Home Novel Cinta ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
Batiah Hadi
13/2/2020 23:02:04
206,407
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 1

“Tuan Ben, semua dah siap. Hadirin semua sedang menunggu,” ujar seorang wanita lengkap dengan suit dan skirt kepada seorang lelaki di belakang pentas. Lelaki yang berpakaian kemas dengan kot dan slack biru navy sedang duduk sambil meneliti notanya. Dari belakang kelihatan bahunya yang lebar dan tegap. Rambutnya yang tebal berombak nampak pendek dan kemas. Dia menoleh bila namanya dipanggil.

“Baik, Kay,” ujar lelaki yang dipanggil Tuan Ben itu kepada wanita itu, setiausahanya yang sudah bekerja dengannya sejak 5 tahun yang lalu. Dia mengangguk lantas bangun. Menyimpan nota kecil ke dalam poket kotnya. Dengan menarik nafas dia mengorak langkah menuju ke pentas. Di tepi pentas seorang lelaki datang kepadanya. Dia memasang peralatan kepala dengan mikrofon kecil di tepi mulut Ben. Dia memberikan Ben isyarat ibu jari menunjukkan semuanya telah sedia. Ben mengangguk dan beri isyarat terima kasih.

“Good luck to me,” bisik Ben kepada diri sendiri.

“Ladies and gentleman, please welcome our speaker, Mr Benjamin Idris!” umum pengacara majlis. Ben naik ke pentas dengan langkah yakin. Seketika kemudian tepukan gemuruh kedengaran dari para hadirin. Sepanjang masa Ben berjalan hingga ke tengah pentas, satu lampu terpasang menyorot wajahnya kemudian menerangkan pentas. Bila sampai di tengah pentas, Ben berdiri di situ dengan wajah tenang, yakin sambil tersenyum. Walaupun ada rasa sedikit cuak namun Ben rasa teruja berada di atas pentas itu.

Inilah julung-julung kalinya dia akan bersiaran dalam TedX sebagai salah seorang usahawan digital yang terkenal di Malaysia. TedX ialah satu platform di mana seseorang yang berpengaruh boleh menjadi speaker menyatakan idea atau pendapat mereka sebagai inspirasi kepada orang lain. Semuanya berlangsung selama 18 minit. Ben dijemput oleh TEDx organizer sejak sebulan lepas untuk event hari itu. 

Hari itu dia akan bercakap tentang transformasi digital dan bagaimana ia boleh membantu masyarakat. Ben adalah seorang usahawan sosial. Dia telah mereka satu platform membantu usahawan kecil mengubah perniagaan mereka ke arah digital secara bayaran minimal.  Satu topik yang agak ilmiah tetapi menjadi sesuatu yang amat sinonim dengan jiwa Ben sejak beberapa tahun itu.  

Ben kini telah pun tiba di tengah pentas. Dia memandang seketika ke arah penonton. Bila matanya menangkap wajah-wajah mereka, Ben memancarkan senyum. Senyum yang menarik hati setiap penonton. Tiba-tiba kedengaran tepukan gemuruh dari hadirin. Teruja bila melihat senyuman Ben itu atau mungkin ingin memberikan semangat kepada Ben yang memang mempunyai ramai peminat dan pengikut.

“Ladies and gentleman...” Ben memulakan sesinya hari itu di hadapan sebuah dewan yang penuh bahkan ada yang masih belum dapat tempat duduk. Matanya fokus kepada mereka yang hadir hari itu. Ada wajah-wajah yang dia kenali dan ada yang kali pertama dia berjumpa. Beberapa usahawan kecil berada di dalam dewan memberikan sokongan kepada Ben hari itu. Ben memancarkan senyum kepada mereka. Mereka membalas senyuman Ben. Ada juga yang memberikan dia thumbs up sebagai sokongan. Ben rasa berbesar hati dan sedikit bangga dengan respon itu dan juga kerana dewan itu penuh. Ia menunjukkan bahawa apa yang dia bakal sampaikan sebentar lagi dirasakan berharga oleh mereka yang hadir hari itu. Dia maklum tiket ke majlis TEDx bukannya murah. Disebabkan itu Ben berpendapat dia harus memberikan yang terbaik kepada mereka semua selama 18 minit itu.

