Okey, kalau awak ada masaalah dengan kerja jangan malu atau segan bertanya. Tak rugi kalau kita selalu bertanya, tapi masalaah peribadi minta maaflah.” Syed Hadif ketawa kecil selepas menghabiskan ayatnya.

Alissa tersenyum, lega.

Syed Hadif keluar menghadiri mesyuarat dengan pelanggan sebaik saja jam mencecah ke angka 2:15. Dia perlu tiba di syarikat Permata sebelum jam 3:00 petang.

“Jangan lupa kunci blik,” pesan Syed Hadif sebelum melangkah keluar.

Alissa bersandar dikerusinya, penat. Baru hari pertama sudah banyak kerja yang perlu diuruskan. Dicapai kertas yang diserahkan padanya sebelum waktu makan tengahari tadi, surat itu perlu disiapkan sebelum pulang. Tangannya lincah menaip, dia perlu berhati-hati agar tidak ada kesilapan yang berlaku.

Tepat jam 5:15 petang, Alissa mengunci pintu bilik Syed Hadif, surat yang sudah disiapkan diletakkan di atas meja Syed Hadif. Dia sudah berkemas untuk pulang, pesan Siti Hawa pagi tadi, kalau dapat pulang cepat lebih baik, sebelum jalan jem teruk.

Alissa bertembung dengan Syed Hadif sebaik sahaja pintu lif terbuka, Syed Hadif kembali semula ke pejabat selepas selesai mesyuarat.

“Tuan Syed belum balik ?” tanya Alissa.

“Ada kerja sikit. Surat tadi dah siap ?” Syed Hadif pula yang bertanya.

“Saya dah letak atas meja. Ada apa-apa yang perlu saya buat lagi?”

Syed Hadif diam sejenak, kalau diikutkan memang dia memerlukan Alissa untuk menyiapkan beberapa dokumen penting, tapi timbul juga rasa simpati pada gadis itu, baru hari pertama bekerja sudah dibebankan dengan tugas yang menimbun.

“Hmm, tak apalah sambung esok saja.”

“Kalau begitu saya balik dulu.”

Syed Hadif mengangguk kemudian melangkah masuk ke ruang pejabat.

Alissa menekan butang lif untuk turun ke bawah. Tentu Syed Hadif memikul tanggungjawab yang besar, habis waktu pejabat pun dia masih berada di pejabat.


SITI HAWA sudah terbaring di atas katil sewaktu Alissa melangkah masuk ke dalam bilik. Temannya itu hanya tersenyum menyambut kepulangannya.

“Penat ?” Ringkas soalan dari Siti Hawa.

“Letih, banyak kerja menunggu aku,” jawab Alissa.

“Biasalah tu, amacam handsome tak bos kau ?”

Alissa tersenyum, terbayang wajah Syed Hadif di ruang mata tapi cepat-cepat ditutup dengan bayangan wajah Ilham. Tentunya Ilham lebih kacak, cuma Syed Hadif lebih bergaya, sesuai dengan jawatan dan tugasnya, berlainan dengan pekerjaan Ilham di pekan kecil yang baru hendak membangun.

“Aku tanya tak jawab, tersenyum-senyum pula.”

Handsome,” jawab Alissa.

“Kalau compare dengan Amirul, siapa lagi handsome?” Sengaja Siti Hawa bertanya soalan itu. Sekadar hendak menguji hati Alissa.

“Mestilah bos aku.”Alissa ketawa kecil.

“Hmm, kalau dengan Ilham ?” Siti Hawa sudah tersengeh.

“Mana boleh banding dengan Ilham, mestilah Ilham aku tu lagi handsome.” Alissa ketawa lagi, senang hatinya bila mengingatkan Ilham.

“Kau tak rindukan Ilham ?” Siti Hawa bertanya sambil merenung wajah Alissa yang berseri-seri apabila bercerita tentang Ilham.

Alissa membalas renungan Siti Hawa, masakan teman itu tidak tahu akan perhubungan dia dan Ilham yang sudah berlangsung lebih empat tahun lamanya. Pastinya rindunya bergunung-gunung buat Ilham.

“Empat bulan aku menganggur, selalu juga jumpa dengan dia, sekarang ni dah jauh dari mata, mestilah rindu.”Alissa tersenyum, senang hati.

Siti Hawa menahan tawa melihat senyuman yang mekar di bibir Alissa.

“Aku nak tanya kau sesuatu.” Alissa memusatkan kembali pandangannya ke arah Siti Hawa.

“Apa yang kau nak tanya ?” Siti Hawa duduk bersila di atas katilnya, bantal yang dipeluk tadi diletak di atas riba.

“Setakat mana hubungan kau dengan Amirul, aku tengok lain macam saja ?” tanya Alissa.

“Kau rasa macam mana ?” Soalan dibalas dengan soalan.

“Kalau ikut firasat aku, hubungan korang lebih dari kawan. Betul tak ?” Alissa meneka.

Siti Hawa tersenyum, sengaja membiarkan Alissa cuba meneka.

“Kau tengok dia tu suka kat aku ke ?”

“Rasa-rasanya macam tulah.”

“Kau rasa kami berdua sepadan tak ?”

“Hmm memang… hey nanti, apa dah jadi dengan boy friend kau budak engineering tu, kawan Syed Akil ?” Alissa teringatkan Syafiq yang pernah diperkenalkan oleh Siti Hawa sebagai teman lelakinya.

Siti Hawa melambakkan tawanya, Alissa masih mengingati perkara itu, memang dia pernah rapat dengan Syafiq. Pelajar yang mengambil kursus kejuruteraan yang lebih tua dari mereka.

“Aku ingat kau dah tak ingat pasal mamat tu.”

So, dah putus atau masih diteruskan, atau… kau pasang dua.” Alissa mengusik.

“Janganlah fikir aku ni teruk sangat. Syafiq dah tak wujud dalam diari hidup aku,” balas Siti Hawa.

Siti Hawa menongkat dagu, terbayang wajah Syafiq di ruang mata, memang lelaki itu kacak orangnya tapi Syafiq suka mengongkong pergerakannya, setiap perbuatannya ada saja yang tidak kena, itu salah, ini tak betul, dia cepat bosan dengan lelaki itu. Amirul lain caranya, dia bebas hendak melakukan apa saja atau hendak ke mana-mana pun. Amirul tidak cerewet, Amirul mengikut saja kehendaknya.

“Berangan pula.” Alissa mencuit bahu Siti Hawa, sedari tadi dia hanya memerhatikan Siti Hawa terdiam dan tersenyum sendiri. Entah apa yang difikirkan oleh temannya itu.

“Aku dan Syafiq dah tak ada apa-apa, kami pilih jalan masing-masing, dia dengan cara dia dan aku dengan caar hidup aku,” ujar Siti Hawa.

Siti Hawa berbaring semula, kenangan dengan Syafiq datang juga di ingatannya, bohonglah kalau dia berkata dia sudah melupakan semuanya, melupakan setiap kenangan yang dikongsi bersana Syafiq. Lelaki itu pernah bertakhta di hatinya, pernah beraja di hatinya, masakan dapat dilupakan begitu saja tapi kehadiran Amirul tepat pada masanya, Amirul penyayang sifatnya, lembut dan menghormati dirinya.

Alissa mencapai tuala, dibiarkan Siti Hawa melayan perasaan sendiri, tentu ada cerita di sebalik perpisahan itu. Kalau tidak masakan Siti Hawa berkelakuan begitu bila menyebut tentang Syafiq. Dia tidak akan bertanya lebih lanjut, jika Siti Hawa bersedia untuk bercerita, dia akan mendengar.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.