“Wah Bella...biar pakcik tolong ya,” ujar satu suara sehingga Bella terkejut. Hampir jatuh bakul-bakul dalam gendongannya. Seorang lelaki berusia lima puluhan sedang memandang Bella dengan pandangan semacam. Bella kenal wajah itu. Wajah tua namun ada rupa. Pada usia emas lelaki itu badannya masih segak. Dan matanya sedang memandang Bella ke atas ke bawah. Pandangan itu bukan biasa-biasa. Pandangannya buat Bella seram hingga ke tulang.
“Tak payahlah pakcik Farouk. Biar saya buat sendiri,” jawab Bella acuh tak acuh. Farouk hanya tersengeh. Matanya tak lepas dari wajah Bella. Bibirnya yang sedikit birat akibat terlalu banyak merokok, tersengeh, amat memualkan di mata Bella. Bella hanya berharap dia ada sepasang kepak. Kalau boleh dia mahu terbang dari situ. Dia mahu cepat pergi. Senyuman itu dulu Bella sentiasa harapkan di waktu dia masih kecil dan tiada ayah. Dia mengharapkan lelaki itu jadi ganti ayahnya namun Bella tersilap. Bukan kasih sayang seorang ayah yang mahu lelaki itu berikan padanya. Bila melihat lelaki itu dia terasa seperti melihat syaitan sahaja.
“Marilah, pakcik bawakan.” Pintanya lagi berdegil. Tangannya yang kasar diletakkan di atas tangan Bella. Bella pantas menarik bakul yang digendongnya ke arah lain supaya tangan Farouk bukan lagi pada tangannya.
“Saya kata tak payah!!,” marah Bella.
“Janganlah macam ni Bella. Pakcik kesian dengan Bella,” pujuknya lagi. Matanya memandang Bella dengan sengeh meloyakan. Hati Bella jadi cuak. Di parkir belakang bangunan itu agak sunyi di saat itu. Salah dia juga cari parkir yang agak belakang hari itu.
“Tak payah saya kata...tak payahlah,” ujar Bella dengan suara ditinggikan.
“Bella tahu tak...Bella nampak cantik sangat hari ni,” ujarnya. Tiba-tiba tangannya berada di bahu Bella pula. Bella pantas menepis. Disebabkan itu jatuh bakul-bakul yang berada di pegangan Bella. Namun, tangan Farouk seperti pacat. Melekat kuat pada bahu Bella.
“Pakcik!! Kalau pakcik buat macam ni saya jerit!” jerit Bella.
“Alah Bella ni tak sporting la. Bella kan tahu, pakcik suka Bella sejak dulu lagi. Kalau Bella ikut saja apa pakcik nak dah lama Bella senang. Tak lah susah-susah belajar dan kerja kat pasar malam ni. Apa saja Bella nak pakcik boleh bagi,” ujarnya cuba memujuk Bella.
“Pakcik, ketepi. Saya ada kerja ni,” marah Bella masih menepis tangan Farouk di bahunya.
“Bella sayang...janganlah macam ni,” pujuk lelaki itu lagi. Dia menghalang Bella dengan badannya. Dia merapati Bella. Pantas dia cuba menyauk wajah Bella. Dia cuba merapatkan wajah Bella ke wajahnya. Bella pantas menujah bakul di tangan ke arah wajah Farouk dengan kuat. Terkena wajah Farouk. Farouk mengaduh. Dia terundur ke belakang sambil memegang wajahnya yang tergarit dengan bahagian bakul yang agak tajam. Dia meraba-raba pipinya yang kini berdarah.
“Tak guna kau Bella. Kau main kasar ye? Mari sini. Kau ingat kau saja boleh main kasar???!!” ujarnya geram lantas mengejar Bella. Bella yang menyedari meningkatkan darjah kelajuan lariannya. Namun kudrat seorang gadis tidak sama dengan seorang lelaki. Farouk yang besar tinggi berlari lebih pantas dan akhirnya dapat menangkap Bella. Bella meronta lantas jatuh ke tanah. Dia cuba bangun namun terlambat. Farouk telah pun mencapai Bella dan menekan peha dan lengan Bella ke tanah. Bella panik. Dia seperti kehilangan suara apabila melihat wajah Farouk. Ia mengingatkan Bella kepada peristiwa ketika dia berusia 10 tahun. Peristiwa yang kadang-kadang datang dalam mimpi buruknya. Bella kini bermandi peluh. Rasa panik menyeliputi diri. Ya Allah, selamatkanlah aku dari lelaki durjana ini.
