Home Novel Umum KARTU BUAT IRIS - BECAUSE U R SPECIAL
KARTU BUAT IRIS - BECAUSE U R SPECIAL
Dr Fendi Ameen
11/11/2014 15:11:04
3,609
Kategori: Novel
Genre: Umum
Senarai Bab
1: MULA

MULA

Musim luruh di Tanah Ratu datang lagi. Bermulanya ketika bulan Mac. Bumi Queensland yang terletak dalam Benua Australia, pada bahagian Selatan bumi menerima kepanasan pada kadar 26 darjah hingga 17 darjah pada ketika musim luruh, lovely sunny days followed by glorious nights. Hawa yang nyaman dan seringkali tiupan angin menyegarkan jiwa. Tiada panas yang membahang dan mengeluarkan peluh atau sejuk yang mencengkam bahagian belakang seperti musim dingin. “Autumn” itulah gelar yang diberikan kepada musim luruh. Sapaan semilir dengan jatuhan dedaun sungguh mengasyikan. Tebing Sungai Brisbane yang hidup bersama denyut nadi kotaraya itu dipenuhi luruhan daun-daun pelbagai rona.

Musim luruh tiba setelah Disember, Januari dan Februari berlalu pergi bersama hawa yang membakar. Ketika bulan-bulan itu suhunya boleh mencapai sehingga 40 degree dalam satu-satu masa. Ketika itu pantai-pantai akan dipenuhi dengan berbagai-bagai ragam manusia, berjemur menikmati pancaran mentari dalam pelbagai gaya dan suasana. Sesekali hujan yang diterima juga agak lebat dan sesekali munculnya rebut tropika disamping tiupan angin laut yang menyejukkan. Inilah rahmat Tuhan bagi menyejukkan bumi Queensland yang sedia menerima jolokan ‘the sunshine state’.

Januari 2009, kami mengunjungi sebuah tempat yang terletak di utara Queensland. Jauhnya kira-kira 385 kilometer dari kotaraya Brisbane, atau disebut Mianjin oleh suku orang asli Jagera yang bermukim sejak zaman-berzaman di tebing Sungai Brisbane, sebelum dinyahkan oleh orang-orang Inggeris dan nama tempat kekal dalam bahasa penjajah sehingga sekarang.

Tempat yang kami kunjungi itu dikenali sebagai Bundaberg atau nama manja panggilan orang tempatan,Bundy. Ia adalah sebuah bandar di pesisir yang menghadap Coral Sea, dan merupakan titik Selatan ke arah Terumbu Karang Besar, Australia. Di sini tempat tumbuh suburnya tanaman tebu yang menjadi keluaran utama gula untuk Australia. Tidak hairanlah jika Bundaberg juga dikenali sebagai ‘the sugar cane state’. Ladang-ladang tebu subur menghijau dengan pelbagai perusahaan hiliran berkaitan penanaman tebu seperti ‘cane village holiday park’, yang menyediakan percutian indah ‘amidst beautiful gardens, sandfly free, quiet and secure and within walking distance to Sugarlands shopping centre’.

Perusahaan penanaman tebu di Australia telah dimulakan sejak tahun 1788. Di Malaya, ketika itu, Franchis Light telah menjadi ‘Raja’ di Pulau Pinang, setelah menyewa pulau rebutan itu dari Sultan Abdullah Mukarram Syah, Sultan Negeri Kedah (1778-1797). Dengan kuasa yang dimiliki melalui Syarikat Hindia-Timur Inggeris melalui pentadbiran Konsul Jeneral John MacPherson, Light menukarkan nama Pulau Pinang kepada ‘The Prince of Wales Island’ menandakan dirinya sebagai Penguasa Inggeris di Negeri-negeri Tanah Melayu secara resmi, bahkan menjadi titik-tolak resminya proses Koloni British di Asia Tenggara.

Di Australia, pada tahun 1788, Kapten James Cook telah mendaratkan benih-benih tebu yang dibawa dari Afrika Selatan. Kapten King kemudiannya menyebar luas tanaman tebu di Norfolk Island. Bandar Port Macquarie tumbuh dengan suburnya tanaman tebu di pulau itu.

Di Bundaberg pula, tanaman tebu juga telah dimulakan sejak 130 tahun yang lampau. Ketika ini ladang-ladang tebu di sana adalah yang paling luas terdapat di Australia. Dalam kajian Geografi, hasil utama Queensland adalah arang batu, emas dan tebu. Bundaberg menjadi pusat pengeluaran tebu bagi Australia.

Selain daripada itu, Bundaberg juga terkenal dengan tanaman halia. Ladang-ladang halia kedapatan di sana-sini. Seperti tanaman tebu, halia juga mempunyai industri hiliran, menghasilkan produk-produk berasaskan halia. Salah satu yang terkenal di lebih 32 negara, termasuk Malaysia adalah minuman halia tanpa alcohol yang diperisakan dengan pelbagai rasa sehinggalah kepada limau dan nenas. Ia adalah Bundaberg Root Beer yang boleh didapati di pasaraya-pasaraya. Cara pemprosesannya adalah berasaskan cara tradisi yang telah diubahsuai dengan penggunaan mesin-mesin moden.

***

Ketika kunjungan kami ke Bundaberg, Iris ketika itu masih lagi dalam rahim ibu. Umurmu mungkin dalam tempoh dua atau tiga minggu sahaja. Atau mungkin juga telah mencapai sebulan setelah melalui fasa nutfah dan alaqah. Benar firman Allah dalam ayat ke-2 surah al-Insan yang membawa maksud “" Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis air mani yang bercampur yang Kami (hendak mengujinya dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat ".

Setelah nutfah, engkau berubah menjadi alaqah bermaksud segumpal darah, bersesuaian dengan Firman Allah melalui ayat ke-14 surah al-Mukminun “Kemudian Kami mengubah nutfah menjadi alaqah". Segumpal darah itu kemudiannya melekat pada dinding rahim ibumu, untuk tumbuh dengan rahmat ALLAH menjadi Mudghah iaitu segumpal daging. Dalam ayat ke-14, ALLAH telah menerangkannya melalui firman yang membawa maksud “"lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging". Ketika ini pembentukan otakmu telah berlaku, serentak dengan pembentukan saraf tunjang, telinga dan otot-otot yang lain yang semakin berkembang. Dengan pengawasan Rabbul Jalil, darah semakin banyak dialirkan membawa oksigen dan zat makanan. Dalam rahim ibumu, Iris semakin membesar.

Previous: PROLOG
Next: -BENJOL

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.