Home Novel Cinta ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
Batiah Hadi
13/2/2020 23:02:04
206,406
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

Kini Bella cuba mengemas gerai tersebut sementara pelanggan telah berkurangan. Sesekali dia menyeka dahi yang berpeluh. Dia teringat lelaki tadi. Hatinya rasa sedikit geram pula mengingatkan ikut suka sahaja lelaki itu mengangkat dia ke tepi. Adakah dia ini terlalu ringan? Dengan ketinggian 160cm dan berat 55kg agaknya dia sangat ringan kepada lelaki itu. Lagi satu, lelaki itu adalah lelaki yang selamatkan dia di parkir Zouk tempohari. Siapakah lelaki itu sebenarnya? Mengapa pula dia memakai topi dan menyembunyikan sebahagian wajahnya? Bella teringat wajah lelaki itu yang seolah dia pernah lihat. Bila dia katakan pada lelaki itu, lelaki itu ketawa. Apakah maksudnya? Adakah lelaki itu orang terkenal? Mengapa dia tidak kenal siapa nama lelaki itu kalau lelaki itu orang terkenal?.

“Hmm...belajar tinggi-tinggi kerja pasar malam jugak,” tiba-tiba suara menjengkelkan singgah di telinga Bella. Pecah ketawa entah dari mana kedengaran. Seorang gadis berskaf dengan fesyen hijabi terkini tersengeh-sengeh memandang Bella bersama dengan seorang lagi gadis dengan dressing yang lebih kurang sama. Seorang berskaf merah jambu seorang lagi warna kuning. Di bahu mereka tersangkut beg tangan jenis messenger. Warna sama. Jenama terkini. Silap pandang mereka seperti kembar. Mereka bermekap entah berapa lapis. Jauh benar kalau hendak dibandingkan dengan Bella yang sedang berpeluh-peluh tanpa secalit mekap pun di wajah. Comot tiap-tiap hari. Bella hanya mendiamkan diri. Matanya bersabung dengan emaknya. Emaknya mengeleng-ngeleng. Memberi isyarat supaya Bella diam sahaja. Gadis itu sepupu Bella, Hanim yang menipunya tentang kerja di Zouk bulan lepas. Kini dia tidak malu untuk datang dan menyindir Bella.

“Baik jadi macam aku ni. Setakat SPM kerja kilang je tapi tak payah nak bersusah macam kau. Akhir bulan dapat gaji. Busuk-busuk pun 2K tahu tak,” ujarnya lagi. Bella hanya diam. Tangannya laju membersihkan sayuran. Hanim mendengus.

“Hei, aku cakap dengan kau lah,” kata Hanim. Dia memandang ke arah Bella yang kini sedang menyusun sayuran di atas para dengan wajah geram. Matanya bulat seperti mahu menelan Bella. Sejak dulu dia memang tidak sukakan Bella. Cemburunya makin bersakar bila Bella dapat ke universiti sedangkan dia hanya sekadar SPM. Tapi sejak Bella setahun jadi penganggur dia makin seronok mengenakan Bella. Dia semakin besar kepala.

“Itu bukan bercakap tapi menyindir,” jawab Bella selamba. Sedikit pun dia tidak memandang ke arah gadis itu. Hatinya sangat geram dengan kisah di Zouk itu. Bella tahu Hanim sengaja kenakan dia. Gadis berskaf kuning menjuihkan bibir. Rakannya di sebelah pun begitu juga.

“Sentaplah tu. Itulah aku cakap, lain kali kerja kilang aje. Kau tu saja penat-penat belajar kat U. Dahlah mahal. Harap glamour aje. Dapat ijazah, kerja pasar malam jugak. Kan menyusahkan namanya. Bila tak ada duit mak aku jugak kena bagi pinjam kat mak kau. Aku suruh interview kerja tak mau,” sindir gadis itu lagi. Ketawanya makin kuat.

“Hanim!” suara Puan Rubiah terlepas juga. Ketawa Hanim terhenti. Dia merenung tajam kepada Puan Rubiah sambil menjuihkan bibir. Muka tidak puas hati.