“Pakcik, lepaskan saya. Pakcik tu ada anak, ada isteri,” rayu Bella bila dia kembali mendapat suaranya. Farouk kini menambah tekanan di tubuh Bella hingga gadis itu tidak boleh bergerak.
“Bella, kau makin lama makin cantik. Memang tak silaplah telahan aku. Kau akan membesar jadi perempuan yang sangat cantik. Kenapa kau tak biarkan aku jaga kau dari kecil? Kau memang suka jual mahal kan?,” ujarnya.
“Pakcik!!, Tolonglah jangan!” jerit Bella sekuat hati.
“Kau pun suka kan Bella...janganlah pura-pura suci pulak!” marah Farouk.
“Pakcik ni gila tahu tak??? Tolong...tolong...tolong!!!” jerit Bella sekuat hati. Membingitkan telinga Farouk. Bella jerit lagi sekuat hatinya. Biar tercabut anak tekak pun tidak mengapa asal dapat didengar oleh sesiapa sahaja yang lalu di situ.
“Diamlah bodoh!” marah Farouk. Satu tamparan hinggap di pipi kanan Bella. Tempat sama dengan tamparan Hanim. Bella menjerit lagi. Dia menjerit minta tolong sebagai langkah terakhir. Biar apa pun yang berlaku yang penting dia harus jangan berputus asa. Ya Allah bantu aku dari niat jahat lelaki terkutuk ini, doa Bella dalam hati beberapa kali. Ya Allah bantulah aku! Tolong aku Ya Allah!
“Hoi!! Apa tu??” Tiba-tiba herdikan satu suara garau kedengaran. Farouk menoleh ke arah suara itu. Begitu juga Bella. Seorang lelaki tegap tinggi bertopi, berpakaian kemas menuju ke arah mereka. Lengan baju kemejanya dilipat hingga ke siku. Menampakkan lengannya yang tegap. Wajahnya tidak jelas di mata Bella disebabkan kelam malam dan juga topi yang dipakainya. Topi? Hati Bella terlepas temponya. Lelaki itu kah? Ya Allah. Biarlah dia lelaki itu. Doa Bella dalam hati. Sepantas kilat tiba-tiba tubuh Farouk ditolak dari Bella dan jatuh ke tanah. Satu penumbuk hinggap ke wajah Farouk. Farouk bingkas bangun. Dia mahu melawan lelaki yang menumbuknya tetapi lelaki itu lebih tinggi dan tegap. Mudah saja dia mengelak. Bahkan penumbuk lelaki bertopi itu pula singgah ke muka Farouk.
“Berambuslah. Jangan nak jaga tepi kain orang pulak!” marah Farouk mahu menghayun penumbuk balas tetapi ditahan oleh lelaki itu. Lelaki itu menambah dengan satu lagi penumbuk. Tepat ke muka Farouk. Farouk terdorong ke belakang dan jatuh lagi ke tanah.
“Kalau ia melibatkan harga diri seorang perempuan aku wajib masuk campur,” ujarnya. Jelas di matanya, Farouk telah cuba untuk memperkosa gadis itu. Dia menumbuk Farouk lagi melampiaskan rasa geramnya. Geram pada lelaki yang menganiaya seorang wanita yang lemah. Bella tersentak. Menyedari dia terlepas dari Farouk, Bella bingkas bangun menjauhkan dirinya dari mereka berdua. Lelaki itu menoleh seketika pada Bella sebelum memandang bengis kepada Farouk. Pandangan itu buat Bella terkesan dengan pantas. Dia pasti itulah lelaki tadi. Ya lelaki itu. Syukur pada Allah. Bella rasa sangat bersyukur di saat itu.
“Lelaki yang kasar dengan perempuan adalah pengecut. Kau tak layak jadi manusia kalau kau ada niat buruk untuk menodai seorang wanita. Baik kau berambus dari sini sebelum aku panggil polis,” ujarnya lagi. Farouk yang berdarah di muka lantas bangun kelam kabut dan beredar. Lelaki itu sedikit mengejar untuk menakutkan Farouk. Farouk yang ketakutan seperti tidak cukup tanah pergi dari situ. Lelaki bertopi itu memerhatikan kelibat Farouk pergi dengan wajah geram.