Home Cerpen Seram/Misteri PULANG
PULANG
Ummu Hanan
23/6/2016 13:12:16
4,052
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri
“ Sayang..” suara yang dicinta menyapu dinding telinga lalu menusuk ke pangkal hati . Zulaiha terkial-kial membuka mata. Mukanya terasa basah dan segar. Suami melempar senyum. Senyuman itu...membuat Zulaiha terbuai-buai. Zulaiha juga turut tersenyum lalu merenung sekejap wajah suami walaupun dia masih mamai.

“Kenapa renung abang macam tu? Dah, bangun..subuh” kata Iman lalu mencuit hidung Zulaiha. Zulaiha bangkit perlahan.

“Abang usap muka Zu dengan air wudhu'?” tanya Zulaiha sambil mengusap mukanya. Iman tersenyum lalu mengangguk.

“Kan dah batal wudhu' abang..” tukas Zulaiha lagi.

“Dah Zu liat sangat nak bangun. Alah, nanti abang berwudhu' semula. Cepat, waktu tak tunggu kita” tegas Iman sambil menarik tangan Zulaiha. Zulaiha diperlaku seperti anak kecil. Zulaiha akui yang dia memang manja dengan suaminya itu.

Dari awal perkahwinan, Iman tidak pernah melukai hati Zulaiha. Iman cukup sempurna di mata Zulaiha. Adapun bermasam muka, kebanyakkan ia bermula dari Zulaiha. Alah, wanita ni berhormon. Cukup bulan, kalau tak kena dengan gaya memang ribut petir dunia. Tapi, Iman..dia sungguh sabar melayani Zulaiha.

Usai subuh, seperti biasa Iman akan memberi sedikit tazkirah kepada Zulaiha. Mereka mempunyai seorang putera yang berumur 3 tahun. Tunggu besar sikit nanti, putera mereka akan berjemaah sekai bersama mereka. Bagi Zulaiha, hari-hari yang dilaluinya penuh dengan bahagia. Iman juga begitu. Hidup mereka tidaklah sekaya mana. Mereka cuma sebuah keluarga sederhana yang hidup dalam komuniti yang sederhana juga. Alhamdulillah..

“Zulaiha..” Zulaiha berpaling kepada Iman. Iman kelihatan tersenyum manis.“Hari ni masak apa?” tanya Iman.

“Nanti Zu fikirkan. Abang balik awal sikit hari ni tau.”pinta Zulaiha. Iman mengangguk. Zulaiha membetulkan tali leher suaminya dan mengusap sedikit kedutan baju di dada Iman.Iman hendak turun kerja. Segak dan tampan suaminya itu pada hari. Bila terpandang wajah Iman, hati Zulaiha tiba-tiba berdegup kencang.

“Abang handsome hari ni. Zu jatuh cinta untuk kali yang ke 100001 kali dengan abang” kata Zulaiha. Iman ketawa kecil sambil menghulurkan tangan kepada Zulaiha. Zulaiha menyalami suami tercinta dengan hati yang hiba.

“Zu isteri abang yang soleheh. Abag jatuh cinta buat kali yang ke 100002 kali terhadap Zu. Abang sayang Zu kerana Allah.” ujar Iman sambil mencium ubun-ubun Zulaiha.

Langkah Iman yang keluar dari rumah diratap hiba.

“ Aduhai hati..kenapa rasa lain macam sangat ni? Abang kerja cari rezeki.” bisik Zulaiha. Dari dalam kereta Iman melambaikan tangan. Zulaiha membalas dengan senyuman hambar.

Hari itu, Zulaiha benar-benar gembira. Melonjak riang hatinya. 11 November! Ulangtahun ke 7 perkahwinan mereka. Syafiq masih lagi tidur. Jadi, Zulaiha menggunakan masa yang ada untuk membuat persiapan. Dia sudah merancang untuk memasak masakkan kegemaran suaminya. Dan menu tambahan, kek ulangtahun! Tahun-tahun sebelum ini dia tidak menyediakan kek. Tapi, tahun ini..dia akan sediakan kek untuk menyambut ulangtahun perkahwinan mereka.

Kerana sibuk di dapur dan menguruskan rumah di samping melayan karenah Syafiq, tidak terasa jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Zulaiha masih menunggu walaupun matanya sudah mengantuk dan badannya teramat letih. Lagipun, Iman menghantar mesej kepadanya yang dia pulang lewat sedikit kerana tiba-tiba sahaja ada mesyuarat penting.

“Assalammualaikum..” Zulaiha terpisat-pisat bangun dari pembaringan apabila mendengar seseorang menberi salam dari luar. Dia tertidur di atas sofa rupanya. Nasib baik Syafiq dah dimasukkan ke dalam bilik. Kalau tidak, Syafiq pun akan tidur bersamanya di situ.