Ben memberikan pendapat dan ideanya dalam 18 minit. Sejak semalam lagi dia sudah berlatih untuk pengisian hari itu. Dia mengakhiri kata-katanya dengan satu kata-kata mutiara dari mendiang Steve Jobs. Majlis berakhir dengan tepukan gemuruh dari mereka yang hadir. Selepas majlis, sidang media diadakan. Sekumpulan orang ramai sudah menunggu untuk menemui Ben dan berbual atau pun untuk bertanya soalan. Kebanyakan mereka adalah dari media dan juga usahawan-usahawan yang mengenali Ben dan juga mereka yang berhasrat mendapatkan pandangan dari Ben.

Ada juga yang mahu mengambil gambar terkini pemilik syarikat digital terkenal Aspire Network yang kacak dan segak itu. Manakan tidak selain tersohor dalam keusahawanan digital, Ben juga adalah lelaki paling diminati oleh ramai wanita kerana susuk tubuh tegapnya dan juga wajahnya yang kacak. Mereka semua tahu Ben masih belum berkahwin walaupun sudah berusia 35 tahun. Dia sering dikaitkan dengan beberapa selebriti wanita yang popular dan jelita. Paling terkini dia dikaitkan dengan seorang internet influencer terkenal, iaitu Malika. Hari itu Malika tidak dapat hadir kerana dia ada fashion show di Singapura. Kalau tidak pasti Malika berada di tempat duduk paling hadapan memberikan sokongan kepada Ben.  Pasti juga Malika berkongsi spotlight dengan Ben sebaik sahaja sesi itu selesai.

Semuanya berlaku sejak syarikat Ben menjadi terkenal dalam media sosial. Ben pernah masuk satu rancangan realiti mengenai usahawan dan terpilih sebagai usahawan paling popular dalam rancangan itu. Disebabkan oleh rancangan itu syarikat Ben menjadi terkenal. Ben juga membuka sebuah syarikat menjual baju-baju dan juga peralatan sukan SportActive. Ben dengan tubuh tegapnya turut menjadi jurucakap untuk jenama SportActive yang bersaing dengan beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa seperti Al-Ikhsan dan juga Royal Sporting House. Dia juga aktif menyiarkan vlog untuk mereka yang minat tentang kesihatan. Populariti dan pengaruh Ben sebagai influencer membantu meningkatkan pendapatan syarikat digitalnya dan juga syarikat pakaian sukannya. Tidaklah tinggi seperti seorang artis atau selebriti. Namun, saluran Youtubenya mempunyai lebih kurang 100K subscribers dan ditonton sehingga lebih dari 500K orang manakala instagram Ben pula mempunyai followers lebih dari 200K.

Kemudian, ada wartawan bertanyakan Ben tentang perancangan terbarunya untuk syarikat digitalnya dan juga syarikat peralatan sukannya. Menurut Ben dia akan memperkemaskan platform yang ada dan akan menawarkan solusi lebih berkesan untuk organisasi-organisasi yang lebih besar. Organisasi ini menurut Ben agak lambat mengikut arus digital terkini namun telah sedar tentang kepentingan menukar proses dalam syarikat mereka menjadi digital di zaman sekarang. Ben juga bakal mengadakan program khas untuk syarikat peralatan sukannya bagi membantu lebih ramai orang terlibat dalam aktiviti sihat seperti larian dan juga maraton. 

Selepas sesi tersebut beberapa hadirin bergambar dengan Ben dan juga meminta Ben menurunkan autograf pada keratan tiket atau buku program untuk TedX itu. Ben seperti seorang selebriti kerana sering muncul di media sosial dan juga di televisyen. Kebanyakan yang mengerumuni Ben adalah wanita. Kay sebagai setiausaha sudah biasa dengan perkara seperti itu. Pemandu Ben, Radhi selaku bodyguard turut berada di situ memastikan tiada masalah kerana kadang-kadang ada wanita yang agak obses dengan Ben dan bertindak lebih dari sepatutnya.