“Alah Mak Ngah...semua ni kan betul? Mak Ngah tu suka lebihkan Bella. Tengok, dia bukan bantu Mak Ngah tapi menyusahkan lagi adalah. Mak Ngah tak tahu apa dia buat kat universiti tu. Entah-entah tak belajar pun. Ikut jantan aje ke mana-mana!” ujar Hanim serkap jarang.

“Hanim!” jerit Puan Rubiah lagi lantas terbatuk-batuk. Bella menggigit bibir geram. Bella menghampiri ibunya dan menepuk-nepuk belakang ibunya untuk melegakan batuk wanita itu.

“Kak Hanim, aku ada kerja ni. Kejap lagi pelanggan datang,” ujar Bella menahan sabar di dada. 

“Berapa sen sangat kau kerja kat pasar malam ni. Baik kau kerja kilang macam aku. Kat kilang aku ada kosong untuk operator pengeluaran. Gaji basic pun lumayan. Tak payah kau susah-susah macam ni,” kata Hanim.

“Terima kasih sajalah. Aku tak berminat, kak. Aku dah tak percaya dengan kau, kak sejak di Zouk tu,” jawab Bella selamba. Hanim mencebik.

“Sombong. Orang nak offer kerja tak mahu. Tak percaya? Pasal Alex tu, kau yang tak mahu kerja kata Alex. Penat-penat aku urus dengan Alex, kau tak mahu pulak,” gerutunya. 

“Bukan sombong, aku cuma tak mau kerja satu tempat dengan kau, kak. Dan juga kerja dengan kawan-kawan kau kak. Mereka semua orang yang tak boleh dipercayai,” jawab Bella sengaja. Hanim tersentak. Pantas dia menghampiri Bella.

“Kurang ajar!” satu tamparan hinggap di pipi Bella. Merah sekejap di situ. Bella terdorong ke belakang. Bella terpinga sedikit. Puan Rubiah bingkas bangun mendapatkan Bella.

“Hanim! Kenapa kau tampar Bella pulak? Kalau nak buat kacau kat sini baik kau pergi!” marah Puan Rubiah. Dia mendapatkan Bella.

“Bella ni kurang ajar Mak Ngah. Lain kali Mak Ngah ajar Bella ni elok-elok. Sejak dulu dia tak pernah nak hormat aku ni. Aku lebih tua dari dia,” ujar Hanim memberi amaran kepada Puan Rubiah dan Bella. Jari telunjuknya menunjal-nunjal dahi Bella. 

“Hanim!” marah Puan Rubiah lagi lalu menepis tangan Hanim.

“Dahlah Mak Ngah. Jangan nak tengking-tengking aku pulak. Tu jaga anak Mak Ngah tu baik-baik. Kalau mak tahu betapa kurang ajarnya Bella, siaplah. Nanti mak aku dah mengamuk baru Mak Ngah dan Bella tahu langit tu tinggi atau rendah. Ingat, korang berdua kerja kat sini dan duduk rumah tu semua ihsan dari mak aku tau. Jangan nak menyombong!,” ujarnya memberi amaran. Puan Rubiah tersentak. Hatinya bagai dicarik sayu bila Hanim mengungkit begitu. Dia menyapu air mata yang bergenang di pelupuk mata.

“Hanim, Mak Ngah sedar Mak Ngah ni bergantung dengan mak kamu tapi tak baik kamu mengungkit macam ini. Kita ni bersaudara,” ujar Puan Rubiah sedih. Kini ada air mata laju menuruni pipinya. Hanim menjuihkan bibir. Nampak menyampah benar dia kepada dua anak beranak itu. Memang sejak dulu dia jaki melihat wajah mereka berdua. Paling dia geram ialah pada Bella yang baginya acah-acah bagus itu. Sejak dulu dalam pelajaran Bella sering lebih dari dia. Semua lebih dari dia. Ayahnya, Farouk selalu bandingkan dia dengan Bella. Semuanya Bella. Sayang sangat ayahnya itu pada Bella. 