Terkial-kial Zulaiha berjalan menuju ke pintu lalu melihat dari lubang pintu. Oh, Iman rupanya.Zulaiha membuka pintu. Iman tersenyum nipis. Senyuman itu dibalas dengan mesra. Zulaiha menarik tangan Iman untuk disalami. Sejuk tangan Iman dirasakan. Sejuk aircond kereta agaknya.

“Maaf menyusahkan Zu. Kunci rumah terlupa di office. Handphone pula kehabisan bateri” kata Iman lalu masuk ke dalam rumah. 

Zulaiha mengangguk sahaja. Gayanya masih mamai. Zulaiha mengiringi belakang Iman. Tiba-tiba dia terkejut apabila melihat seperti ada cairan merah dan pekat mengalir di tengkuk suaminya itu.

“ Abang, abang cedera ke? ” tanya Zulaiha cemas. Iman berpaling. Wajahnya masih mengukir senyum. Namun, pucat lesi. Berdebar-debar jantung Zulaiha dibuatnya.

“Iya ke? Ermm..mungkin kot sebab tadi abang terlanggar tiang di office. Nanti abang bersihkan.” kata Iman dengan tenang. Zulaiha mencebik. Lelaki itu sentiasa tenang walau dalam keadaan apa jua sekalipun.

“Syafiq dah tidur?” tanya Iman lagi. Zulaiha mengangguk. Kali ini matanya tertumpu pula pada seluar Iman. Kain seluar dibahagian lutut kelihatan carik sedikit.

“Abang okey ke ni?” tanya Zulaiha lagi. Dia ingin menghampiri Iman. Iman mengelak. Katanya dia bau peluh.

Mereka menuju ke dapur. Wajah Iman kelihatan agak terharu apabila melihat makanan yang terhidang di atas meja. Zulaiha senyum manis sambil membuka peti sejuk. Sebuah kek yang telah di dekorasi dengan cantik sekali. Senyuman Iman mati di bibir. Matanya belinangan air mata.

“Terima kasih, sayang..” kata Iman jujur. Zulaiha yang melihat wajah suaminya yang hambar, pucat dan kelihatan amat letih itu juga turut merasa sebak.

“Nanti kita makan ye. Abang mandi sekejap.” kata Iman sambil memegang pipi Zulaiha. Zulaiha mengangguk.

Tiba-tiba kedengaran pintu rumah sedang diketuk bertubi-tubi. Iman dan Zulaiha saling berpandangan. Seiring dengan ketukkan, ada salam yang diberikan.

“Zulaiha bukalah pintu. Abang mandi sekejap.” kata Iman lagi. Hati Zulaiha menggerutu, siapa pula yang datang jam sebegini?

“Zu, abang sayang Zu”kata Iman lagi sebelum Zulaiha membuka pintu. Zulaiha tersenyum manis.

Zulaiha agak kaget apabila melihat tiga orang lelaki dengan seorang wanita yang mengenakan baju seragam polis sedang berdiri di muka pintu. Wajah mereka serius.

“Puan Zulaiha binti Adrus?” tanya seorang anggota polis tersebut. Zulaiha mengangguk dengan curiga.

“Ada apa ye Encik?” tanya Zulaiha.

Mereka berempat saling berpandangan. Kemudain anggota polis yang perempuan itu menyerahkan dompet duit kepada Zulaiha.

“Abdul Iman suami puan?” tanyanya lagi. Zulaiha mula dihambat ragu dan bimbang. Dia mengangguk laju.

“Maafkan kami, puan. Encik Abdul Iman telah terlibat dengan kemalangan jalan raya dan disahkan meninggal di tempat kejadian.Takziah daripada kami”

Jantung Zulaiha bagaikan direntap keluar dari jasad.

 Terbuntang luas matanya.“Encik salah orang kot. Suami saya baru sahaja balik rumah. Dia sedang mandi” sangkal Zulaiha sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

 Polis-polis tersebut saling berpandangan.
“Puan, suami puan terlibat dalam kemalangan. Bersabarlah, puan.” jelas seorang lagi anggota polis tersebut.

Zulaiha berundur ke belakang. Menggeletar tubuhnya apabila menerima berita tersebut. Dia kemudiannya melulu ke dalam rumah.

“Abang! Abang!” panggil Zulaiha yang mula panik. Pintu tandas dan bilik mandi di kuak. Semua pintu bilik di rumah tersebut di bukanya sambil memanggil Iman. Sehinggakan Syafiq terjaga dari tidurnya.

“Abang!!!!” Zulaiha meraung bagaikan orang histeria dengan deraian air mata apabila mendapati rumahnya sunyi tanpa kehadiran Iman. Anggota polis tersebut menenangkan Zulaiha yang mula terjelepuk di atas lantai. Luruh segala hati Zulaiha dan lemah segala sendinya. Dia tidak mampu berkata apa. 