“Bagaimana dengan perancangan peribadi? Tuan Ben ada rancangan untuk menamatkan zaman bujang tak tahun ini?” soal seorang wartawan tiba-tiba. Ben sedikit terpempan tetapi semua itu memang sudah biasa dia hadapi. Dia memancarkan senyum berlesung pipitnya macam biasa.

“Kalau ada jodoh mengapa tidak?” jawab Ben membawa kepada respon bising dari mereka yang hadir. Mereka semua memandang pada Ben dengan penuh fokus. Menanti buah butir yang bakal diperkatakan. Media sama ada bercetak atau elektronik memang menyukai Ben. Ben adalah antara personaliti kegemaran ramai antara jejaka paling viral.

“Siapakah gadis yang bertuah itu? Sesiapa yang kami kenal?” tanya wartawan lain pula.

“Buat masa sekarang saya tidak boleh maklumkan lagi. Jangan risau kalau saya nak kahwin nanti saya akan warwarkan kepada semua. Tak baik rahsiakan perkara yang baik bukan?,” terang Ben memancarkan lagi lesung pipitnya kepada wartawan dan media yang berada di situ. Memang waktu itu wajah Ben nampak sungguh menawan di luar dan dalam video secara langsung itu.

“Kalau Tuan Ben nak kahwin, gadis bagaimanakah pilihan Tuan Ben?” soal seseorang yang lain pula. Ben terdiam seketika. Dia kelihatan berfikir seketika sebelum menyatakan fikirannya.

“Gadis yang sayang saya seadanya. Tak perlu cantik atau sofistikated tapi sangat menarik di mata saya. Gadis yang sanggup susah senang bersama saya,” ujar Ben penuh yakin. Namun, itu bukanlah 100 peratus apa yang dia mahukan sebenarnya tetapi media amat menyukai ayat-ayat seperti itu. Ayat yang memberi kemungkinan gadis yang Ben suka adalah gadis biasa. Ia boleh jadi sesiapa sahaja. Ia memberikan harapan kepada gadis-gadis di luar sana yang mereka juga termasuk dalam calon pilihan Ben. Jawapan selamat tetapi menunjukkan Ben mahu teman hidupnya seseorang yang berkualiti. Satu nilai yang sering menarik hati netizen. Relationship goal orang kata. Bila Ben berkata begitu, tanda like di page fb dan juga insta Ben kian bertambah berganda-ganda.

“Adakah gadis itu Malika?” tanya seorang wartawan wanita. Ben hanya tersenyum pada wanita tersebut. Wanita itu merenung Ben seketika menunggu jawapan dari lelaki itu. Begitu juga dengan yang lain-lain. Mereka seperti telah bersedia untuk merakam kata-kata Ben. Mereka tahu kalau Ben sebut sahaja nama mana-mana wanita, berita itu akan jadi berita sensasi. Mereka menunggu seketika. Penuh mengharap. 

Namun, tiada apa yang terkeluar dari mulutnya. Ben hanya tersenyum. Wajah kacaknya membuatkan semua wanita yang berada di situ seperti berhenti bernafas seketika. Kamera juga sukakan Ben. Ben sentiasa nampak segak dan berketerampilan dalam kamera dengan hidung mancung dan pipinya yang tinggi. Rambutnya yang kemas dan berombak sentiasa sesuai dengan wajahnya. Semua tentang Ben nampak sempurna terutama bila memakai kot yang kontras dengan kulitnya. Menambah lebar bahunya yang tegap.

“Saya rasa cukuplah dulu penjelasan saya setakat ini. Saya ada appointment lain. Maaf. Saya minta diri dulu,” ujar Ben. Kedengaran protes hampa dari semua yang berada di situ. Kini dia diapit oleh bodyguardnya mula bergerak keluar dari ruang sidang media itu. Bertalu-talu soalan datang dari media yang mengekor Ben, namun Ben hanya menggoyangkan tangan memberi isyarat cukup dulu dan kemudian tersenyum sambil berjalan pantas ke arah lobi. Sehingga wartawan dan peminatnya lelah mengejarnya kerana Ben dengan kakinya yang lebih panjang lebih pantas berjalan dari semua yang ada di situ.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.