“Mulalah tu. Kalau tak nak aku ungkit lain kali sedar-sedarlah diri tu! Haih! Malas aku nak layan Mak Ngah dan Bella ni. Buat sakit hati dan buang masa saja!” ujarnya lantas mengajak kawannya beredar. Puan Rubiah memegang dadanya. Sakitnya rasa apabila hidup ini bergantung pada orang. Bila diungkit pedih bak sembilu rasanya. Terus Puan Rubiah menangis teresak-esak. Hina benar rasa dirinya. Sedikit pun anak saudaranya tidak hormat padanya apatah menyayanginya sebagai seorang ibu saudara. Bella memeluk ibunya yang sedikit teresak-esak.  Air mata Bella juga turut mengalir di pipinya namun tiada apa yang terkeluar dari bibirnya kerana menahan sebak teramat. Matanya menghantar kelibat Hanim dan rakannya pergi dengan rasa berbuku di hati. Kalau ikut hati memang dia mahu membalas semua tetapi Bella tidak sanggup. Tidak sanggup memutuskan silaturrahim antara maknya dan mak longnya pula. Lagipun rumah yang mereka duduk menyewa sekarang itu rumah mak longnya. Mereka bernasib baik kerana dapat menyewa dengan sewa agak murah atas ihsan mak longnya. Walaupun rumah itu agak daif tapi itulah yang terbaik untuk mereka anak beranak sejak 20 tahun yang lalu setelah dihalau dari tempat tinggal mereka dulu.

“Bella, lain kali kalau Hanim buat begitu kamu tolaklah dia,” suruh Puan Rubiah tiba-tiba di celah esakkannya. Geramnya masih bersisa.

“Mak,” panggil Bella kurang setuju.

“Mak tak suka kamu biarkan sahaja dia macam tu,” jelas Puan Rubiah kini menyeka air mata dengan hujung bajunya. Bella memeluk ibunya kemas-kemas.

“Biarlah mak. Bella tak apa-apa pun,” ujarnya. Puan Rubiah meregangkan pelukan. Mata Puan Rubiah singgah di wajah Bella yang kemerahan di sebelah pipi kiri.

“Betul ni?” soalnya sambil mengusap-ngusap pipi merah itu. Bella sedikit mengelak. Ada rasa pijar di situ.

“Betul...Bella ok. Lagipun bukan sakit pun,” ujar Bella mempamer senyum. Puan Rubiah seperti tidak yakin. Pasti sakit kalau sudah berbekas merah begitu.

“Bella...” panggil Puan Rubiah. Ada perkara yang ingin dia katakan. 

“Hmm...Bella nak pergi ke kereta, ambil bakul lagi. Tertinggal pula,” ujarnya seperti mahu mengelak. Dia tidak mahu bincang apa-apa kerana akan hanya menambah rasa sakit hatinya pada Hanim. Dia tidak mahu semua itu mengganggu emosinya. Kini dia telah pun melangkah ke arah parkir kereta. Itulah masalahnya apabila tertinggal barang kerana kereta hanya dibenarkan berdekatan sewaktu memunggah barang namun selepas itu perlu diparkir di satu kawasan khas. Kereta cabuk yang banyak berjasa. Hanya diberi pinjam oleh Puan Yusni bila hendak ke pasar malam. 

Puan Rubiah terpaksa menggigit bibirnya. Tidak terkeluar ayat dari mulutnya. Dia terpaksa menghantar Bella yang berlalu dengan pandangan matanya yang risau. Hatinya rasa kesal kerana disebabkan dia Bella terpaksa mengharungi itu semua. Kerana kemiskinan mereka, Bella terpaksa telan harga dirinya dengan tidak melawan kepada Hanim. Dia tahu Bella sengaja bersikap lemah bila ada Hanim. Itu yang buat Puan Rubiah rasa ralat. Hendak berkeras, Hanim anak saudaranya. Anak kakaknya tempat mereka bergantung harap selama ini. Dia pun masih ingat bagaimana kakaknya mengutip dia dan Bella bila mereka dihalau keluar oleh tuan rumah sewa mereka 20 tahun lalu. Ditinggal suami dan dihalau dari rumah. Puan Yusni jugalah yang berikan mereka menyewa rumah kos rendahnya yang kebetulan kosong. Walaupun Yusni dan Hanim selalu melayan mereka begitu namun budi mereka harus dikenang juga. Disebabkan budi itu, Puan Rubiah masih membantu kakaknya itu menjual di pasar malam itu walaupun dengan upah yang sedikit.


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.