Masih terasa dingin sentuhan Iman di pipinya sebentar tadi.

°°°°°°

Zulaiha masih enggan menerima hakikat kehilangan suami tersayang. Cengkung matanya akibat terlalu kerap dan lama menangis. Dua hari Iman telah pergi meninggalkan mereka dua beranak. Zulaiha seakan sudah putus harap pada kehidupannya. Tanpa Iman, dia hilang. Hilang arah tuju.

Airmata Zulaiha semakin deras mengalir apabila melihat hadiah ulangtahun perkahwinan daripada Iman yang tersimpan dalam beg kerja Iman. Seutas rantai emas! Terselit di dalam kotak merah itu, sebuah ayat yang meruntum jiwa Zulaiha.

“Bidadari abang..terimalah hadiah yang tidak seberapa daripada abang. Tujuh tahun usia pernikahan kita, abang tak pernah memberi emas kepada Zu. Zu pula isteri yang sangat baik dan tak pernah meminta mahupun merungut. Terima kasih kerana menjadi bidadari abang. Terima kasih untuk pengorbanan Zu. Abang hargai segalanya daripada Zu. Bidadari abang, andaikata suatu hari nanti, abang atau Zu yang pergi dahulu..tabahkanlah hati. Tiada apa yang abang harapkan melainkn doa daripada Zu. Teruskan hidup. Abang tunggu Zu di syurga.”

Hancur luruh hati Zulaiha. Berkali-kali hati dan mindanya menyangkal akan kematian Iman.

“Zu...” Zu menoleh kearah pintu bilik.

“Abang?” jasad Iman sedang berdiri disitu dengan senyuman.

“Abang dah balik?” kata Zulaiha sambil mengesat airmatanya. Iman tersenyum manis.

“Zu dah agak, abang pasti balik. Abang tak pergi mana-mana. Abang jangan pergi mana-mana lagi” kata Zulaiha sambil menapak perlahan-lahan mendekati Iman.

“Abang balik..!” kata Zulaiha lagi dalam rintihan.

Ibunya yang kebetulan hendak menjenguk Zulaiha di bilik terkejut melihat Zulaiha meracau-racau memanggil nama suaminya sambil memeluk gambar suaminya. Zulaha terpandang akan ibunya yang kelihatan terkejut itu.

“Ibu..abang dah balik..” katanya dalam tersedu sedan. Terpalit senyuman nipis di bibir kering itu. Tingkah laku Zulaiha sungguh merisaukan Ibunya.

“ Kan Zu dah kata, abang akan balik. Ibu tak percaya..” katanya lagi. Mulut ibunya seakan terkunci apabila melihat ulah Zulaiha. Namun, dia perlu mendekati Zulaiha untuk menyedarkan Zulaiha.

“Zu, jangan macam ni. Jangan takutkan ibu” rayu ibu sambil memegang tangan kaku Zulaiha.

“Abang dah balik!!!!! Abang tak kemana-mana! Abang ada dengan Zu!” kata Zulaiha kasar.

“Astaghfirullahal a'dzhim, Zulaiha!” Ibu pantas memeluk Zulaiha yang seperti orang kurang waras itu. Zulaiha benar-benar sudah hilang akal!

Berkali-kali ibunya mengucapkan syahadah sambil mengusap belakang Zulaiha. Mengalir airmatanya melihat keadaan anaknya itu.

“Zu nampak abang ,bu. Zu nampak abang..mata Zu nampak abang..” rintih Zulaiha.

“Jangan macamni sayang..ingat...Allah sayang Iman lebih lagi daripada kita. Jadi, Zu harus bersyukur. Mati memang datang tiba-tiba,Zu. Kita sendiri tak tahu bila ajal datang menjemput. Tanpa syarat, tanpa suara, Allah jemput kita menemui-Nya. Zu harus kuat dan tabah seperti yang Iman harapkan.”

Zulaiha hilang kata. Otaknya tidak mampu mencerna kata-kata ibu dengan baik. Dia masih tidak mampu membuka pintu hatinya untuk redha dan ikhlas melepaskan pemergian Iman. Dia tidak cukup solehah dan beriman menerima qoda' dan qodar Allah SWT. Zulaiha longlai jua akhirnya. Namun, mulutnya masih terkumat kumit memanggil Iman.

“Abang balikkkkk....”-merintih

“Bidadari ku Zulaiha, kematian bukan pengakhiran tetapi satu permulaan. Kerana kematian itu bukan perpisahan bahkan satu pertemuan. Semoga bertemu di syurga!” suara hati Zulaiha yang seakan berbisik kata azimat daripada Iman menghembus galau dijiwanya.

Zulaiha akhirnya terlena didalam dakapan ibu.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.